Wednesday, October 15, 2008

ANNUAR TIDAK TANDING NAIB PRESIDEN, MT

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa memutuskan tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mac depan.

Malah beliau juga menetapkan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) yang disandangnya sejak 1991 bagi memberi laluan kepada muka-muka baru.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak yang masih memberi kepercayaan kepadanya dan keputusan yang diambil adalah muktamad setelah menimbang secara mendalam.

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, selain UMNO bahagian Machang yang telah mencalonkan namanya, beliau turut menerima pertanyaan daripada 34 bahagian bagi mengetahui pendiriannya yang sebenar.

''Setelah menimbang dengan semasak-masaknya dan mengambil kira semua aspek, suka saya memaklumkan pendirian muktamad saya bahawa saya mengekalkan pendirian tidak bertanding jawatan Naib Presiden. Saya juga tidak akan mempertahankan jawatan saya sebagai ahli MT yang saya sandang sejak 1991,'' katanya dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lalu, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mahukan Annuar bertanding bagi jawatan Naib Presiden kerana pengalamannya yang panjang dalam kepimpinan parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, Annuar menyatakan beliau memerlukan masa untuk menimbangkannya kerana sebelum ini telah telah membuat ketetapan untuk tidak bertanding apa-apa jawatan kali ini.

''Malah saya sudah menyebut perkara ini kepada Presiden dan MT sebelum mesyuarat bahagian-bahagian dan suka saya memaklumkan secara muktamad saya mengekal pendirian untuk tidak bertanding.

''Namun saya akan tetap aktif membantu pucuk pimpinan dan parti seperti biasa dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri dan MT," ujarnya.

Katanya, tanpa sebarang jawatan sekalipun, beliau akan terus kekal memberi kesetiaan kepada parti dan sedia berkhidmat mengikut apa sahaja arahan pucuk pimpinan.



Mengenai keputusannya itu, ikuti komen Awang Selamat:

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

KETIKA ramai pemimpin tidak mahu melepaskan kesempatan menawarkan diri bertanding pada pemilihan UMNO kali ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Annuar Musa mengambil pendirian berbeza.

Beliau memutuskan tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO malah enggan mempertahankan kerusi Ahli Majlis Tertinggi yang disandangnya sejak 1991.

Sedangkan Annuar merupakan politikus yang berbisa, berketrampilan dan dilihat masih mempunyai harapan untuk meningkat lagi biarpun senario politik di Kelantan tidak memihak kepada UMNO pada masa ini.

Sebab itu, Awang angkat topi kepada Annuar. Beliau membuktikan bahawa jawatan bukan segala-galanya dalam parti. Tanpa jawatan sekalipun kita semua boleh menyumbangkan bakti dan khidmat.

Lalu Awang terbayangkan wajah sesetengah pemimpin dalam UMNO yang sepatutnya boleh mengambil langkah sedemikian bagi memberi peluang kepada generasi pelapis selaras dengan usaha meremajakan parti.

Yang sedihnya mereka ghairah merebut jawatan termasuk berpolitiking keterlaluan dan gagal melihat realiti sebenar. Tidak hairan juga sebahagian calon gagal ‘mengukur baju di badan sendiri’.

Awang – Teruja semangat Annuar.

No comments: