Thursday, March 4, 2010

PERANG DI KELANTAN?

http://kickdefella.wordpress.com/2010/03/03/”Cakap-siang-pandang-pandang”

Pergolakan dijangka berlaku antara MB dan Istana Kelantan rentetan dari pelbagai peristiwa. DYMM Tuanku Sultan Kelantan dijangka berangkat tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, hari ini (Khams).

Sekali lagi perebutan 'kuasa dan pengaruh' survival politik menjadi pertaruhan dan UMNO tidak mensia siakan peluang ini. Peluang yang dicipta oleh Nik Aziz yang serba tahu dan serba pandai. Jangan salahkan UMNO yang sekadar menjala di air keruh Sungai Kelantan.

Selalunyalah, apabila istana tergugat, maka rakyat jugalah dicari untuk membetulkan keadaan. tetapi apabila mereka sedang bahagia dan bergumbira, di mana rakyat di hati mereka pada masa itu.

Begitulah juga pemimpin politik kerajaan dan pembangkang, bila tersepit, terdesak, rakyat dipergula, diperguna, diperkudakan, tetapi bila dah selesa - mereka kaya sorang sorang, anak menantu, ipar duai.

Pembangunan di Kelantan - siapa yang tidak tahu jika tidak dimonopoli oleh Raja Perempuan samada di atas kertas atau di papan tanda - hakikatnya siapakah pemaju di belakangnya.

Jadi adalah lebih baik, rakyat Kelantan duduk diam sambil memperhatikan gelagat pemimpin politik dan istana yang sedang bercakaran dan tersepit untuk kepentingan peribadi mereka.

Peperangan ini tidak ada kaitan dengan kebajikan untuk rakyat. Biarkan kali ini gajah sama gajah berperang dan yang kalah tetap gajah.

Sekali lagi, Melayu yang selalu rugi..

Wednesday, March 3, 2010

MUKA AWANG ADEK KULIT TAPAK KAKI?

Oleh Hambali Abdul Latiff (hambali1.blogspot.com)

Sifat malu hanya ada pada orang mukmin sahaja. “Tetapi orang yang kulit muka tebal seperti menggunakan kulit tapak kaki kerana tidak akan ada perasaan malu,” - Menteri Besar Kelantan

Nak tergelak apabila membaca betapa marahnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan wakil kerajaan Kelantan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan gara-gara tindakan penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTDL) dikatakan membelakangkan Menteri Besar, pada upacara melepaskan peserta kelmarin.

Marah kerana gagal ‘tumpang sekaki’ pada acara anjuran kementerian kerajaan Pusat?

Sebenarnya inilah sikap kerajaan negeri Kelantan yang selalunya mengambil kredit daripada dasar atau program yang dirancang dan dianjurkan oleh orang lain.

Selama ini banyak program yang menggunakan dana Kerajaan Pusat yang dilancar atau dirasmikan oleh pemimpin PAS dilihat sebagai hasil usaha PAS.

Mungkin kelmarin ditakdirkan pemimpin Kelantan tidak ‘dibenarkan’ sekali lagi mengambil untung daripada program yang dirancang oleh orang lain.

Nama Nik Aziz sebagai tetamu kehormat yang akan melepaskan peserta di hadapan Istana Balai Besar digugurkan pada saat akhir tanpa dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Ini yang menyebabkan pemimpin PAS Kelantan menyinga...Majlis pelepasan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia yang memulakan peringkat pertama dari sini ke Kuala Berang sejauh 174.5km itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Menyedihklan, perkataan biadab disebut beberapa ADUN apabila isu Dr Awang dikatakan ‘merampas’ tempat Menteri Besar melakukan upacara pelepasan pada persidangan DUN itu.

Hassan Mahmood (PAS-Tawang) mahu perkataan biadab digunakan bagi menggambarkan situasi sebenar yang berlaku semalam kerana ada cubaan memalukan seorang ketua kerajaan.

Datuk Omar Mohamed (PAS-Perupuk) pula menceritakan pernah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan seorang pegawai Jabatan Penerangan meninggalkan majlis apabila dia enggan menghormati ketua kerajaan negeri.

Anggota Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sambutan LTdL peringkat negeri telah menetapkan Nik Aziz yang melakukan upacara pelepasan tersebut.

“Malah dalam surat-surat yang dihantar kepada ketua-ketua jabatan telah disebut dengan jelas flag off akan dilakukan Menteri Besar. Dan semua orang telah maklum perkara itu.

