Friday, October 14, 2016

Pelajar Dakwa Zein Isma Curi Gambar Mereka Tolak Bersih 5...

 

Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berang dengan tuntutan sekumpulan mahasiswa yang mendakwanya mencuri dan memanipulasikan gambar mereka serta menyebarkannya di media sosial.
Katanya, beliau tidak mengetahui gambar itu telah dimanipulasikan, sebaliknya mendakwa dirinya hanya berkongsi setelah menjumpainya di group Whatsapp.
“Saya tak tahu, saya tolong kongsi orang punya (gambar). Banyak group yang kongsi, saya ambil dari group itu sebab saya punya group (Whatsapp) pun beratus,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Hari ini sekumpulan pelajar universiti  menuntut Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail supaya memoHon maaf secara terbuka kerana sebuah posting di Facebook pemimpin UMNO itu.

Mereka memberi tempoh 24 jam supaya Zein Isma membuat permohonan diru selain menurunkan posting tersebut.

Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan menyusul, demikian amaran mereka

Permohonan maaf itu dituntut berikutan Zein Isma dikatakan membuat tindakan mengedit, meminda, memuat naik gambar seolah-oleh mereka menyokong dan memberci BERSIH 5.
Mereka menganggap perbuatan itu sebagai keji, biadap dan rendah moral.

“Ia dibuat bertujuan untuk memfitnah dan memburuk-burukkan kami,” kata kumpulan pelajar itu.

Kenapa begitu terdesak sekali UMNO hingga gunakan gambar kumpulan pelajar itu bagi bagi propaganda anti BERSIH?

Apakah sukar untuk UMNO mendapatkan gambar pelajar lain untuk tujuan sedemikian?

Sungguh memalukan apabila seorang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Atyrah Hanim Razali mendakwa gambarnya telah dicuri.

Ia kemudian dimanipulasi oleh Umno serta disebarkan di media sosial.

Beberapa gambar aktivis lain dalam gambar yang diviralkan itu turut diubah suai. Antaranya potret Maryam Ramli Lee dan Farhan Haziq dijadikan sebagai poster.

Dalam poster itu, antara lain bertulis ‘Kami Anak Malaysia Tolak BERSIH5’ dan susunan kolaj sembilan wajah aktivis dengan memegang ‘Kami Tolak BERSIH’.

Katanya, gambar asal, beliau memegang sekeping plakad bertulis “Save Ulu Papar" namun diubahsuai dengan tulisan “Kami Tolak BERSIH”.

“UMNO terdesak teruk sampai curi dan photoshop gambar orang. Gambar sebenarnya adalah bersama plakad bertulis ‘Save Ulu Papar’ untuk rakan kami, aktivis Sabah,” tulisnya di Twitter.

Menurut laporan Malaysiakini, satu kenyataan media Atyrah bersama lapan rakannya berkata mereka amat terkejut apabila melihat gambar-gambar mereka diedit, dipinda dan disiarkan di laman Facebook rasmi Ketua Penerangan Umno Selangor itu.

Gambar tersebut diambil dari gambar asal mereka  semasa program Strategising Unity Workshop di Corus Hotel, pada September 2015.

“Gambar tersebut pada asalnya menunjukkan gambar-gambar mereka  sedang memegang placard bertulis Save Ulu Papar”.

Mereka menuduh Ketua Penerangan UMNO Selangor itu meminda gambar mereka yang diambil ketika menyertai program program perpaduan nasional yang dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Merdeka Centre pada September 2015.


Mereka turut menyertakan gambar asal dan juga gambar yang dipinda itu.

Kenapa boleh seperti ini dan tidak pasal-pasal UMNO juga yang kena.

Terdesak atau tidak teliti?

Zein Isma perlu memperbetulkannya. Apa pun tindakan pelajar ini membuktikan anak muda bukan semuanya 'suka dengan UMNO'.

