Saturday, October 18, 2008

UMNO KAKI BULI?

Tak payah nak jawablah Pak Lah. Juga tidak payah nak jelaskan!

Memang kalau dah mereka nak buat cerita, biarkan.

Yang penting, apabila kita berbuat baik, rakyat akan menilainya. Lagipun, UMNO bukanlah parti yang ditubuhkan untuk membangkang dan memburuk-burukkan orang lain.

UMNO adalah parti perjuangkan kemerdekaan dan pengisiannya.

Apapun seperti kata Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, UMNO, tunjang belakang Barisan Nasional (BN), tidak pernah “membuli” parti-parti komponen BN dan tuduhan itu adalah rekaan parti-parti pembangkang untuk memesong sokongan rakyat terhadap parti pemerintah.

“Orang kata UMNO parti yang suka buli. Tidak pernah berlaku perbuatan membuli. Kalau itu cara UMNO, sudah lama parti-parti komponen tinggalkan BN. Itu tidak berlaku. Ini adalah strategi yang dibawa oleh parti pembangkang. Isu ini tidak bermula dari parti komponen (BN),” katanya.

Kalau UMNO buli, masakan komponen lain boleh bertahan dengan UMNO dan ‘ribut secawan kopi’ adalah perkara biasa. Yang sering tidak berpuashati pun hanya satu dua sahaja – itupun kerana sebab-sebab survival parti berkenaan yang asalnya ia pecahan daripada parti komponen BN juga.

Umpamanya kata-kata Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe mengajak ahli parti itu keluar daripada bayangan Umno.
Berucap ketika berucap sempena Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan Ke-21 yang disempurnakan Pemangku Presiden parti itu, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, baru-baru ini Timbalan Menteri itu mendakwa selama ini mereka hanya mengikut telunjuk Umno, diherdik serta dipijak pucuk pimpinan parti tunjang pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu.

Bagaimanapun, bukan semua pemimpin dalam komponen BN beranggapan sedemikian.
Apa yang pasti ialah parti komponen berkenaan akan membuat bising apabila prestasi mereka menurun atau kerana didesak penyokong.

Dan jika pemimpin parti gagal menyekat atau membendung kemarahan dan tuntutan ahli mereka, itu bukan salah UMNO.

UMNO sendiri sanggup bertindak terhadap ahlinya kalau melampau dalam kes bersifat perkauman, umpamanya terhadap Datuk Ahmad Ismail, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera.
UMNO mengenakan penggantungan tiga tahun tetapi apa tindakan parti-parti komponen yang memperjuangkan kepentingan orang Cina dalam BN apabila ada yang mengkritik UMNO?

Namun yang nyata, yang membuka langkah mengatakan UMNO membuli parti koponen bermula daripada parti pembangkang, seperti DAP untuk memburukkan MCA supaya orang terutamanya kaum Cina tidak suka MCA dan pemimpin BN.

“Seperti juga kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Hindraf (Hindu Rights Action Force) untuk memperlekeh (Datuk Seri S.) Samy (Vellu). Untuk membenci pemimpin. Adakah anda fikir Samy, (Datuk Seri) Ong (Ka Ting), (Tan Sri) Koh (Tsu Koon) rela dibuli.
Isu ini dibawa oleh pembangkang supaya rakyat membenci BN,” kata Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri.

Beliau menyatakannya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA yang ke-55 di ibu pejabat parti itu di Wisma MCA di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, parti-parti komponen BN boleh diibaratkan sebagai kawan karib dan persahabatan itu tidak boleh dipisahkan walaupun apa yang berlaku.

HINDRAF TIMBULKAN KEBENCIAN

Benarkah Menteri Dalam Negeri mengharamkan (Hindu Rights Action Force) Hindraf ekoran insiden lawatan Hindraf ke majlis rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri di PWTC baru-baru ini ?

Setidakj-tidaknya itulah dakwaan Pakatan Rakyat dan menurut pakatan itu, tindakan kerajaan jelas melanggari prinsip hak asasi dan demokrasi, malah menjejaskan hubungan harmoni antara kaum.

Sebaliknya Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tindakan pengharaman yang diambil itu bukan berasaskan kepada satu atau dua kegiatan Hindraf yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan serta aktiviti semenjak Hindraf ditubuhkan.

