Saturday, July 24, 2010

PAS SELANGOR NAFI BINCANG DENGAN UMNO

The Malaysian Insider (24 Julai 2010)

PAS Selangor menegaskan ia tidak menjalin kerjasama perpaduan Melayu dengan Umno walaupun ada pihak mendakwa ketuanya Datuk Dr Hasan Ali telah mengadakan pertemuan dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria Mei lalu.

Sehubungan itu, Ketua Penerangannya Roslan Shahir berkata beliau hairan bagaimana permainan politik Umno boleh menjerat dan memerangkap sebahagian pemimpin PAS sehingga akhirnya terdorong untuk menembak sesama sendiri sedangkan musuh gegak-gempita gembira tanpa sebutir pun peluru mereka terlepas.

“Telahan dan mainan pihak tertentu menjadi modal untuk membunuh sesama sahabat. Ini membuat kita berfikir Umno sahajakah yang beragenda atau sesama kita pun ada agenda cantas-mencantas?” kata beliau dalam tulisan blognya.

Katanya, PAS bersedia menjadi galang-ganti kepada Umno jika ia ditolak oleh orang Melayu di Selangor.

“Terbaru Ahad lepas saya ke Tanjong Karang, membentangkan kertas kerja, bagaimana kita berharap saki-baki 12 kerusi Umno termasuklah Sg. Burong yang ditandingi PAS dapat ditawan,” katanya.

Malah kata beliau pihaknya telah mengadakan mesyuarat dwimingguan Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor di mana pelbagai isu strategik dibincangkan.

“Mesyuarat dipengerusikan oleh (Menteri Besar) Tan Sri Khalid dan berjalan mesra dan lancar.

“Tiada pun isu “perpaduan Melayu”, “kerjasama Umno-PAS”, “Harusaani” dibincangkan kerana saya yakin kawan-kawan semua tidak langsung terpesona dengan agenda lapok Umno. Buang masa saja,” kata Roslan lagi.

Ekoran pendedahan Harussani bahawa ada pemimpin Umno-PAS menemui agar menjadi orang tengah, muncul cakap-cakap bahawa pemimpin PAS yang menemuinya ialah Hasan iaitu Pesuruhjaya PAS dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Hasan kembali dari luar negara malam tadi.

Katanya, “cukup-cukuplah kita bersengketa sesama sendiri dan PAS Selangor tidak berminat kerjasama dengan Umno,”

“Malah kalau benar pun mahu kerjasama boleh masuk logik akal mereka yang celik politkkah? PAS ini satu organisasi besar bukan milik PAS Selangor, macam mana kalau benar mahu kerjasama PAS Selangor sahaja yang kerjasama... kematangan perlu mengatasi diri, jika tidak orang hilang hormat pada kita walaupun kita bergelar yang berhormat.

“Sekarang isu yang perlu ditanya adalah sumbangan kita ke arah memantapkan jemaah. Sumbangan kita ke arah memperkasakan Pakatan Rakyat. Sebuah akhbar Mandarin hari ini melaporkan DAP dan PAS Selangor mendahului parti-partilain termasuklah Umno dalam gerakan mendaftarkan pengundi baru.

“Biarlah kerja pecah-belah ini dimainkan oleh Umno. Parti Islam tidak pernah mentarbiyahkan ahlinya untuk jadi begitu,” katanya lagi.

Mengenai dakwaan Hasan telah menemui Harussani, Roslan berkata: “Apa pun saya tiada jawapannya. Orang yang didakwa itu berada di luar negara, insy-Allah pulang malam ini.”

“Dan, biarlah beliau menjelaskan, beliau bukan orang baru dalam politik. Saya yakin ramai sudah tahu jawabannya,” katanya.

UMNO BAKAL HILANG 6 KERUSI DI SELANGOR?

Zulkifli Sulong (23 Julai 2010)

UMNO Selangor kini berada dalam kebimbangan ekoran maklumat yang mengatakan sudah hampir pasti BN akan hilang enam kerusi DUN jika pilihan raya umum diadakan dalam suasana sekarang.