Kalau mereka 'suka UMNO', mereka pasti bangga kerana gambar dipaparkan untuk menolak BERSIH 5.

Juga walaupun mungkin tidak gemar dengan BERSIH 5, cara 'mencuri gambar' seperti ini memang tidak beretika dan patutnya mereka mendesak Zein Isma meminta maaf.

Mengulas desakan kumpulan itu yang mahunya memohon maaf dan mengambil tindakan undang-undang, Zein berkata beliau tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya Atyrah mahu berbuat demikian.
“Kalau mereka nak buat laporan polis dekat saya apa saya boleh buat, saya viralkan sahaja. kalau nak hukum-hukum lah…
“(Tapi) pihak polis pasti ada alat dia untuk kesan (siapa yang edit) dan forensik siapa yang buat. Kalau nak kira (buat laporan) macam tu tak terlayan lah mahkamah esok.
“Saya pun banyak laporan polis terhadap Malaysiakini pun ada. Saya viral je, ramai je viral kalau nak tangkap, tangkap semua lah,” katanya dengan nada sinis.
Sehingga jam 10 m alam ini, status di FB Zein Isma mengenai pelajar itu masih belum diturunkan.

Thursday, October 13, 2016

Najib Mahu Bankrapkan Proton, Hanya Kereta Import Dijual Di Malaysia?


Menunggu apa reaksi kerajaan dan Perdana Menteri terhadap tuduhan bahawa beliau mahu ‘bankrapkan’ Proton.

Lebih jauh, tuduhan turut mengatakan Perdana Menteri hanya mahu kereta import sahaja dijual di negara ini.

Semalam,  Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu “bankrapkan” industri automobil negara.

Dr Mahathir berkata demikian menerusi entri terbaharu blognya chedet.cc mendakwa Najib amat terdesak untuk melemahkan semangat beliau.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa Najib mempunyai tujuan iaitu supaya Proton bankrap dan syarikat boleh dijual dengan murah.

"Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Proton hendaklah dijual kepada orang asing 100 peratus supaya industri kereta nasional dihapuskan.

"Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimula oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati," kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu itu.

31 Ogos lalu, DRB-Hicom dilaporkan berkata  pendapatan daripada perniagaan utamanya iaitu automotif menjunam 21 peratus tahun ini, dan antara sebabnya ialah akibat penurunan jumlah jualan kereta Proton dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, syarikat automotif dan logistik itu berkata kejatuhan itu berlaku susulan keadaan industri yang lemah sepanjang April hingga Jun apabila jumlah jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia jatuh 6.3% jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu.
Najib...syarikat dijual dengan murah?

Memetik laporan Nikkei Asian Review, jualan kenderaan penumpang, yang membabitkan hampir 90% nilai keseluruhan industri di Malaysia, jatuh 15% antara Januari hingga Jun, menurut data Persatuan Automotif Malaysia sementara kenderaan komersial, yang merangkumi jualan selebihnya jatuh 13% sepanjang tempoh itu.

DRB-Hicom, yang turut memasang kenderaan seperti motosikal Honda dan kereta Audi, bergelut dengan kerugian membuat Proton sejak pengambilalihan daripada syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional pada 2012.

Awal tahun ini, kerajaan bersetuju memberikan geran pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton.

Sebagai tambahan, Proton perlu mendapatkan rakan kongsi strategik bagi membantunya dalam penyelidikan dan bersaing di peringat antarabangsa dalam tempoh setahun, sebagai sebahagian perjanjian pinjamannya.

Bagi memotong kebergantungan sepenuhnya terhadap perniagaan automotif, DRB-Hicom menyasarkan untuk meningkatkan sahamnya dalam perniagaan berorientasikan perkhidmatan dan pendapatannya kepada 50% dalam tempoh 5 tahun.

