Wednesday, February 15, 2012

Mohd Zin Dilantik Koordinator BN Selangor

Kepimpinan Barisan Nasional (BN) memilih Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed sebagai Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor berkuatkuasa serta-merta.

Tidak diketahui sama ada ini akan menyaingi kedudukan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar atau tidak.

Perdana Menteri yang juga Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Selangor pastinya mempunyai sebab kukuh untuk melantik Mohd Zin.

Setiausaha BN Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar berkata Najib mengumumkan pelantikan itu pada satu mesyuarat tertutup BN Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis lepas.

"Mohd Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang akan memperincikan lagi gerak kerja parti secara lebih menyeluruh supaya dapat memenangi hati rakyat untuk dipilih mentadbir semula negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 kelak," kata Mohamed Idris dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Zin sebelum ini mendapat keyakinan dan kepercayaan Perdana Menteri apabila dilantik sebagai Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya BN negeri awal tahun lepas, katanya.

BN kini menguasai 21 kerusi berikutan pilihan raya umum lepas. BN memerlukan sekurang-kurangnya 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah pada pilihan raya umum akan datang.

Tahniah Datuk Zin!

Skandal Pasir: Orang Muda Selangor Buat Laporan Kepada SPRM



Sekretariat Orang Muda Selangor (SERANG) Selasa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan dua pendedahan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin termasuk skandal pasir di Selangor.

Pengerusi SERANG, Budiman Mohd Zohdi berkata badan bukan kerajaan itu mahu SPRM membuat siasatan terhadap pendedahan itu dalam portal Malaysia Today, http://malaysia-today.net Khamis lepas berhubung pembabitan dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dalam skandal pasir tersebut.

"Kami mendesak pihak SPRM menyiasat dakwaan ini sekiranya wujud salahguna kuasa, konflik kepentingan kerana menyokong syarikat yang mereka sendiri merupakan Anggota Lembaga Pengarah syarikat.

"Sekiranya dakwaan Raja Petra merupakan satu fitnah maka kita mencabar mereka (dua wakil rakyat PKR itu) membuat laporan polis terhadap dakwaan Raja Petra. Namun, sehingga hari ini, tiada laporan polis dibuat lagi," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sebelum itu, Budiman bersama kira-kira 20 penyokong SERANG berkumpul di perkarangan SPRM memegang poster bantahan berhubung skandal pasir di Selangor.

Selain skandal pasir, Budiman berkata SERANG turut membuat laporan kepada SPRM berhubung pendedahan Raja Petra pada 6 Jan lepas bahawa abang ipar kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berjumpa dengan pihak pemaju dengan tujuan mendapatkan wang untuk mempercepatkan kelulusan projek-projek kerajaan negeri Selangor.

"Kami percaya tindakan ini berunsurkan rasuah dan meminta SPRM menyiasat dakwaan ini.

"Kami, wakil Orang Muda Selangor berasa sangat kecewa dan dukacita dengan perkembangan kerajaan negeri Selangor yang bertentangan dengan manifesto pilihan raya umum ke-12 bahawa pentadbiran mereka telus, berwibawa dan bebas daripada kronisme... Mereka lebih buruk daripada kerajaan terdahulu," katanya.

SERANG yang ditubuhkan pada hujung 2008, mewakili suara orang muda di Selangor, khususnya mereka berumur 40 tahun ke bawah, bertujuan membuat teguran kepada kerajaan khususnya berhubung penyelewengan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional negeri, Datuk Seri Noh Omar mengingatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak terus bermain 'wayang' berhubung isu penyelewengan pasir di negeri itu.

Katanya, pihaknya mempunyai dokumen serta bukti kukuh bagi membuktikan kegiatan tersebut sememangnya berlaku.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan segala bukti dan dokumen tersebut apabila tiba masanya nanti.

"Dakwaan yang mengatakan syarikat yang monopoli perlombongan pasir di Selangor, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) diurus secara telus hanya mainan politik untuk menutup isu tersebut.

"Justeru amat wajar sekiranya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan kerana banyak persoalan yang perlu dijawab oleh Menteri Besar itu.

"Sekiranya mahu bukti, kita ada semua bukti termasuk surat menyurat, transaksi bank dan akuan bersumpah orang-orang terlibat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Padi Pertubuhan Peladang Peringkat Kebangsaan 2012 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Khalid yang menolak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan wujudnya skandal penyelewengan pasir di negeri itu dan turut dikaitkan dengan kes kematian Datuk Patrick Wong Kie Yik.

Tambah Noh, jika isu penyelewengan tidak wujud, mengapa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) menyiasat perkara itu tetapi berhenti separuh jalan.

"Di mana yang dikatakan ada ketelusan dalam pengurusan pasir? Apabila ada kes melibatkan bekas pemimpin BN, Selcat telah dijalankan secara terbuka tetapi bila ada dakwaan penyelewengan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang semuanya ditutup.

"Inilah makna keadilan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu apabila timbul isu penyelewengan membabitkan kepentingan mereka semua itu akan ditutup," jelasnya.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar dengan penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin pakatan pembangkang di Selangor lebih-lebih lagi dalam isu pasir.

"Jangan cuba untuk menipu rakyat dengan ayat-ayat retorik sahaja kerana segala penyelewengan itu akan didedahkan," ujarnya.