Enam DUN yang dikatakan termasuk dalam senarai itu adalah Seri Serdang di bawah Parlimen Puchong yang mana calon PAS hanya kalah 45 undi kepada calon UMNO dalam pilihan raya umum lalu.

DUN lain adalah Sabak (majoriti 117), Taman Templer (613), Sungai Air Tawar (123), Paya Jaras (642) dan Morib (286).

Dalam pilihan raya lalu, PAS bertanding 24 kerusi DUN dan hanya menang lapan kerusi sahaja. Jika berjaya mendapat enam kerusi ini bermakna kerusi PAS akan menjadi 14.

Dalam pilihanraya lalu, PKR mendapat 15 manakala DAP 13. BN pula mendapat 20 kerusi.
Menurut sumber yang rapat dengan UMNO Selangor, kehilangan enam kerusi kepada PAS ini tidak boleh ditolak lagi ekoran perkembangan yang sangat baik dalam PAS di Selangor kini.

Ini kerana, ketika PAS berkembang dengan pesat di Selangor, pelbagai jenis masalah berlaku kepada UMNO Selangor yang dipimpin sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Oleh kerana sibuk di peringkat pusat, timbalan beliau, Datuk Seri Noh Omar yang mengambilalih pentadbiran UMNO negeri. Namun begitu, media melapor beliau mempunyai masalah besar dengan bekas MB Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo dan masing-masing berlumba mencari publisiti dalam isu pasir.

Di samping itu, Setiausaha UMNO Negeri, Mohd Satim Diman dan Ketua Pemuda, Suhaimi Mohd Ghazali juga dikatakan bermasalah dan berura-ura mahu meletakkan jawatan. Bekas MB Selangor, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib juga bermasalah.

Sumber juga berkata, punca perkembangan pesat dalam PAS di Selangor adalah ekoran pendemokrasian masjid dan surau yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor tahun lalu.

Melalui tindakan ini, semua masjid dan surau di Selangor melantik pimpinan baru jawatankuasa masing-masing melalui pengundian secara terbuka.

Ekoran itu, lebih 90 peratus masjid dan surau di Selangor dikuasai oleh pemimpin tempatan PAS atau pihak yang disokong oleh mereka.

Ekoran itu, pengaruh PAS dikembangkan dengan pesat melalui program kuliah agama yang diadakan saban waktu di surau dan masjid ini.

Kerana tidak cukup waktu malam, kuliah Dhuha pagi Ahad pula dilakukan mengambil pengalaman kuliah Jumaat di Rusila, Terengganu dan Dataran Ilmu di Kota Bharu.

Namun begitu, bekas Yang Dipertua PAS kawasan Subang, Haji Shukor Harun bimbang dengan sikap sesetengah pemimpin PAS sekarang yang tidak berapa fokus untuk mencapai kemenangan.

"Saya bimbang kalau-kalau isu kerjasama dengan UMNO ini benar-benar berlaku dan melibatkan kepimpinan tertinggi PAS negeri. Ia akan menyukarkan PAS," katanya.

Ramai pihak melihat apa yang berlaku adalah permainan politik UMNO untuk memerangkap PAS dalam situasi tersepit antara dua kepentingan.

"Jika PAS menolak kerjasama dengan UMNO bererti PAS menolak perpaduan. Jika PAS menerima bermakna menikam rakan-rakan dan penyokongnya dalam Pakatan Rakyat," kata seorang penulis.

Seorang bekas profesor sains politik di Universiti Malaya ketika ditemui baru-baru ini pula memberitahu, sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat kini meningkat hampir setiap hari.

"Faktor ini sangat besar mempengaruhi politik di Selangor kerana mereka ramai dan menjadi penentu di negeri ini," kata beliau.

Puncanya adalah kerana mereka melihat perkongsian kuasa dalam Pakatan lebih adil kerana semua parti setaraf manakala dalam BN pula UMNO terlalu berkuasa dan yang lain hanya dipermainkan UMNO sahaja.