Wednesday, February 25, 2009

BOGEL TAK PAYAH KOSONGKAN KERUSI TAPI MENEGUR KENA…

Oleh Md Ali Yazid
(kpmu.net)
February 24, 2009

Mursyidur Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat selama ini dilihat seorang yang cukup lembah-lembut, berhemah walaupun cakap-cakapnya penuh dengan sindiran dan mahu mengenakan orang lain. Mungkin bagi orang Kelantan, watak seperti ini adalah watak ulama yang mereka terima, menyebabkan Nik Aziz sudah semakin hampir mencapai rekod 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan, tanpa sesiapa mampu menggugatnya.

Kini, ketika kecoh cerita YB Bukit Lanjan, Elizabeth Wong mempunyai gambar bogel dan ia tersebar melalui internet, ramai yang ternanti-nanti komen pemimpin PAS, khususnya Nik Aziz. Seperti biasa, disebabkan Elizabeth itu datangnya dari PKR, maka berkatalah Nik Aziz, tak salah perbuatan tu dan dengan lain perkataan, semua pimpinan PAS dari kalangan Wanita (baca: muslimah) menyokong supaya ADUN Bukit Lanjan itu, jangan mengosongkan kerusi.
Berpeluk-peluklah muslimah kerana kononnya Elizabeth dianiaya.

Nun, dari Parlimen, Datuk Ibrahim Ali yang dikenali sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas) melahirkan rasa muak dengan sikap hipokrit pemimpin tertentu yang kononnya terlalu berjurus tetapi hakikatnya, tidak. Ramai yang mentafsirkan kata-kata Ibrahim Ali itu ditujukan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Maka, bangkitlah panglima Anwar, MP Padang Serai, Kedah Gobalakrishnan (PKR) dan MP Shah Alam (PAS) untuk mempertahankan ‘insan hipokrit’ yang dikatakan oleh Ibrahim Ali. Dari sini bermulalah serangan PAS dan PKR terhadap Ibrahim Ali, termasuk dari mulut Nik Aziz sendiri yang mencabar Ibrahim Ali supaya mengosongkan kerusi Parlimen Pasir Mas yang dimenangi atas tiket PAS.

Maknanya, dalam suasana politik hari ini, PAS tidak kisah kalau seseorang wakil rakyat berbogel (bukan ditujukan kepada YB Elizabeth Wong) kerana PAS akan mempertahankan mereka yang bersedia untuk berbogel (di rumahlah) tetapi jangan sesekali mengatakan seseorang pemimpin pembangkang yang dicintai mereka, hipokrit.

Pemimpin PAS tentunya tidak suka mereka dikenali atau digelarkan dengan gelaran hipokrit kerana mereka mahu dikenali sebagai seorang ilmuan, ulama, alim dan baik walaupun ada wakil rakyat PAS di Kelantan ditegur hakim Mahkamah Syariah baru-baru ini, kerana didakwa tidak membayar nafkah anak selepas bercerai dengan isteri muda.

Wakil rakyat seperti ini tidak salah moralnya dari kacamata Nik Aziz dan saf kepimpinan Pas. Malahan, pengundi di DUN Melor Kelantan mungkin akan memberi undi lagi kepada wakil rakyat mereka ini jika dipilih sebagai calon PAS dalam PRU 13 yang akan datang. Tidak mustahil selepas ini jika tidak melanggar undang-undang, PAS boleh menjemput YB Elizabeth Wong, Exco Kerajaan Negeri Selangor yang mengaku gambar bogel yang tersebar itu adalah gambarnya, menyampaikan ceramah dan ucapan di Kelantan.

Tetapi, Ibrahim Ali tidak boleh. Tidak boleh lagi menggunakan lambang PAS dan kalau boleh, berhenti sekarang. Kosongkan kerusi Parlimen Pasir Mas sekarang, kata Setiausaha PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan yang merupakan ‘penasihat kiri’ Nik Aziz sekarang.

Orang PAS tidak peduli dengan moral berbogel kerana mereka sukakannya! Cuma, di luar sana, disebabkan mereka tidak cantik seperti Elizabeth, maka tidaklah sesiapa berminat mencarinya. Kalau ada muslimah PAS comel-comel macam YB Elizabeth, mereka juga boleh berbuat begitu, kerana Nik Aziz kata, tak salah. Yang salah, Ibrahim Ali. Ibrahim akan hilang deposit jika bertanding atas tiket Bebas.

Wow! Nik Aziz memang hebat. Boleh komen serentak antara bogel dengan hipokrit. Pemimpin Pas yang ditegur hakim mahkamah syariah kerana tidak bayar nafkah anak, tidak dikomen langsung oleh Nik Aziz dan Takiyuddin tetapi disebabkan ‘boss endorgen’ kena ‘tembak dengan peluru hipokrit’, maka bangkit mereka dari lena dan bergerak seperti pocong dan zombie kampong pisang.

Dalam Umno, Ibrahim Ali ada mengalami nasib seperti Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau. Kalau yang jahat-jahat, biasanya ada kaitan dengan Khairy. Dulu, kalau ada benda-benda tidak betul, tentulah ia dikaitkan dengan Ibrahim Ali.

Bila Ibrahim Ali bertukar parti, orang-orang PAS gelar dia katak. Tetapi bila orang-orang PAS melompat, mereka tidak digelar katak. Apakah Ibrahim Ali seorang sahaja yang melompat? Datuk Nakhaie Hj Ahmad, bekas Naib Presiden PAS masuk Umno, bukan melompat?

Allahyarham Tan Sri Asri Haji Muda meninggalkan PAS (kerana PAS menolaknya) kerana memimpin Hamim dan kemudian masuk Umno, bukan melompat? PAS mahu melupakan jasa Asri hanya kerana Asri tidak mati bersama-sama PAS? Ramai lagi sebenarnya melompat. Mereka meninggalkan PAS atas kesedaran awal mereka. Jika mereka tidak sedar, maka jadilah mereka sama seperti pemimpin yang meredakan berbogel sekarang.

Dalam zaman ini, cubaan membunuh diri pun seperti dibolehkah di dalam PAS, ketika Nik Aziz mempertahankan berbogel. Itulah sebabnya, penyokong PAS sanggup ‘cuba membunuh diri’ dengan berbaring di atas jalan raya ketika kereta yang membawa Raja Muda Perak mahu memasuki jalan ke Istana Bukit Candan.

Kecelaruan ini dicipta oleh PAS, PKR dan DAP. Satu gabungan di mana, berbogel kerana ‘perbuatan khianat BN’memang dibolehkan! Jadi untuk berbogel, siapkan alasan, ini angkara BN. Anwar Ibrahim, apabila ada lelaki bernama Saiful membuat repot polis menuduh Anwar meliwatnya, maka jika jawapannya ‘ini adalah konspirasi BN’ maka semua penyokong PAS, DAP dan PKR akan terus menyokong Anwar kerana ‘ini angkara BN’.

Monday, February 23, 2009

ISU BALAK PUNCA ZULKEFLI LETAK JAWATAN?

Apa dah jadi dengan Adun Pulau Chondong, Zulkefli Mamat?

Pada persidangan DUN dua tahun lepas, ketika beliau masih Exco, Zulkefli yang cuba menjadi hero gagal menjawab soalan oleh wakil Barisan Nasional (BN).

Kegagalan itu dikatakan punca Dato' Nozula Mat Diah (ADN-BN-Paloh) naik angin dan apabila Mohd Zaki Ibrahim(PAS- Kelaboran) membebel tidak tentu pasal, Norzula cuba menendang Zaki.

Ia berlaku sewaktu sesi soal jawab dalam sidang DUN Kelantan 27 November 2007 mempunyai sebab-sebab tersendiri.

