Friday, October 2, 2009

PMBK BERGEMBIRA, MANGSA RIBUT MENDERITA

Wajarkah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) meneruskan majlis keraian Aidilfitri semalam pada ketika lebih 100 rumah rosak akibat dipukul ribut?

Tidak bolehkah majlis yang diadakan hanya untuk kakitangan PMBK itu ditangguhkan ke hari lain, lagipun ia membabitkan kehadiran Menteri Besar yang sepatutnya ‘turun padang’ melihat sendiri kejadian.

Dalam kejadian petang kelmarin, ribut melanda beberapa kawasan di jajahan Tumpat, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok.



_____________________________

Azizah Mohammad bersama seorang anaknya di bahagian dapur rumahnya yang dihempap pokok kelapa akibat ribut di Kampung Dalam Ru, Pasir Puteh, kelmarin – gambar Utusan

_____________________________




Seorang gadis, Nurul Ain Ibrahim, 19, maut di Bachok akibat dihempap pokok semasa mencari tempat berlindung manakala di Pengkalan Chepa empat peniaga mengalami kecederaan.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh meninggalkan majlis berkenaan dan segera meninjau keperitan rakyat – bukan menikmati juadah sambutan Aidilfitri dalam suasana meriah.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman memberitahu, pihaknya turut mengarahkan semua Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) membuat bancian terperinci jumlah kerosakan harta benda untuk tindakan lanjut.

Penolong Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Puteh, Zulkifli Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang membuat bancian untuk mengetahui jumlah sebenar mereka yang terbabit termasuk kerosakan harta benda.

Beliau menasihatkan mangsa membuat aduan dan laporan di Balai Polis berdekatan tentang kerosakan dan kerugian yang dialami dengan menyerahkannya bersama salinan laporan polis untuk dipertimbangkan bantuan segera.

Pada ketika kakitangan PMBK bergembira, rakyat Kelantan yang terbabit dengan kejadian merintih sedih kerana rumah mereka rosak akibat yang melanda beberapa kawasan di jajahan Pasir Puteh petang semalam merosakkan lebih 100 rumah akibat dihempap pokok tumbang dan atap bumbung diterbangkan.

Antara kawasan yang mengalami banyak kerosakan rumah dalam kejadian pukul 4.30 petang yang berlarutan selama kira-kira 15 minit ialah Semerak, Gaal dan Selising.

Tidakkan pihak atasan PMBK sensitif dengan penderitaan yang ditanggung rakyat di kawasan berkenaan, walaupun bukan dalam kawasan Kota Bharu?

Jika pengurusan PMBK sama-sama merasai keperitan ini, majlis mungkin boleh ditangguh.

Utusan Malaysia melaporkan, Kerajaan negeri sudah berjanji membantu meringankan beban kesemua mangsa ribut yang melanda beberapa kawasan di negeri ini semalam.

Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau sedih dengan apa yang berlaku dalam musim perayaan ini yang turut mengakibatkan seorang terkorban dan lebih 100 rumah rosak.

Katanya, pihak kerajaan negeri menunggu laporan penuh tentang kerosakan daripada penghulu dan wakil rakyat kawasan terbabit untuk diambil tindakan selanjutnya.

"Hari ini walaupun Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mengadakan keraian tapi hati saya gundah kerana ribut melanda Kelantan dan banyak berlaku kemusnahan.

"Kerajaan akan beri bantuan semua sekali. Cuma sekarang menunggu senarai daripada penghulu dan wakil-wakil rakyat.

"Kita akan bantu seboleh yang mampu, kita akan ringankan beban mereka, tengoklah sama ada dari Tabung Serambi Mekah atau apa-apa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri PMBK.

Ribut itu adalah pengalaman mengejutkan bagi sebilangan penduduk yang belum pernah merasai suasana angin kencang dan bunyi deruannya mengopak bahagian bumbung rumah dan bagaikan menggoncangkan pokok-pokok.

Pegawai Penjaga Balai Bomba Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, bencana yang tidak diduga itu menyebabkan pihaknya bersama kakitangan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertungkus-lumus menjalankan kerja pembersihan kawasan.

Semua anggota dikerahkan membantu penduduk memotong pokok yang menimpa rumah dan merentangi jalan manakala TNB mengendalikan semula pendawaian elektrik yang terputus sehingga lewat malam agar penduduk tidak bergelap.

Di Kampung Tok Bali, Semerak, seorang mangsa, Zaharah Ibrahim, 80, berkata, lebih separuh atap zink rumahnya diterbangkan angin kencang sebaik sahaja dia selesai menunaikan solat asar.

"Atap rumah saya terbang tinggi, kami bergegas keluar rumah dengan kain sembahyang bersama anak dan dua cucu. Kami berpaut di beranda kerana tiupan angin terlalu kencang ketika itu," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, ketika kejadian itu sebahagian dinding batu rumahnya juga runtuh manakala dia melihat semua kenderaan berhenti di bahu jalan.