Katanya, kesan kegiatan Hindraf itu, ia mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.

Menteri itu berkata, kerajaan mewartakan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan haram, satu tindakan yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.

Perintah itu dibuat hasil daripada pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semenjak pertubuhan berkenaan ditubuhkan.

“Pengisytiharan itu diwartakan berkuat kuasa hari ini (15 Oktober 2008) setelah (KDN) berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak,” katanya.
Selain Hindraf, antara pertubuhan lain yang pernah diwartakan sebagai haram ialah Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.

Menurut Syed Hamid, kegiatan Hindraf bertentangan dengan Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 dan ia boleh memudaratkan keselamatan awam, keamanan, ketertiban dan nilai-nilai moral di negara ini.

Beliau berkata, jika kegiatan Hindraf tidak dibendung, ketenteraman awam dan kedaulatan negara bakal terancam di samping keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum akan turut terjejas.

Hindraf juga, kata beliau, berusaha mendapatkan sokongan dari negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka sehingga memberi kesan buruk kepada imej negara.

Menteri Dalam Negeri itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan pertubuhan Hindraf yang diharamkan dalam apa cara sekali pun pada masa akan datang.

Ikuti apa kata Pakatan Rakyat mengenai perkara ini:

Kenyataan Media Pakatan Rakyat Dewan Rakyat,

Malaysia
Pakatan Rakyat mengecam keras keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar mengharamkan Hindraf atas alasan kononnya pertubuhan ini “memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak”.

Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak badan-badan gabungan, NGO, kumpulan prihatin muncul untuk menjuarai pelbagai isu.

Kami hairan kenapa Hindraf satu sahaja disasar?
Keputusan Menteri mengharamkan Hindraf ekoran insiden lawatan Hindraf ke majlis rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri di PWTC baru-baru ini jelas melanggari prinsip hak asasi dan demokrasi, malah menjejaskan hubungan harmoni antara kaum.

Lawatan Hindraf ke rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri baru-baru ini merupakan kunjungan biasa masyarakat Malaysia berbilang kaum ke majlis rumah terbuka setiap tahun. Di samping kunjungan hormat, aktivis Hindraf juga menyerah memorandum kepada Perdana Menteri agar membebaskan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) sejak tahun lepas.


Seperti orang awam yang juga hadir dalam majlis terbuka hari raya tersebut, aktivis Hindraf telah berbaris dan masuk ke dalam dewan secara baik untuk bertemu dengan Perdana Menteri. Malah, mereka yang menuntut untuk membebaskan tahanan ISA termasuk juga penyokong Raja Petra Kamaruddin (RPK) telah berada di majlis rumah terbuka yang sama, dan bukan aktivis Hindraf sahaja.

Dalam semangat Ramadhan dan Aidilfitri, kami sentiasa harus mengingatkan nasib kaum-kaum yang dipinggir atau tertindas. Walaupun kami tidak semestinya bersetuju sepenuhnya segala tuntutan Hindraf, namun kami menegaskan bahawa masalah dan isu penting yang dihadapi masyarakat India harus ditangani dengan cara musyawarah.

Kami khuatir tindakan yang merupakan penindasan hak asasi masyarakat sivil ini akan menimbulkan kemarahan masyarakat India dan seterusnya akan menambahkan lagi ketegangan antara kaum.


Kami mendesak:

1) Kerajaan menghentikan penindasan ke atas mana-mana pergerakan sivil

2) Kerajaan membebaskan semua tahanan ISA serta merta dan mansuhkan ISA
Dikeluarkan

oleh
PAKATAN RAKYAT 16 Oktober 2008

22 PENGHULU PAS ANCAM LETAK JAWATAN

Geger satu Kelantan apabila 22 penghulu ancam letak jawatan serentak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, Pasir Mas, Kelantan.

Kenapa jadi begitu? Eh penghulu yang dilantik oleh kerajaan Pas Kelantan yang mengamalkan Islam pun boleh membantah?

Jangan buat begitu nanti berdosa dengan Nik Aziz!