Kali ini Zulkefli yang bukan lagi EXCO tanpa ada ‘angin yang menggoyangkan pokok’ tiba-tiba bertindak melepaskan banyak jawatan yang disandangnya.

Tapi menurut http://msomelayu.blogspot.com, perkembangan ini satu berita menarik dari Kota Bharu ia merupakan isu dalaman terbaru yang ada kaitan dengan perebutan kuasa dalam kerajaan Kelantan ketika ini.

Isu ini masih lagi belum terdedah kepada umum dan usaha telah dilakukan pihak tertentu untuk memujuk Zulkfeli agar terus memegang jawatan berkenaan.

Zulkefli sudah melepas semua jawatan yang dipegangnya dalam kerajaan. Jawatan-jawatan itu ialah selaku Timbalan Pengerusi Kira-kira Awam (PAC), ahli jawatankuasa Perlancungan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat, ahli jawatankuasa Pertanian dan Indsutri Desa dan beberapa jawatan yang lain.

Mesti ada yang sesuatu yang tidak kena menyebabkan Zulkefli berbuat demikian?
Kata laman web berkenaan, punca Zulkfeli melepaskan semua jawatan itu ialah ekoran ura-ura beliau akan digugurkan sebagai Pengerusi Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Sdn. Bhd.

Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1970 dengan modal berbayar sebanyak RM20 juta. KPK juga menguruskan beberapa buah kilang papan dan yang terbesar terletak di Dabong.

Alasan untuk mengugurkan Zulkefli ialah dikatakan kerana tindakannya memindahkan pejabat KPK dari Kota Bharu ke Jelawang atas alasan untuk memudahkan urusan pentadbiran kilang papan yang terdapat di situ. Langkah proaktif beliau itu katanya kurang disenangi oleh pihak tertentu yang berminat untuk mengawal syarikat berkenaan yang merupakan slaah satu sumber kewangan negeri Kelantan.

Exco Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Mohd Amar Nik Abdullah disebut-sebut akan diletakkan di tempat Zulkefli itu.

KPK merupakan sebuah syarikat yang bergiat cergas mengeluarkan produk kayu yang berkualiti yang diperolehi dari hutan yang diurus secara terancang dan sistematik berdasarkan sistem "Pengurusan Hutan Berkekalan".

Selain itu KPK juga melaksanakan aktiviti pemeliharaan hutan untuk kepentingan dan faedah bagi generasi akan datang.

Zulkefli dikatakan melepaskan jawatan itu dua minggu lalu. Bagaimana pun Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan tidak menerima perletakan jawatan berkenaan.

TAK PAYAH CAKAP BESARLAH NIK AZIZ

Lihat apa kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali komen mengenai Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Mursyidul Am PAS berkata, parti itu tidak bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri itu berkata: "Keputusan PAS mencabar beliau (Ibrahim) supaya meletakkan jawatan kerana mengkritik PAS daripada belakang adalah keputusan PAS negeri yang dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri yang saya sendiri selaku Pengerusi (perhubungan)."

"PAS tidak bimbang jika Ibrahim letak jawatan dan bertanding semula atas tiket Bebas jika benar-benar ingin menguji kekuatan pengaruhnya dalam politik kerusi Parlimen itu jika ia mahu menyahut cabaran PAS supaya meletakkan jawatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, kelmarin.

Ibrahim pula berkata beliau bukan "bodoh" untuk meletakkan jawatan semata-mata untuk menguji kekuatan pengaruh politiknya dengan bertanding semula dalam pilihan raya kecil.

"Tok Guru Nik Aziz patut sudah tahu, ikut undang-undang kalau saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen, saya tidak boleh bertanding untuk tempoh lima tahun hingga pilihan raya umum ke-13.

"Jadi macam mana saya nak uji kekuatan pengaruh politik saya?

