Showing posts with label Annuar Musa. Show all posts
Showing posts with label Annuar Musa. Show all posts

Tuesday, November 3, 2009

ANNUAR MUSA DAN BOLASEPAK

Oleh Mohd Sayuti Omar

SEHARI sebelum berlangsungnya perlawanan separuh akhir piala Malaysia antara Kelantan dengan Perlis saya minum kopi dengan dua orang kawan. Seorang merupakan ahli Umno tegar yang sama bahagian dengan Presiden Bola Sepak Kelantan, Annuar Musa. Manakala seorang lagi bekas pengurus bank yang merupakan seorang yang sangat alergik bila mendengar nama Annuar.



















Perbualan atau pertemuan dengan mereka berdua ini adalah pertemuan biasa atau rutin menghabiskan masa malam sebelum berihat. Pertemuan ini diisi dengan bual bicara topik-topik politik semasa. Sesekali terpacul juga balada Manohara Odelia Pinot.

Perbualan kami selalunya menekan kepada politik Umno dan Pas Kelantan. Sedikit-sedikit ditambah dengan ulasan terhadap pemuka-pemuka politik Kelantan tidak kira dari Umno ataupun Pas yang mengandungi berbagai rasa, warna dan bau!

Malam itu banyak juga yang kami bualkan. Kira-kira tiga jam kami melangguk di kedai itu. Habis tiga cawan tea dan semangkuk seorang laksa Penang.

Apa yang menarik perhatian dalam perbualan itu dan rasanya elok kalau dicatat di sinilah mengenai kemampuan Annuar Musa membawa bola sepak Kelantan ke persada hari ini. Sentuhan Annuar Musa terhadap bola sepak nampaknya membawa sinar dan semangat baru. Beliau benar-benar mengembalikan maruah Tok Janggut dalam arena bola sepak.

Betapa tidak hampir 40 tahun pasukan Kelantan gagal untuk bergaya di perlawanan akhir. Dan kejayaan Kelantan menewaskan Perlis, 5 -1 dan sekaligus membawa Kelantan ke pelawanan akhir 7 November depan adalah satu sejarah untuk bola sepak Kelantan dan kejayaan manis buat presidennya itu.

Menilai kejayaan demi kejayaan diraih pasukan bola sepak Kelantan, menyebabkan kawan saya mengira Annuar Musa lebih sesuai dan serasi untuk jadi presiden bola sepak Kelantan (Kafa). "Nampaknya beliau lebih berjaya menguruskan bola sepak daripada politik Kelantan," begitulah ujar kawan itu.

Saya mengangguk-angguk selamba mendengar kenyataan itu sambil menghirup kopi. Apa lagi pada sorenya seorang kawan blogger juga menyatakan hal yang sama. Kata blogger yang kini bermukim di Kuala Terengganu itu; "Kenapa Annuar berjaya dalam bola sepak ialah kerana kesungguhan beliau untuk membawa kejayaan kepada Kelantan."

"Demo tengok semasa kecoh penjualan tikit di Stadium Sultan Mohamad ke - IV dua hari lepas, dia turun sendiri dan jual tikit di kaunter. Kalaulah dia buat begitu dalam politik, maksudnya dia bagikan projek dan duit kepada rakyat, tentu rakyat Kelantan akan menyokongnya dan kawe yakin Umno akan menang," kata blogger itu sedikit menyinis.

Saya bertanya buat-buat tidak tahu, maksudnya? "Herannya dalam politik dia tidak buat begitu. Dapat duit dia makan seorang. Bagi juga tapi... ala kadar sahaja kepada pengundi," jelas kawan itu semacam dia nampak apa yang Annuar lalukan. Saya tidak berhasrat untuk membongkarnya petang itu mungkin dilain kali boleh ditulis mengenai tuduhan kawan itu.

Bila saya hubungkaitkan pandangan blogger itu dengan kata-kata ahli Umno yang sebahagian dengan Annuar itu, ada benarnya. Tetapi saya tidak mahu mengiyakan tuduhan teman blogger itu. Tetapi yang jelasnya apabila Annuar memimpin Kafa, sukan bola sepak Kelantan naik mencanak. Kejayaan pasukan Kelantan ini tidak boleh dinafikan ia adalah atas kesungguhan, inisiatif dan pengurusnya yang kemas dan cekap.