Penghulu-penghulu ini sepakat untuk meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tendong, Dr Mohamad Md Daud, yang didakwa tidak mahu melanjutkan khidmat empat daripada 22 penghulu terbabit atas alasan kurang komitmen terhadap tugas.

Laporan akhbar menyebut seramai 22 penghulu yang dilantik Kerajaan Pas Kelantan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, Pasir Mas, mengancam meletak jawatan beramai-ramai, jika ada di antara mereka tidak dilanjutkan khidmat masing-masing yang berakhir 31 Disember depan.

Ketua kumpulan penghulu DUN terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata, ketetapan itu akan disampaikan kepada Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Mas, Ismail Noh, dalam mesyuarat bagi membincangkan isu empat penghulu yang khidmat mereka sudah dimaklum tidak disambung.

Sehingga kini, nasib empat penghulu terbabit belum diketahui kerana perbincangan bersama Adun Tendong belum dapat diadakan.
Mereka berharap, ia akan diadakan secepat mungkin supaya isu ini dapat diselesaikan segera supaya penghulu dapat menumpukan terhadap tugas masing-masing.

Namun menurut mereka, jika seorang daripada kami tidak dilanjutkan perkhidmatan, semua 22 penghulu dalam DUN Tendong sepakat untuk meletak jawatan beramai-ramai sebagai tanda bantahan.

Hebat juga penghulu Pas ini. Mana boleh buat begitu kepada kerajaan Islam Pas Kelantan kan menjalankan amanah dengan baik.

Wakil mereka kan sudah mendapat berkat dan doa bersama air mata Nik Aziz, mana boleh berlaku perkara-perkara tidak adil semacam itu.

Perbincangan dengan Dr Mohamad yang sepatutnya diadakan di Pejabat Pas Pasir Mas, malam kelmarin terpaksa dibatalkan, selepas lebih 40 penyokong empat penghulu terbabit berhimpun sambil membawa sepanduk membantah penamatan perkhidmatan mereka.
Sebelum ini, akhbar-akhbar melaporkan, sekumpulan penghulu DUN Tendong mendakwa khidmat mereka yang berakhir 31 Disember ini tidak dilanjutkan oleh kerajaan negeri dengan alasan tidak serasi dengan Adun terbabit.

Dr Mohamad dilaporkan berkata, beliau sedia melanjutkan khidmat empat penghulu terbabit jika cara itu dapat mengelak keadaan menjadi bertambah keruh.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak selesa bekerja dengan mereka disebabkan perkara yang berlaku ketika ini.

"Saya tiada masalah untuk mengekalkan mereka, cuma mungkin mereka yang sudah tidak bersemangat untuk bekerja dan tidak boleh memberi komitmen kerana keadaan ketika ini sudah keruh.
“Pada masa sama, saya pun tak selesa kerana mereka kurang memberi komitmen terhadap tugas,” tegasnya.

Friday, October 17, 2008

BUKAN KICKDEFELLA SAHAJA

Penulis blog, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Aziz hari ini dipanggil semula ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Perdana Jalan Dato' Onn di Kuala Lumpur berhubung kenyataan beliau dalam blognya yang meminta rakyat mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Beliau yang berbaju kemeja merah tiba di jabatan itu kira-kira pukul 10.05 pagi dengan ditemani seorang rakannya.

Beliau yang sepatutnya dipanggil bulan hadapan bagaimanapun diarah untuk hadir melaporkan diri hari ini.

Sebenarnya dalam mengibarkan bendera terbalik, ada jabatan kerajaan Negeri Kelantan yang turut melakukan serupa.

Lihat gambar berikut yang diambil daripada block Kickdefella.


HUSAM SEMAKIN SESAT JALAN

Oleh Yusoff Taib

Selepas kecewa kerajaan Pakatan Pembangkang tidak berjaya ditubuhkan pada 16 September lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa melalut dengan menganggap UMNO tidak sewajarnya membela mana-mana media.

Katanya, seharusnya UMNO bertindak sebagai badan bebas yang menjadi pemerhati bagi pihak rakyat.

Bagusnya Husam apabila mengemukakan pendapat. Itulah sikap orang ‘baju petak’ (mengambil istilah MSO).

