Wednesday, January 13, 2010

NIK AZIZ DITUDUH TERIMA KEK RM500


Rasanya ini cerita lama yang berversikan Md Alwi Che Ahmad.

Kalau tidak silap, isu ini pernah dibangkitkan Tan Sri Anwar Musa beberapa tahun lalu.
Apapun, ia tetap menggambarkan sesuatu yang tidak kena dengan keluarga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Menurut Malaysiakini, Nik Aziz terus menerima asakan Umno, kali ini didakwa menerima hadiah kek, seberat 10 kg bernilai lebih RM500, daripada menantunya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Ketua pegawai eksekutif PMBK Abdul Ariffahmi Ab Rahman, ketika menjawat ketua pegawai operasi perbadanan itu, meluluskan pembelian enam kek bernilai lebih RM3,000 September lalu kepada enam pihak, kata ketua penerangan Umno negeri.

"Isunya bukan pada harganya tetapi bagaimana (beliau) beli hadiah untuk diri sendiri dan bapa mertua? Tidak bolehkah guna duit poket sendiri?

"(Perkara) ini saya fikir mungkin penyelewengan yang paling kecil berbanding dengan yang lain-lain, macam jerawat kecil yang sudah pecah," kata Datuk Md Alwi Che Ahmad, yang juga ADUN Kok Lanas, kepada Malaysiakini kelmarin.

Tambahnya, satu pihak yang enggan dinamakannya telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

"Perkara ini telah pun dilaporkan kepada mereka daripada seseorang (pemberi maklumat)," kata Md Alwi, sambil menggesa suruhanjaya itu menyiasat perkara berkenaan dengan segera.

Usaha Malaysiakini mendapatkan penjelasan daripada Abdul Ariffahmi setakat ini belum berhasil.

Nik Aziz sebelum ini dipertikaikan berhubung pelantikan menantunya itu sebagai peneraju PMBK Oktober tahun lalu sehingga memaksa campur tangan beberapa pemimpin kanan PAS.

Susulan itu, Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan tersebut berkuatkuasa 23 Mac ini.

Pada 13 November lepas, suruhanjaya itu turut dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Nik Aziz dan keluarganya mendapat tajaan haji daripada seorang ahli perniagaan yang bernilai ratusan ribu ringgit.

Menteri besar itu bagaimanapu membatalkan hasratnya ke tanah suci selepas media memainkan isu tersebut.