Oleh KHALID SAMAD
(Ahli Parlimen Shah Alam)
Saya begitu tersentuh dengan tulisan YB Liew Chin Tong
yang telah disiarkan di akhbar Amanah keluaran ke 12 iaitu untuk tempoh 14 – 20
Ogos 2016.
Dalam penulisan beliau amat jelas bahawa antara sebab
utama DAP begitu selesa dalam berkerjasama dengan Amanah adalah kemampuan
berkomunikasi dan kejujuran dalam berpakat.
Sebenarnya kedua-dua sifat ini sepatutnya merupakan sifat
semulajadi bagi mana-mana organisasi, lebih-lebih lagi yang memperjuangkan
Islam.
Tetapi malangnya cara ia dinyatakan oleh Liew seolah-olah
ia merupakan sesuatu yang amat sukar dijumpai di kalangan organisasi politik
dewasa ini.
Sememangnya persoalan komunikasi adalah penting bagi sebuah
organisasi yang ingin membawa aspirasi Islam.
Dalam suasana Islam diberikan imej yang ganas dan buruk,
kemampuan kita menjelaskan prinsip Islam dalam bahasa yang mudah dan meyakinkan
adalah antara cabaran terbesar mana-mana jemaah Islam.
Kecenderungan untuk merempuh, mengugut, memaksa dan
sebagainya, sepertimana yang ditunjukkan oleh sebahagian ‘gerakan Islam’ hanya
berlaku apabila kurangnya kemampuan untuk memberi penjelasan dan pencerahan
yang meyakinkan.
Akal dan komunikasi
Rasulullah (SAW) pernah berpesan, “bercakap dengan
manusia mengikut kemampuan akal dan kefahaman mereka”.
Ini merupakan hadis masyur yang sering diguna-pakai dalam
sesi tarbiah untuk membentuk para duat atau pendakwah.
Apabila dibicarakan maksud hadis ini, sering ditekankan bahawa
tiada satu corak penjelasan yang sama untuk semua golongan manusia.
Tetapi kadang-kadang dilupai bahawa turut terkandung dan
sama penting dalam hadis tersebut adalah bahawa tujuan penerangan ialah untuk
memberikan kefahaman melalui akal orang yang mendengar.
Ini adalah kerana mengikut tanpa kefahaman atau ‘taqlid’
secara membabi buta bukan kehendak dakwah Islam. Oleh itu, kemampuan
berkomunikasi, dalam bahasa yang difahami, melalui kaedah yang diyakini, secara
logikal dan rasional yang boleh diikuti minda pendengar adalah sesuatu yang
penting bagi semua pendakwah dan pejuang Islam.
Malangnya ramai yang terlibat dalam gerakan Islam diasuh
dengan budaya “dengar dan patuh”.
Dan atas sebab kononnya usaha mereka berpaksikan
‘keimanan’ maka kefahaman melalui akal seolah-olah tidak diutamakan.
Malahan ada yang menganggap penggunaan akal sebagai
sesuatu yang hina dan bercanggah dengan keimanan! Kerana iman adalah
kepercayaan tanpa adanya bukti mahupun logik yang membawa kepada kefahaman.
Dan apabila sesebuah gerakan Islam diasuh dengan
kefahaman sebegitu rupa, bagaimana ahli-ahlinya akan mampu berkomunikasi?
Selama ini ianya sekadar dilatih untuk “dengar dan taat”,
“mereka ulama kamu jahil, maka ikut sahaja” dan “jangan banyak tanya, beriman
sahaja”.
Maka tidak hairan bagi saya apabila Liew menyebut
keselesaannya apabila berbincang dengan pimpinan Amanah, walaupun Amanah sebuah
parti Islam.
Akal bukan musuh keimanan
Bagi Amanah, akal adalah antara pemberian Allah yang
paling berharga. Pegangan ini terbukti benar apabila ‘Hifzul aqal’ atau
‘penjagaan akal’ disenaraikan sebagai salah satu dari lima perkara utama yang
ingin dijaga syariah dalam ilmu Maqasid Syariah.
Akal yang dibebaskan dari pengaruh hawa nafsu mampu
membawa manusia kepada kefahaman yang menghasil dan menambahkan keimanan. Akal
bukan musuh keimanan. Akal sendiri boleh mengakui kewujudan yang ghaib yang
diimani orang-orang yang beriman.
Melalui akal ini dapat juga dihasilkan perbahasan dan
komunikasi yang baik samada dengan orang beriman mahupun yang tidak beriman
akan sesuatu persoalan.
Oleh kerana ia berpaksikan logik dan rasional tanpa
bergantung kepada keimanan, maka komunikasi yang logikal dan rasional seperti
yang dinyatakankan di atas mudah difahami semua.
Oleh itu ia menjadi alat perhubungan, dakwah dan
penerangan yang paling berkesan samada terhadap yang beriman atau yang
sebaliknya.
Oleh itu, antara sebab mengapa pimpinan Amanah mampu
berkomunikasi dengan baik dengan pimpinan DAP dan juga parti lain kerana Amanah
tidak menuntut supaya ‘diimani’ apa sahaja yang di katakan.
Sebaliknya apa yang dikatakan dikupas dan dibentang
secara logikal dan rasional sehingga yang baik terserlah kebaikannya dan begitu
juga yang buruk untuk semua yang mendengar menilai.