“Dalam mesyuarat sebelum itu hanya nama Menteri Besar dan Pemangku Raja sahaja yang disebut untuk melakukan pelepasan.

“Namun memikirkan majlis itu berlaku dalam tempoh singkat dan kesibukan Pemangku Raja maka telah diputuskan Menteri Besar melakukan flag off. Langsung tidak ada nama Awang Adek,” katanya ketika menjelaskan peristiwa semalam pada persidangan Dun.

Pada upacara pelepasan pelumba LTdL bagi peringkat pertama Kota Bharu ke Kuala Berang, Terengganu semalam difahamkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tiba-tiba meminta Awang Adek melakukan pelepasan sedangkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih berada di situ.

Lebih mendukacitakan lagi apabila Menteri Besar pada awalnya tidak dibenarkan menaiki pentas utama pelepasan setelah Awang Adek dan pengarah JPP lebih awal berada di atas.

Ekoran itu difahamkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan mengarahkan Menteri Besar diberi tempat di atas pentas terbabit bersama Awang Adek.

“Namun ketika itu bendera untuk flag off telah berada di tangan Awang Adek. Menteri Besar hanya berada di atas pentas sekadar memerhati apa yang dilakukan Awang Adek,” kata Abdul Fattah.


Akhirnya, apa kata media PAS? Harakahdaily menyebut, menurut sumber lain, sabotaj itu difahamkan telah dirancang lebih awal oleh UMNO yang berselindung di sebalik JPP bagi memalukan ketua kerajaan Kelantan.

Anggota Exco terbabit berkata, pada jam 9.15 pagi sebelum upacara pelepasan dilakukan tidak ada perubahan lagi dari segi protokol untuk melakukan flag off.

Namun katanya, ketika pelepasan mahu dilakukan tiba-tiba juruacara majlis menyebut nama Awang Adek, sedangkan Menteri Besar masih ada di situ.

“Ini sesuatu yang betul-betul memalukan tidak pernah berlaku sepanjang 20 tahun pentadbiran kerajaan PAS.

“Malam tadi saya telah memaklumkan apa yang berlaku dalam facebook perdana menteri. Dan sekarang kerajaan negeri sedang mendrafkan surat untuk menghantar bantahan rasmi kepada Perdana Menteri,” ujarnya.

Beliau juga dimaklumkan pada petang sehari sebelum program berlangsung Ketua Umno Bachok terbabit meminta baju rasmi LTdL daripada pihak urusetia.

Apa komen Nik Aziz? Nik Aziz berkata, sifat malu hanya ada pada orang mukmin sahaja. “Tetapi orang yang kulit muka tebal seperti menggunakan kulit tapak kaki kerana tidak akan ada perasaan malu,” katanya pada persidangan Dun terbabit.

Sidang DUN semalam juga hangat dan rata-rata wakil rakyat Pas mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan segera terhadap penganjur yang didakwa mereka telah memalukan bukan sahaja Nik Aziz tetapi rakyat Kelantan keseluruhannya.

Rakyat Kelantan pun bukan semuanya mahu Nik Aziz membuat pelepasan. Hadir di pentas pun dah bagus tu!

Hmm...tak tahulah apa nak dikata mengenai kejadian ini.

Abdul Fatah berkata, beliau telah menghantar mesej kepada Najib melalui laman sosial Facebook Perdana Menteri itu semalam.

"Saya juga sudah mengutus surat secara rasmi kepada Perdana Menteri hari ini agar sesuatu tindakan susulan diambil terhadap penganjur yang telah memalukan Menteri Besar (Nik Aziz) dan juga rakyat Kelantan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan DUN, semalam.

Abdul Fatah berkata, yang lebih mengecewakan ialah Nik Aziz pada mulanya tidak dibenar menaiki pentas utama untuk bersama-sama Awang Adek membuat pelepasan itu tetapi selepas campurtangan pegawai, Menteri Besar itu dibenar naik ke pentas.

Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) bangun meminta penjelasan adakah benar Nik Aziz yang sepatutnya membuat pelepasan itu atau sebaliknya seperti yang diputus dalam mesyuarat jawatankuasa sambutan sebelum itu.

