Saturday, June 19, 2010

BANTULAH CARI NISHA CHANDRAMOHAN...

2 years old
Missing since June 4, 2010, Mentakab, Pahang.
Contact Police or Nisha's father Govindasamy

+6016-9353400

Sunday, June 13, 2010

BERUBAHKAH DASAR PERJUANGAN PAS?

Umat Islam pasti akan menanti ke manakah hala tuju Pas seterusnya selepas keputusan membenarkan bukan Islam menjadi calon parti itu dalam Pilihan raya.

Daripada MINGGUAN MALAYSIA

KIRA-kira 15 tahun lalu, penulis bertemu dengan sekumpulan penyokong Pas di sebuah daerah di Kelantan.

Dalam pertemuan itu, penulis bertanya kenapakah mereka tetap menyokong Pas, biarpun tidak menjadi ahli parti itu. Jawapan yang mereka berikan ialah kerana Pas memperjuangkan dasar Islam dan seratus peratus ahlinya adalah Islam.

Sememangnya dasar Islam yang diperjuangkan itulah yang selama ini menjadi tarikan utama kepada ramai orang Melayu menyokong Pas.

Malahan di kawasan tertentu yang majoriti pengundinya Melayu, jika Pas bertanding menentang calon bukan Melayu yang mewakili Barisan Nasional (BN), Pas pasti menang.

Segalanya kerana sebahagian orang Melayu biarpun tidak menjadi ahli Pas tetap menjadi penyokong tradisi kepada parti berkenaan berikutan pegangan perjuangan Islam.

Namun begitu keputusan terbaru yang dicapai di dalam muktamar tahunan ke-56 parti itu mungkin menimbulkan persoalan apa akan berlaku kepada dasar perjuangan Pas selepas ini.

Keputusan Pas untuk membenarkan calon bukan Islam menggunakan lambang parti itu menimbulkan persoalan, apakah selepas ini dasar Islam yang diperjuangkan oleh parti berkenaan akan berubah atau tidak.

Setakat ini jika diamati amanat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar berkenaan, Pas masih berusaha untuk meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya.

Jika tahun lalu dalam ucapan dasarnya, Abdul Hadi menegaskan soal tiba masanya Islam memimpin, pada tahun ini pula ia bertemakan Islam adil untuk semua.

Abdul Hadi masih berusaha menyakinkan pengikut-pengikut Pas bahawa Islam tetap menjadi teras utama perjuangan parti berkenaan.

Tetapi dalam masa yang sama kita berhak bertanya, apakah perjuangan Islam yang dilaung-laungkan itu sekadar slogan atau untuk menyedapkan hati sahaja.

Ia kerana tindakan Pas yang semakin membuka pintu kepada bukan Melayu untuk bersama-sama dengan parti itu menimbulkan persoalan apakah yang menjadi congak politik parti itu sekarang.

Bermula dengan kelab penyokong Pas kini ia dinaikkan taraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong Pas dan seterusnya bukan Islam dibenarkan bertanding menggunakan simbol parti itu.

Abdul Hadi di dalam ucapannya mengaitkan perjalanan dakwah di di Mekah dan peristiwa hijrah Rasullullah SAW ke Madinah dengan apa yang dilakukan oleh Pas dalam hubungan dengan bukan Islam.

Hujah Abdul Hadi, ''Kita bukan sahaja meruntuhkan tembok yang memisahkan kita selama ini dengan kaum bukan Islam, bahkan perjuangan kita juga mahu disertai oleh kalangan mereka. Ini merupakan satu pencapaian yang lebih maju bagi penyelesaian masyarakat majmuk secara Islam, bagi memperkenalkan Islam yang boleh berlaku adil untuk semua.''

Kalau begitulah pendirian Pas yang semakin terbuka menerima penyertaan bukan Islam ke dalam parti itu, ia menjadi hak mereka dan harus dialu-alukan.

Yakin

Tetapi dalam masa yang sama, apakah perubahan sikap ini benar-benar kerana atas asas memaparkan bahawa 'Islam adil untuk semua' atau ia sekadar bagi meraih undi dan kerusi di dalam pilihan raya?

Ketika diminta mengulas perkara ini, penganalisis politik, Prof. Dr. Mustafa Mohamed Ishak berkata, perubahan sikap Pas tersebut ialah kerana Pas terlalu yakin dengan kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, Pas berpandangan apa juga undi yang diperolehi oleh kedua-dua parti itu akan turut diperolehi oleh mereka.

''Mereka percaya penyokong tradisi akan terus menyokong dan dengan sokongan sedikit lagi pengundi bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan kerajaan maka mereka bukan sahaja akan dapat mempertahankan kerusi tetapi juga menambah kerusi,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau melihat, ia jelas membuktikan Pas kini lebih mencongak untuk mendapat kuasa di dalam pilihan raya berbanding perjuangan asalnya.

''Pas juga dilihat lebih mementingkan undi bukan Melayu dan tidak memikirkan lagi sensitiviti pengundi Melayu yang selama ini menyokong mereka atas dasar perjuangan,'' katanya.

Justeru di dalam keghairahan untuk meraih undi bukan Melayu, Pas sepatutnya berhati-hati dengan keterujaan tersebut.

Ia kerana adalah tidak mustahil jika pengundi tradisi Pas merasakan sokongan mereka semakin tidak dihargai apabila Pas lebih percaya hanya dengan sokongan segelintir pengundi bukan Melayu parti itu akan mencapai kemenangan di dalam pilihan raya.

