Saturday, October 8, 2016

Tumpaskan BN Di Kedah - 'Angan-Angan Mat Jenin' Menjadi Kenyataan?


Rasanya cita rasa Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) untuk menawan Kedah pada Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14) adalah bukan sesuatu yang luar biasa.

Dan bukan sesuatu yang aneh juga apabila pemimpin UMNO Kedah mengatakan ia sebagai suatu angan-angan dan harapan kosong belaka.

Namun dikatakan dalam UMNO dan BN Kedah, terlalu banyak sampah yang perlu bersihkan. Soalnya siapa dan sampah siapa yang perlu dibersihkan?

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Barisan Nasional (BN) akan tumbang di Kedah pada pilihan raya akan datang.

Muhyiddin dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar tempatan mendakwa BN Kedah akan tumbang pada PRU akan datang berikutan sentimen rakyat selePAS pertukaran menteri besar awal tahun ini.    

Muhyiddin berani menyebutnya kononnya berasaskan sentimen rakyat di negeri jelapang padi itu selePAS bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan daripada jawatannya.


Malah bukan sahaja digugurkan jawatan, Mukhriz turut dipecaot daripada parti yang menunjukkan ada ‘pakatan tertentu’ untuk menjatuhkan beliau.

Mukhriz dipecat daripada UMNO pada Jun lalu, dan disingkirkan daripada jawatannya sebagai  Menteri Besar Kedah  dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Selepas Mukhriz disingkirkan...mungkin sudah cukup matang untuk BN tumbang, sebab saya tengok sentimen rakyat Kedah selePAS peristiwa itu berlaku ia amat tidak baik bagi BN,penerimaan mereka kepada MB baharu (maaf cakap) tidak sehebat Mukhriz," kata Muhyiddin.

Selain itu, BN dilihat mudah untuk ditumbangkan memandangkan rakyat juga kononnya melihat Menteri Besar Kedah sekarang sebagai ‘orang lama dengan idea dan pentadbiran lama‘ yang tidak sehebat Mukhriz.

Namun bagi Ahmad Bashah,  apa yang disebut oleh Presiden BERSATU bahawa BN akan tumbang di Kedah dalam PRU akan datang tidak ubah seperti 'angan-angan Mat Jenin'.

Untuk rekod, pada PRU13, BN Kedah memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah dan selebihnya sebanyak 15 kerusi di menangi oleh pakatan pembangkang.

Ahmad Bashah boleh mengatakan demikian, namun angin perubahan yang melanda selePAS Mukhriz diumumkan akan dilantik sebagai Menteri Besar sebelum PRU13,  jangan dipandang sebelah mata.


Benar pada  PRU lalu,  PAS hanya menang lapan (8)  kerusi DUN, PKR menang tiga (3) kerusi dan DAP pula dua (2) kerusi menjadikan Pakatan Rakyat hanya menang 15 kerusi daripada 36 kerusi DUN di negeri Jelapang Padi itu.

BN pula berjaya memenangi 21 kerusi di Kedah dan membolehkan Mukhriz  menjadi Menteri Besar Kedah yang baharu.

Pada PRU 2008, PAS bertanding 24 kerusi DUN, PKR (11) dan DAP satu kerusi di mana PAS memenangi 15 kerusi DUN, PKR (5) dan DAP (1).

Ada pendapat mengatakan, faktor kembalinya sokongan ahli UMNO yang protes pada 2008 menyebabkan Kedah kembali ke pangkuan BN.

PAS dan Pakatan Rakyat gagal untuk mengekalkan sokongan daripada pengundi UMNO yang berpihak kepada mereka pada 2008. Selain itu krisis dalaman PAS Kedah dan pergeseran mereka (PAS) dan sekutu dalam Pakatan Rakyat menyebabkan hilangnya keyakinan rakyat.

Kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak seperti isu kuil, pembalakan dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) adalah antara faktor mendorong orang Melayu memberi undi kepada BN.

Mahadzir...tinggalkan sampah?
Menurut satu analisis, lebih menyedihkan apabila PAS gagal mempertahan parlimen Pendang yang sinonim dengan Presiden PAS ke-6, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Mohamad Sabu yang mewakili PAS di kerusi itu kalah kepada Othman Abdul dari BN dengan majoriti 2,638 dan keputusan ini seperti dijangka memberikan kesan kepada kedudukan beliau dalam pemilihan parti pada muktamar yang menyusul.

Pilihan raya2013 juga menyaksikan PAS hanya menguasai satu daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah diikuti sekutunya PKR empat kerusi manakala BN 10 kerusi. PAS Kedah hanya memiliki satu kerusi parlimen iaitu Pokok Sena yang dimenangi oleh Naib Presiden, Mahfuz Omar.