"Biar pun rumah kami rosak teruk kami bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan berlaku. Saya terpaksa menumpang di rumah jiran sementara menunggu bantuan daripada mana-mana pihak," katanya.

Di Kampung Dalam Ru, seorang suri rumah, Azizah Mohammad, 41, pula berkata, anaknya, Sopia Azman, 10, cedera ringan apabila terkena pelepah pokok kelapa yang tumbang dan hampir meranapkan bahagian dapur rumahnya.

Menurutnya, ketika ribut mula melanda, dia bersama anak-anaknya berada di tangga dapur dan sempat melarikan diri apabila melihat pokok kelapa kelihatan hampir tumbang.

"Sofia yang terkena pelepah daun kelapa pula terpaksa merangkak di bawah rumah untuk menyelamatkan dirinya ketika itu," katanya.

JPN SASAR PENCAPAIAN TERTINGGI PMR

Sumber: Utusan Malaysia

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menjangkakan Kelantan mencatatkan pencapaian terbaik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan bermula dari 7 hingga 13 Oktober ini.

Pengarahnya, Mohd. Ghazali Abd. Rahman berkata, pihaknya menyasarkan 5,312 calonnya berpotensi mendapat 9A, jumlah tertinggi berbanding pencapaian 399 orang dalam PMR tahun 2007 dan 409 pelajar pada 2008.

Katanya, sasaran mereka yang lulus tanpa E juga tinggi tahun ini iaitu 77.16 peratus berbanding tahun 2007 iaitu 60.17 peratus dan 61.30 peratus tahun 2008.

"Seramai 30,784 pelajar dari 155 sekolah menengah termasuk sekolah agama bantuan kerajaan di negeri ini akan menduduki peperiksaan PMR tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sambutan Aidilfitri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1 di sini semalam.

SMK Zainab yang diiktirafkan sebagai sekolah kluster pada April 2009 merupakan salah satu daripada lapan sekolah di negeri ini yang mendapat pengiktirafan itu selain Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Sekolah Kebangsaan Zainab 2, SMK Datuk Ahmad Maher dan SMKA Naim Lilbanat.

Mohd. Ghazali yakin sasaran itu akan dicapai berikutan pelbagai program kecemerlangan yang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Katanya, program kecemerlangan itu tidak termasuk motivasi serta teknik menjawab soalan yang dijalankan secara bersepadu bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pentadbir sekolah YIK diminta jangan 'besar kepala'

Daripada Berita Harian

Pentadbir sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (), terutama pengetua tidak wajar membuat dasar sendiri, sebaliknya harus melaksanakan dasar yang ditetapkan yayasan demi kecemerlangan pelajar dan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata segala dasar yang ditentukan itu mempunyai peranan tersendiri dan rasional untuk dilaksanakan pentadbir sekolah.

Katanya, dasar untuk mentadbir sekolah YIK bukan saja membabitkan kemantapan akademik, malah mengambil kira usaha meningkatkan imej pelajar, guru dan sekolah.

“Kita (pengetua) tidak boleh buat dasar ikut suka hati hanya disebabkan tidak setuju dengan dasar ditetapkan YIK kerana peranan kita ialah melaksanakan dasar kerajaan, kita bukan penentu dasar berkenaan.

“Misalnya, apabila kita tetapkan syarat 3A 2B untuk kemasukan ke sekolah YIK, maka kita patut jelaskan rasionalnya kepada semua pihak, bukan turut sama membantah dasar berkenaan.

“Selain, itu, sekolah YIK hendaklah berusaha melahirkan kalangan pelajar yang mempunyai keseimbangan dalam intelektual dan emosi agar mereka mampu bersosial sebagai anggota masyarakat,” katanya.

Mohd Amar berkata demikian pada majlis penyerahan buku Ekspedisi Kutub Utara dan Antartika oleh penulisnya, Chua Yew Beng kepada sekolah YIK di Nilam Puri, di sini. Turut hadir ialah Pengarah YIK, Ahmad Robert Abdul Rahman.

Chua, 71, seorang pesara yang berasal dari Pasir Mas, diiktiraf Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai pengembara tertua yang sampai ke Kutub Utara dan melakukan lawatan ke 151 negara di seluruh dunia setakat ini.

Chua berkata, sebanyak 2,000 naskhah buku edisi bahasa Malaysia mengenai pengalaman ekspedisinya akan diedarkan secara percuma kepada semua sekolah kebangsaan di negeri ini dalam masa terdekat.

Tuesday, September 29, 2009

Nik Aziz perlu bertanggungjawab terhadap kemunduran Kelantan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat harus bertanggungjawab terhadap kemunduran negeri itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pada satu tahap tertentu, beliau bertanggungjawab terhadap kemunduran Kelantan. Beliau perlu menerimanya. Di negara lain, orang akan letak jawatan jika mereka gagal," kata beliau bagi menjawab soalan mengenai kepimpinan Nik Aziz.