Perubahan sikap Pas ini, mungkin didorong oleh keghairahan untuk menghapuskan tafsiran bahawa Pas adalah parti konservatif Islam. Demi kuasa politik, Pas tidak mahu dilihat hanya eksklusif untuk orang Melayu sahaja.

Apatah lagi, Pas melihat sejak kebelakangan ini sokongan bukan Melayu kepada pembangkang semasa pilihan raya semakin bertambah.

Justeru Pas tidak mahu sekadar melihat segelintir orang Melayu menjulang simbol DAP tetapi mahu melihat ada bukan Melayu turut menjaja simbol Pas, biarpun mereka yang berbuat demikian tidak memahami dasar perjuangan parti itu.

Apa pun, Pas juga perlu diingatkan janganlah sampai akibat keghairahan untuk melihat penyertaan atau sokongan bukan Melayu, ia akhirnya memaksa parti tersebut mengubah dasar perjuangannya dan lebih teruk lagi meminda perlembagaan parti.

Ia kerana jika kita mengkaji fasal-fasal yang terdapat di dalam Perlembagaan Pas adalah jelas ia tidak begitu sesuai dengan bukan Islam. Kaji sahaja Fasal 3 dan 4 perlembagaannya yang menyatakan dasar Pas ialah Islam dan seruan Pas ialah Allahu Akbar.

Begitu juga dengan Fasal 9 (2) yang menyatakan bahawa syarat menjadi ahli Pas mestilah beragama Islam. Tetapi bagaimana pula dengan kedudukan bukan Islam yang dibenarkan menjadi calon Pas di dalam pilihan raya?

Apakah mereka akan bersetuju dengan Fasal 6 (2), contohnya yang antara lain berbunyi, ''Memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.''

Perjuangan

Bagaimana pula dengan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang berharap, gerakan Islam Pas menjadi satu gerakan yang tidak sekadar untuk memenangi kerusi pilihan raya tetapi juga membawa mesej perjuangan suci sekali gus menawan seramai mungkin pengundi agar menerima Islam.

''Kemenangan tetap dicari dalam setiap pilihan raya tetapi ia juga perlu mengekalkan wajah asalnya sebagai gerakan Islam yang berpolitik dan berjuang untuk membebaskan manusia daripada neraka Allah SWT,'' kata Nasrudin.

Persoalannya mampukah pemahaman ini diterapkan kepada calon-calon Pas dari kalangan bukan Islam?

Selain banyak kekeliruan yang perlu dijawab berkaitan fasal-fasal di dalam Perlembagaan Pas dan dasar perjuangan Pas, turut menjadi persoalan ialah di manakah calon-calon berkenaan akan dibenarkan bertanding atas tiket Pas.

Apakah pemimpin dan ahli Pas akan bersedia untuk meletakkan mereka bertanding di kawasan kubu kuat Pas? Atau calon itu hanya diletakkan bertanding sekadar syarat di kawasan yang Pas tidak boleh menang?

Hakikatnya, kalau Pas benar-benar jujur untuk membenarkan bukan Islam menjadi calon, maka benarkanlah calon tersebut bertanding di kubu kuat Pas.

Melalui cara itu ia akan mampu menghapuskan persepsi bahawa keghairahan Pas membenarkan bukan Islam bertanding atas tiket parti tersebut bukanlah bertujuan mencari undi semata-mata tetapi benar-benar ingin melihat ada bukan Islam mewakili mereka di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

Cabaran terbesar Pas ialah menyakinkan penyokong mereka bahawa calon bukan Islam itu pilihan terbaik berbanding kalangan pemimpin dan ahli Pas yang sudah berpuluh-puluh tahun istiqamah dengan perjuangan Islam Pas tetapi dilihat masih belum layak dipilih sebagai calon.

Bagaimanapun dari satu segi, kita menghormati pendirian Pas dalam soal calon bukan Islam ini tetapi dalam masa yang sama berharap Pas juga akan bersikap lebih terbuka dalam soal menyatukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Mahu tidak mahu, Pas adalah parti Melayu kedua terbesar di negara ini selepas UMNO. Oleh itu usaha menyatukan orang Melayu biarpun berbeza fahaman politik perlu diteruskan.

Kita percaya di bawah kepimpinan Abdul Hadi dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa, soal menyatukan orang Melayu tetap terpahat kukuh di hati kepimpinan Pas tanpa melihat ia dari sudut politik yang sempit. Pas masih diberikan harapan untuk bersama-sama dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu dan Islam selaras dengan apa yang terkandung di dalam perlembagaannya.

Selain itu, Pas juga perlu diberi pujian kerana terus bersikap terbuka kepada semua media biarpun rakan mereka, PKR dilihat begitu memusuhi sesetengah media. Sikap Pas ini, bersesuaian dengan keperibadian Islam.

Seperkara lagi, tahniah juga kepada kepimpinan Pas kerana mendengar suara Dewan Muslimat apabila menetapkan kuota 30 peratus pencalonan bagi semua jawatan naib presiden ke bawah untuk wanita.

Turut menarik perhatian ialah ketegasan Dewan Ulama dan Dewan Pemuda yang mahukan dalam apa keadaan sekalipun Pas tidak meminggirkan perjuangan Islamnya.

Kesimpulannya, biar pun dilihat 'tidak sepanas' mana muktamar kali ini tetapi ia cukup penting bagi Pas menentukan hala tuju parti itu.

Dengan pelbagai keputusan sudah dibuat, maka ramailah menanti apa akan berlaku kepada Pas selepas ini terutama dasarnya yang wujud sejak 59 tahun lalu.