Thursday, September 19, 2013

Perkasa Desak Khalid Ibrahim Jelas Mesyuarat Exco, Pemukiman Di Bangkok


Dua NGO di Selangor mendesak Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim memberi penjelasan berhubung tindakan kerajaan negeri mengadakan mesyuarat exco dan permukiman di Bangkok, Thailand bermula semalam.

Yang Dipertua PERKASA Selangor Abu Bakar Yahya berkata Khalid perlu memberi penjelasan berhubung maksud tersirat program 'retreat' yang bermula semalam dan hari ini, lapor Berita Harian hari ini.

"Penjelasan itu penting bagi menafikan dakwaan mereka pergi ke sana juga bertujuan menziarahi mendiang Chin Peng, yang mati Isnin lalu.

"PERKASA Selangor berharap pemergian mereka ini tiada helah lain. Apapun biar rakyat menilai sama ada benar-benar untuk rakyat negeri ini atau sebaliknya," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Dalam laporan yang sama, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor Datuk Sohaimi Shahadan mempersoal keperluan tindakan kerajaan negeri itu dan menganggap tindakan tersebut langsung tiada keperluan.

"Abdul Khalid perlu perjelas kerana sebelum ini beliau mendabik dada kononnya menguruskan belanjawan berhemat.

Lawatan seperti itu pasti membabitkan implikasi kewangan kerana pegawai kerajaan negeri juga turut dibawa.

"Dimana punca kewangan untuk lawatan itu kerana jika tidak, ia pasti dianggap membazirkan wang rakyat," katanya. Sementara itu, akhbar itu juga memetik sumber di Pejabat Menteri Besar Selangor sebagai berkata permukiman itu telah diatur lebih dua minggu lalu dan menafikan lawatan berkenaan mempunyai kaitan dengan kematian Chin Peng.

"Ia sudah dirancang pejabat Dewan Undangan Negeri. Selain menteri besar dan exco, setiausaha kerajaan negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Penasihat Undang-undang Negeri Datin Paduka Zauyah T Loth Khan, dan Pegawai Kewangan Datuk Noordin Sulaiman turut menyertai program itu di sana.

"Mesyuarat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) serta mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) juga diadakan di sana hari ini (semalam) dan esok (hari ini). Abdul Khalid dijangka pulang ke tanah air esok," kata sumber dalam laporan itu.

Monday, September 16, 2013

Khalid Tidak Perakui Saifuddin Sebagai Ketua Staf Pejabatnya...


Rupa-rupanya masalah sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu belum berakhir. Bukan sahaja tidak berakhir tetapi semakin serius.

Pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang melewati penggal kedua dilaporkan kian berantakan.

Sebuah portal mesra BN melaporkan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang dilantik sebagai Ketua Staf Pejabat Menteri Besar Selangor baru-baru ini bertindak memperli atau cuba mengaburi mata rakyat kerana tidak memasuki pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Saifuddin memberitahu media beliau sudah memulakan tugas di pejabatnya, yang menurut beliau serba lengkap dari segi kemudahan dan kakitangan.

"Saya dah masuk, pejabat saya cantik, berhawa dingin dan mempunyai kakitangan yang berdedikasi, saya puas hati dengan keberadaan pejabat saya yang baru.

"Antara tugasan lain saya sebagai ketua staf pejabat kepada Tan Sri Khalid (Ibrahim), adalah berkenaan pembangunan desa, dari segi strukturnya saya akan berada dalam sekretariat dan unit perancangan ekonomi negeri,” katanya.

Bagaimanapun, sumber Bahagian Pengurusan dan Penyelenggaraan bangunan SUK mempertikaikan dakwaan bahawa Saifuddin diberikan pejabat "cantik dan kakitangan berdedikasi", menurut portal berkenaan.

Sebaliknya menurut sumber itu, Saifuddin hanya diberikan sebuah bilik tanpa kemudahan asas mahukan pasukan kakitangannya sendiri di tingkat 5, berhampiran Seksyen Sektoral Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor.

“Bilik berkenaan hanya dilengkapkan dengan sebuah meja dan kerusi. Sehingga hari ini tidak ada sebarang permintaan daripada pejabat Menteri Besar atau Datuk Saifuddin sendiri untuk mendapatkan sambungan telefon, komputer serta peralatan pejabat yang lain," kata sumber itu.

“Kami difahamkan, pejabat itu akan digunakan secara sementara, tetapi belum ada sebarang arahan untuk menyediakan bilik tetap seperti di tingkat 21,” kata sumber itu lagi.

Tingkat 20 dan 21 Bangunan SUK menempatkan pegawai-pegawai kanan Khalid termasuk Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin dan Setiausaha Akhbarnya Arfa Aziz untuk menyenangkan mereka berurusan terus dengan Khalid.

Saifuddin nampaknya tidak mempunyai kemudahan seperti itu.

Malah menurut portal itu lagi, cubaan menghubungi Saifuddin di SUK mengesahkan kenyataan itu apabila telefonis SUK memaklumkan pemimpin kanan PKR itu tidak mempunyai talian langsung.

Khalid sebelum ini berkata, Saifuddin tidak perlu masuk ke pejabat kerana urusan kerja boleh dibereskan dengan komputer riba, justeru tidak perlu datang ke pejabat.

Kemelut mengenai kedudukan Saifuddin di pejabat Menteri Besar Selangor mendedahkan politik dalaman PKR yang masih panas, membabitkan Faekah, Khalid dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Saifuddin "dihantar" bekerja di pejabat Khalid atas arahan Anwar, namun keputusan itu tidak disenangi oleh Faekah dan Khalid.

Justeru, Saifuddin dipinggirkan oleh kedua-dua mereka sehingga dinafikan kemudahan asas pejabat yang setera dengan kedudukannya di Pejabat Menteri Besar.

SH Online