Pada 2008, bagi kerusi Parlimen, PAS bertanding di lapan kawasan dan PKR tujuh. PAS menang lima daripada lapan kerusi yang ditandingi manakala PKR menang enam daripada tujuh kerusi manakala BN menang empat kerusi.

Ahmad Bashah juga boleh mengatakan pendapat Muhyiddin itu semata-mata



bertujuan meraih sokongan rakyat terhadap kepimpinan parti baharu itu.

"Itu mainan politik beliau (Muhyiddin)...tetapi beliau tidak sedar yang beliau sendiri kalah," katanya selePAS merasmikan sebuah carnival di Alor Setar semalam.

Namun, kedudukan kini jelas seperti pilihann raya umum 2008 di mana UMNO berpecahbelah sekali lagi dan mungkin undi protes akan menggagalkan BN sekali lagi.

Sejak menawan semula Kedah daripada PAS pada pilihan raya umum 2013 lalu, politik Kedah dilihat bergolak dan pergolakan dalaman itu lebih kepada perebutan kuasa dan tidak puas hati ‘pihak-pihak tertentu’ kerana Mukhriz dipilih menjadi Menteri Besar.


Pada permulaan eranya, Mukhriz dilihat bertenaga dan mendapat sokongan orang muda di Kedah dan ini menyebabkan ‘golongan lama dalam UMNO’ merasa cemburu.

Malah gerakan-gerakan memburukkan Mukhriz dibuat melalui pelbagai cara.

Kemuncak ialah apabila bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik kepimpinan Perdana Menteri yang membuka jalan kepada peluang untuk kumpulan penentang Mukhriz bertindak balas.

Malah, tidak terkecuali, gerakan dikatakan turut dikaitkan dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid yang kerana kepimpinan lemahnya menyebabkan BN Kedah tewas pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Demi membersihkan ‘kekotaran’ dan sampah yang dikatakan dibuat dan dikumpulkan dalam BN dan UMNO Kedah sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, Mahadzir berpihak kepada Ahmad Bashah untuk melemahkan kepimpinan Mukhriz, walaupun banyak program baru diperkenalkan untuk pembangunan di Kedah.

Mukhriz kononnya cuba menyatakan kembali ‘jentera UMNO’ yang pernah protes kepadanya dengan memihak kepada Ahmad Bashah, sedangkan beliau sebenarnya sekali lagi mengulangi kesilapan yang lalu.

Ahmad Bashah yang ketika itu Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, menjadi wira untuk memulakan perang terbuka terhadap Mukhriz dengan mengisytiharkan bahawa pemimpin UMNO di negeri itu telah 'hilang keyakinan' dengan kepimpinan menteri besar Kedah.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

“Pemimpin UMNO Kedah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah dan pengerusi UMNO negeri,” kata Ahmad Bashah yang membaca kenyataan yang disediakan. Menurutnya, seramai 14 ketua bahagian hadir kecuali Jerlun, Padang Terap dan Kulim Bandar Baharu yang diwakili timbalan ketua bahagian masing-masing.

Beliau menyenaraikan empat sebab yang dikatakan sebagai punca kehilangan keyakinan itu, iaitu kegagalan Mukhriz untuk menyatukan parti, kekurangan perancangan strategik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kegagalannya memimpin dan menggerakkan jentera parti serta ketidak-upayaannya menguruskan pentadbiran negeri dengan berkesan. 

Dengan berjayanya usaha menggantikan Mukhriz dengan Ahmad Bashah yang dilihat ‘lesu’ Kedah kini berdepan dengan asakan bukan sahaja PAS tetapi juga pakatan AMANAH dan BERSATU.

Bagi Ahmad Bashah yang kini Ketua Perhubungan UMNO Kedah,  rakyat Kedah bijak untuk memilih parti yang memerintah kerajaan dan tidak mahu tertipu buat kali kedua selePAS diperintah parti pembangkang pada PRU ke-12 dahulu.

Malah, baginya,  UMNO dan BN tidak gentar dengan kenyataan itu, sebaliknya terus bekerja keras bagi memastikan jentera parti tersebut bersedia menghadapi PRU selain turut mempunyai senjata rahsia yang akan digunakan ketika berkempen nanti.

"Apa depa (parti BERSATU) nak kata suka hatilah... sebab saya yakin rakyat Kedah pandai menilai kerana mereka tidak mahu menderita lagi. Saya yakin rakyat akan pertahankan UMNO dan BN untuk terus memerintah negeri ini," katanya.

