Monday, January 20, 2014
Azmin Tetap Gugur - Penjelasan Khalid Semakin Mengelirukan
Isu mengenai kedudukan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali sebagai anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semakin mengelirukan apabila Menteri Besar menegaskan penguggurannya adalah kekal seperti yang diputuskan badan itu sebelum ini.
Keputusan pemecatan Azmin Ali kekal sementara menunggu siasatan lanjut berhubung perkara itu, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dalam masa yang sama Pengurus Besar Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif PKNS Norita Mohd Sidek dipindahkan serta merta ke pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) sepanjang siasatan dilakukan.
Menteri Besar Selangor itu berkata, siasatan itu dibuat kerana surat pemecatan Azmin yang dikeluarkan oleh Othman dibuat pada 8 Januari lalu tanpa pengetahuan beliau.
"Sementara itu kedudukan ahli lembaga pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh pengurus besar PKNS pada 8 Januari lepas untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan," katanya.
Khalid berkata, beliau telah berbincang dengan pegawai kanan kerajaan tentang perkara itu dan menyerahkan surat kuasa kepada SUK Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk melaksanakan tindakan pentadbiran.
Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan medianya dalam satu sidang akhbar media khas berhubung isu ini petang ini. Khalid sebelum itu bermesyuarat panjang kira-kira empat jam sehingga jam 7 petang bersama PKNS hari ini.
Azmin telah digugurkan sebagai anggota lembaga pada 8 Januari kononnya atas kehendak pengurus besar perbadanan tersebut. Namun begitu pihak media difahamkan bahawa Azmin pada Sabtu lalu telah menerima sepucuk surat daripada PKNS yang menyatakan yang kedudukannya sebagai anggota lembaga pengarah telah dikembalikan berkuatkuasa 16 Januari lalu.
Adalah difahamkan, surat satu paragraf yang dihantar kepada Azmin itu antara lain menyebut bahawa PKNS telah menerima arahan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan keputusan menguggurkannya sebagai anggota lembaga pengarah pada 8 Januari itu dan mengembalikannya ke dalam lembaga bermula 16 Januari.
Bagaimanapun, Azmin kemudiannya dimaklumkan pula yang dia tidak perlu menghadiri mesyuarat lembaga pengarah PKNS pada jam 3 petang Isnin atas arahan pejabat menteri besar.
Pada lewat petang tadi, Khalid telah memaklumkan bahawa PKNS dalam mesyuarat lembaganya membuat keputusan untuk mengekalkan arahan pengguguran Mohamed Azmin seperti yang diarahkan Pengurus Besarnya, Othman Omar pada 8 Januari lalu.
"Kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkenaan kekal (digugurkan) bagi mengelakkan sebarang komplikasi perundangan," katanya.
Selain itu Khalid juga berkata, kerajaan negeri turut membuat keputusan untuk menggugurkan Othman dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek daripada perbadanan itu berkuat-kuasa Isnin sehingga siasatan dalaman mengenai kontroversi ini selesai.
"Bagi melaksanakan siasatan menyeluruh adalah amat sukar jika kedua-duanya masih bertugas di PKNS. "Justeru setiausaha kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kedua-dua pegawai ini ditukarkan sementara ke ibu pejabat SUK bermula hari ini (Isnin)," ujarnya.
Tambah Khalid, antara perkara yang perlu disiasat ialah mengenai bagaimana surat pemecatan Mohamed Azmin dikeluarkan oleh Othman tanpa pengetahuannya selaku pengerusi PKNS.
Isu pengguguran Mohamed Azmin menjadi hangat apabila kerajaan negeri dan PKNS menuding jari antara satu sama lain. Abdul Khalid sebelum ini menafikan dakwaan beliau terlibat dalam membuat keputusan menggugurkan Mohamed Azmin dan menjelaskan perkara itu dicadangkan Othman yang mahu menamatkan khidmat Ahli Parlimen Gombak itu pada penghujung bulan ini.
Bagaimanapun kenyataan Menteri Besar itu disangkal oleh Norita yang memaklumkan kuasa melantik anggota lembaga pengarah adalah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Abdul Khalid dan bukan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.
Norita turut berkata, pengguguran Mohamed Azmin itu juga disahkan oleh MMKN pada Disember lalu.
Tetapi kemudian pada Khamis, 16 Januari, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula cuba campur tangan dengan mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa pengugguran jawatan Azmin itu adalah tidak sah dan menganggap yang Azmin masih kekal sebagai ahli lembaga pengarah PKNS.
Sementara itu, dalam reaksi segera di laman Twiternya, Azmin, timbalan presiden PKR dan ahli parlimen Gombak berkata: "#PKNS Board; Jangan buat spekulasi. Saya masih terkeluar."
Subscribe to:
Posts (Atom)