Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang belum habis membaca
keseluruhan 251 muka surat pemfailan mahkamah terbaru oleh Jabatan Keadilan (DoJ)
Amerika Syarikat berhubung dengan skandal 1MDB.
Walau bagaimanapun, setakat ini beliau telah menemui
"10 perenggan maut" dan tertanya-tanya sama ada Peguam Negara Tan Sri
Mohamed Apandi Ali telah membaca keseluruhannya sebelum mengisytiharkan tiada
apa perkara baru dalam dokumen berkenaan.
"Saya merujuk kepada perenggan 339-348 di bawah
tajuk '$681 juta dipindahkan dari akaun Tanore ke akaun milik Malaysian
Official 1,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemimpin DAP itu berkata perenggan berkenaan secara
langsung mengaitkan wang RM2.6 bilion dalam akaun bank Najib dengan 1MDB tetapi
digambarkan sebagai derma dari keluarga diraja Arab Saudi.
Lim juga membetulkan kenyataan Apandi berhubung rasal
kesal peguam negara itu terhadap sindiran DoJ terhadap Perdana Menteri.
Apandi semalam membidas DoJ atas "sindiran"
terhadap perdana menteri dalam saman sivil pelucuthakan terbaru yang
difailkannya minggu ini.
"Kami ingin menyuarakan keprihatinan yang amat
sangat terhadap sindiran salah laku jenayah terhadap perdana menteri.
"Tidak ada langsung dalam saman sivil itu perdana
menteri dinamakan sebagai defendan atau telah didakwa melakukan sebarang salah
laku jenayah," kata Apandi dalam satu kenyataan semalam.
Apandi bertegas bahawa pihak berkuasa Malaysia mendapati
tiada salah laku berkaitan dengan 1MDB seperti yang didakwa dalam saman
pelucuthakan itu.
Menurut beliau, pihaknya mengambil perhatian bahawa tidak
ada bukti dari sebarang penyiasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi
penguatkuasaan undang-undang dalam pelbagai bidang kuasa yang menunjukkan
bahawa wang telah disalahgunakan dari 1MDB, dan bahawa tidak ada sebarang
tuduhan jenayah terhadap mana-mana individu berhubung dakwaan penyelewengan
dana dari 1MDB.
"1MDB adalah sebuah syarikat Malaysia dan telah
menjadi subjek beberapa siasatan dalam Malaysia, termasuk oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Negara (PAC).
"Selepas semakan, kami mendapati bahawa tidak ada
jenayah dilakukan.
"Pada masa ini masih terdapat penyiasatan yang
sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai 1MDB," kata
Apandi.
Peguam Negara menyatakan "kekecewaan bahawa sekali
lagi Jabatan Peguam Negara tidak diberitahu atau dimaklumkan oleh DOJ berhubung
tindakan itu."
Lim menegaskan, maklumat DoJ itu menyatakan perdana
menteri berbohong mengenai wang RM2.6 bilion yang heboh diperkatakan sebelum
ini.
"Untuk maklumat Apandi, DoJ bukan menyindir tetapi
secara terbuka dan langsung, kerajaan kerajaan AS berkata perdana menteri telah
berbohong apabila mendakwa wang RM2.6 bilion itu sumbangan daripada keluarga
diraja Arab Saudi," katanya.
"Saya belum selesai membaca semua 251 muka surat
saman kleptocratik DOJ itu yang bertujuan untuk merampas aset bernilai lebih
AS$1 bilion berkaitan 1MDB, tetapi saya boleh berkata, bahawa Apandi pastinya
salah ketika beliau mengatakan bahawa tiada apa yang baru dalam saman itu.
"Selain daripada maklumat yang menggiurkan tentang
apa yang dilakukan oleh Jho Low dengan AS$ 620 juta yang sepatutnya
dikembalikan Najib kepada penderma Arab Saudi itu, Apandi harus menyoal sama
ada Najib boleh terus menjadi pebagai perdana menteri jika beliau tidak
mencabar sepuluh perenggan maut dalam saman itu," katanya.
Najib berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan
dana awam untuk kepentingan peribadi dan mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh
mereka yang mahu menggulingkannya.
Pada Januari tahun lalu, Apandi membersihkan perdana
menteri daripada sebarang salah laku.
Juga menarik, pada pemfailan kali ini, DoJ tidak lagi
menggunakan rujukan “Putera Saudi” dalam saman sivil pelucuthakan 1MDB
terbarunya, berbanding pemfailan tahun lalu.
Sebaliknya, pemilik akaun Bank Riyad itu dirujuk sebagai
“Saudi Associate 1” dan “Saudi Associate 2”, yang dinyatakan sebagai seorang
warganegara Saudi yang bersekutu, hartawan Low Taek Jho dan sekutunya Eric Tan
Kim Loong.
Akaun Saudi itu didakwa digunakan untuk memindahkan dana
daripada 1MDB kepada Malaysian Official 1 – pegawai kanan kerajaan Malaysia
yang dikatakan Najib sendiri.
Najib sudah berulang kali menafikan sebarang salah laku.
Pemfailan terkini itu dibuat pada 7 Jun untuk mendapatkan pelucuthakan sivil sebuah emper di London yang sepatutnya
diperoleh Low menggunakan dana 1MDB.
Ini susulan beberapa siri saman pelucuthakan sivil serupa difailkan pada Julai
tahun lepas, untuk merampas hak harta intelek filem The Wolf of Wall Street,
sebuah pesawat, lukisan-lukisan dan harta tanah yang didakwa DOJ kononnya
diperoleh secara salah.
Dalam pemfailan mahkamah DOJ itu dibuat pada 20 Julai
2016, pemegang akaun di Bank Riyad itu dirujuk sebagai seorang putera Saudi
yang bersama mengasaskan PetroSaudi International bersama ketua pegawai
eksekutif (CEO).
Laporan media sebelum ini menamakan Putera Turki Abdullah
Abdel Aziz dan bekas pegawai bank Tarek Obaid sebagai pengasas bersama
PetroSaudi. Tarek kini menjadi CEO PetroSaudi.
DOJ mendakwa akaun bank itu digunakan untuk memindahkan AS$20
juta kepada akaun AmBank Malaysian Official 1 pada 2011 dan AS$681 juta lagi
pada Mac 2013.
Setakat ini, masih tidak jelas siapa Saudi Associates 1
dan Saudi Associates 2 dan kenapa perubahan itu dibuat serta sama salah seorang
daripada pemilik kod nama itu masih merujuk kepada putera Saudi itu.
Sementara itu, pemfailan terbaru DOJ juga menyebut
lukisan Claude Monet yang lain berbanding pemfailannya pada 2016.
DOJ kini mahu merampas lukisan cat minyak atas kanvas
bertajuk “Nympheas” yang bersaiz 88.5 × 100 sentimeter, berbanding “Nympheas
avec Reflets de Hautes Herbes” bersaiz 130 × 200 sentimeter yang disebut
sebelum ini.
Perubahan itu susulan laporan Wall Street Journal.
Sumber - Malaysiakini