Friday, September 30, 2016

1MDB Punca Jatuhnya Ranking Tadbir Urus Korporat Malaysia

 

Skandal 1MDB dilaporkan mengheret Malaysia turun dua anak tangga ke tempat keenam dalam kedudukan Corporate Governance (CG) Watch 2016 di kalangan 11 buah negara Asia Pasifik.

1MDB telah memberi kesan kepada persepsi pasaran modal Malaysia.

Orang ramai bimbang tentang apa yang sedang berlaku.

Apabila standard tadbir urus awam jatuh dalam tempoh jangka masa sederhana hingga jangka panjang, ia mempunyai kesan ke atas keputusan pelaburan.

Hakikatnya, Malaysia boleh melakukannya "lebih baik" sekiranya tidak ada isu 1MDB, dan mampu mendapat skor sama seperti Thailand.

Bagaimanapun, sejauh ini  walaupun terdapat kesan daripada krisis 1MDB di Malaysia, tetapi impak terus kewangan daripadanya, dilihat dapat dikawal.

Ketika ini Malaysia di kedudukan 56 mata, di belakang Singapura (67), Hong Kong (65), Jepun (63), Taiwan (60), dan Thailand (58), lapor harian kewangan  The Edge, dengan memetik data yang dikeluarkan oleh kumpulan perbankan pelaburan CLSA dan Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA) semalam.
  
The Asian Corporate Governance Association (ACGA) badan bebas, tanpa keuntungan yang bekerja dengan pelabur, syarikat dan pihak berkuasa bagi pelaksanaan amalan tadbir urus korporat di Asia.

Ditubuhkan pada 1999 ia berpangkalan di Hong Kong.



Malaysiakini yang memetik The Edge berkata ia ekoran kemerosotan 11 mata di bawah bahagian "politik dan kawal-selia", yang menafikan tujuh mata di bawah penguatkuasaan.

Dalam laporan dwitahunan tu, Pakar perunding ACGA, Benjamin McCarron berkata sementara pihaknya menaik taraf Malaysia tahun ini bagi penguatkuasaan kesalahan pasaran modal dan beberapa perubahan kawal selia dan dasar yang baik, namun krisis 1MDB telah memberi kesan sebaliknya kepada persekitaran politik dan kawal selia tadbir urus awam dan korporat.

Ini, katanya, menyebabkan penurunan yang sederhana dalam skor secara keseluruhan.

Penurunan skor 'politik dan kawal-selia' dilaporkan kerana "kekurangan dasar kerajaan yang jelas, konsisten dan kredibel mengenai CG; persepsi kurangnya keberkesanan di pihak bank pusat dalam menjalankan kuasanya; kedalaman kemahiran media dan kebebasan dalam melaporkan CG; kebebasan suruhanjaya anti-rasuah; dan sama ada kerajaan telah membuat kemajuan dalam meningkatkan standard tadbir urus awam. "

Laporan Tadbir Urus Korporat adalah berdasarkan kepada kaji selidik 95 soalan yang meliputi lima bidang: peraturan dan amalan CG; penguatkuasaan; persekitaran politik dan kawal selia; perakaunan dan pengauditan; serta budaya CG.

Setiausaha Agung ACGA, Jamie Allen dipetik oleh The Edge sebagai berkata Malaysia boleh melakukannya "lebih baik" sekiranya tidak ada isu 1MDB, dan mampu mendapat skor sama seperti Thailand.

"1MDB telah memberi kesan kepada persepsi pasaran modal Malaysia. Orang ramai bimbang tentang apa yang sedang berlaku. Apabila standard tadbir urus awam jatuh dalam tempoh jangka masa sederhana hingga jangka panjang, ia mempunyai kesan ke atas keputusan (pelaburan," kata Allen.

Sementara itu McCaron juga menulis bahawa walaupun terdapat kesan daripada krisis 1MDB di Malaysia, tetapi impak terus kewangan daripadanya, dilihat dapat dikawal.

Saga 1MDB saga mempunyai kesan yang besar ke atas lanskap politik Malaysia sejak dua tahun yang lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah mepecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya kerana mengkritik cara kerajaan menangani isu ini, yang membawa kepada penubuhan parti baru - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ia juga turut menyaksikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pembangkang dan aktivis sivil bergabung tenaga untuk menentang Najib.

1MDB kini menjadi subjek saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang mendakwa lebih daripada AS$3.5 bilion telah dicuri dari firma pelaburan negara itu.

Najib telah menafikan tuduhan menyalahgunakan dana awam, dengan berkata dakwaan itu adalah sebahagian daripada plot untuk menjatuhkannya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku jenayah dalam kes-kes yang berkaitan dengan 1MDB.

