Monday, July 5, 2010

NIK AZIZ AKUI WUJUD PERPECAHAN PAS

Baru sahaja selesai Muktamar PAS ke-56 bulan lepas, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mengakui wujudnya perpecahan di dalam parti itu bagi merebut jawatan tertinggi parti pada pemilihan Muktamar PAS tahun depan.

Kemelut perpecahan dilihat meruncing kerana beliau sendiri menyarankan agar tidak diadakan pemilihan bukan sahaja di peringkat tertinggi parti malahan di peringkat sayap parti iaitu Dewan Muslimat, Ulama dan Pemuda.

Sehubungan itu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata pemilihan untuk kepimpinan perlu diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura dan bukannya dengan meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi kepimpinan parti itu dalam Muktamar ke-57 nanti.

"Tok soh (tidak perlu) bertanding. Tidak molek (tidak elok) la. Nak bertanding pun jangan sampai ke peringkat perpecahan.

"Ini luahan hati seorang tua (luahan daripada orang yang sudah lama di dalam PAS)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan jubli perak sebuah pondok agama di Bukit Payung di Kota Bharu kelmarin.

Pada Muktamar PAS Jun lepas tiada pemilihan diadakan di peringkat kepimpinan kerana ia diadakan sekali dalam dua tahun dan pemilihan kepimpinan akan diadakan pada persidangan Muktamar PAS tahun depan.

Persidangan PAS lepas, lebih memfokuskan untuk menguatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan membenarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS, iaitu anggotanya terdiri daripada golongan bukan Islam yang menyokong parti itu, menggunakan logo PAS untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz berkata jika pemilihan atau pertandingan tidak dapat dielakkan pada Muktamar akan datang, beliau menyarankan pemilihan itu diadakan secara teratur dan mengikut disiplin parti.

Kemelut dalaman PAS timbul pada 2009, apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain menyokong penubuhan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan seteru parti itu, Umno, atas matlamat untuk membela nasib orang Islam di negara ini.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz menentang keras kerjasama kerajaan perpaduan itu dengan menuduh Umno cuba memecah-belahkan parti sedangkan cadangan asalnya dicanangkan oleh Abdul Hadi pada persidangan Muktamar PAS.

Akibatnya Nik Abdul Aziz menerusi blognya, www.bloktokguru.com mencadangkan supaya Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah supaya dibersihkan daripada golongan prokerajaan perpaduan.

350,000 RAKYAT KELANTAN GAGAL DAPATKAN AIR BERSIH

Apakah nasib yang akan menimpa kepada 30 peratus atau 350,000 lagi penduduk Kelantan yang tidak mungkin dapat bekalan air bersih?

Bukankah mereka dengan sendirinya menjadi kumpulan rakyat yang terpinggir?

Kenapa baru sekarang Kerajaan PAS Kelantan mengakui tidak mampu untuk membekalkan air bersih dengan alasan tinggal di pedalaman dan bahagian selatan Kelantan?

Juga wajarkah kerajaan negeri member alasan kononnya terpaksa menangung kos yang tinggi untuk membekalkan air bersih di kawasan pedalaman?.

Kerajaan PAS Kelantan semalam mengakui hanya mampu memenuhi keperluan bekalan air bersih kepada 70 peratus daripada 1.5 juta penduduk negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Infrastruktur, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman berkata, rakyat terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman dan bahagian selatan Kelantan belum dapat menikmati bekalan air bersih yang disalurkan syarikat di bawah kerajaan negeri, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Menurutnya, kos yang tinggi untuk penyediaan sistem bekalan ke lokasi yang berjauhan dari paip utama menjadi antara faktor bekalan air bersih gagal disalurkan sepenuhnya.

"Kegagalan ini wujud berikutan kedudukan rumah-rumah penduduk yang berjauhan. Biasanya kita dapat selesaikan masalah bekalan air penduduk yang tinggal di kawasan 'kompak' seperti taman perumahan di bandar Gua Musang.

"Tetapi untuk menyediakan sistem paip ke beberapa rumah di lokasi-lokasi yang terasing dari penempatan utama akan memakan kos yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Jajahan dan Loji Rawatan Air Terbaik di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu semalam.

Hakikatnya, isu bekalan air bersih untuk rakyat Kelantan tidak usahlah memperkatakan sama ada rakyat tinggal di Gua Musang atau sebagainya.

Lihatlah sendiri bagaimana kawasan sekitar Kota Bharu, umpamanya di sekitar Wakaf Che Yeh, penduduk terpaksa menggunakan pam sendiri.

Harapkan air paip AKSB? Sudah lebih sepuluh tahun syarikat itu gagal membekalkannya.
Bagaimana Kerajaan PAS Kelantan boleh menganugerahkan Loji Rawatan Air Terbaik sedangkan masih banyak kawasan yang menghadapi masalah bekalan air.

KBS TARIK BALIK PERUNTUKAN BINA GELANGGANG FUTSAL

Kementerian Belia dan Sukan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik peruntukan bagi pembinaan gelanggang futsal di negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang sekiranya tidak mendapat kerjasama berhubung tapak pembinaannya.

Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ibrahim berkata, sebaliknya peruntukan itu akan diagih-agihkan kepada negeri-negeri yang memberi kesanggupan untuk meluluskan tapak terutama kerajaan negeri yang diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Sejak projek itu diperkenalkan tahun lepas pihak kementerian sukar untuk mendapatkan tapak, termasuk di Kelantan dan Pulau Pinang, tanpa sebarang alasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Puteh di Pasir Puteh malam semalam.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata hanya 60 daripada 90 gelanggang yang diluluskan sehingga ini di Kelantan, dapat dilaksanakan.

"Itupun ia terpaksa dibina di sekolah-sekolah dan kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang tapaknya dimilki oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata begitu juga dengan cadangan untuk membina 80 gelanggang di Pulau Pinang tetapi hanya 11 dapat dilaksanakan disebabkan masalah yang sama.

Katanya kementerian itu bercadang membina 1,178 buah gelanggang di seluruh negara yang membabitkan peruntukan RM150,000 sebuah bagi faedah belia menggunakannya untuk aktiviti sukan futsal, badminton dan sepak takraw.

Beliau berkata gelanggang itu penting bagi mengurangkan gejala sosial di kalangan belia seperti kegiatan "mat rempit tanpa mempunyai agenda politik.

"Kita menerima maklum balas, sejak pembinaan itu diperkenalkan, ia telah berjaya mengurangkan kegiatan yang tidak bermoral kerana mereka dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan yang lebih berfaedah di gelanggang berkenaan," katanya.