Sedikit masa dulu Lim Guan Eng mengumumkan pendekatan Middle Malaysia. Secara literal ia semacam mengambil jalan tengah dalam semua hal yang melibatkan rakyat. Realitinya tidak lain pendekatan tersebut merupakan jalan pintas untuk melaksanakan gagasan-gagasan yang diketengahkan oleh mentornya. Apakah akar, ranting dan dahan DAP itu bukan berasal daripada speses pokok yang sama, iaitu PAP?
Oleh MALIM GHOZALI PK
(Utusan Malaysia 14 Ogos 2010)
SUATU masa dulu masyarakat kita heboh dengan Malaysian Malaysia dan meritokrasi. Gagasan-gagasan tersebut dianjurkan oleh pemimpin Singapura yang menuntut kesamarataan di kalangan semua kaum di negara ini. Banyaklah hiruk-pikuk yang dilaporkan tentangnya, dan orang Melayu menolaknya dengan keras. Perkara itu kemudian dilupakan.
Hakikatnya secara senyap-senyap segmen-segmen tertentu dalam gagasan-gagasan tersebut sedang merubah kedudukan ekonomi dan sosio-politik orang Melayu di negara ini.
Tidak ada lagi layanan istimewa bagi mendapatkan biasiswa lulusan-lulusan Sijil Pelajaran Malaysia dari kalangan Bumiputera, misalnya. Dan mutakhir, wakil DAP di Selangor mencadangkan supaya diskaun pembelian rumah bagi pembeli-pembeli bumiputera dihapuskan. Desakan-desakan sebegini mendedahkan wajah sebenar politik sempit DAP.
Sedikit masa dulu Lim Guan Eng mengumumkan pendekatan Middle Malaysia. Secara literal ia semacam mengambil jalan tengah dalam semua hal yang melibatkan rakyat. Realitinya tidak lain pendekatan tersebut merupakan jalan pintas untuk melaksanakan gagasan-gagasan yang diketengahkan oleh mentornya. Apakah akar, ranting dan dahan DAP itu bukan berasal daripada speses pokok yang sama, iaitu PAP?
Sekali lagi timbul heboh-heboh tentangnya, terutama di kalangan orang Melayu Pulau Pinang, yang rata-rata ekonomi mereka masih merangkak. Isu tersebut cepat-cepat juga dilupakan.
Hakikatnya, prinsip-prinsip teras di dalam gagasan-gagasan Malaysian Malaysia dan "meritokrasi" sedang berkembang biak di pulau itu. Pendekatan Middle Malaysia hanyalah salinan kulit, ularnya tetap sama.
Tahun lalu perarakan Maulidur Rasul dibatalkan, walaupun Guan Eng tahu ia merupakan upacara yang sangat dekat di hati orang Islam. Kemudian diseliginya pula peniaga-peniaga gerai dan pengusaha kedai makan, terutamanya peniaga-peniaga Melayu.
Terbaru, bazar Ramadan di bangunan KOMTAR diarah tutup. Mujurlah larangan tersebut ditarik balik di saat-saat akhir apabila peniaga-peniaga naik berang dengan sikap melampau kerajaan Pulau Pinang.
Tindakan-tindakan Guan Eng dilihat tergesa-gesa -- roboh, roboh dan roboh. Jadi, mana jalan tengahnya? Kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari siapakah yang melatih beliau taktik sedemikian.
Ternyata penduduk Melayu sudah ramai yang meninggalkan pulau dan berpindah ke tanah daratan. Kampung-kampung mula hilang, dan digantikan dengan rumah kedai dan apartmen mewah. Hartanah Melayu semakin mengecut, dan tidak hairan dalam tempoh 20 -30 tahun dari sekarang, tidak ada lagi hartanah orang Melayu di Pulau Pinang.
Sekiranya fenomena ini tidak disekat, akan berlaku eksodus secara besar-besaran orang Melayu dari Pulau Pinang. Memburukkan lagi sikap cauvinistik beliau, dituangkan pula nuansa sejarah empayar Cina ke dalam gagasan Middle Malaysia.
Sebenarnya Middle Malaysia secara tersembunyi menyangkut Middle Kingdom, atau Negara Tengah, atau dalam bahasa Mandarin disebut Zhongguó.
Karakter kotak digaris di tengah-tengah tulisan Cina pada perkataan Zhongguó melambangkan posisi empayar Cina yang kononnya berada di tengah-tengah ketamadunan. Walaupun dari segi sejarah nama China berubah-ubah dengan pertukaran dinasti demi dinasti, namun nama umumnya kekal sebagai Zhongguó.
Terma ini mula digunakan oleh Dinasti Zhou pada abad ke-6 SM. Penggunaan nama Zhongguó membawa implikasi legitimasi politik, dan ia digunakan oleh dinasti-dinasti yang terkemudian; sebagai contohnya Dinasti Song Selatan dan Dinasti Jin, masing-masing menganggap dinasti mereka Zhongguó.
Dan sejak Republik Rakyat Cina ditubuhkan pada 1949, ia menggunakan nama itu sebagai identifikasi rakyat Cina, sementara Republik Cina dikenali terus dengan nama "Taiwan". Jadi, idea sentral yang menjadi teras Middle Malaysia tajaan Guan Eng tidak lain adalah "Cina".
Dalam senario politik masa kini, yang turut berlatar belakangkan masyarakat berbilang kaum, pendekatan Ketua Menteri Pulau Pinang ini amat berbahaya.
Dalam menekuni agenda agungnya, Guan Eng semakin rakus, dan hilang hemah dan pertimbangan sebagai politikus dan Ketua Menteri. Mana-mana pegawai kerajaan yang berani menegur atau menentangnya akan menerima padah.
Terbaru, Pegawai Kemajuan Negeri dicopnya sebagai "membazir wang, lidah biawak dan tidak diperlukan di Pulau Pinang". Nampaknya apa saja yang mewakili Kerajaan Pusat, sama ada orang atau ikon, menjadi serba tidak kena dengannya.
Guan Eng harus meluangkan sedikit masa untuk menyelak buku-buku sejarah. Pulau Pinang adalah sebahagian dari Malaysia. Ratusan tahun dulu broker tanah Inggeris, Francis Light menggunakan tipu muslihat untuk memperdaya Kerajaan Kedah lalu 'menyonglap' pulau itu. Sedangkan semasa dia tiba di pulau itu pada 1786, orang Melayu sudah berkampung halaman di situ, dan menjalankan perdagangan dengan orang Aceh.
Apa pun yang dilakukan oleh Lim Guan Eng sekarang, Pulau Pinang tetap akan berada dalam Malaysia dan masih menggunakan Perlembagaan negara yang sama. Sudah tentu Kerajaan Pusat tidak akan membiarkan Pulau Pinang bertukar menjadi Hong Kong atau Singapura kedua di Tanah Semenanjung. Atau menjadi Zhongguó.
Malim Ghozali PK ialah penulis semua genre sastera, penterjemah dan penceramah bebas. Kini menjadi pensyarah sambilan untuk Seminar Cereka dan Bengkel Terjemahan Karya Dramatik di ASWARA.