Tetapi kenapa dalam politik Kelantan beliau gagal? Bukan saja gagal membawa Umno untuk tawan Kelantan, tetapi untuk dirinya sendiri juga Annuar seakan hilang formula. Sudah tiga kali Annuar kalah. Ketiga-tiga di kerusi parlimen Ketereh atau Peringat, dalam kubang tempat beliau dilahirkan sendiri.

Dalam pilihan raya 1990 beliau kalah kepada Mohamad Sabu, orang Pulau Pinang. Dalam tahun 1999 kalah pula kepada Mohamad Mustafa seorang ustaz. Dan kali ketiga kalah pula kepada Abdul Aziz Kadir anak didiknya sendiri semasa Aziz dalam Umno.

Melihat perjalanan hidup Annuar dalam politiknya sesuatu yang menghairankan. Apakah orang Kelantan tidak tahu menilai kebolehan Annuar? Ataupun ada sesuatu yang melekat ditubuh Annuar sehingga ianya mengeluarkan aura tidak menyenangkan. Secara ikhlas, bagi saya jika hendak dibandingkan kualiti tokoh-tokoh Umno Kelantan yang ada hari ini, semuanya tidak dapat menandingi di segi wibawa dan kehebatan personaliti sebagai seorang ahli politik yang ada kepada bekas Pengerusi Umno Kelantan itu. Selain daripada memiliki daya pidato yang menarik, Annuar juga berani, berprinsip dan ada ketegasan dalam membuat keputusan. Cara bekerja beliau juga bersistematik dan berpandangan jauh.

Barangkali benarlah kata orang, kamu hebat dalam satu-satu bidang tidak bermakna kamu tahu dalam bidang lain. Dalam tempoh tidak sampai lima tahun Annuar memegang Kafa ia telah menyerlahkan kejayaan membanggakan. Sebaliknya dalam politik beliau masih lagi mencari formula bagaimana hendak bangunkan politik Umno Kelantan.

Pun begitu secara peribadi Annuar sudah dapat berbangga. Kerana beliaulah satu-satu tokoh Umno Kelantan yang dilantik menjadi menteri dalam usia dibawah 35 tahun. Annuar pernah menjadi menteri. Hampir semua jawatan politik telah dipegangnya, kecuali Exco dan Menteri Besar. Annuar secara peribadi juga harus berbangga atas pencapaiannya itu yang dilihat beliau hanya anak seorang tok lebai Bukit Marak.

"Kawan yakin Kelantan boleh masuk akhir. Dan kalau Kelantan berjaya jadi johan nanti, eloklah kalau dia berhenti terus politik dan tumpukan kepada bola sepak. Biarlah dia berhenti dalam keadaan orang menyebut namanya atas kejayaan bola Kelantan," ujar kawan itu setelah mendengar saya mengulas mengenai kelebihan dan kekurangan yang ada kepada Annuar.

Minta kawan itu lagi Annuar lepaslah ketua bahagian Ketereh kepada kawannya Alwi Che Amat. "Demo tolong royaklah ke dia," suruh kawan itu mengharapkan saya menyampai pandangannya.


Saya menerima alasan kawan itu. Ada baiknya kalau Annuar bercadang untuk bersara dalam politik. Tetapi untuk Annuar berhenti bukan senang. Darah yang mengalir dalam tubuhnya lebih dimerahi politik daripada bolasepak. Bola sepak itu pun pada tilikkan saya satu perlarian sementara untuk beliau menghilangkan rasa kecewa. Dalam masa sama beliau bercadang untuk menggilap dirinya dengan bolasepak. Nah... hari ini gilapan itu makin bersinar pula maka makin sukar kalau Annuar hendak palang namanya dari buku politik.

Betapa tidak bila beliau sudah dapat membawa Kelantan menjadi johan ia adalah satu kejayaan besar bagi Kelantan dan dirinya sendiri. Sejarah akan mencatat bahawa Kelantan berjaya memasuki akhir selepas 40 tahun dan (kalau jadi johan), setelah beliau memimpin Kafa.

"Apakah dengan kejayaan itu rakyat Kelantan boleh menafikan ilmu, kehebatan dan aura kepimpinan yang ada kepada Annuar Musa?' Jawab saya tidak. Jadi harapan kawan saya untuk melihat Annuar Musa meninggalkan Ketua Bahagian Umno Ketereh satu harapan yang sukar dilaksanakan. Justeru apa yang paling baik, kawan saya kena membantu Annuar Musa untuk memulihkan imej politik Annuar di Kelantan bersama politiknya sendiri.