Abdul Fatah berkata, perkara itu tidak timbul kerana pemilihan Nik Aziz diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Ketika ditemui di luar Dewan, beliau berkata, kerajaan negeri akan menilai semula peranannya dalam memberikan kerjasama pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Mohamed Salleh pula berkata isu siapa yang melepaskan pelumba LTdL pada peringkat pertama di Kota Baharu semalam, seharusnya tidak berbangkit.

Sebaliknya, beliau berkata semangat kesukanan yang harus diutamakan.

"Konsep 'sukan untuk semua' harus dijadikan sebagai asas dan tidak seharusnya dipolitikkan," katanya kepada pemberita di Kemaman, semalam.

Mohamed turut berkata Nik Aziz sebelum itu telah pun hadir mewakili Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra di majlis pengenalan pasukan Ahad lepas.

"Selepas ini post-mortem akan dilakukan dan kita akan fikirkan sama ada sebarang tindakan susulan perlu dilakukan atau sebaliknya," katanya.

Beliau menambah apa yang penting ialah kejohanan yang masih berbaki lima peringkat dapat dilancarkan dengan sempurna.

Perlumbaan edisi ke-15 tahun ini bermula di Kelantan, menyusuri Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur sejauh 1013.9km.

Tuesday, March 2, 2010

ADUN UMNO TARIK BALIK SOKONGAN

Kesemua enam ADUN Umno/BN menarik balik sokongan mereka terhadap usul berhubung isu royalti kepada Kelantan selepas usul awal yang dibentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dipinda kemudiannya.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Mat Yusof Abdul Ghani (Umno/BN–Nenggiri) menjelaskan mereka menyokong usul untuk membawa isu royalti itu ke mahkamah.

Bagaimanapun, mereka menarik balik sokongan tersebut apabila pindaan dibuat terhadap usul tersebut, bagi memaksa Petronas membayar royalti yang dituntut oleh kerajaan negeri secepat mungkin.

Mat Yusof menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan lidah rasmi PAS - Harakahdaily - bahawa usul tersebut diluluskan sebulat suara selepas turut disokong oleh semua ADUN Umno/BN.

Lamanweb tersebut menyebut usul tersebut disokong oleh ketua pembangkang Umno/BN, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (Umno/BN-Kok Lanas) dan Datuk Abdul Aziz Derashid (Umno/BN–Kuala Balah).

Manakala Datuk Nozula Mat Diah (Umno/BN–Paloh) dan Adhan Kechik (Umno/BN–Bukit Bunga) pula dilaporkan oleh Harakahdaily, tidak bangun. Datuk Noorzahidi Omar (Umno/BN–Pengkalan Kubur) pula tiada dalam dewan ketika itu.

Menjawab soalan, Mat Yusof berkata, keputusan untuk menyokong usul awal tersebut telah disepakati oleh keenam-enam ADUN Umno/BN berkenaan.

Perkara itu juga, tambahnya, telahpun dimaklumkan kepada badan perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Mustapa Mohamed yang juga ahli parlimen Jeli.

Bagaimanapun, katanya, mereka memutuskan untuk tidak mengundi usul pindaan tersebut kerana ianya tidak sepertimana yang mereka persetujui sebelumnya.

Menurut laporan Harakahdaily pula, usul agar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan bagi pihak Negeri Kelantan memikirkan tindakan-tindakan yang sesuai termasuklah tindakan mahkamah bagi memastikan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipatuhi disokong sebulat suara termasuk oleh pihak pembangkang DUN Kelantan.

Usul itu yang dikemukakan oleh ADUN Air Lanas, Abdullah Yaakub dibahas dan diluluskan sebulat suara.

ADUN BN, Aziz Derasid (BN-Kuala Balah) antara yang bangkit dan berkata "sokong" ketika speaker minta ahli-ahli dewan lain memberi sokongan terhadap usul itu.

Speaker, Nasaruddin Daud berkata, selepas meneliti cadangan tersebut beliau mendapati ia memenuhi tiga syarat iaitu perkara yang tertentu dan mustahak, kedua, bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Sebelum itu beliau menanyakan sokongan terhadap usul tersebut.

Ekoran itu kesemua ADUN bangun sebagai menyatakan sokongan kepadal usul terbabit termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad, Mat Yusof Abdul Ghani (BN–Nenggiri) dan Datuk Abdul Rashid Aziz (BN–Kuala Balah).

ADUN Barisan Nasional yang tidak berdiri iaitu Datuk Nozula Mat Diah (BN–Paloh) dan Adhan Kechik (BN–Bukit Bunga), manakala Datuk Noorzahidi Omar (BN–Pengkalan Kubur) tiada dalam dewan ketika itu.

