Friday, October 23, 2015

PKR, Azmin Takut Sangat Kehilangan PAS di Selangor…


Apabila Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata Pakatan Harapan tidak perlu di Selangor, ia membawa beberapa pengertian.
  
Sudah pasti asasnya ialah senario politik berbanding Pulau Pinang.

Namun, Azmin nampaknya bimbang kerana jika bentuk Pakatan Harapan di Selangor, bermakna ‘membawa masuk’ Amanah. Dengan membawa masuk Amanah, PAS tidak akan rasa selesa.

Kini di Selangor Amanah bukanlah di tahap ‘anjing buruk kepala’ tetapi seperti ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’. Berbanding dengan Pulau Pinang, apabila DAP menjadi ketua, mereka tidak kisah sama ada PAS ada atau tidak dalam kerajaannya.

PAS hanya ada satu kerusi daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana DAP 19 dan PKR 10 dan BN juga 10.

Kalau pun PAS berambus hari ini, kerajaan pimpinan DAP itu tidak terjejas atau terluka pun.

Sebaliknya di Selangor, kalau PAS tarik diri, kerajaan pimpinan Azmin akan berada dalam terumbang-ambing.

Di Selangor di mana dengan PAS memiliki 15 kerusi DUN, sama dengan DAP dan UMNO ada 12, ia akan menjadi keadaan genting jika PAS bergabung dengan UMNO.

Kerajaan pimpinan PKR dengan 13 kerusi (selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi anggota Bebas), berada dalam keadaan seperti ‘telur di hujung tanduk’ jika Pakatan Harapan dibentuk.

Ini kerana Amanah tidak dapat membantu memandangkan ia tidak mempunyai kerusi DUN, kecuali kerusi Parlimen di Selangor.

Sebelum ini, berikutan DAP membentuk pakatan pembangkang baru tanpa penglibatan PAS, parti itu ada mempertimbangkan keputusan untuk keluar dari pakatan kerajaan di Selangor.

Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pada 30 September lalu berkata, perbincangan mengenai perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa politik PAS. Setakat ini, jelasnya, PAS masih lagi berada dalam pakatan pembangkang di Selangor berikutan pembentukan pakatan itu dibuat pada pilihanraya umum lalu.

"PAS tidak akan ada perhubungan lagi dengan DAP. Kita akan bawa berbincang mengenai perkara ini (keluar dari Selangor) dalam jawatankuasa politik PAS dalam masa terdekat. Pakatan pembangkang yang baru masih baru dan secara realitinya, PAS masih berada dalam pakatan kerajaan di Selangor sehinggalah pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menggesa PKR supaya berhenti daripada terus mengharapkan PAS akan menyertai pakatan pembangkang baharu yang turut dianggotai DAP dan Amanah.

Bagaimanapun, Azmin dan PKR Selangor tentunya lega apabila Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendirian PAS pada waktu ini adalah masih bersama PKR dan bukan bersama DAP.

Beliau memberitahu, pakatan pembangkang bukan satu entiti berdaftar dan terbentuk sebagai muafakat politik.

“Selagi muafakat itu kekal, maka kerajaan Selangor terus kekal dengan keadaan yang sedia ada. Kerajaan Selangor dibina atas pakatan yang dianggotai parti-parti pembangkang selepas PRU-13," kata Tuan Ibrahim.

Mengulas kenyataan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk PhahrolraziZawawi semalam yang meminta kerajaan negeri Selangor membentuk Pakatan Harapan dengan segera di negeri itu, Azmin menegaskan, pakatan itu tidak perlu.

Phahrolrazi dilaporkan berkata penubuhan Pakatan Harapan, membabitkan Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP di Selangor, merupakan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, penubuhan Pakatan Harapan itu tidak akan menggugat kedudukan kerajaan negeri Selangor kerana majoriti kerusi di DUN Selangor dikuasai PKR dan DAP.

Azmin yang juga  Timbalan presiden PKR itu berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PKR dua minggu lepas meluluskan resolusi untuk terus bekerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Tidak perlu pembentukan Pakatan Harapan di Selangor seperti di Pulau Pinang sebab senario politik berbeza. 

 "Kita meluluskan resolusi untuk terus bekerjasama dengan PAS, Parti Sosialis Malaysia dan semua parti pembangkang di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, semalam.

