Tuesday, June 7, 2016

PRK Sungai Besar - Tiga Agenda Di Sebalik Tiga Penjuru


"Kali pertama melihat bendera oren berkibar, ia sudah boleh dianggap sebagai satu pencapaian membanggakan. Bendera oren terang memancar yang berkibar di Sungai Besar ibarat memanggil atau menjemput masyarakat setempat yang tidak pernah tahu tentang kewujudannya..."


PAS dan Amanah, kalau tidak banyak, mungkin sedikit sudah dapat mencongak siapa akan jadi juara pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Tetapi sebenarnya dalam pertandingan kali ini, siapa kalah siapa menang tidaklah begitu penting bagi dua parti ini, begitu juga dengan Barisan Nasional (BN).


Jika BN kecundang, kesannya hampir sifar, tiada apa pun yang akan berubah dalam kerajaan Persekutuan, mahu pun kerajaan Selangor.

Jika PAS tewas pun, ia bukan luar biasa kerana mengikut rekod PAS memang tidak pernah menang di kerusi tradisinya ini. Apatah lagi jika Amanah yang pertama kali bertanding ini kalah, memang tiada siapalah yang akan kata apa-apa.

Tetapi, di Sungai Besar, ketiga-tiga parti dilihat mempunyai agenda tersendiri yang bersifat parti dan peribadi sebaik sahaja gelanggang PRK dibuka. Masing-masing turun ke gelanggang dengan memandang ke arah yang lebih ‘jauh tapi dekat’, iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Namun harus diingat, jika BN menang sekali pun, kegembiraannya mungkin hanya dua hingga tiga minggu sahaja. Berlabuhnya tirai PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar, bermaksud semua kita menunggu pentas PRU-14 dibuka. Tiada lagi PRK lain selepas ini.

Tetapi, ketika berceramah, Budiman tidak lupa mengingatkan pengundi tentang pentingnya PRK kali ini kerana dalam sejarah, ia merupakan PRK yang diadakan paling hampir dan singkat jaraknya menuju ke sebuah PRU.

Andai kata-kata Budiman itu ‘masuk’ ke hati sanubari pengundi, sekurang-kurangnya, jika BN menang kali ini, mereka dapat melangkah ke arah PRU-14 dengan lebih yakin dan bersemangat selepas menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Barangkali itulah agenda BN pada kali ini, mahu jadikan kemenangan di Sungai Besar sebagai modal kempen dan rekod baik parti untuk diceritakan kepada pengundi ketika PRU-14 kelak.

Lain pula halnya dengan PAS dan Amanah di mana Sungai Besar seolah-olah menjadi tempat mereka beradu  sama ada ‘kau atau aku lebih hebat’. Ini berlaku selepas rundingan demi rundingan dibuat dengan Pakatan Harapan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru gagal.

PAS langsung tidak mahu berundur dan beri peluang kepada Amanah atau PKR untuk menentang BN atas pendirian ‘ini kerusi tradisi kami’.

Sudahnya, mereka bertemu di tiga penjuru!

Dan, selepas bilangan penjuru dimuktamadkan dalam proses penamaan calon, barisan pimpinan kedua-dua parti ini mula mahu melupakan konflik kerusi sebelum ini dengan mengeluarkan kenyataan kononnya mereka mahu terus bergerak ke hadapan dan beri fokus untuk jatuhkan BN.

Hakikatnya ia tak ubah sebagai retorik atau ‘ayat penyedap’ sidang media sahaja kerana secara logiknya BN memang sukar untuk jatuh bila terjadinya pertembungan tiga penjuru.

Kesimpulannya, dua parti pembangkang ini lebih rela membuka laluan mudah untuk BN menang.

Apabila berlaku situasi seperti ini, jumlah undi yang terpecah inilah yang menjadi agenda dan mahu dilihat sangat oleh PAS dan Amanah.

Daripada jumlah undi yang diperolehi nanti, PAS sudah pasti akan melakukan sesuatu untuk mengukuhkan kedudukannya.

Mungkin dengan keputusan yang diumumkan nanti, mereka sedar akan hakikat bahawa PRU mendatang bakal memberikan banyak kebarangkalian dan kemungkinan, lebih kepada yang tidak baik buat mereka selepas mereka keluar daripada Pakatan Rakyat.


Kali pertama melihat bendera oren berkibar, ia sudah boleh dianggap sebagai satu pencapaian membanggakan. Bendera oren terang memancar yang berkibar di Sungai Besar ibarat memanggil atau menjemput masyarakat setempat yang tidak pernah tahu tentang kewujudannya untuk mengenali parti itu dengan lebih dekat.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengakui bahawa komitmen dan kejayaan ini bakal memberikan pemangkin kepada kebolehan untuk melakar sebuah naratif melawan Umno dan BN.

“Bila masa idealisme dikumpulkan dan digarap dalam gagasan Pakatan Harapan, sebenarnya agenda kita melangkaui PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semata-mata.

“Sudah tentu bila kita mengguna pakai jentera-jentera tempatan yang kita harap untuk memenangi hati pengundi sempena bulan Ramadan, niat kita bukan untuk mengasari sesiapa pun, tapi niat kita untuk mempelopori langkah menuju usaha menyelamatkan Malaysia dalam PRU-14 nanti.

