Saturday, December 15, 2018

Raja Bahrin Gagal, Lemahkan Pegembangan & Kebangkitan HARAPAN Terengganu


Apa jadi dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu kini?

Apakah ia memerlukan ’udara dan tenaga baharu’ sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang?

Kepimpinan HARAPAN jelas masih di takuk lama dan hasil kepimpinan lemah dan longlai Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad?

Apa perancangan dan langkah-langkah  memulih dan memperkukuhkan sokongan rakyat Terengganu kepada HARAPAN? Jawapannya TIADA!

Amat nyata Raja Bahrin masih tidak berjaya menyediakan suatu arah tuju dan pelan tindakan untuk menggerakkan HARAPAN ke tahap lebih aktif dan berkesan selepas pilihan raya umum Mei lalu.

Malah dalam isu pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) pun beliau jelas gagal merunding, mencari penyelesaikan dan menyediakan cadangan kepada Putrajaya melalui mesyuarat HARAPAN.

Momentum gerakan meramaikan ahli, sama ada melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) BERSATU atau juga AMANAH nampaknya semakin lemah dan ternampak ciri-ciri ‘keletihan’.

Sewajarnya, Raja Bahrin menumpukan usaha memajukan HARAPAN sama ada melalui gerakan atau aktiviti bersama, mencari peruntukan atau juga mengemaskan saf barisan kepimpinan daripada melaga-lagakan kepimpinan dalam  BERSATU dan PKR.

Yang dapat dilihat dengan jelas , selain  gagal untuk memajukan partinya apabila gagal menarik penmyokong PAS, beliau berusaha pula melemahkan kegairahan parti lain untuk berkembang.

Kebimbangan beliau terhadap kemampuan Pengerusi MPN PKR Terengganu Azan Ismail (kiri) menjadi buah mulut ramai apabila ada usaha beliau membantu penentang Azan untuk kalahkan bekas ADUN Bandar itu  pada pertandingan Ketua Cabang Kuala Terengganu, Oktober lalu.

Namun  hasratnya gagal apabila Azan bukan sahaja menang Ketua Cabang tetapi penyokongnya menang di tujuh (7) daripada 8 Cabang.

Dengan kata lain, kekuatan Azan amat terserlah dan ini membimbangkan Raka Bahrin, apa lagi sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai  Perdana Menteri.

Dengan pelantikan semula Azan sebagai Pengerusi MPN Terengganu 2019-2022 akan semakin meresahkan Raja Bahrin.

Mimpi buruk buatnya.

Sokongannya kepada kumpulan penentang Azan dalam PKR mengecewakan beliau walaupun menganggap dirinya kini popular selepas dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ternyata HARAPAN Terenganu kini berpecah-belah gara-gara kelemahan dan campur tangan Raja Bahrin dalam PKR dan BERSATU.

Selain menganggu-gugat PKR, Raja Bahrin juga bimbang dengan perkembangan dalam BERSATU Terengganu, apalagi dengan kemasukan bekas pemimpin UMNO, termasuk bekas Ketua Bahagian UMNO ke parti yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Malang jika Pengerusi HARAPAN mengekalkan Raja Bahrin sebagai Pengerusi HARAPAN Terengganu kerana beliau melakukan ‘sabotaj dari dalam’.

Majlis Presiden perlu melihat gelagatnya yang bukan  untuk menguatkan HARAPAN tetapi semakin melemah dan menghancurkan HARAPAN Terengganu.

Jika dalam PKR beliau menggunakan penentang Azan dan mereka yang kalah dalam pertandingan Ketua Cabang Oktober lalu, dalam BERSATU pula, bagi menganggu-gugat Ketua Pimpinan BERSATU Negeri Terengganu Senator Datuk Razali Idris (kanan) beliau menggunakan dua tiga Ketua Bahagian BERSATU untuk ‘menyerang dan memperlekehkan Razali’.

Buka rahsia lagi sejak sebelum pilihan raya umum lalu, Ketua Bahagian BERSATU Datuk Zulkifli Mohamdd digunakan oleh Raja Bahrin untuk mengkritik dan merendah-rendahkan kemampuan Razali secara terbuka.

Kritikan Zulkifli tanpa berlapik, khususnya dalam Bahagian BERSATU Kuala Terengganu tidak memberikan apa-apa untung kepada BERSATU mahupun HARAPAN.

Menggunakan kata-kata kononnya beliau (Zulkifli) sebagai ‘bekas pegawai tinggi TCS (Pegawai Tadbir Terengganu) lebih ‘cerdik dan mampu’ mentadbir BERSATU daripada Razali, Raja Bahrin menggunakan sebagai ‘panglimanya untuk berperang dari dalam HARAPAN’.

Apakah cara ini wajar diamalkan oleh Raja Bahrin dan Zulkifli?

Bagi melindungi kelemahan kepimpinan dan tidak mampu merancang langkah strategik melawan PAS dan UMNO Terengganu, Raja Bahrin dan Zulkifli mewujudkan suasana kononnya dalam parti komponen HARAPAN Terengganu dilanda masalah.

Barah perlu diubati segera dalam HARAPAN Terengganu.

Membiarkannya akan menyebabkan merebaknya kemusnahan HARAPAN daripada dalam.

Majlis Presiden HARAPAN perlu menangani segera kelemahan ini jika mempunyai HARAPAN untuk tawan Terengganu.

Jika tidak, lupakan sahaja. Teruskan dengan kepimpinan ‘cara Raja Bahrin’ yang dibantu oleh panglimanya, Zulkifli yang kini sudah dilantik Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

No comments: