Thursday, June 29, 2017

Berjayakan Cubaan Putrajaya Batal Saman RM100 Juta Keluarga Altantuya?


Segala-galanya dijangka ditentukan pada akhir Julai depan.

Pada 22 Jun lalu ada laporan mengatakan Putrajaya cuba membatalkan saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu yang dibunuh 2 anggota polis.
Kenapa kerajaan mahu membatalkannya? Dan kenapa dibuat selepas lebih 10 tahun kes ini berlegar di mahkamah Malaysia?
Persoalan juga, kenapa Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya masih tidak diekstradisi ke Malaysia, sehingga kini?
Malah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut digesa mengesahkan jika kerajaan bercadang mengekstradisi Sirul Azhar ke Malaysia.
Perkara ini disifatkan menjadi kepentingan awam dan memerlukan perhatian segera kerana sudah dua  tahun sejak Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan.
Berkaitan hasrat Putrajaya membatalkan sama itu, di pihak keluarga Altantuya, mereka menyifatkan permohonan kerajaan itu sebagai melampau, remeh dan menyusahkan.
Ini kerana bagi mereka kerajaan Malaysia turut bertanggungjawab kerana ia adalah majikan kepada polis terbabit.
Menurut peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh, liabiliti defendan hanya boleh ditentukan selepas perbicaraan penuh, di mana bukti akan diserahkan.
Ramkarpal berkata, kerajaan akan membalas afidavit Shaariibuu dan kedua-dua pihak akan terus memfailkan penghujahan bertulis.

“Hakim Mahkamah Tinggi (Ahmad Nasfy Yasin) dijangka membuat keputusannya pada 26 Julai ini,” katanya.
Kerajaan dikatakan memfailkan permohonan itu pada Mac lalu atas alasan saman itu tidak mendedahkan tindakan betul terhadap mereka.
Kerajaan yang merupakan defendan ke-4 dalam afidavitnya berkata, plaintif gagal menyatakan ia bertanggungjawab terhadap tindakan anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.
Peguam bagi pihak keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh berkata bapa Altantuya (Shaariibuu Setev) memfailkan 1 afidavit untuk membantah permohonan itu pada minggu lalu.
Shaariibuu berkata, saman yang mula difailkan pada 6 Jun 2007 mempunyai asas dan merit.
“Selain kuasa tindakan dalam tort, saman itu juga terdiri daripada tuntutan tanggungan dan ganti rugi oleh semua defendan,” katanya dalam afidavit yang dilihat FMT.
Shaariibuu bersama isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan dua  cucu menyaman kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah yang disabitkan kesalahan membunuh.
Keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya.
Perbicaraan saman itu ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian kes pembunuhan berkenaan di Mahkamah Tinggi. Selain itu, ada rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Sirul dan Azilah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya yang dikatakan ialah penterjemah dan model.
Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada awal 2015 mengembalikan sabitan itu dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-duanya.
Sirul tidak muncul untuk mendengar keputusan akhir itu dan kemudiannya dia didapati sudah meninggalkan Malaysia. Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
Razak yang merupakan kekasih Altantuya, dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah memutuskan pertuduhan terhadapnya tidak dapat dibuktikan dan kerajaan bagaimanapun tidak membuat rayuan, tindakan yang mengundang kritikan awam.
Ramkarpal berkata, Sirul yang kini ditahan di sebuah pusat tahanan Australia dan Azilah pula menunggu hukuman mati di Penjara Kajang, tidak mencabar saman itu.

Katanya, peguam mereka sudah menarik diri daripada saman sivil itu, manakala Razak melantik peguam untuk mencabar saman berkenaan.

Tuesday, June 27, 2017

Isu DoJ: Surat Terbuka Kepada Abdul Hadi Hadi Awang


Oleh Ulya Aqamah Husamudin
(Ketua Penerangan ARMADA, Parti Pribumi Bersatu Malaysia)

Surat ini adalah respons kepada surat terbuka Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan di laman Facebook rasmi beliau.

Pada dasarnya saya setuju bahawa campur tangan asing tidak diperlukan dalam mengendalikan isu negara. Namun begitu, isu 1MDB tidak boleh dipukul sama rata seperti kes-kes yang lain.

Ini kerana skandal 1MDB telah melibatkan banyak negara termasuklah Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Tindakan badan undang-undang Amerika Syarikat atau disebut sebagai Jabatan Kehakiman (DoJ) adalah kerana wang 1MDB telah diselewengkan di dalam negara mereka dan melanggar undang-undang mereka.

Oleh itu mereka mempunyai hak untuk bertindak dalam kerangka dan bidang kuasa mereka kerana kesalahan telah dilakukan dalam tanah Amerika Syarikat.

Ini bukan isu campur tangan. Ini isu hak Amerika Syarikat mengambil tindakan dalam negara demi memastikan kemungkaran tidak merebak di dalam negara mereka.

Tindakan undang-undang juga telah dilaksanakan ke atas individu-individu yang terlibat dengan penyelewengan wang 1MDB di Switzerland dan Singapura.

Jelas negara-negara ini tidak berkompromi dengan penyelewengan.

Sepatutnya Malaysia sebagai negara Islam mengambil tindakan yang sama bagi mencegah kemungkaran daripada berleluasa. Namun begitu, sewaktu kes 1MDB dibuka, peguam negara. Bagaimana keadilan hendak diangkat?

Maka, saya pohon Abdul Hadi untuk bersama rakan pembangkang yang lain untuk mendesak pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini sendiri seperti saranan Abdul Hadi.

Saya juga berharap dan bersangka baik yang kenyataan Abdul Hadi ini bukan dicetuskan kerana tuduhan blogger pro-BN Raja Petra Kamarudin yang menuduh Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin membayar DoJ untuk mengeluarkan laporan. Ini kerana perkara ini telah kami nafikan pada sidang media baru-baru ini.

Semoga Allah memberkati Abdul Hadi.

Maaf Zahir Batin, Salam permulaan Syawal.


(Disiarkan oleh FMT, 24 Jun 2017)