Friday, September 3, 2010

TIMBALAN PRESIDEN PKR – BERANIKAH ZAID BERDEPAN AZMIN?

Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim kini menyatakan beliau bersedia bertanding untuk jawatan nombor dua dalam Parti Keadilan Rakyat.

Tetapi dengan syarat Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak berminat merebut jawatan yang sama.

Menulis dalam blognya Zaid menjelaskan walaupun beliau tidak mahukan apa-apa jawatan, beliau terpaksa membuat keputusan baru ekoran asakan demi asakan terhadapnya.

"Kalau dah kena serang bertubi-tubi, baik saja masuk gelanggang. Kata orang, kalau nak kena tempeleng biar berbaloi.

"Tapi itu pun kalau Tan Sri Khalid tak mahu jawatan tersebut," katanya dalam perenggan terakhir artikelnya berjudul 'Ibrahim Ali patut Berdialog'.

Walaupun berterus terang, Zaid cakap berlapis. Tetapi orang masih ingat apa kata Zaid sebelum ini.

Beliau pernah mengatakan tidak berminat bertanding apa-apa jawatan dalam PKR.

Namun kini beliau menukar fikiran dan kenyataan sedia bertanding akan dilihat sesuatu yang serius bagi pemilihan parti November depan.

Menurut Zaid yang pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO, Senator dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri , “Kalau dia (Khalid) mahu, saya lebih selesa memberi laluan kepada beliau kerana dia banyak pengalaman yang boleh membantu parti.”.

Ini kerana, menurut Zaid, Khalid merupakan seorang pemimpin yang tidak suka menghentam atau memburukkan orang lain, sebaliknya lebih minat bekerja.

Siapa Zaid maksudkan sebagai “pemimpin yang suka menghentam atau memburukkan orang lain dan kurang minat bekerja?”

Mudah saja. Pemimpin mana dalam PKR yang sering mengkritik atau bertelagah dengan Khalid sebelum ini?

Dan siapa pula yang dikatakan berura-ura menggantikan Khalid dalam kemelut PKR di Selangor?
Persoalannya, kenyataan Zaid ini memberi amaran kepada ahli parlimen Gombak, Azmin Ali yang turut berminat bertanding jawatan itu?

Jawatan nombor dua parti itu kini disandang Syed Husin Ali sejak PKR bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) sebelum ini.

Ramai melihat Syed Husin kini semakin tersisih dan peranannya tidak lagi penting berbanding ketika PKR mula bergabung dengan PRM.

Azmin dilihat berusaha menduduki tangga kedua PKR walaupun tidak diketahui sama ada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui atau sebaliknya.

Berbanding Zaid yang banyak membela Khalid (malah Anwar pun tidak memecat Khalid sebagi Menteri Besar), Azmin dilihat lebih memberikan tekanan terhadap Anwar dan Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah.

Pertandingan sama ada tiga penjuru atau dua penjuru menjadi menarik kepada pihak yang kalah dijangka akan menerima kesan besar daripada pertandingan ini.

Malah, sama ada Syed Husin kalah dalam pertandingan atau menarik diri, bekas ahli PRM akan mula merasai ‘kehangatan’ bahawa mereka bagaikan ‘polong’ yang sudah tidak bertuan.

Apakah ‘polong-polong’ ini akan mengganggu tuannya?

Pertembungan Zaid dan Azmin dilihat akan menyukarkan Anwar kerana kedua-duanya penting bagi Anwar dalam konteks peribadi dan politik.

Mungkin selepas November, PKR akan bertambah goyah jika Anwar gagal mengimbangi pertelingkahan penyokong kesan pertandingan besar itu.