Thursday, August 11, 2016

UMNO Terengganu - Kenapa Menteri Besar Tunggu Sampai TPM Arah?


Wartawan selalunya menggunakan perkataan  diminta, dinasihat  atau dicadangkan bagi sesuatu kenyataan permintaan untuk sesuatu  pelaksanaan.

Dan apabila ia disebut DIARAHKAN (ORDERED) , ia adalah  sesuatu yang bersifat keras dan tiada tolak-ansur lagi. Dengan kata lain MESTI dilaksana atau dipatuhi.

Ia sudah diperingkat tegas dan serius dan tidak boleh berdolak-dalik lagi.
  
Jadi, apabila BERNAMA menyebut Menteri Besar Terengganu telah diarahkan supaya merapatkan semula barisan kepimpinan Umno di negeri itu, ia adalah ‘perintah’.

Arahan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman semalam ialah bertujuan memperkukuhkan kembali Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Kenapa tunggu sampai keluar arahan sedemikian untuk tindakan menyelamatkan UMNO Terengganu?

Arahan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan kerana faktor dalaman parti, BN kehilangan kuasa di Terengganu. 
  
"Kita telah ada pengalaman dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang menyebabkan hilang kuasa di Terengganu," katanya.  
  
Apakah yang tidak kena sehingga diarahkan sedemikian?

Menurut laporan BERNAMA,   Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah menemui Ahmad Razif malam kelmarin dan mengarahkannya supaya membuat perkiraan politik yang teliti.

Perkiraan politik yang teliti? Apa yang tidak teliti?

Sehingga ini Dr Ahmad Zahid tidak menyebut dengan jelas ‘apa yang tidak teliti’ itu.


Mungkinkah kerana arahan ini semalam Ahmad Razif menyataan kesediaannya berdamai dengan Ahmad Said?

Laporan Berita Harian Online, menyebut Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir tiba-tiba sahaja mengaku bersedia berbincang serta mengambil satu ketetapan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

 "Saya tiada apa-apa isu dengan ADUN Kijal. Jika betul dia bersedia berdamai, saya dengan hati yang lapang dan terbuka sentiasa menghulurkan tangan ke arah perdamaian.

"Segala syarat ditetapkan akan saya penuhi asalkan tidak merugikan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, di Kuala Terengganu semalam.

 Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan kesediaan Ahmad untuk berdamai, tetapi menetapkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi Ahmad Razif.

Menurut Ahmad Razif, antara syarat ditetapkan Ahmad Said  ialah melantik semula beberapa pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ditamatkan kontrak.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri bersedia memenuhi syarat ditetapkan, asalkan ia tidak membeban dan menjejaskan kerajaan.

"Kita akan tengok semula punca pegawai terbabit ditamatkan kontrak. Jika disebabkan masalah integriti, kerajaan negeri tidak akan berkompromi, tetapi jika pegawai GLC terbabit ditamatkan atas sebab lain, kita akan pertimbangkan," katanya.

Hakikatnya banyak lagi perkara yang disebut oleh Ahmad Said yang selama ini dibiarkan ‘tergantung’ oleh Ahmad Razif yang bukan lagi rahsia kepada rakyat negeri ini.


Berdasarkan kepada kenyataan Dr Ahmad Zahid itu, apakah ini bermakna sebelum ini perkiraan politik yang dilakukan oleh Menteri Besar itu ‘mengikut rasa’, tidak cermat dan ‘kurang teliti’?

Kenyataan keras Dr Ahmad Zahid ini menyerlahkan betapa Ahmad Razif tidak teliti dalam pengurusan dan tindakan yang diambil dalam pentabiran dan keputusan berkaitan UMNO Terengganu.
    
"Dalam perkiraan matematik politik, satu ditolak, kita boleh hilang kesemuanya dan saya telah arah beliau (Ahmad Razif) membuat perkiraan politik secara teliti.

Juga beliau perlu merapatkan kembali saf kepimpinan," kata Timbalan Perdana Menteri itu kepada pemberita di Bali semalam.

Walaupun agak jauh dari bumi Terengganu, dan ketika dalam lawatannya di luar negara, Timbalan Perdana Menteri terpaksa membuat kenyataan sedemikian yang menunjukkan kebimbangan beliau terhadap suasana  politik Terengganu.

Pasti ada yang tidak kena dengan apa yang dibuat oleh Ahmad Razif sehingga Dr Ahmad Zaid menunjukkan rasa tidak puas hati beliau yang sebegitu sekali.
    
Krisis politik di Terengganu dikatakan tegang apabila bekas menteri besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Datuk Seri Ahmad Said bakal dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana bertindak berlawanan dengan kerajaan pimpinan BN termasuk mengusul undi tidak percaya kepada menteri besar. 
   
Kedudukan kerajaan negeri itu menjadi goyah jika Ahmad Said dikenakan tindakan pecat daripada Umno memandangkan BN memiliki 17 kerusi dalam dewan undangan negeri Terengganu manakala Pas 14 dan PKR satu kerusi.    


Menurut Timbalan Perdana Menteri, semua pihak harus melihat kepentingan jemaah adalah lebih daripada kepentingan peribadi.
  
Beliau juga yakin Ahmad Said mempunyai jiwa yang besar untuk menyelamatkan Umno di negeri itu.

Dengan arahan ini diharapkan percanggahan pendapat serta  konflik antara Ahmad Razif dan Ahmad Said segera selesai.

Demi UMNO, kedua-dua pemimpin sepatutnya menghulurkan tangan untuk berdamai dan mengalahlah di mana tempat yang antara mereka perlu mengalah.