Husam juga semalam membidas tindakan UMNO Bahagian Cheras menubuhkan Tabung Azan untuk membantu Utusan Malaysia yang disaman RM30 juta oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Berikutan itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib membidas dakwaan pemimpin parti pembangkang bahawa penubuhan Tabung Azan bermotifkan politik.

Beliau berkata, kewujudan tabung itu bertujuan untuk mendaulatkan Islam selain membantu Utusan Malaysia yang menjadi wadah perjuangan orang Melayu.

''Kita tidak mahu pembangkang menjadikan kewujudan tabung ini sebagai satu polemik politik yang boleh menjejaskan akidah.

''Kenyataan pemimpin pembangkang seolah-olah mereka menentang dan membantah kewujudan Tabung Azan sedangkan ia bertujuan baik bagi mengagungkan azan secara lebih berkesan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Kumpulan Utusan di Hotel Crown Plaza Mutiara di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam hal ini, Muhammad turut mempertikaikan pendirian Pas yang selama ini sentiasa melaung-laungkan diri mereka sebagai sebuah parti penjaga Islam.

''Kita ingin bertanya apakah pendirian Pas dalam mempertahankan kebebasan azan dan kenapa Pas tidak menasihat, membidas atau memberi kata dua ke atas rakan mereka Teresa Kok dalam isu laungan azan di Selangor,'' tegasnya.

Muhammad turut menyeru orang Melayu di seluruh negara dan bahagian UMNO di Selangor agar memberi sokongan padu kepada tabung berkenaan.

Lupakanlah soal perkara membabitkaN Islam kerana sebelum inipun Menteri Besar Kelantan turut menganggap tabung ini gimik politik.

Cuma ada beberapa pertanyaan buat Husam:
1. Siapa taja Harakah?


2. Siapa taja laman web yang menyokong Pas, termasuk Kickdeffella?

3. Siapa taja akhbar tabloid, Wasilah dan beberapa yang lain?

4. Siapa taja web-tv yang simpati dengan Pas?


5. Siapa taja badan-badan media di Kelantan dan merata di Semenanjung untuk menyokong Pas?


6. Apakah salah Utusan Malaysia memperjuangkan soal-soal Melayu dan Islam dan bukankah banyak jasa-jasanya kepada kemerdekaan?

Sudah Husam, jangan nak digadai agama Islam dan bangsa sendiri hanya kerana kepentingan politik dan cita-cita mahu menjadi Menteri di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

RAJA-RAJA MELAYU TEGUR ‘POLITIK SEMPIT’

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu semalam (16 Oktober 2008) mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah dalam kenyataannya berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.



“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini. “Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain.

Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.


Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga.

Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.
“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.
“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.” Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan"

PARTI BERASAS KAUM SEMAKIN TERASING?

Berselera betul membaca apa yang ditulis Anual Bakri Harun dalam Harakahdaily, 12 Oktober 2008.

Menurutnya parti berasaskan kaum semakin terasing dan beliau memperkecilkan UMNO seolah-olah parti itu langsung tiada masa depan.

Katanya, UMNO adalah parti perkauman dan sukar untuk menarik minat orang Islam menyokongnya.

Fakta ialah UMNO ada 79 kerusi di Parlimen dengan mendapat 2,381,725 undi atau 29.33 peratus daripada keseluruhan undi dan Pas hanya 23 kerusi dengan 1,140,676 undi atau 14,05 peratus. Kemenangan Pas sejuah ini terbatas di Semenanjung sahaja.

Dengan nada penuh angkuh, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan berkata bertolak dari sentimen perkauman yang taksubkan bangsa; Umno dengan keMelayuannya, MCA dengan keCinaannya dan MIC dengan keIndiaannya, maka seruan konsep permuafakatan dan tolak ansur Barisan Nasional (BN) tidak membawa erti apa-apa.

Katanya, begitu juga dengan kata-kata Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim dan harapan seorang lagi Naib Presiden MCA, Dato' Ong Tee Keat di hari yang sama dalam akhbar yang sama.

Katanya, masing-masing menganggapkan ia idea yang baik tetapi apakah sentimen perkauman yang selama ini dipupuk dan dibajai oleh masing-masing parti komponen parti dalam BN boleh menumbuhkan sikap yang berkompromi dalam semangat persaudaraan yang murni dan tinggi?
Tidak mengapalah, memang begitu bagi BN yang sebelum itu berjuang melalui Perikatan,

Namun, apa yang Pas lakukan ke arah berkenaan?