Bagi Muhyiddin pula, mendakwa sebelum tindakan penyingkiran Muhriz, beliau telah menghantar satu pesanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Sebelum Najib pecat Mukhriz saya hantar mesej kepada beliau saya beritahu 'amaran baik' jangan buat begitu...itu permulaan kepada kejatuhan BN.

Tapi yang PASti mereka tidak endahkan, jadi perkiraan saya BN di Kedah sudah cukup ranum dan cukup matang untuk terjatuh," katanya.

Ahmad Bashah perlu menilai dirinya, apakah empat faktor yang dikatakannya terhadap Mukhriz sudah dilaksana atau ‘lebih teruk’ daripada ketika Mukriz untuk membolehkan BN mempertahankan kuasa di Kedah.

Apakah sejarah yang menyebabkan Kedah jatuh kepada pembangkang seperti era Mahadzir akibat wujudnya ‘undi protes’ akan berulang di bawah kepimpinan Ahmad Bashah sekarang???

Wednesday, October 5, 2016

Rumah Sendiri, Kunci Sendiri Yang Pegang – Lajim Ukin


4 Oktober 2016

Ketika Datuk Seri Panglima Lakim Ukin (DSPL) mengumumkan keluar dari  Parti Keadilan di sebuah hotel kelmarin (Ahad, 3 Oktober 2016), saya memang berada di sana dan mengamati setiap ucapannya.

Memang beliau ada menyebut 10 cabang PKR ikut bersamanya dan itu yang pasti dan untuk saya ubah kenyataan itu memang tidak boleh sebab sebagai penulis, itulah yang beliau perkatakan meski kekadang ada percanggahan dari segi perlembagaan. Itu bukan urusan saya untuk menghuraikan.

Antara kata-kata lain yang DSPL ucapkan ialah lebih kurang begini " RUMAH SENDIRI, KUNCI SENDIRI YANG PEGANG".

Ismaily
Nah, kesan kata-kata itu saya diminta memberikan pencerahan dan pencerahan ini bukan pandangan orang lain tetapi pandangan saya sendiri kesan diminta.

Sdra Hamzah Abdullah pemimpin AMANAH di Sabah menyatakan mengulas bahawa slogan itu katanya bukan sesuatu yang boleh menyumbang ke arah mengharmonikan hubungan baik sesama parti pembangkang.

Seterusnya beliau minta semua orang berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan agar tidak dilihat seolah-olah itu menghalakan muncung senapang sesama gabungan pembangkang bukan kepada BN.

Satu soalan sebagai INTRO perbincangan bahawa kita tinggal di kampung atau perumahan dan dalam kampung atau perumahan itu memang sudah ada muafakat kerjasama sesama, tetapi apakah kunci rumah kita yang ada di kampung itu orang lain sama pegang?

Contohnya diri sendiri. Adakah begitu?

Nah, tentunya tidak, makanya bila kita peggang kunci rumah kita sendiri itu tidak bermakna menghalakan muncung senapang kepada orang lain.

Maksud DSPL barangkali ialah bila kita ada anak dan anak2 itu sudah berkahwin, maka terbaik ada rumah sendiri dan kunci sendiri yang peggang dan apakah setelah 53 tahun kita merdeka kita tidak matang akan terus berada di rumah orang lain? Barangkali ini yang harus difikirkan. Ini sekadar pandangan dan boleh hujah.

Allah memang telah berfirman di mana-mana saja bumi ini semuanya milik Allah, sedang kita sendiri milik Allah tetapi disamping Allah cipta undang-undang, maka ada lagi peraturan2 yang harus kita laksanakan seperti juga dalam pejabat ada peraturan di mana harus membuang sampah, tidak bising dan segala macam peraturan.

Nah, disamping peraturan Allah yang harus dipatuhi maka manusia juga ada peraturan2 hidup seperti contoh kalau ikut hukum Allah semua pulau, benua dan bumi milik Allah tetapi sebagai manusia perlu ada peraturan untuk masuk ke satu wilayah perlu ada visa atau passport meski masuk ke negara arab melaksanakan hukum haji/umrah dan tentunya tidak sesuka hatinya.

Makna tanah Arab memanglah orang arab yang pegang kuncinya dan kita tidak seenaknya masuk ke sana tanpa kebenaran dan kenyataan ini sesuailah dengan slogan DSPL yang menyatakan Rumah sendiri, sendiri peggang kuncinya. Betul?

