Wednesday, February 17, 2010

Kenyataan Nik Aziz kompromi politik

UMNO Kelantan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini adalah kompromi demi politik.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini kerana tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama.

"UMNO Kelantan dukacita dengan kenyataan Nik Aziz kerana Maulidur Rasul telah menjadi amalan di negara ini.

"Beliau sanggup mengatakan tiada fadilat dalam sambutan itu semata-mata atas kehendak politik DAP dan membelakangkan amalan yang dibuat di negara kita, sambutan itu bukan sahaja diamalkan di negara kita malah ianya juga diamalkan dinegara-negara Islam lain," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pemimpin UMNO Bahagian Kubang Kerian, di Kota Bharu semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang antara lain dilaporkan sebagai berkata bulan 'Maulud' tidak mempunyai fadilat atau sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan.

Kenyataan Mursyidul Am PAS itu menimbulkan kontroversi memandangkan kerajaan Pulau Pinang yang diteraju DAP iaitu sekutu PAS dalam pakatan pembangkang sebelum ini dikecam kerana didakwa membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasuldi negeri tersebut. DAP bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu juga
memperkecil-kecilkan sambutan Maulidur Rasul yang telah sekian lama diamalkan di negara ini.

"Saya yakin umat Islam tidak setuju dengan pandangan (Nik Aziz) ini," katanya.

FOKUS WANG IHSAN KEPADA GOLONGAN MISKIN

Peruntukan wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan yang dijangka disalur penghujung Mac ini akan bertumpu kepada golongan miskin, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kita akan lebih fokus kepada membantu golongan miskin, seperti memberi bantuan secara langsung atau membaiki rumah mereka kerana untuk projek pembangunan ianya memerlukan peruntukan yang lebih besar," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, bagaimanapun kaedah agihan itu masih pada peringkat perbincangan.
Beliau berkata, tawaran kepada kerajaan negeri yang diteraju Pas untuk menyertai jawatankuasa pengurusan wang ihsan itu juga masih terbuka.

"Kita masih perlukan input kerajaan negeri. Ini adalah wang rakyat Kelantan dan kita ikhlas untuk beri ruang kepada kerajaan negeri berbincang walaupun jumlah peruntukan itu terhad," katanya.

Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai keengganan kerajaan negeri Kelantan menyertai jawatankuasa itu sekalipun telah berulang kali ditawarkan berbuat demikian.
Kerajaan Pas bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan sedangkan Seksyen 4(2) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 menyebut negeri di dalam Malaysia mempunyai perairan wilayah hanya setakat tiga batu nautika (5.5 kilometer) diukur dari paras air surut.

Kerajaan Pusat, bagaimanapun, memutuskan untuk memberi wang ihsan kepada Kelantan sebagai ganti royalti minyak mulai tahun ini, dan RM20 juta itu adalah bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008, sama seperti yang termaktub di dalam perjanjian Akta Peroleum 1975, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

PEMBINAAN RUMAH RAKYAT MISKIN KB DIMASUKKAN DI DALAM RMK-10

Projek pembinaan rumah untuk rakyat miskin di Kota Baharu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar di bandar ini memiliki rumah sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata lebih 50 peratus daripada 100,000 penduduk bandar Kota Baharu masih menyewa dan tidak mampu memiliki rumah sendiri disebabkan kemiskinan.

"Kalau di negeri lain kebanyakan masalah yang dihadapi adalah masalah kemudahan atau kekurangan infrastruktur tetapi di Kelantan masalah pemilikan rumah di kawasan bandar khususnya.

"Sudah lebih 20 tahun kerajaan negeri memerintah Kelantan tetapi sehingga kini isu itu (pemilikan rumah) masih tidak selesai dan menjadi masalah utama penduduk di sini yang masih ramai terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Khas Mustapa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Bersama Pemimpin BN semalam.

Sambil menyifatkan jumlah itu adalah tinggi berbanding negeri lain, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata peruntukan dalam RMK-10 itu bukan sahaja untuk pembinaan rumah mampu milik, tetapi turut merangkumi peruntukan menyediakan tanah yang mampu dibeli oleh golongan tidak berkemampuan itu bagi membina kediaman masing-masing.