Dalam perhatian saya tanpa bias, berbanding dengan tokoh-tokoh yang ada kini ternyata Annuar jauh lebih baik. Cuma apa yang menjadi masalah kepada Annuar dan juga orang lain menyebabkan rakyat tidak nampak kehebatannya kerana bintang kejora milik Annuar tidak dapat menguakkan sinar kerana ianya dilindungan bulan purnama. Ketokohan si bulan purnama itu begitu hebat dan agung. Tengoklah kalau si bulan purnama itu sudah terkeluar dari orbit politik, bintang kejora atau bintang-bintang lain akan mula menerbitkan sinar.

Sebenarnya Annuar sendiri sedang menanti bulan purnama menutup cahayanya untuk bangkit kembali!

Tuesday, July 28, 2009

ANNUAR MUSA LINGKUPKAN POLITIK UMNO KETEREH ?

Oleh Kerabu Bersuara (byPASs)

UMNO Bahagian Ketereh menangguhkan Persidangan Perwakilan daripada 25hb. Julai kepada 7hb. Ogos 2009 ini berlaku kerana apa yang ku dengar kerana buku penyata tahunan tidak dapat disiapkan seperti yang dijangkakan.

Perkara begini adalah perkara biasa dalam pentadbiran UMNO Bahagian Ketereh, Ketua Bahagian ada hak untuk melakukan apa saja kerana UMNO Ketereh sebenarnya sebagai harta pusaka kepada pemimpinnya. Itulah sebab UMNO Bahagian Ketereh berada dalam keadaan yang amat mantap, tidak ada siapa yang boleh mengugatnya, Dato' Najib Tun Razak pun tidak boleh membaikinya.

Yang ku dengar lagi ialah kekuasaan yang berada ditangan Pegawai Khas kepada Ketua UMNO Bahagian Ketereh, terlalu berkuasa sehingga Ketua Bahagian terpaksa tunduk dan akur diatas kemahuannya, sebagai contoh ialah perlantikan Penyelaras DUN Kadok, sudah tidak ada orang lain lagi yang boleh diberi amanah selain daripada Roslan Hamid bekas calun dan dilantik sebagai Bendahari UMNO Bahagian, kini sebagai Penyelaras DUN Kadok dengan bergaji RM4,000 sebulan, semua orang UMNO Ketereh tahu hubungan diantara Roslan Hamid dengan Pegawai Khas kepada Ketua Bahagian.

Dengar kabar Roslan Hamid tidak begitu bersetuju beliau dilantik sebagai Penyelaras sebab beliau merasa malu kerana jawatan itu bergaji sedangkan jawatan Bendahari sudah berat tanggongjawab untuk memperkuatkan parti. Takkanlah sebagai 'menteri kewangan parti' masih mahu mencari rezeki dengan mengambil gaji untuk berkhidmat kepada parti, tapi gara-gara dikecek oleh orang yang mempunyai pengaruh terhadap Ketua Bahagian kemungkinan besar Roslan Hamid akan terima jawatan tersebut dan gaji sebanyak RM4,000 sebulan itu mungkinlah boleh diagih-agihkan.

Terdahulu daripada ini ada desas desus mengatakan jawatan Penyelaras akan diberi kepada Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian tapi di saat akhir telah bertukar kepada Roslan Hamid dan lebih menguatkan lagi kepercayaan bahawa Ketua Bahagian tidak dapat membuat keputusan yang lebih baik adalah kerana pengaruh Pegawai Khas kepada Ketua Bahagian lebih kebal daripada suara akar umbi terutamanya dikalangan wanita.

Siapa sebenarnya yang berkuasa di UMNO Ketereh, walau pun Annuar Musa kata dia adalah Ketua tapi keputusan tidak ditangan beliau, ada orang yang Annuar Musa takut, jadinya Alwi Che Mat kah, Ismail Latiff kah, hanya ada batu saja tapi tidak dapat berbuat apa-apa sedangkan mereka tahu bahawa keputusan yang Annuar Musa buat itu akan melemahkan parti.

Annuar Musa hanya pandai berpidato diakhir-akhir ini, contohnya cakap lain buat lain, seperti ucapan beliau dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh yang lalu, beliau mengatakan bahawa akan ada tempat kepada bekas-bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dalam sususan pentadbiran parti untuk memperkuatkan jentera parti, tapi akhirnya ucapan itu tidak tertulis dalam buku penyata. Ertinya Annuar Musa berbohong kepada perwakilan UMNO Bahagian.