Pada 29 Oktober lalu, PAS Selangor menegaskan ia tidak akan menarik diri daripada kerajaan Selangor.

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Selangor, Shafie Ngah yang juga Adun Bangi berkata, PAS  tidak boleh menarik diri memandangkan wakil rakyat PAS mempunyai tanggungjawab besar melaksanakan mandat rakyat.

“Kami dipilih rakyat pada pilihan raya lalu sehingga kami berjaya membentuk sebuah kerajaan yang baik dalam Pakatan Rakyat (PR) sekali gus memberi kebajikan kepada semua rakyat.

PAS  Selangor percaya mana-mana parti di negeri ini tidak boleh mentadbir secara bersendirian kecuali menerusi kerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang menyerahkan kepada PAS  untuk menentukan pendirian sama ada mahu keluar atau kekal dalam pakatan kerajaan Selangor.

Malah, Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman turut menegaskan yang Pas Selangor tidak akan goyah dengan Pakatan Harapan.

Menurutnya, PR masih terpakai di Selangor sepertimana yang dinyatakan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

“Kami terima baik pandangan beliau (Mohamed Azmin) yang mengatakan hanya PR terpakai di Selangor, bukannya Pakatan Harapan. Justeru itu, Pas Selangor akan terus menjalankan tugas seperti biasa termasuk berbincang dengan rakan PKR dan DAP dalam urusan hal ehwal kerajaan di negeri ini,” katanya.

Dengan jawapan Azmin semalam, jelas nampaknya beliau amat praktikal dalam mengekalkan kekuasaan PKR dengan tidak cuba menyentuh sarang tebuan.

Peduli apa dengan Pakatan Harapan yang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada PKR dan diri beliau sendiri.

Azmin pastinya tidak sanggup meninggalkan kerusi Menteri Besar hanya kerana mahu berbaik-baik atau melayan Pakatan Harapan!

Monday, October 19, 2015

Apalah Azalina Ni...Usul Undi Tidak Percaya Memang Politik....


Apalah Azalina ni…perkara politik jangan dijadikan politik.

Apakah usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan isu politik?

Juga bukankah usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sebagai isu yang sedang diperkatakan dan menjadi sesuatu yang menjadi kepentingan rakyat?

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk AzalinaOthman meminta agar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian  tidak perlu dipolitikkan.

Beliau menganggap jika dipolitikkan khususnya oleh pihak-pihak berkepentingan, hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Ilmu atau amalan mana Azalina pakai?

Benar mungkin usul ini tidak akan ke mana-mana tetapi ia memang isu politik dan berkepentingan.

Pada  persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini, terdapat lima Rang Undang-Undang Kerajaan yang akan melalui bacaan pertama dan harus didahulukan.

"Nombor 1 dan 2 adalah Usul Kerajaan, nombor 3 hingga 6 adalah Rang Undang-Undang Kerajaan (bacaan kali yang kedua), nombor 7 hingga 28 adalah Usul Persendirian seperti yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat. Di samping itu, lima Rang Undang-Undang Kerajaan akan dibuat bacaan pertama pada hari tersebut.

"Justeru itu, pertimbangan mana-mana usul adalah tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Loy Sian dilaporkan sudah mengemukakan notis kepada Parlimen untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Najib.

Menurut Azalina,  meskipun usul berkenaan sudah ada dalam kertas aturan mesyuarat namun ia diletakkan pada susunan ke-25 daripada keseluruhan 28 usul dan keadaan itu memungkinkan usul berkenaan tidak sempat dikemukakan dalam sidang kali ini.

Dalam pada itu, Azalina berharap agar mana-mana Ahli Parlimen sentiasa bertindak dengan mendukung prinsip kebertanggungjawaban khususnya dalam mengemukakan mana-mana Usul Persendirian.

"Ia supaya  tidak berdasarkan kepada andaian atau spekulasi semata-mata serta tidak melanggar apa-apa syarat Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

"Maka, saya berharap isu berkaitan dengan usul yang dikemukakan oleh YB PJS tidak perlu dipolitikkan khususnya oleh pihak-pihak berkepentingan untuk mengelirukan rakyat.

"Parlimen Malaysia sememangnya sentiasa mendukung prinsip demokrasi yang tinggi maka semua Ahli Parlimen mempunyai hak mereka seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat," katanya.