Usul tersebut dikemukakan selepas selesai sesi soal jawab secara lisan.

Usul berkenaan berdasar kepada peruntukan Peraturan Tetap Dewan Negeri Kelantan Perkara 30 (1) bagi cadangan menangguh persidangan kerana merundingkan perkara-perkara mustahak bagi orang ramai.

Usul terbabit berbunyi, “bahawa DUN memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerah hakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.

“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.”

Abdullah berkata, sebanyak 13 negeri di negara ini telah menandatangani penyerahan hak pada 1975 dan 1976 kepada Petronas bagi membolehkan carigali minyak dijalankan tanpa mengambil kira jarak kedudukan lokasi minyak.

Oleh itu katanya, mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 sebagai balasan terhadap penyerahan kepunyaan dan hak-hak kuasa dan keistimewaan itu, Petronas hendaklah membuat bayaran tunai kepada negeri.

Cadangan tersebut disokong Datuk Omar Mohamad (PAS – Perupuk).
Ekoran sokongan padu itu Speaker menerima dan meluluskan cadangan tersebut dan kemudian dibuka kepada perbahasan.

Zulkifli Mamat (PAS–Pulai Chondong) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut berkata, biar pun beliau menyokong penuh usul tersebut namun cukup sedih apabila ada pihak gagal memahami perjanjian yang dibuat pada 1975.

“Saya cukup sedih apabila Peguam Negara, menteri-menteri dan timbalan menteri gagal untuk memahami perjanjian yang telah ditandatangani.

“Sedangkan semangat atau moral perjanjian itu Petronas perlu membayar wang tunai kepada negeri berdasar kepada petroleum yang dijumpai di negeri terbabit,” ujarnnya.

Menurutnya, suatu kezaliman telah berlaku di mana kerajaan pusat lebih mengutamakan politik apabila cuba menafikan hak yang sepatutnya diperolehi kerajaan Kelantan.

Kata beliau, amat mudah untuk memahami semangat perjanjian tersebut, di mana Pak Mat dan Pak Leh di kampung pun diyakini boleh faham.

Beliau berkata, tuntutan royalti sebenarnya tidak perlu dibawa ke mahkamah sekiranya kerajaan pusat menunaikan tanggungjawab mereka seperti terkanDUNg dalam perjanjian.

Beliau juga mencadanngkan supaya kerajaan negeri mengkaji semula setiap perjanjian dengan mana-mana pihak dalam tempoh 10 tahun sekali.

Zulkifli juga berhujah sekiranya kuasa carigali diberi kepada syarikat asing Kelantan mampu menikmati royalti sehingga 25 peratus.

“Perkara itu pernah berlaku di mana Sarawak sebelum ada PDA telah menandatangani perjanjian dengan Shell, di mana syarikat tersebut memberi royalti antara 8 hingga 12 peratus kepada negeri berkenaan,” tambahnya.

Petang semalam, diadakan majlis taklimat mengenai tuntutan royalti petroleum kepada wakil-wakil rakyat di Bilik Gerakan Negeri di sini yang disampaikan oleh bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas, Nik Syaghir Nik Mohd Nor, bekas peguam kanan di Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan peguam kes tuntutan royalti minyak Terengganu, Thommy Thomas.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tuntuan Royalti Minyak Kelantan, Datuk Husam Musa dan wakil rakyat kerajaan, dua ADUN BN iaitu Datuk Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohd Yusoff Abdul Ghani (Nenggiri) turut hadir.

AWANG ADEK IKRAR SALUR WANG IHSAN SECARA TELUS

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berikrar untuk melaksanakan amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan sebaik mungkin dan memastikan pengagihan secara telus.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata beliau juga akan memastikan wang berjumlah RM20 juta itu disalur kepada golongan yang berhak menerimanya.

"Saya menyambut baik pelantikan itu dan akan cuba menyelesaikan segera pengagihan wang ihsan dengan setelusnya supaya tiada lagi isu yang berbangkit.

"Kita akan mengumpul dan memanggil semua anggota jawatankuasa dalam masa terdekat ini untuk mengagihkan dan menjalankan tugas masing-masing. Kita mahu rakyat mendapat hak mereka yang sepatutnya dan mereka tidak akan bising lagi selepas ini," katanya ketika dihubungi oleh mStar.