Ingatan kepada Annuar Musa, Alwi Che Mat dan Ismail Lattif, "JANGAN BANKRUPKAN UMNO KETERAH" dengan memberi kuasa kepada orang yang telah pun bankrup untuk terus berperanan merusakkan parti. Tahu sendirilah siapa?.

Thursday, April 23, 2009

MUSUH MENJADI KAWAN

(hambali1.blogspot.com)

Bolasepak menjangkaui UMNO-PAS.

Bolasepak menolak ketepi fahaman politik. Bolasepak menolak ketepi ‘perselisihan’ agama.
Inilah permainan bolasepak. Ia memang menjadi ‘pendamai’.

Penyokong Kelantan yang terdiri daripada penyokong UMNO dan PAS boleh duduk beriringan dan bersatu hati menyokong pasukan mereka.

Lebih 40,000 penyokong Kelantan dijangka memenuhi ruang Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk bersama menyaksikan sejarah bola sepak negeri itu tercipta dalam perlawanan akhir bola sepak Piala FA pada Sabtu ini.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Haron Ali berkata, keghairahan rakyat Kelantan begitu memuncak dan begitu ramai yang akan memberi sokongan padu bagi menjadikan impian menjadi juara suatu kenyataan.

Uniknya bolasepak, walau di mana juga ‘musuh menjadi kawan’ walau seketika.
Ketika Perang Dunia Pertama, bolasepak menjadi alat untuk meredakan ketegangan.
Jepun dan Korea Selatan yang menjadi penganjur Piala Dunia tujuh tahun lalu (2002) berjaya mendekatkan China dan Korea Utara dengan negara lain di dunia.

Di Kelantan, Stadium Sultan Mohamad Ke IV sebelum digantung, adalah medan berkumpulnya penyokong Kelantan yang terdiri daripada penyokong parti bertentangan UMNO-PAS.

Namun, kerana sebiji bola, mereka melupakan seketika ‘persengketaan’ mereka demi pasukan Kelantan.

Kerana kejayaan masuk final Piala FA Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menjanjikan pasukan Kelantan ke Old Trafford.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, beberapa siri perlawanan persahabatan di lubuk Manchester United dan beberapa insentif lain biarpun berdepan dengan kekangan kewangan setelah Kelantan tidak lagi dibenarkan menjadi tuan rumah.

Presidennya, Tan Sri Anuar Musa yang berhempas pulas memikul bebanan bagi menjayakan misi ini menyifatkan, kemenangan bakal menjadi satu kebangkitan baru dalam arena bola sepak Kelantan.

Yang menariknya, kerajaan negeri (ditadbir PAS) pula cuba menokok lagi semangat mereka dengan janji imbuhan kecemerlangan RM30,000 bagi membawa pulang piala kebanggaan itu untuk tontonan rakyat Kelantan.

Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood menyatakan ia merupakan sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri bagi menghargai jasa pemain dan pengurusan mengharumkan nama negeri dalam sukan yang diminati umum ini.

Jadi, jangan anggap bolasepak permainan murahan dan untuk golongan bawahan. Kesannya besar.

Keghairahan penonton Kelantan yang berduyun-duyun memberi sokongan di stadium barangkali boleh dilihat dengan jualan tiket yang hampir mencecah 10,000 daripada 20,000 yang diperuntukkan kepada KAFA sepanjang dua hari lalu.

Berpuluh-puluh buah bas yang disediakan oleh pelbagai pihak, malah termasuk dari selatan Thai bagi kemudahan membawa mereka untuk memenuhi sebahagian daripada ruang stadium itu kelak.

Juga menarik ialah kerajaan negeri telah mengarahkan usaha menaik taraf tahap keselamatan Stadium Sultan Muhammed IV di sini, dilakukan segera.

Abdul Fattah berkata, ia bagi memastikan keadaan lebih terjamin.

Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob supaya tahap keselamatan stadium yang telah berusia itu tidak lagi dipersoalkan terutama semasa perlawanan bola sepak.

"Kita berharap apabila keadaan di stadium menjadi lebih selamat pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menimbangkan semula larangan yang dikenakan kepada pasukan negeri mengadakan perlawanan di situ," katanya semalam.

Larangan yang dikenakan itu telah menjejaskan sumber kewangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi mengurus skuad negeri yang banyak bergantung kepada jualan tiket di gelanggang sendiri.