Berapa ramai sudah orang Cina dan India yang menyokong Pas?

Adakah cukup sekadar perkataan bahawa PAS meletakkan titik persaudaraan tanpa mengira perbezaan bangsa dan suku kaum?

Katanya lagi teras bicara kita ialah kita semua daripada keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa.

Selain itu katanya, semua orang adalah sama melainkan perbezaan maqam dan nilai mulia atau hinanya seseorang itu terletaklah di atas ukuran taqwa.

Dengan menggunakan ukuran ini, PAS mempunyai seluruh potensi dan kekuatan yang ada untuk bertindak sebagai parti penyatuan rakyat.

Di atas pentas Islam inilah juga PAS sedang diterima dengan baik sebagai pilihan kepada Umno/BN.

Cuba cermin diri sedikit...berapa ramai pemimpin Cina dan India (bukan Islam) yang diberikan peluang untuk mewakili Pas?

Apakah Anual bercakap dalam konteks Kelantan atau Malaysia?

Apakah Datuk Annuar Tan itu kalau bukan kerana dia Islam diberikan jawatan Exco dalam kerajaan Pas Kelantan?

Cuba lihat UMNO. Berapa banyak kerusi Parlimen yang majoritinya Melayu/Islam diwakili bukan-Melayu dan Islam?

Contohnya Gerik, Perak ketika ini diwakili Gerakan dan sebelum ini Sungai Siput, Teluk Kemang serta Kota Raja diwakili pemimpin India.

Dan lebih jelas, Datuk Ronald Kiandee (Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat) sekarang adalah ahli UMNO dan dia bukan Islam.

Wednesday, October 15, 2008

ANNUAR TIDAK TANDING NAIB PRESIDEN, MT

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa memutuskan tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mac depan.

Malah beliau juga menetapkan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) yang disandangnya sejak 1991 bagi memberi laluan kepada muka-muka baru.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak yang masih memberi kepercayaan kepadanya dan keputusan yang diambil adalah muktamad setelah menimbang secara mendalam.

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, selain UMNO bahagian Machang yang telah mencalonkan namanya, beliau turut menerima pertanyaan daripada 34 bahagian bagi mengetahui pendiriannya yang sebenar.

''Setelah menimbang dengan semasak-masaknya dan mengambil kira semua aspek, suka saya memaklumkan pendirian muktamad saya bahawa saya mengekalkan pendirian tidak bertanding jawatan Naib Presiden. Saya juga tidak akan mempertahankan jawatan saya sebagai ahli MT yang saya sandang sejak 1991,'' katanya dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lalu, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mahukan Annuar bertanding bagi jawatan Naib Presiden kerana pengalamannya yang panjang dalam kepimpinan parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, Annuar menyatakan beliau memerlukan masa untuk menimbangkannya kerana sebelum ini telah telah membuat ketetapan untuk tidak bertanding apa-apa jawatan kali ini.

''Malah saya sudah menyebut perkara ini kepada Presiden dan MT sebelum mesyuarat bahagian-bahagian dan suka saya memaklumkan secara muktamad saya mengekal pendirian untuk tidak bertanding.

''Namun saya akan tetap aktif membantu pucuk pimpinan dan parti seperti biasa dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri dan MT," ujarnya.

Katanya, tanpa sebarang jawatan sekalipun, beliau akan terus kekal memberi kesetiaan kepada parti dan sedia berkhidmat mengikut apa sahaja arahan pucuk pimpinan.



Mengenai keputusannya itu, ikuti komen Awang Selamat:

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

KETIKA ramai pemimpin tidak mahu melepaskan kesempatan menawarkan diri bertanding pada pemilihan UMNO kali ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Annuar Musa mengambil pendirian berbeza.

Beliau memutuskan tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO malah enggan mempertahankan kerusi Ahli Majlis Tertinggi yang disandangnya sejak 1991.

Sedangkan Annuar merupakan politikus yang berbisa, berketrampilan dan dilihat masih mempunyai harapan untuk meningkat lagi biarpun senario politik di Kelantan tidak memihak kepada UMNO pada masa ini.