Perniagaan itu, termasuk daripada logistik kepada pelupusan sampah, dan pada masa ini ia memberi kurang 20% daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
DRB-Hicom juga mengambil tindakan menggabungkan aset logistiknya termasuk pos, kargo udara dan pengangkutan.

Sehubungan itu, DRB-Hicom berkata ia akan terus memfokuskan kepada tindakan menyatukan perniagaannya selepas peningkatan ketara kerugian bersihnya pada suku pertama fiskal tahun ini, berbanding tahun lalu.

Nikkei Asian Review melaporkan kerugian bagi 3 bulan pertama berakhir 30 Jun bagi syarikat itu berjumlah RM169.3 juta, berbanding kerugian RM19.7 juta tahun lalu, kata syarikat itu.

Pendapatan suku tahunan menurut 18% dari tahun ke tahun kepada RM2.5 bilion daripada RM2.95 bilion setahun sebelum ini.

DRB-Hicom bagaimapun mengatakan dengan keadaan pertumbuhan ekonomi keseluruhan dan pasaran kompetitif, kumpulan itu akan kekal fokus kepada penyatuan perniagaannya untuk memastikan pertumbuhan dan kemapanan perniagaan yang berterusan.

Dengan pertumbuhan ekonomi keseluruhan yang lebih perlahan, DRB-Hikom berpenapat, pencapaian kumpulan bagi tahun kewangan berakhir Mac 2017 akan terus kekal mencaba.


Pada 30 Mac lalu, Dr Mahathir mengambil langkah drastik apabila bertindak meletakkan jawatan sebagai pengerusi Proton kerana tidak mahu menjadi punca kepada ketidakmampuan syarikat kereta nasional itu untuk kembali pulih “kerana kehadirannya”.

Hari ini Dr Mahathir mendakwa beliau disekat daripada berhubung dengan kakitangan syarikat Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad (Proton).

Katanya, orang-orang Proton juga tidak dibenarkan bercakap dengan beliau peniaga di kalangan kenalanya tidak dibenarkan pengadakan 'business' dengan Proton.

Dr Mahathir mendakwa, ramai rakyat yang takut didera oleh kerajaan Najib.

Rakyat tidak takut dan lebih kuat tekanan lebih bencilah mereka terhadap Najib dan Kerajaannya, dakwa bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu.

Dakwa beliau, semua mereka (rakyat) malu dan tidak ingin melihat negara tercinta ini memiliki seorang Perdana Menteri yang dituduh dan dipercayai oleh seluruh dunia telah lesap (curi) berbilion duit rakyat.

Dr Mahathir menegaskan beliau tidak putus asa dan percaya rakyat Malaysia akan terus memiliki semangat juang untuk jatuhkan kerajaan kuku besi Najib.


“Semua mereka malu dan tidak ingin melihat negara tercinta ini memiliki seorang perdana menteri yang dituduh dan dipercayai oleh seluruh dunia melesapkan (curi) berbilion duit rakyat,” katanya.

Monday, October 10, 2016

‘Parang Terbang’ - Apa Tindakan Polis Terhadap Pemimpin Baju Merah?


Kita mahu melihat sejauh mana kata-kata Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa tindakan akan diambil ke atas pemimpin kumpulan Baju Merah ekoran kenyataan disiarkannya di Facebook semalam.

PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan mengambil tindakan tegas dengan segera, demikian tegas Ketua Polis Negara melalui Twitter malam semalam.

Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat Datuk Seri Jamal Md Yunos yang membayangkan tragedi rusuhan 13 Mei dan "parang terbang" akan berulang jika BERSIH 5 dilangsungkan mengikut jadual asal.

Demonstrasi BERSIH 5 dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

"Saya berjanji Tragedi 13 MAY akan berulang dan PARANG TERBANG akan terjadi jika BERSIH 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat sama dengan perhimpunan #BERSIH5 yang dijadualkan pada 19 Novembr ini," kata Jamal.