“Jika kita tidak berani mengorak langkah sekarang, bila lagi?,” katanya.

Bagi Amanah, yang membawa nama Pakatan Harapan, mereka tenang-tenang sahaja!

Selalu sangat kedengaran calon BN Budiman Mohd Zohdi berkata dirinya adalah calon ‘underdog’ walaupun beliau nampak yakin dengan kelebihannya sebagai calon tempatan. Hal ini memang ketara dan semua orang nampak!

Bagi BN yang setengah pihak katakan sudah ‘tenat’, kemenangan di Sungai Besar penting bagi membuktikan kepada rakyat bahawa tanggapan itu dusta.

Dengan kemampuan mempertahankan kerusi Allahyarham Datuk Noriah Kasnon, ia juga dapat membuktikan dacing yang menjadi simbol parti masih ‘berfungsi’ dengan baik.

Sunday, June 5, 2016

Budiman Kata PAS Berebut ‘Hati Azmin’, Mujahid Pula PAS Tengah ‘Mabuk’


Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi menganggap PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai dua kekasih yang bergelut untuk merebut 'sekeping hati' yang sama.

Kata ADUN Sungai Panjang itu, keadaan berkenaan menyebabkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bingung dan "pening kepala".

Pada masa sama, Budiman menganggap PAS yang akan menentangnya dalam pilihan raya kecil 18 Jun ini sebagai "kekasih gelap" Azmin.

Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa pula menuduh parti lamanya PAS, jadi mabuk dengan perkauman UMNO dan mengetepikan kepercayaan parti terhadap universalisme Islam.

Mujahid berkata bapanya, Yusof Rawa, pengasas PAS menegakkan prinsip Islam sepanjang hidupnya.

Bagaimanapun, PAS kini menjadi perkauman selepas “mabuk dengan doktrin UMNO, kenyataan perkauman dan fitnah terhadap masyarakat Cina dan DAP”.

Kenapa Budiman anggap PAS kekasih gelap?

"Pada masa yang sama dia (Azmin yang mewakili PKR) ada 'isteri' yang bernama PAS. Kemudian dia binkan dengan PKR. Pada masa yang sama dia ada kekasih gelap nama PAN (merujuk kepada AMANAH), bin dengan DAP.

"Kalau kita lantik (ADUN) daripada PAN, hari ini pun Azmin dah pening kepala," katanya
Budiman berucap kepada masyarakat setempat di suatu program lawatan di Homestay Batu 23, Sungai Nibong semalam.

Kata Budiman, hubungan Azmin dengan PAS dan AMANAH seperti dua kekasih gelap yang "berebut satu hati yang sama".

Mengenai calon PAS Dr Abdul Rani Osman, Budiman berkata terlalu sukar untuk ADUN Meru itu mengelola Sungai Besar jika berlaku sebarang kecemasan.

"Jika ada adinda yang dekat (merujuk kepada dirinya sebagai ADUN Sungai Besar) mengapa perlu pilih orang jauh (Rani)?" katanya.

Budiman turut menyentuh calon AMANAH Azhar Abdul Shukur yang disebut-sebut sebagai anak tempatan. "Tetapi dia mengundi pun di Temerloh," katanya.

Pilihan raya kecil Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini ekoran kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dalam kemalangan helikopter di Sebuyau pada 5 Mei lalu.

Penamaan calon untuk pilihan raya kecil itu diadakan hari ini. Proses itu akan dijalankan serentak dengan kawasan parlimen Kuala Kangsar.



Sementara itu, Mujahid mengeluarkan kenyataan itu sebagai respon terhadap komen dibuat pemimpin Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa DAP menyediakan ahlinya dengan “arak”, hingga menyebabkan mereka keluar untuk menubuhkan AMANAH.

“Bukan kami yang mabuk, kamu yang mabuk,” kata Mujahid dan kerana itu mereka “keluar parti (PAS), dan itu semua kerana kamu yang mabuk dengan UMNO.” (baca tulisan Mujahid seperti disiarkan Malaysiakini semalam)

AMANAH, parti serpihan PAS, ditubuhkan tahun lalu selepas sekumpulan pemimpin dalam puak progresif disingkirkan oleh calon konservatif dalam pemilihan parti. Langkah itu diambil susulan perbalahan berterusan antara DAP dan PAS berikutan parti Islam itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan, dan ia disokong UMNO.

Perbalahan itu menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat, dan kemudian AMANAH bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan.

Mujahid juga mengkritik pemimpin PAS yang memakai baju Melayu, kain pelikat dan songkok di muktamar itu, bukan jubah putih tradisi pakaian seragam mereka, yang digambarkannya mengikut gaya pemimpin UMNO.

“Cara mereka (PAS) berpakaian menggambarkan apa yang ada dalam fikiran mereka, sedangkan UMNO pun tidak sejauh itu (membuktikan mereka Melayu),” kata Mujahid.

Katanya, tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan keris untuk memotong kek pada muktamar itu “ejekan” kepada semua orang Islam.