Sebab itu, Awang angkat topi kepada Annuar. Beliau membuktikan bahawa jawatan bukan segala-galanya dalam parti. Tanpa jawatan sekalipun kita semua boleh menyumbangkan bakti dan khidmat.

Lalu Awang terbayangkan wajah sesetengah pemimpin dalam UMNO yang sepatutnya boleh mengambil langkah sedemikian bagi memberi peluang kepada generasi pelapis selaras dengan usaha meremajakan parti.

Yang sedihnya mereka ghairah merebut jawatan termasuk berpolitiking keterlaluan dan gagal melihat realiti sebenar. Tidak hairan juga sebahagian calon gagal ‘mengukur baju di badan sendiri’.

Awang – Teruja semangat Annuar.

UTUSAN BERTINDAK TERHADAP TERESA KOK

KUALA LUMPUR (14 Okt. 2008): Berikut adalah kenyataan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad mengenai tindakan yang diambil syarikat itu terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

“Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan sesalinan Surat Sebelum Tindakan pada 14 Oktober 2008 kepada Yang Berhormat Teresa Kok kerana membuat penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia yang dikatakan telah ‘memutar-belitkan’ penyataan-penyataan beliau berkenaan makanan yang disajikan kepadanya semasa berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penyataan-penyataan beliau telah diterbitkan oleh media-media nasional dan menerusi blog beliau sendiri.

Penyataan-penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia adalah pada 22 September 2008 dan berpunca daripada kenyataan beliau semasa sidang akhbarnya pada 19 September 2008 berkenaan makanan yang disajikan kepada beliau semasa berada dalam tahanan ISA.

Teresa juga menyatakan bahawa Utusan Malaysia telah memutar-belitkan kenyataan asal beliau dalam laporan mereka.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Surat Sebelum Tindakan memohon relif antara lain penarikan balik dan kenyataan kemaafan yang penuh dan lengkap daripada Yang Berhormat Teresa Kok kepada Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkenaan penyataan-penyataan fitnah.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan Surat Sebelum Tindakan tersebut melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co yang beralamat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.”

NIK AZIZ BELA TERESA KOK

Tak tau apa nak cakap lagi mengenai Nik Aziz!

Baginya, lebih baik berbaik dengan parti yang mahukan laungan azan ditiadakan atau diperlahankan daripada dengan UMNO yang sesama Islam.

Kesian dengan beliau, semakin tua semakin melalut dan tidak lagi rasional mengenai kepentingan Islam hanya kerana kuasa politik dan kebanggaan Pas terus memerintah Kelantan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa tindakan Umno melancarkan Tabung Azan bersama Utusan Malaysia kononnya bagi memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini disifatkan sebagai gimik politik.

Nik Aziz berkata, usaha mereka mewujudkan Tabung Azan bagi membantu akhbar Utusan Malaysia sesuatu yang tidak rasional.

"Daripada menubuh tabung tersebut lebih baik diwujudkan tabung bagi menyelamatkan Islam kerana sekarang banyak pihak membawa Islam palsu termasuk juga dibawa Umno apabila mereka memisahkan agama dan politik," katanya.

Nik Aziz sanggup menyatakan soal seperti ini dalam ceramah sempena jamuan Hari Raya bersama masyarakat Cina di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu semalam.

Majlis makan malam itu dianjurkan parlimen Kota Bharu yang dihadiri pelbagai persatuan kaum Cina termasuk Persatuan Teo Cheo, Persatuan Hailam, Persatuan Foo, Persatuan Aklak, Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Cina, Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina.
Hanya kerana hadiran orang Cina, khususnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng Nik Aziz perkecilkan usaha orang Islam lain bagi tabung berkenaan.

Umno Bahagian Cheras mengambil usaha melancarkan Tabung Azan bersama-sama akhbar Utusan Malaysia bagi memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini. Tabung itu juga diwujudkan untuk membantu Utusan Malaysia yang disaman anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebanyak RM30 juta sebelum ini.

Anggota parlimen terbabit menyaman Utusan Malaysia berdasar kepada artikel yang ditulis pengarangnya yang disifat penuh dengan pembohongan di mana penulis mendakwa Teresa membawa penduduk di Puchong membantah azan di masjid.

Dalam artikel itu Zaini Hassan menulis Teresa pernah pergi ke sebuah masjid sebelum Subuh dan menasihatkan pengurusan surau supaya tidak melaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara.

Di Kuala Lumpur semalam Utusan Melayu (M) Bhd bertindak terhadap Teresa kerana memfitnah apabila ia menyerahkan surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (gambar) supaya beliau membuat permohonan maaf dan menarik balik pernyataan fitnah yang didakwa dibuat terhadap akhbar Utusan Malaysia.

Menurut kenyataan syarikat itu, surat tuntutan tersebut telah diserahkan kepada Teresa melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co. yang mewakili Utusan Melayu.

Teresa dalam kenyataannya pada September lalu mendakwa Utusan Malaysia telah ‘memutar belitkan’ pernyataan-pernyataan beliau berkenaan makanan yang dihidangkan kepadanya semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pernyataan fitnah itu didakwa dibuat pada 22 September lalu ekoran daripada sidang akhbar Exco Selangor itu pada 19 September berkenaan perkara tersebut.

Berikutan itu, pernyataan-pernyataan Teresa telah diterbitkan oleh media-media tempatan dan menerusi blog beliau sendiri.

Utusan Melayu melalui surat tuntutan itu memohon perintah (relif) antara lain menarik balik pernyataan fitnah tersebut dan permohonan maaf sepenuhnya dan lengkap daripada Teresa.

Monday, October 13, 2008

ANNUAR KE NAIB MEWAKILI NEGERI KALAH PILIHAN RAYA?


Sehingga artikel ini ditulis, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa baru mendapat satu pencalonan bagi bertanding Naib Presiden UMNO.

Ia datang daripada UMNO Bahagian Machang yang mengadakan persidangan perwakilannya 10 Oktober lalu.

Annuar memerlukan 19 pencalonan dan sehingga lewat petang semalam, persaingan bagi tiga jawatan Naib Presiden Umno meningkat kepada 10 calon dengan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendahului dengan 18 pencalonan diikuti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan 11 pencalonan.

Yang lain ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (9), Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (8), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (4), Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim (4), bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim (2), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan (2), bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (2) dan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (1).

Bahagian Machang turut mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jawatan presiden dan dalam proses pengundian yang diadakan secara terbuka walaupun terdapat gesaan di kalangan perwakilan agar dilakukan secara tertutup, jumlah undian yang diterima jauh mengatasi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dua hari sebelum itu iaitu pada 8 Oktober, Annuar dilaporkan sedang menimbangkan kemungkinan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan.
Apapun beliau menegaskan, lebih banyak masa diperlukan sebelum membuat sebarang pendirian mengenainya dengan turut mengambil kira beberapa perkembangan politik semasa.

Menurutnya, beliau harus menilai keupayaan dirinya, selain persepsi dan tahap sokongan di samping pandangan rakan-rakan di negeri-negeri kerana ia melibatkan tuntutan tugas serta tanggungjawab begitu berat dalam menempuh era yang cukup mencabar.

''Saya menghargai pandangan Pemuda UMNO Kelantan, namun berilah saya masa beberapa hari untuk memikirkannya.

''Untuk menawarkan diri tidak susah, namun kita perlu menimbangkan dengan jujur kerana dalam situasi sekarang, tugas sebagai Naib Presiden tidak mudah," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian mengulas kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan yang mahukan beliau bertanding bagi jawatan itu berdasarkan pengalamannya yang lama dalam barisan kepimpinan.

Pergerakan Pemuda Umno Kelantan pada 7 oktober mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu bertanding bagi jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti.

Ketuanya Dali Husin berkata ini berdasarkan kepada pengalaman luas Annuar dalam politik tanah air yang mampu membantu Presiden dan Timbalan Presiden untuk memperkasakan parti terbesar bangsa Melayu itu.

"Cadangan ini berdasarkan kepada pengalaman Tan Sri Annuar Musa yang begitu lama dalam parti dan kerajaan serta memegang pelbagai jawatan seperti Pengerusi Umno Negeri, Ahli Majlis Tertinggi dan bekas Menteri Kabinet.