Khalid melalui Twitter melampirkan  kemas kini Jamal - dalam tweet ketua Umno Sungai Besar itu yang berkaitan
.
Khalid  menegaskan pihak berkuasa tidak boleh menerima sebarang kenyataan bersifat menghasut.

Sebelum ini Ketua gerakan Baju Merah itu mendakwa polis memberi 'layanan istimewa dan luar biasa' terhadap peserta BERSIH 5 yang kini mengadakan konvoi di seluruh negara.

Sebaliknya, Jamal mendakwa, pihak berkuasa itu melayan kumpulannya seperti 'anjing kurap'.

Dalam kenyataannya Jamal berkata kumpulan BERSIH 5 bukan sahaja dijaga rapi, malah pihak polis turut mengiringi setiap konvoi BERSIH 5 mengalahkan escort Perdana Menteri Malaysia.


Katanya, walhal tindakan BERSIH 5 telah terbukti bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah agenda kotor mereka menghasut rakyat untuk menggulingkan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mencabul sistem demokrasi menerusi turun ke jalan raya.

"Sebaliknya, layanan yang diberikan kepada Gerakan MERAH V2 saya sifatkan seperti anjing kurap," kata Jamal dalam kenyataan.

Kelmarin, media sosial serta  Malaysiakini melaporkan dua lelaki memakai baju BERSIH dilempar telur oleh kumpulan Baju Merah di Sabak Bernam, Selangor. Kedua-duanya yang menunggang motosikal diserang apabila mereka melintasi jalan masuk ke kawasan yang dipenuhi kumpulan Baju Merah.

Salah seorang daripada peserta BERSIH itu turut ditendang sebanyak dua kali oleh anggota kumpulan berkenaan.

Jamal mendakwa polis menyekat kumpulan Baju Merah di setiap lokasi dan menahan tiga daripada mereka.

"MERAH V2 ditahan hampir di setiap tempat dan kami diarahkan pihak polis menghentikan serta merta konvoi kami. Malah seramai tiga penyokong MERAH V2 telah ditahan," kata Jamal.

"Layanan (ke atas) kami amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan BERSIH 5.


Bagi Jamal, kumpulan BERSIH inilah yang selama ini menghasut rakyat dan menghina pihak polis di sepanjang kempen yang diadakan sejak sekian lama.

Malah BERSIH sebelum inilah yang mencetuskan keganasan melampau sehingga menggugat keselamatan negara, menyerang pihak polis dan memecahkan kereta polis.

Rentetan kepada BERSIH 5, Pemuda UMNO meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya kepada kumpulan Baju Merah yang melakukan kekerasan fizikal kepada peserta BERSIH kelmarin.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut meminta individu yang memimpin gerakan tersebut memberi nasihat kepada anggotanya supaya tidak melakukan kekasaran dan keganasan.

"Saya tidak boleh terima dan saya harap mereka yang ada di belakang gerakan ini (Baju Merah dan BERSIH) dapat memberi nasihat kepada ahli mereka supaya tidak lagi melakukan kekasaran dan keganasan," tegasnya seperti dilapor Astro Awani.


Khairy mengecam perbuatan itu dan menegaskan, amalan demokrasi di negara ini tidak membenarkan keganasan serta kekerasan fizikal sebagai penyelesaian dalam berhadapan pandangan berbeza.

"Saya melihat video semalam, tindakan sekumpulan Baju Merah itu yang menyerang aktivis Bersih (dengan) menendang dan melakukan kekasaran fizikal. Ini kita tidak boleh terima. Siapa sahaja yang terlibat, tindakan ganas perlu kita kecam.


"Untuk menunjukkan pendirian masing-masing, kita perlu terima dalam demokrasi. Namun, jangan sehingga mencetuskan tindakan ganas yang boleh mencetuskan ancaman keselamatan terhadap individu-individu yang terlibat," katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan Pertandingan Akhir Kejohanan Badminton Asics 2016 di Subang semalam.