Menurut Abdul Fattah, antara yang akan diperkemaskan adalah pagar pemisah dan pintu keselamatan untuk pemain agar tidak mudah terdedah kepada tindak-tanduk penonton.
Ini bermakna dalam setiap perbincangan, kerajaan negeri perlu merujuk juga kepada Annuar selaku Presiden KAFA.

Ini kerana sumbangan Annuar dalam kancah bolasepak Kelantan sejak tahun lalu perlu diambil kira, walaupun Annuar adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

Wednesday, October 15, 2008

ANNUAR TIDAK TANDING NAIB PRESIDEN, MT

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa memutuskan tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mac depan.

Malah beliau juga menetapkan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) yang disandangnya sejak 1991 bagi memberi laluan kepada muka-muka baru.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak yang masih memberi kepercayaan kepadanya dan keputusan yang diambil adalah muktamad setelah menimbang secara mendalam.

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, selain UMNO bahagian Machang yang telah mencalonkan namanya, beliau turut menerima pertanyaan daripada 34 bahagian bagi mengetahui pendiriannya yang sebenar.

''Setelah menimbang dengan semasak-masaknya dan mengambil kira semua aspek, suka saya memaklumkan pendirian muktamad saya bahawa saya mengekalkan pendirian tidak bertanding jawatan Naib Presiden. Saya juga tidak akan mempertahankan jawatan saya sebagai ahli MT yang saya sandang sejak 1991,'' katanya dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lalu, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mahukan Annuar bertanding bagi jawatan Naib Presiden kerana pengalamannya yang panjang dalam kepimpinan parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, Annuar menyatakan beliau memerlukan masa untuk menimbangkannya kerana sebelum ini telah telah membuat ketetapan untuk tidak bertanding apa-apa jawatan kali ini.

''Malah saya sudah menyebut perkara ini kepada Presiden dan MT sebelum mesyuarat bahagian-bahagian dan suka saya memaklumkan secara muktamad saya mengekal pendirian untuk tidak bertanding.

''Namun saya akan tetap aktif membantu pucuk pimpinan dan parti seperti biasa dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri dan MT," ujarnya.

Katanya, tanpa sebarang jawatan sekalipun, beliau akan terus kekal memberi kesetiaan kepada parti dan sedia berkhidmat mengikut apa sahaja arahan pucuk pimpinan.



Mengenai keputusannya itu, ikuti komen Awang Selamat:

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

KETIKA ramai pemimpin tidak mahu melepaskan kesempatan menawarkan diri bertanding pada pemilihan UMNO kali ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Annuar Musa mengambil pendirian berbeza.

Beliau memutuskan tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO malah enggan mempertahankan kerusi Ahli Majlis Tertinggi yang disandangnya sejak 1991.

Sedangkan Annuar merupakan politikus yang berbisa, berketrampilan dan dilihat masih mempunyai harapan untuk meningkat lagi biarpun senario politik di Kelantan tidak memihak kepada UMNO pada masa ini.

Sebab itu, Awang angkat topi kepada Annuar. Beliau membuktikan bahawa jawatan bukan segala-galanya dalam parti. Tanpa jawatan sekalipun kita semua boleh menyumbangkan bakti dan khidmat.

Lalu Awang terbayangkan wajah sesetengah pemimpin dalam UMNO yang sepatutnya boleh mengambil langkah sedemikian bagi memberi peluang kepada generasi pelapis selaras dengan usaha meremajakan parti.

Yang sedihnya mereka ghairah merebut jawatan termasuk berpolitiking keterlaluan dan gagal melihat realiti sebenar. Tidak hairan juga sebahagian calon gagal ‘mengukur baju di badan sendiri’.

Awang – Teruja semangat Annuar.

Monday, October 13, 2008

ANNUAR KE NAIB MEWAKILI NEGERI KALAH PILIHAN RAYA?


Sehingga artikel ini ditulis, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa baru mendapat satu pencalonan bagi bertanding Naib Presiden UMNO.

Ia datang daripada UMNO Bahagian Machang yang mengadakan persidangan perwakilannya 10 Oktober lalu.

Annuar memerlukan 19 pencalonan dan sehingga lewat petang semalam, persaingan bagi tiga jawatan Naib Presiden Umno meningkat kepada 10 calon dengan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendahului dengan 18 pencalonan diikuti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan 11 pencalonan.

Yang lain ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (9), Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (8), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (4), Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim (4), bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim (2), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan (2), bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (2) dan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (1).

