Sunday, November 30, 2008

UMUMLAH SEGERA ZAID

Kalau nak masuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) cepat-cepatlah umum, jangan malu tapi mahu.

Jangan sebut masih ahli UMNO dan belum dipecat seolah-olah mahu dipecat.

Semalam, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim turut menjadi tetamu yang hadir dalam Perasmian Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) di Stadium Malawati Shah Alam.

Kehadiran Zaid bersama beberapa lagi tokoh politik termasuk Dato' Yong Teck Lee dari SAPP dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar mendapat tepukan gemuruh kalangan perwakilan yang menunggu di dalam Stadium.

Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah, Niab Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Kahlid Samad; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; AJK PAS Pusat, Dr Lo Lo Mohd Gahazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa; Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; Karpal Sing (DAP) dan Teresa Kok.

Apakah datang kerana minat semata-mata?

Beberapa minit selang selepas kehadiran Zaid, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba dengan disambut laungan reformasi.

Zaid dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee terus menerus mencetuskan persoalan mengenai fahaman politik mereka apabila muncul membuat kejutan pada majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun Zaid yang ditemui selepas itu tetap menafikan penyertaannya sebagai ahli parti berkenaan.

"Saya masih ahli Umno, saya masih belum dipecat," katanya ringkas.

Jelas beliau kehadirannya ke kongres berkenaan kerana menerima jemputan dan atas dasar minat yang mendalam tehadap politik.

Ditanya sama ada kekerapannya yang dilihat sering menghadiri majlis-majlis anjuran parti pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah kerana bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat, beliau tetap menidakkannya.

"Saya sekadar tunjukkan minat dalam politik...itu saja," katanya.

Menurut Zaid, pakatan pembangkang bukanlah musuh namun sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.

Diminta mengulas sama ada beliau sedar bahawa dengan kehadirannya hari ini akan menyebabkan Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata tidak takut mengenai perkara itu.

"Saya rasa saya tak takut mengenainya (tindakan), saya lebih takut akan kesihatan saya sekarang ini...saya tak berapa sihat," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehuddin Hashim turut mengesahkan bahawa hingga kini PKR masih belum menerima sebarang permohonan kemasukan Zaid mahupun Yong.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Zaid menjadi menteri yang mencetus kontroversi berikutan meletakkan jawatan dalam isu ISA.

Peletakan jawatan beliau menjadi tanda tanya hingga ada yang menyatakan kemungkinan beliau akan menyertai Pakatan Rakyat.

BERTUAHNYA ANAK-ANAK INI...

Menyedari kesukaran ibubapa yang menjadi penanam tembakau yang kini bukan lagi tanaman penting di Kelantan, Philip Morris Malaysia dan Yayasan Salam Malaysia (SALAM) semalam mengambil inisiatif membantu anak-anak penanam tembakau bagi meringankan beban mereka.

Seramai 691 anak penanam tembakau di Kelantan kelmarin bertuah kerana menerima kelengkapan sekolah bernilai RM100,000 dalam majlis penyerahan sumbangan Program Kembali Ke Sekolah anjaran Philip Morris dan SALAM.

Setiap pelajar sekolah rendah dan menengah itu menerima dua pasang pakaian seragam, dua pasang kasut dan stoking, beg sekolah serta wang tunai RM180 untuk membeli keperluan lain termasuk buku-buku latihan dan kerja sekolah.

Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban penanam tembakau terutama dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak menjelang tahun baru.

Sumbangan kelengkapan sekolah kepada anak-anak penanam tembakau itu diharap dapat membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menguruskan persekolahan anak masing- masing.

''Ini merupakan satu tanggungjawab sosial syarikat ini kepada masyarakat yang memerlukan, lebih-lebih lagi kepada penanam tembakau yang telah memberi kerjasama yang baik kepada Philip Morris selama ini,” demikian menurut Pengarah Hal Ehwal Korporat Philip Morris Malaysia, Marlene Kaur.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan yang turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah SALAM, Datuk Ahmad A. Talib.

Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd ialah anak syarikat Philip Philip Morris International (PMI) selain Godfrey Phillips (Malaysia) Sdn Bhd. Philip Morris Malaysia ditubuhkan pada 1995, ialah syarikat perniagaan pembuatan dan yang menghasilkan pelbagai jenis produk dengan jenama utama bagi pasaran tempatan dan luar negara.

Ia juga bertindak sebagai ibu pejabat operasi bagi perniagaan PMI di seluruh Asia Pasifik.

Godfrey Phillips (Malaysia) Sdn Bhd, yang juga beribu pejabat di Kuala Lumpur, adalah syarikat memasarkan produk berjenama yang dikeluarkan oleh PMI di Malaysia.

Marlene berkata, sejak 2006, syarikatnya telah membantu penanam tembakau di Kota Bharu melalui sumbangan keperluan sekolah dan inisiatif yang sama dilakukan di Keningau Sabah.

''Lebih 500 anak-anak penanam tembakau di sana telah menerima keperluan sekolah yang sama dengan kedua-dua program dilaksanakan bersama SALAM, rakan kongsi Philip Morris Malaysia dalam inisiatif kemasyarakatan di negara ini," katanya.

Di pihak Kerajaan Pusat pula, pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan terus mengekalkan kadar harga tembakau sebanyak RM13.80 sekilogram sehingga 2012 sebagai satu usaha pembelaan terhadap lebih 12,000 penanam tembakau di negara ini.

Katanya, memang hasrat kerajaan yang didokong Barisan Nasional (BN) untuk membantu semua pihak termasuk penanam tembakau agar kehidupan mereka terus terbela.

"Kerajaan sedar sehingga kini belum ada lagi tanaman alternatif selumayan tembakau yang memberi pendapatan agak lumayan kepada penanam tembakau di seluruh negara ini.

"Sebab itu kita beri jaminan di sini, harga tembakau kini iaitu antara kadar tertinggi RM13.80 ini akan terus kekal sehingga 2012,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Bantuan Peralihan Penanam Tembakau (BPPT) di Syarikat Tembakau Tok Ayah Aur Baru, Kampung Aur, Telong di sini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi Dewan Undangan Negeri Perupok.

Lebih 10,000 penanam dan pengawet tembakau seluruh Kelantan hadir pada majlis itu.