Beliau diminta mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini yang menyatakan beliau dilantik menguruskan agihan wang ihsan itu di atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Mustapa berkata, Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, dilantik untuk menguruskan agihan wang ehsan berkenaan atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata, mesyuarat jawatankuasa untuk pengagihan wang ehsan itu akan berlangsung pada Mac nanti untuk membincangkan kaedah agihan peruntukan itu.

"Kerajaan Pusat sudah bersetuju dengan pelantikan Awang Adek untuk ketuai jawatankuasa ini.

"Agihan wang ehsan RM20 juta itu akan disampaikan kepada rakyat Kelantan pada April nanti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian sumbangan dan sambutan Maulidur Rasul di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa yang mempertikaikan tindakan pemimpin UMNO Kelantan memberi penerangan berhubung isu royalti minyak, Awang Adek berkata maklumat yang disebarkan kepada rakyat Kelantan adalah mengikut penjelasan Petronas.

"Bukan UMNO yang membuat keputusan terhadap wang ihsan di Kelantan, sebaliknya semuanya ditentukan oleh Kerajaan Pusat. Mereka (Kerajaan Negeri) perlu ingat, Datuk (Seri) Mustapa bercakap atas kapasiti Menteri dan saya Timbalan Menteri. Bukan UMNO yang cakap.

"Jadi, tak ada sebab saya dan beliau (Mustapa) tidak boleh bercakap mengenai wang royalti memandangkan kami memegang jawatan dalam Kerajaan Pusat," katanya.

Kerajaan Kelantan yang diteraju PAS bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara itu adalah seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kerajaan Pusat tetap mahu memberikan wang ihsan kepada Kelantan kerana yakin ada rakyatnya yang mahu menerima pemberian berkenaan.

"Kerajaan Pusat akan bagi dan kita akan bagi kepada siapa yang akan terima, siapa yang tidak terima terpulang kepada dia, tentu ada orang yang nak terima," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini Khamis, Najib yang juga Presiden UMNO berkata kerajaan akan memastikan bantuan itu dibuat secara telus kepada golongan yang layak menerimanya.

"Bantuan kepada rakyat Kelantan tetap akan diberikan dan kita akan bagi kepada siapa yang hendak menerimanya.

"Kita nak bagi kepada rakyat... pokoknya kita mahu rakyat mendapat manfaat (daripada pemberian wang ihsan)," katanya ketika ditanya mengenai implikasi politik berhubung pemberian wang ihsan itu kepada rakyat Kelantan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Pusat akan tetap dengan pendiriannya berhubung pemberian wang ihsan dan bukannya royalti minyak seperti yang didakwa kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

"Kita punya pendirian jelas dan apa yang diputuskan ikut Perlembagaan dan undang-undang negara dan mengikut pakar-pakar perundangan tiada apa-apa yang dikemukakan (oleh Kelantan) bagi membolehkan kita rasa keputusan kerajaan itu tidak betul," katanya.

Najib berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kerajaan Pusat telah memperuntukkan lebih RM7 bilion kepada Kelantan untuk perbelanjaan pembangunan walaupun negeri itu berada di bawah pemerintahan pembangkang.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang terus mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak Kelantan.

Terbaru, Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan Persekutuan menerusi akhbar-akhbar bahasa Malaysia baru-baru ini menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan.

Ditanya mengenai pertemuan dengan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Najib berkata perkara itu sudah lama dan tidak perlu diulas.

Mengenai sama ada UMNO akan mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh, Najib berkata MT UMNO akan mendengar pendapat anggota parti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan

Najib berkata mesyuarat MT membincangkan perkembangan semasa parti termasuk tumpuan terhadap jentera parti dan Program Juara Rakyat yang akan diteruskan di Perak dan negeri-negeri lain.

Mesyuarat juga mengambil maklum bahawa setakat 31 Jan lalu, keahlian UMNO ialah sebanyak 3,526,952 orang dan parti masih dalam proses mengemas kini keahlian.

"Kita harap semua bahagian menjalankan aktiviti seperti diarahkan dan mengambil tindakan untuk menambah ahli serta mengemas kini daftar keahlian. Kita harap kerancakan aktiviti oleh sayap parti juga berterusan," katanya.

Ditanya mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Barisan Nasional (BN), Najib berkata perkara itu hanya dimaklumkan pada mesyuarat itu tetapi akan hanya dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.