Baiklah, kenapa timbul slogan Sabah for Sabahan, Sabahans for Sabah, ubahsabah dan rumah sendiri, sendiri peggang kuncinya?

 Tentu ada sebab-sebabnya dan itu kita kena fikirkan lagi.

Semua dalam dunia ini visi hidupnya harus punya rumah sendiri dan sendiri yang berkuasa dan kita ini sudah merdeka 53 tahun dan sabah terkaya tetapi kenapa sabahan termiskin sekali dan kenapa pendidikan asas tersorot dan kenapa PTI berleluasa datang ke Sabah. Siapa yang peggang kunci rumah Sabah? Cuba jawab!

Kesan sesudah 53 tahun kita merdeka dan 53 tahun itu bukan waktu yang sengkat tetapi apa saja yang kita terima? Bukankah kita menderita sengsara dibuli dan dipermainkan oleh Malaya?

Memang saya akui slogan2 yang disebut di atas agak rasis tetapi siapa yang menyebabkan rasis itu? Kenapa saja kekayaan di bumi sendiri diangkut ke luar dan bukankah baik kalau kunci itu kita sendiri yang peggang dan orang lain tidak peggang?

Kesan orang lain pegang, maka orang lain sesuka hati datang dan merampok khazanah negara bangsa dan orang lain juga sesuka hatinya menghukum apa mereka mahu hingga undang2 dan segala macam Akta dicipta sesuka hati untuk menganiaya sesiapa saja yang membantah atau membongkar segala rahsia perbuatan atau kebangsatan olah mereka terhadap sabahan. Ini harus dimengerti.

Saya melihat memang ada sedikit kasar slogan demikian tetapi demi kepentingan negara bangsa dan sabahan keseluruhannya meski itu terasa pahit kedengaran tetapi terpaksa dilakukan dan tidak bermakna itu menghalakan muncung senapang kepada jiran sekampung dan kenyataan itu saya sanggah.

Yang penting sekali nawaitu kita dan sama seperti ayam yang melihat helang terbang akan ia kumpul anak-anak atau sorok anak-anak di bawah sayap untuk maksud selamatkan anak-anak dari serangan helang berkenaan. Apa ini tidak benar?

Saya buka untuk perbincangan asal demi kebaikan elak berbahasa kesat dan hujah secara berhemah dan bersahabat meski beda fahaman politik kesan visi kita demi sabahan/malaysian amanya.

Monday, October 3, 2016

Isu Persempadanan Semua Pilihan Raya – Perlukah Saman SPR?


Perlukah sampai merujuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke mahkamah dalam isu pesempadanan semula pilihan raya?

Kenapa cepat sangat membuat keputusan, sedangkan masa masih ada untuk membantah?

Bimbang akan kalah pilihan raya atau memang cadangan SPR tidak menepati janji atau memang mengikut kesesuaian semasa.

SPR mencadangkan semua negeri - kecuali Sarawak - melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya menjelang pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Secara keseluruhan 128 daripada 222 kawasan parlimen sedia ada akan terlibat dengan persempadanan semula itu.

Tiga negeri yang paling banyak mengalami perubahan ialah Johor (21 kawasan pilihan raya), Selangor (18) dan Perak (17).

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

SPR sedang mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula 15 September hingga 14 Oktober.

Banyak pihak mengatakan pertikaian pelbagai pihak timbul kerana SPR merangka persempadanan semula demi kelangsungan politik UMNO.

Abdul Ghani....SPR terbuka
Persoalan ditimbulkan kononnya langsung tidak mencerminkan semangat demokrasi “satu orang, satu undi”, malah didakwa melanggar peruntukan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Jadual Ketiga Belas memperuntukkan kewajaran (perbezaan jurang pengundi) antara kawasan-kawasan luar bandar, tetapi jurang perbezaan pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar perlu sentiasa merapat dan tidak melebar.

Bagaimanapun ternyata apa yang dicadangkan contohnya  dua kawasan Subang Jaya (bandar) dan Sungai Air Tawar (luar bandar) di Selangor, jurang perbezaan pengundi di antara kedua-dua kawasan tersebut kini telah melebar berbanding Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Melalui cadangan persempadanan itu, menurutnya, Sungai Air Tawar mengalami penurunan jumlah pengundi iaitu 15,033 berbanding 15,187 pada PRU-13 lepas, manakala Subang Jaya mencatatkan peningkatan jumlah pengundi daripada 61,688 kepada 66,059.

Persoalannya mengapa SPR meluaskan dan bukannya merapatkan jurang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor?

Selain pembangkang, parti komponen Barisan Nasional, MCA mendakwa hampir 80 peratus kawasannya bakal terjejas ekoran daripada usul persempadanan semula itu.