Bahagian Machang turut mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jawatan presiden dan dalam proses pengundian yang diadakan secara terbuka walaupun terdapat gesaan di kalangan perwakilan agar dilakukan secara tertutup, jumlah undian yang diterima jauh mengatasi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dua hari sebelum itu iaitu pada 8 Oktober, Annuar dilaporkan sedang menimbangkan kemungkinan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan.
Apapun beliau menegaskan, lebih banyak masa diperlukan sebelum membuat sebarang pendirian mengenainya dengan turut mengambil kira beberapa perkembangan politik semasa.

Menurutnya, beliau harus menilai keupayaan dirinya, selain persepsi dan tahap sokongan di samping pandangan rakan-rakan di negeri-negeri kerana ia melibatkan tuntutan tugas serta tanggungjawab begitu berat dalam menempuh era yang cukup mencabar.

''Saya menghargai pandangan Pemuda UMNO Kelantan, namun berilah saya masa beberapa hari untuk memikirkannya.

''Untuk menawarkan diri tidak susah, namun kita perlu menimbangkan dengan jujur kerana dalam situasi sekarang, tugas sebagai Naib Presiden tidak mudah," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian mengulas kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan yang mahukan beliau bertanding bagi jawatan itu berdasarkan pengalamannya yang lama dalam barisan kepimpinan.

Pergerakan Pemuda Umno Kelantan pada 7 oktober mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu bertanding bagi jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti.

Ketuanya Dali Husin berkata ini berdasarkan kepada pengalaman luas Annuar dalam politik tanah air yang mampu membantu Presiden dan Timbalan Presiden untuk memperkasakan parti terbesar bangsa Melayu itu.

"Cadangan ini berdasarkan kepada pengalaman Tan Sri Annuar Musa yang begitu lama dalam parti dan kerajaan serta memegang pelbagai jawatan seperti Pengerusi Umno Negeri, Ahli Majlis Tertinggi dan bekas Menteri Kabinet.

"Ia sudah tentu boleh membantu Umno dan pucuk pimpinan untuk memperkukuhkan parti," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dali berkata peranan Annuar amat diperlukan terutama untuk merampas kembali negeri-negeri yang diperintah pembangkang selain tiada calon dari negeri terbabit yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan itu.

Sehubungan itu, Dali menyarankan semua bahagian Umno di seluruh negara memberikan sokongan dan mencalonkan Annuar bagi jawatan itu.

Menurut beliau, zaman 'memanaskan' kerusi sudah berlalu dan dengan peralihan kepimpinan, UMNO akan memasuki satu fasa baru era Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Ia era yang saya jangka sangat mencabar kerana ia menjadi penentu kepada survival UMNO sama ada untuk kekal sebagai pemerintah atau berubah menjadi pembangkang," katanya.

Katanya lagi, barisan kepimpinan baru UMNO perlu mempunyai segala kekuatan, pengalaman, kebijaksanaan, keberanian dan ketahanan dalam menghadapi permainan politik parti-parti lawan.

''UMNO juga bukan sahaja memerlukan keupayaan personaliti, tetapi juga kebijaksanaan merangka dasar, kesepaduan organisasi dan kekuatan daya saing yang tinggi," ujar beliau.
Justeru, katanya, beliau perlu menilai persepsi dan sokongan akar umbi serta keupayaannya menyumbang dalam senario baru itu.

''Sebenarnya, pada awalnya semasa mendukung pelan peralihan 2010, saya sudah membuat ketetapan untuk tidak bertanding sebarang jawatan untuk membolehkan saya berperanan dengan bebas dalam membantu parti.

''Tetapi dengan peralihan yang telah dipercepatkan, senario telah berubah dan saya terpaksa mengkaji pendirian itu kerana ia melibatkan penyusunan saf kepimpinan yang akan memikul tanggung yang menuntut sokongan padu dan keupayaan tertentu," jelasnya.

Pada pertemuan dengan beberapa pemimpin UMNO Bahagian, difahamkan Annuar menyatakan beliau memohon pencalonan sebagai mewakili pantai timur serta negeri-negeri yang kalah atau dikawal pembangkang selepas pilihan raya umum lalu.

Namun yang nyata bagi negeri pantai timur dan negeri yang kalah pilihan raya lalu ada dua calon lain itu masing-masing, Dr Jamaluddin dari Pahang serta Dr Zahid dari Perak.