"Dia (Nik Aziz) pun pernah hampir hilang pengaruh masa pilihan raya umum ke-11 ketika PAS hampir jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

"Masa itu saya pun ada bantu PAS dengan meraih undi orang-orang Umno untuk memilih mereka. Jadi tak perlu dia (Nik Aziz) cakap besar," katanya kepada mStar Online semalam.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau akan hanya meletakkan jawatan jika mendapat desakan daripada pengundi-pengundi bahagian Pasir Mas.

Tambah beliau, pendirian PAS sejak kebelakangan ini sering berubah-ubah dan demi kepentingan politik, parti itu sanggup menyokong Hindraf untuk mendapat sokongan daripada kumpulan minoriti.

Ditanya adakah beliau akan menyertai Umno selepas mendapat desakan daripada Nik Aziz dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan mahu beliau meletakkan jawatannya, Ibrahim berkata: "Saya akan ambil tindakan langkah demi langkah untuk atasi masalah ini.

"Selama ini pun saya tidak pernah fikir untuk masuk mana-mana parti. Buat masa ini saya lebih senang menjadi calon Bebas," katanya.

PAS yang tidak berpuas hati dengan kelantangan Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang sering mengkritik parti itu meminta beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat yang diberi peluang oleh PAS bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum 2008, Ahli Parlimen Bebas itu tidak sepatutnya sering menghentam PAS seolah-olah beliau sahaja yang betul.

"Kalau dia bermaruah, dia boleh meletak jawatan," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan Jambatan Pachor oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Takiyuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkatam Ibrahim meminta untuk bertanding pada pilihan raya umum tahun lepas atas tiket PAS walaupun pemimpin PAS kawasan Pasir Mas ketika itu menolak cadangan itu.

"Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) telah memberi peluang kepada dia bertanding (atas tiket PAS) walaupun kita terpaksa membelakangi kehendak ahli di kawasan itu," katanya.
Mengenai kemungkinan Ibrahim akan menawar diri untuk masuk PAS, beliau berkata, terpulang kepada bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu berbuat demikian.

"Kita tidak buat tawaran kepada dia dan kita juga tidak pernah menolak kalau dia hendak masuk PAS, tetapi setakat ini dia tidak pernah meminta untuk masuk PAS," katanya.
Tegas Ibrahim, beliau bukan hanya mengkritik PAS malah turut mengkritik BN.

Namun katanya, berita mengenai beliau mengkritik parti itu jarang dipaparkan di media sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran, dan ada yang mengatakannya menyokong BN.

"Biarlah mereka (PAS) bercakap apa pun. Saya hanya dengar sahaja dulu. Mereka ada isu nak bercakap tapi jangan sampai lupa tanggungjawab di kawasan sendiri sudah," ujarnya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11.

Ibrahim bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.
Beliau turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.

TERIMA KASIH ZAHID

Baguslah kalau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahu menyemak semula elaun guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.

Ini kerana guru-guru KAFA berada dalam kelompok miskin dengan pembayaran elaun RM500 sebulan sejak 2006.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, pada tahun 1990, guru-guru KAFA diberi elaun sebanyak RM7 sejam atau R168 sebulan.

“Saya telah mengarahkan JAKIM membuat semakan bayaran elaun mereka dan membuat rundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam serta Perbendaharaan Malaysia mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Multaqa Penyelia dan Guru-Guru KAFA Negeri di Tawau, Sabah.

Pada tahun 1993, beliau berkata elaun itu dinaikkan kepada RM12 di Semenanjung (RM288 sebulan) dan RM14 sejam atau RM336 sebulan di Sabah.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid meminta JAKIM menyediakan laporan lengkap mengenai pencapaian pelajar-pelajar dalam Ujian Penilaian KAFA di seluruh negara bagi meraikan kejayaan pelajar yang cemerlang di peringkat kebangsaan.

Di peringkat negeri Sabah, 99.9 peratus daripada 3,583 pelajar lulus dalam ujian itu tahun lepas.