"Ia sudah tentu boleh membantu Umno dan pucuk pimpinan untuk memperkukuhkan parti," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dali berkata peranan Annuar amat diperlukan terutama untuk merampas kembali negeri-negeri yang diperintah pembangkang selain tiada calon dari negeri terbabit yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan itu.

Sehubungan itu, Dali menyarankan semua bahagian Umno di seluruh negara memberikan sokongan dan mencalonkan Annuar bagi jawatan itu.

Menurut beliau, zaman 'memanaskan' kerusi sudah berlalu dan dengan peralihan kepimpinan, UMNO akan memasuki satu fasa baru era Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Ia era yang saya jangka sangat mencabar kerana ia menjadi penentu kepada survival UMNO sama ada untuk kekal sebagai pemerintah atau berubah menjadi pembangkang," katanya.

Katanya lagi, barisan kepimpinan baru UMNO perlu mempunyai segala kekuatan, pengalaman, kebijaksanaan, keberanian dan ketahanan dalam menghadapi permainan politik parti-parti lawan.

''UMNO juga bukan sahaja memerlukan keupayaan personaliti, tetapi juga kebijaksanaan merangka dasar, kesepaduan organisasi dan kekuatan daya saing yang tinggi," ujar beliau.
Justeru, katanya, beliau perlu menilai persepsi dan sokongan akar umbi serta keupayaannya menyumbang dalam senario baru itu.

''Sebenarnya, pada awalnya semasa mendukung pelan peralihan 2010, saya sudah membuat ketetapan untuk tidak bertanding sebarang jawatan untuk membolehkan saya berperanan dengan bebas dalam membantu parti.

''Tetapi dengan peralihan yang telah dipercepatkan, senario telah berubah dan saya terpaksa mengkaji pendirian itu kerana ia melibatkan penyusunan saf kepimpinan yang akan memikul tanggung yang menuntut sokongan padu dan keupayaan tertentu," jelasnya.

Pada pertemuan dengan beberapa pemimpin UMNO Bahagian, difahamkan Annuar menyatakan beliau memohon pencalonan sebagai mewakili pantai timur serta negeri-negeri yang kalah atau dikawal pembangkang selepas pilihan raya umum lalu.

Namun yang nyata bagi negeri pantai timur dan negeri yang kalah pilihan raya lalu ada dua calon lain itu masing-masing, Dr Jamaluddin dari Pahang serta Dr Zahid dari Perak.

Sunday, October 12, 2008

Jom Sokong Utusan Malaysia

UTUSAN SUDAH ADA PENYOKONG

Terima kasih Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.
You are great!

Hari ini, UMNO Bahagian Cheras melancarkan Tabung Azan untuk membantu akhbar Utusan Malaysia yang disaman RM30 juta oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Syed Ali Alhabshee berkata, kutipan tabung itu juga akan digunakan untuk membantu masjid-masjid membeli peralatan pembesar suara selain keperluan lain yang berkaitan.

“Kita wujudkan tabung untuk bantu Utusan Malaysia yang disaman Teresa baru-baru ini,.
Buat permulaan kita akan menjadi badan induk yang mengumpul hasil kutipan daripada UMNO bahagian lain dan badan-badan korporat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cheras, di sini hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, Teresa Kok memfailkan saman terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. dan kolumnis, Mohd. Zaini Hassan bagi menuntut ganti rugi RM30 juta kerana didakwa menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya.

Teresa mendakwa artikel bertajuk `Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya’ dalam Utusan Malaysia pada 10 September lalu diterbitkan dengan niat jahat.

Artikel itu juga didakwa diterbitkan dengan niat dan tujuan memperkecilkan beliau secara peribadi dan rasmi termasuk sebagai Ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 8.42 oagi ini.

Teresa selaku plaintif menamakan Utusan Melayu defendan pertama dan Mohd. Zaini yang juga Pengarang Utusan Malaysia akhbar tersebut defendan kedua.

Kita berharap sokongan akan bertambah terhadap Utusan Melayu (M) Bhd kerana ia adalah pejuangan dan suara ‘orang Melayu dan Islam’