Kata-kata atau hujjah yang dikemukakan tidak perlu
‘diimani’ walaupun diyakini ianya pandangan yang mantap dan tepat. Kerana ia
tetap sekadar pandangan.
Dan sekiranya sebaliknya, iaitu sekiranya dibuktikan
bahawa pandangan Liew atau sesiapa sahaja, secara logikal dan rasional, adalah
lebih tepat, maka Amanah akan tetap sanggup juga menimbangkannya.
Pemimpin bukan qat’iyah
Perlu difahami bahawa yang sering dibahas adalah bukan
persoalan aqeedah atau kepercayaan tetapi pendekatan untuk menyelesaikan
masalah khusus yang dihadapi rakyat, iaitu persoalan muamalah dan siasah.
Banyak darinya merupakan persoalan ijtihadiyah atau
pandangan. Namun semestinya ijtihad itu dipandu dan selari dengan kehendak dan
matlamat syariah.
Dan di sini terletaknya kelemahan sebahagian gerakan
Islam! Bagi mereka, semua pandangan pimpinan mereka adalah qat’iyah semuanya di
mana ia tidak boleh dipertikai atau disoal oleh yang lain. Kerana apa? Kerana
ia ‘pandangan ulama’.
Maka dengar dan patuh kerana “ulama adalah pewaris nabi”.
Begitulah dilatihnya ahli-ahli mereka dan begitulah dikehendakinya dari pihak
lain.
Kalau pandangan ahli sendiri tidak dihormati, apakah
mungkin dihormati pandangan pihak lain?
Sedangkan Nabi sendiri membezakan antara pandangan
peribadi Baginda (SAW) dan wahyu. Tetapi bagi sebahagian, pandangan ulama
dianggap bagaikan wahyu yang wajib diimani!
Kejujuran dalam berpakat
Kejujuran berpakat juga dinyatakan oleh YB Chin Tong
sebagai antara sebab utama mengapa DAP selesa berkerjasama dengan Amanah.
Amanah dilihat berpegang kepada janji kerana dahulu, apabila pemimpin PAS
melanggar janji, mereka yang sekarang ini berada dalam Amanah telah menegur
pemimpin tersebut.
Apabila berlakunya peristiwa Kota Damansara, sebagai
contoh, setelah bersetuju di semua peringkat ia ditandingi Keadilan, yang
berada dengan Amanah sekarang ini telah menegurnya.
Dan begitu juga dalam begitu banyak keadaan dan situasi,
apabila PAS melanggar janji, maka yang sekarang berada dengan Amanah jugalah
yang telah menegurnya.
Maka bagi Liew, ini adalah bukti kejujuran dalam
berpakat. Sedangkan yang lain sekadar berdiam diri dan mengikut sahaja.
Sehinggakan ada seorang Pesuruhjaya Negeri yang
ditukarnya selepas muktamar 2013 kerana disyaki atas sebab beliau bersama dalam
sidang akhbar menyokong Dr Nasir sebagai calon rasmi Pakatan Rakyat di Kota
Damansara!
Rasulullah (SAW) pernah berpesan, “Orang mukmin berada
atas (berpegang pada) janjinya”.
Samada berjanji dengan orang Islam atau yang bukan Islam,
janji dipegang dengan tepat. Dan apabila janji dilanggar, maka orang beriman
mesti bersuara membantah sambil menjauhkan diri mereka dari pihak yang
melanggar janji dan mengutuk tindakan melanggar janji itu.
Ada yang menganggap janji kepada yang bukan Islam boleh
dilanggar begitu sahaja kerana mereka bukan Islam. Sikap sebegini bukan dari
Islam.
Mungkin ia dari ajaran Yahudi yang menganggap selain berbangsa dan beragama Yahudi adalah manusia yang tidak berhak dan boleh dizalimi mereka?
Kalau dilihat dari sudut ajaran Islam, bertindak khianat
terhadap rakan yang bukan Islam adalah dikutuk dan diancam Allah dengan azab
seksaan yang amat pedih!
Ini adalah kerana tindakan sebegitu menyebabkan yang
bukan Islam terhalang dari melihat kebenaran Islam. Akhlak yang hodoh dan rosak
di kalangan orang Islam menjadikan yang bukan Islam lari dari Islam.
Kesimpulan
Sebenarnya apa yang dijelaskan oleh YB Chin Tong bukanlah
sesuatu yang pelik. Komunikasi adalah penting dalam semua jenis hubungan, dari
hubungan antara dua sahabat sehingga ke hubungan antara organisasi.
Dengan adanya komunikasi yang jelas dan baik maka akan
terjalin hubungan yang mantap. Komunikasi antara rakan merupakan bukti saling
menghormati kerana yang diinginkan adalah keadaan saling memahami dan bukan
dominasi satu pihak atas satu pihak yang lain.
Kedua-dua sifat yang diutamakan YB Chin Tong merupakan
aspek yang pernah dipesan Nabi.
Sebagai sebuah parti Islam tiada panduan yang lebih utama
selain Al-Quran dan Sunnah Nabi.
Saya yakin sekiranya dua sumber ini terus dipegang
sebagai panduan Amanah, maka sokongan terhadapnya akan terus bertambah dan YB
Chin Tong sebagai bukti akan kebenaran dakwaan ini.