Sunday, August 7, 2016

‘Sokong Bersih 5’ – Giliran Musa Hasan Pula Menjadi ‘Mangsa Belasahan’ ?


Selepas ini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula akan menjadi ‘mangsa belasahan’ oleh pemimpin UMNO dan kumpulan gerakan yang menyokong Perdana Menteri.

Apa puncanya? Kerana Musa menyebut 'Bersih 5 tak akan jejas imej negara...'

Apa lagi apabila beliau menegaskan bahawa sesiapa pun boleh komen apa-apa di negara ini. Kerajaan perlu bersikap terbuka.

“Banyak isu yang dibangkitkan sekarang yang sudah pun memberi kesan kepada imej negara, saya rasa satu lagi penganjuran himpunan tidak akan jejaskan apa-apa yang berkaitan dengan imej negara,” tegas Musa.

Musa bependapatpenganjuran himpunan Bersih 5 di jalanan tidak akan menjejaskan imej negara selagi ia tidak bercanggah dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Sudah pasti pandangannya ini tidak akan dapat diterima oleh mereka yang bimbang akibat perhimpunan berkenaan. Bukan kerana kemungkinan ‘pertumpahan darah’.

Tetapi pemimpin UMNO dan penyokong Perdana Menteri sebenarnya bimbang ia akan mempengaruhi rakyat dan kempen ‘anti-Najib’ akan semakin berleluasa.

Pada 25 Julai, dilaporkan bahawa kumpulan itu tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan jika ia bertujuan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Sudah pasti pendirian Musa ini diukuti dengan pnuh minat oleh pemimpin UMNO, lebih-lebih lagi pemimpin Baju Merah, Datuk Jamal Yunos.

Ini kerana Jamal pada 23 Julai lalu mencabar pengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meneruskan himpunan anti Najib, dengan gerakan Baju Merah akan turut mengadakan himpunan balas mereka.


Dua hari sebelum itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa demonstrasi awam untuk menyingkirkan Najib selepas jabatan kehakiman AS memfailkan tuntutan saman untuk menyita aset yang dikatakan dibeli menggunakan duit daripada 1MDB.

Bekas pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan juga ada menyebut mengenai rancangan untuk mengadakan perhimpunan aman atas alasan sama.

Jamal mahu menjadikan jalanan merah lagi dengan Himpunan Baju Merah 2.0 jika Bersih 5 meneruskan himpunan anti Najib.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu memberi amaran demikian pada sidang media di Dataran Sogo selepas mengadakan perhimpunan kecil pada hari berkenaan.

“Jika mereka hendak singkirkan perdana menteri, buat menerusi PRU yang tidak lama lagi. Tidak faham bagaimana seseorang yang menjadi perdana menteri selama lebih 20 tahun kini menjadi orang yang mengetuai pemberontakan terhadap demokrasi perlembagaan kita.” katanya.

Jamal menegaskan,  pendekatan yang diambil itu tidak menunjukkan negara demokrasi. Ketika ditanya bila beliau akan mengadakan perhimpunan itu, Jamal berkata mereka akan menganjurkannya pada waktu yang sama dengan bantahan anti Najib, jika ia berlangsung.

“Kali ini kami akan buat lain sedikit dengan mengadakan himpunan pada waktu yang sama dan saya jangkakan akan ada lebih 300,000 datang bagi Perhimpunan Baju Merah 2.0, jika kami terpaksa mengadakannya,” katanya.

Rancangan mengadakan perhimpunan Bersih 5 muncul selepas  Jabatan Kehakiman AS menuntut untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4.06 bilion) yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB.


Tan Sri Khalid Abu Bakar  baru-baru ini  berkata Bersih 2.0 akan diberi lampu hijau untuk menganjurkan perhimpunan kelima mereka, asalkan kumpulan yang menuntut reformasi pilihan raya itu mematuhi ketetapan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Apa yang mereka perlu lakukan adalah mematuhi peraturan Akta Perhimpunan Aman dan kami akan menyokong mereka dengan senang hati," katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Rabu lalu.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/08/03/polis-benar-bersih-5/

Ketua Polis Negara berkata, polis tidak mempunyai masalah untuk membantu kumpulan itu dalam hal-hal keselamatan.

Khalid dipetik: "Terdapat peruntukan-peruntukan tertentu untuk meminta perdana menteri meletak jawatan. Ikut prosedur."

Jika demikian, kepada pula Baju Merah mahu menyaingi perhimpunan Bersih 5 pada hari berkenaan?

Musa berpendapat, rakyat perlu mengikut peraturan dan undang-undang Akta Perhimpunan Aman yang ditetapkan pihak berkuasa ketika menyertai himpunan tersebut.

“Kita tahu tujuan (himpunan) Bersih diadakan hanya untuk menyuarakan hak suara dan pendapat masing-masing. (Tetapi) kalau mereka (peserta) tak ikut peraturan undang-undang, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) yang diluluskan di Parlimen pada November 2011 adalah kerangka undang-undang berhubung hak perlembagaan warganegara untuk berhimpun.

Ia bertujuan bagi memastikan kebebasan individu untuk berhimpun secara aman, selaras dengan hak yang termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan, selain memastikan warganegara menganjurkan dan menyertai himpunan aman tanpa senjata dengan sekatan tertentu demi kepentingan dan keselamatan awam.


Musa berpendapat,  kerajaan seharusnya membuktikan mereka terbuka dengan membenarkan rakyat turun menyuarakan hak masing-masing di jalanan.