Thursday, September 29, 2016

Isu Caj TNB Tinggi - Tahniah Budiman Kerana Membela Rakyat...


Ramai pelanggan merungut dan tidak berpuas hati dengan Tenaga Nasional Berhad apabila caj yang diterima terlalu tinggi.

Ia  berlaku sejak proses menaik taraf sistem pengebilan pada 21 Julai 2016 dilaksanakan.

Terima kasih kepada Ahli  Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zuhdi kerana menimbulkan isu bil (TNB) yang  tinggi.

Beliau juga memberi amaran suaya isu ini diselesaikan dalam masa sebulan dan sekiranya gagal, akan bertindak lebih jauh.

Walaupun tidak menyatakan apa jenis tindakan tetapi berjanji akan membawa isu ini ke peringkat lebih tinggi.

Menurut laporan, Budiman menimbulkan beberapa  perkara berkaitan isu ini:

1.      TNB perlu bertanggungjawab dan menyelesaikan rungutan rakyat susulan isu bil lewat dan caj tinggi akibat proses menaik taraf sistem pengebilan baharu;

2.      TNB tidak sepatutnya menggunakan alasan menaik taraf sistem pengebilan baharu untuk mengenakan caj tinggi kepada pelanggan;

3.      TNB perlu mengambil langkah proaktif dan lebih prihatin dengan tidak memotong bekalan elektrik pelanggan sepanjang proses menaik taraf itu berlangsung; dan

4.      TNB menyediakan rebat khas supaya mengurangkan keresahan rakyat.”


Beliau memperkatakan isu ini selepas menerima banyak aduan daripada pelanggan yang tidak menerima bil elektrik secara konsisten, tetapi tiba-tiba apabila bil sampai, cajnya sangat tinggi.

 “Kami mendesak TNB membenarkan bayaran bil dibuat secara ansuran kerana rakyat tidak menerima bil daripada secara konsisten, tiba-tiba dapat jumlah tinggi.

“Kami juga minta TNB menyediakan rebat khas supaya mengurangkan keresahan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas tampil menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan tertinggi TNB Selangor di Subang Jaya hari ini.

Budiman berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan TNB dan syarikat itu memberi jaminan akan menyelesaikan isu menaik taraf dalam tempoh sebulan.

Maklum balas TNB dikatakan sangat positif.

Bagaimanapun, kata Budiman, sekiranya isu ini tidak selesai dalam tempoh sebulan seperti dijanjikan beliau akan membawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi.

TNB dalam kenyataannya mengakui proses menaikkan taraf sistem pengebilan 8.5 juta pelanggan itu menimbulkan beberapa isu kerana ia melibatkan penghijrahan data yang besar.

Berikutan itu,  pelanggan yang belum menerima bil pada Julai dan Ogos 2016 tidak akan dikenakan penalti bayaran lewat, malah turut memberi jaminan bekalan elektrik tidak akan dipotong.

“TNB juga sedang mengambil segala langkah yang perlu bagi menangani cabaran itu dan akan menyelesaikannya menjelang akhir November 2016,” katanya.

Sekali lagi syabas Budiman!

Tuesday, September 27, 2016

Kandungan Media Sosial Bukan Semuanya 'Kebenaran Mutlak' - Dr Ahmad Zahid

Dr Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis bersama pelajar Malaysia di New York.
"Lebih memudaratkan, perbalahan sesama sendiri antara jentera media sosial kerajaan memburukkan keadaan...dengan bertembak sesama sendiri akan menghakis keyakinan dan kepercayaan pembaca atau pelayarnya."

Kenapa Timbalan Perdana Menteri mengingatkan semua pihak, khususnya pelajar Malaysia di luar negara  supaya jangan mudah percaya kandungan media sosial?

Jangan anggap apa yang disebut atau diperkatakan di media sosial sebagai 'the gospel truth' (kebenaran mutlak).

Apakah kerana ia tidak benar, kebanyakannya bersifat fitnah, tiada fakta atau ditulis berasaskan sumber tidak tepat?

Atau apakah kerana kandungan media sosial sebagai yang mudah merosakkan minda dan menghakis kepercayaan kepada kerajaan, selain  menyokong pembangkang.

Atau apakah kerajaan, khususnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bimbang bahawa maklumat yang disalurkan media sosial sebenarnya juga mempunyai kebenaran?


Kelmarin di New York, Timbalan Perdana Menteri menasihati pelajar Malaysia di luar negara tidak mudah menerima segala perkara yang disiar tanpa bersandarkan kepada fakta terutama di media sosial.