Malah cadangan terbaru SPR dikatakan turut membelakangi prisip yang pernah dibentangkan mantan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada tiga tahun lalu, untuk memastikan kawasan pilihan raya akan dihadkan kepada 100,000 jumlah pengundi.

Pada Disember 2013, Abdul Aziz seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia berkata, SPR akan berusaha untuk memecahkan kawasan-kawasan pilihan raya bagi memastikan ia hanya mengandungi tidak lebih 100,000 pengundi.

Kawasan-kawasan yang mempunyai lebih 100,000 pengundi ialah Damansara (Petaling Jaya Utara), Bangi, Klang, Petaling Jaya (Petaling Jaya Selatan), Subang (Kelana Jaya), Gelang Patah, Kota Raja, Pasir Gudang, Kota Melaka, Kuala Terengganu, Sungai Petani, Tumpat dan Kapar.

Semalam, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengesahkan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan merujuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke mahkamah.

Langkah itu dibuat kerana gabungan pembangkang itu berpendapat cadangan pesempadanan semula pilihan raya oleh SPR dianggap tidak adil.

Katanya di peringkat kerajaan Selangor, ramai anggota parlimen - termasuk DAP - bukan saja bantah persempadanan, malah akan saman SPR.

Perkara itu ditimbulkan beliau ketika menyertai sambutan ulang tahun pertama Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Menurut Nurul Izzah yang juga anggota parlimen Lembah Pantai persempadanan semula itu - jika diterima nanti - akan menyaksikan BN memperoleh semula penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Beliau memberi contoh persempadanan semula itu juga menyaksikan beberapa pengundi di Lembah Pantai - termasuk Brickfields 0 dikeluarkan dari kawasan asal, sebaliknya pengundi di Bukit Aman dimasukkan ke kawasannya.

Sebelum ini, pada 24 September lalu, mStar melaporkan Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR  berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan isu diambil susulan kegagalan suruhanjaya itu menjawab isu utama yang dibangkitkan pihaknya pada Rabu lalu.

pada 23 September lalu, beliau menerima jawapan daripada SPR yang sememangnya gagal untuk menjawab isu-isu utama yang dibangkitkan dan ia memberi gambaran bahawa mereka tidak mempunyai justifikasi untuk lakukan persempadanan semula.

"SPR mesti bertindak dengan cara yang bertanggungjawab dan mengabaikan persoalan serius mengenai perkara-perkara asas dan penting dalam sistem demokrasi.

"Berdasarkan tindakan SPR dalam surat mereka, saya dan kerajaan negeri akan mengarahkan peguam untuk melihat semua pilihan undang-undang yang ada," katanya menerusi kenyataan.

Nurul Izzah menegaskan, sesiapa yang sudah bosan atau "geram" dengan kepimpinan sekarang perlu mendaftar untuk menjadi pengundi serta melakukan apa yang termampu untuk memproses, termasuk menyertai himpinan BERSIH 5 pada 19 November ini.

Aanggota parlimen AMANAH Mohd Hatta Ramli mendakwa SPR menjadi alat kepada BN untuk menggagalkan pencapaian HARAPAN melalui persempadanan semula itu.

HARAPAN Wilayah Persekutuan tidak menunggu lama untuk mengambil keputusan membantah cadangan berkenaan kerana memberi kesan negatif kepada masyarakat dan terlalu mengikut pecahan kaum.

"Kita dalam HARAPAN Wilayah Persekutuan akan mengemukakan bantahan di semua kawasan di termasuk bagi Putrajaya.

Menurutnya, AMANAH  tidak akan benarkan SRP mendapat jalan mudah untuk menjadi ‘Pak Turut’ kepada BN.

Pada 26 September lalu, Setiausaha SPR  menegaskan, kritikan dan bantahan yang dikemukan berhubung isu persempadanan semula kawasan pilihan raya akan melalui beberapa proses sebelum cadangannya dimuktamadkan.

Abdul Ghani menjelaskan pihaknya terbuka dan masih menunggu bantahan daripada semua pihak yang terlibat.

"Jika wujud rasa tidak puas hati berhubung cadangan ini, kemukakan bantahan. Semua pihak sama ada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pengundi berhak untuk menyuarakan bantahan.

"Sebab itu kita adakan pameran fasa pertama ini. Kita beri peluang kepada semua pihak untuk kemukakan pandangan kerana ia sebahagian daripada proses yang mengikut undang-undang," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi negatif parti-parti politik termasuk BN berhubung cadangan berkenaan.