Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Annuar Ibrahim bersetuju Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus berundur.
Dr Mahathir ketika ditemui selepas pertemuan itu berkata,
mereka komited untuk mengukuhkan pembangkang dalam keadaan keadaan politik
semasa negara.
"Kita (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) komited untuk mengukuhkan
pembangkang," kata Pengerusi BERSATU itu.
"Mengenai pertemuan kami, kami berdua bersetuju
mengenai hal-ehwal politik semasa negara, dan bahawa PM Najib harus pergi
kerana dia menjual negara ini," katanya.
Ini adalah pertemuan kali kedua membabitkan kedua-dua
tokoh berkenaan.
Bekas Perdana Menteri itu bertemu selama 45 minit dengan Anwar
di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Pertemuan pertama Dr Mahathir-Anwar juga di mahkamah. |
Kes di mahkamah itu berhubung saman Anwar terhadap
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Pertemuan tersebut berlangsung ketika mahkamah berhenti rehat.
Terdahulu sebelum prosiding mahkamah bermula presiden
PPBM yang juga bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga
bertemu Anwar.
Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah memberitahu Hakim Azizul
Azmi Adnan di mahkamah bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk memanggil
Mahathir dan Muhyiddin sebagai saksi mereka.
Dalam blognya pula Dr Mahathir berkata UMNO di bawah
presidennya (Datuk Seri Najib Razak) sekarang adalah pengkhianat kepada bangsa
Melayu dan negara amnya, kata bekas presiden parti itu.
Dr Mahathir mengulas kenyataan presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui kejayaan
kerajaan pimpinan UMNO-BN dalam mengemudi negara.
"Apabila Muhyiddin mengaku bahawa UMNO dan BN telah
membangun dan memaju negara Malaysia, maka pembodek Najib pun gembira dengan
pengakuan ini.
"Bahawa kenyataan ini adalah berkenaan UMNO dan BN
dahulu yang memerdeka dan membangun Malaysia, tidak segan-segan diterima
sebagai kepujian kepada UMNO dan BN sekarang.
"Juga ia didakwa diperintah oleh seorang kleptokrat,
iaitu pemerintahan penyamun dan penyangak yang mencuri duit rakyat," kata
penasihat PPBM itu di blognya hari ini.
Isnin lalu, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana
menteri berkata kemajuan yang dilaksanakan UMNO-BN, menerusi pimpinannya yang
silih berganti, tidak boleh dinafikan.
Berucap di Sungai Lembing, Pahang, Muhyiddin berkata
Malaysia bermula daripada sebuah negara yang tidak mempunyai apa-apa selepas
merdeka.
Muhyiddin turut mengakui 'agak janggal' bagi orang
mendengar beliau berkata demikian kerana kedengaran seolah-olah beliau masih
'berada dalam kerajaan'.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata UMNO yang dimaksudkan
Muhyiddin bukan UMNO pimpinan Najib sekarang.
"UMNO ini (kini) dikenali sebagai kleptokrasi
pimpinan penyangak dan pencuri yang memberi nama yang amat buruk kepada
Malaysia di seluruh dunia.
"UMNO Najib ini adalah pengkhianat kepada bangsa
Melayu terutamanya dan kepada Negara amnya.
"Penyokong-penyokong Najib, sama ada dibeli atau
tidak oleh Najib, tidak kurang dari mengkhianati bangsa dan negara," kata
Mahathir.
Sementara itu, Amnesty International menggesa "pembebasan segera
dan tanpa syarat" bekas ketua pembangkang itu pada
ulang tahun kedua pemenjaraan beliau.
"Penganiayaan politik berterusan terhadap Anwar
Ibrahim adalah simbolik kepada tindakan keras Malaysia terhadap hak asasi
manusia.
"Beliau telah secara tidak adil menghabiskan dua
tahun yang lalu di penjara atas tuduhan yang direka-reka bertujuan untuk menutup
mulut beliau dan menamatkan kerjaya politik beliau," dakwa Josef Benedict,
Timbalan Pengarah Amnesty International bagi Asia Tenggara dan Pasifik dalam
satu kenyataan hari ini.
Pada 10 Februari 2015, Anwar gagal di Mahkamah
Persekutuan untuk mencabar keputusan mahkamah rayuan yang menterbalikkan
keputusan pembebasan beliau daripada tuduhan liwat dan dijatuhi hukuman
penjara lima tahun.
Anwar pada mulanya dibebaskan pada 9 Januari 2012 selepas
Mahkamah Tinggi mendapati keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Ketua Umum PKR itu kekal menyatakan pertuduhan itu
bermotifkan politik.
Daripada Malaysiakini