Beliau menarik perhatian bahawa antara isu yang sering dimainkan ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), harga minyak dan kehadiran warga Bangladesh di Malaysia.

"Masyarakat tidak harus percaya apa yang berlegar di media sosial sebagai 'the gospel truth' (kebenaran mutlak)," katanya berucap pada majlis ramah mesra bersama pelajar Malaysia pada Sabtu sempena lawatan kerjanya ke New York. Ia dihadiri kira-kira 65 pelajar universiti yang terletak di timur Amerika Syarikat.

Dr Ahmad Zahid berada di New York untuk mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.-

Pertanyaan ialah, dengan nasihat ini menunjukkan bahawa pihak tertentu, khususnya pembangkang mampu menyediakan bahan yang menarik untuk ditatap oleh pelajar dan rakyat Malaysia di luar Malaysia.

Cara mereka menganalisis dan memaparkan fakta (berpihak kepada mereka) mungkin lebih baik daripada apa yang dipaparkan oleh kerajaan atau yang prokerajaan.

Juga, paparan oleh pihak yang menentang kerajaan mungkin bersifat ‘satu suara’ iaitu mereka seiringan dalam memperkatakan sesuatu isu, sedangkan cara media kerajaan memaparkannya, terpisah dan tidak melalui satu pandangan atau pendirian.

Masing-masing cuba menunjukkan kehebatan masing-masing demi kepentingan jabatan, kementerian atau ketua-ketua di jabatan dan kementerian berkenaan.

Akhirnya fakta yang dipaparkan berbeza antara satu sama lain, malah kenyataan-kenyataan juga kadangkala bercanggah.

Lebih memudaratkan, perbalahan sesama sendiri antara jentera media sosial kerajaan memburukkan keadaan apabila antara satu dengan yang lain saling tuduh menuduh.

Malah, ada yang bertembak sesama sendiri di media sosial yang akan menghakis keyakinan dan kepercayaan pembaca atau pelayarnya.

Dr Ahmad Zahid mempunyai sebab besar menasihati pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara supaya menapis bahan yang dipaparkan.

Mamun, isunya apakah jentera media sosial kerajaan mampu melawan jentera pembangkang dan jentera pihak yang tidak berpihak, walaupun mereka menjalankan kegiatan itu dengan bajet lebih kecil daripada pembiayaan kerajaan terhadap media sosial kerajaan?

Juga apakah kerajaan memiliki mereka yang benar-benar dapat menganalisis dan mengupas sesuatu isu, bukan hanya meletak harapan kepada blogger, facebookers serta pelapor ‘muda’ yang kurang berpengalaman?

“Muda” di sini dimaksudkan dengan mereka yang baharu dan kurang pengalaman dalam ‘perang siber’ yang menyebabkan apa yang diperkatakan hambar dan mengulangi sahaja apa yang dikatakan seseorang pemimpin atau menteri.

Apabila Timbalan Perdana Menteri berkata tidak salah untuk mempunyai perbezaan pendapat, namun pendirian berlainan pihak lain harus turut dihormati, ia bermakna bahawa pembentangan pendapat bukan melalui satu cara sahaja.

Umpamanya cara konvensional ialah menunjukkan sokongan semata-mata.

Dalam dunia yang  bebas berkomunikasi seperti sekarang, analisis yang hanya menunjukkan fakta menyokong tidak lagi menarik untuk dibaca.

Dengan pembaca semakin kritis, penulisan juga mestilah bersifat ‘kritikal’ walaupun pendirian penulisanya menyokong sesuatu pihak.

Mesti ada pro dan kontra. Yang kontra itu akan menyumbang kepada penambahbaikan. Jangan anggap apabila ada kritikan, ia suatu perbuatan ‘menentang’, ‘mengkhianati’ atau sengaja memburuk-burukkan kerajaan.

Pemimpin  hendaklah faham bahawa ‘menyokong jangan sampai membawa rebah’ bermakna jika asyik ‘jek’ semata-mata,  pemimpin akan semakin menjadi ‘buta dan tuli’, sedangkan yang sering memberikan ‘pandangan kedua’ sebenarnya menyumbang untuk membawa kesedaran dan penilaian kepemimpinan seseorang.

Terimalah ‘second opinion’ dan baca sesuatu tulisan secara ‘read between the lines’.

Apapun, saranan Dr Ahmad Zahid yang mengingatkan pelajar bahawa nama baik dan imej negara terpikul di bahu mereka sangat benar dan sangat dihargai.


"Kalau kita lakukan sesuatu yang tak baik yang merosakkan imej negara, orang tak kata dia tu dari Pulau Pinang atau Gombak, misalnya, tapi dari Malaysia," katanya.