Dr Mahathir berkata demikian selepas majlis pembukaan Sidang Kemuncak Tadbir Urus Korporat 2009 hari ini yang bertajuk "Truth, Lies and Corporate Governance".

Kenyataan itu dibuat beliau berikutan gesaan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya Nik Aziz meletak jawatan kerana gagal membawa kemajuan di Kelantan.

Nik Aziz sebelum itu dilaporkan telah meminta Ibrahim mengosongkan kerusi parlimennya berikutan tindakan-tindakannya yang menjejaskan PAS.

Dr Mahathir berkata, masalah bagi situasi politik tempatan adalah ramai pemimpin yang enggan melepaskan kerusi mereka.

"Masalah dengan kerusi yang selesa diduduki adalah anda tidak mahu bangun langsung. Anda hanya duduk," katanya sambil menambah beliau berundur selepas 22 tahun kerana "Saya rasa orang telah bosan dengan saya."

Berhubung Ibrahim Ali, Dr Mahathir berkata, negara memerlukan lebih ramai pemimpin seperti beliau.

"Kita memerlukan seseorang yang berkecuali dan prihatin hanya kepada urus tadbir yang baik dan akan mengkritik sesiapa sahaja sama ada Kerajaan atau pembangkang," katanya.

Sementara itu, di Pasir Mas, pertubuhan Melayu tempatan bukan kerajaan mencabar PAS Kelantan untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Tendong bagi membolehkan Ibrahim bertanding dengan Nik Aziz.

Timbalan Presiden Pusat Khidmat Penjagaan Rakyat Pasir Mas, Mohd Sapani Zakaria berkata, Nik Aziz harus bertanding kerusi itu dan membuktikan Ibrahim telah kehilangan sokongan di kawasan itu.

Projek agropolitan Rantau Manis gagal

Sumber: Berita Harian

Kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah tanah dalam projek agropolitan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Rantau Manis, Gua Musang, membantutkan usaha membangunkan 1,000 rumah untuk golongan miskin di kawasan itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Kemajuan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata projek penempatan penduduk miskin yang dirancang dalam program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu kini menghadapi kelewatan disebabkan kerajaan negeri gagal meluluskan tanah.
Katanya, ECER sudah menyiapkan perancangan lengkap mengenai pembinaan rumah berkenaan dan sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi mendapat kelulusan segera, namun sehingga kini belum mendapat tindak balas.

"Matlamat kerajaan Pusat menerusi projek agropolitan Rantau Manis ialah membina 1,000 penempatan untuk peserta Kesedar yang juga termasuk dalam projek ECER dengan tujuan mengeluarkan mereka daripada jurang kemiskinan menjelang 2010 nanti.

"Namun, perancangan itu mengalami sedikit kelewatan kerana masalah tanah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri sedangkan ECER sudah membuat perancangan rapi terhadap projek di situ.
"Kita berharap dapat kerjasama kerajaan negeri dengan mempercepatkan kelulusan tanah, sekali gus membantu membasmi miskin tegar di negeri ini," katanya kepada media pada majlis penyerahan kunci rumah kepada Salleh Mohamed, 51, menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Manik Urai, dekat sini, semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu lagi, kerajaan Pusat akan membelanjakan RM1.5 juta untuk membaiki 500 rumah penduduk miskin di Manek Urai.

Katanya, program menerusi projek khas pilihan raya dengan menyediakan peruntukan RM3,000 adalah untuk membaiki sebuah rumah penduduk yang rosak.

"Kita berharap menjelang akhir tahun ini program membaiki 500 rumah itu akan siap sepenuhnya sekali gus membuktikan kesungguhan kita membantu rakyat," katanya.
Beliau berkata, bagi Parlimen Kuala Krai, kerajaan Pusat sudah membelanjakan lebih RM4 juta bagi membina 130 rumah baru untuk penduduk miskin di situ.

"Daripada jumlah itu, 45 rumah sudah dibina di Manek Urai dengan membabitkan peruntukan RM1.5 juta," katanya.

KENAPA PAS DISINGKIR DARIPADA BN

Baca dan teliti –jangan dengar sebelah PAS sahaja…

Mengapa PAS Disingkir

Yang lahir pada 1977, usia mereka 32 tahun. Mungkin ada antara mereka tidak pernah mengetahui kenapa Barisan Nasional (BN) menyingkirkan PAS pada tahun itu.

Yang mereka tahu hari ini, kononnya BN tidak setiakawan atau sengaja memecat PAS yang menurut Datuk Nik Abdul Aziz menyebabkan beliau serik dengan BN.

Namun, teliti dan fahami ucapan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang memberikan sebab-sebab pemecatan PAS.

“TERLEBIH dahulu saya dengan sukacitanya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari jauh dan dekat dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini.

Perjumpaan ini amat penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Perjumpaan kita hari ini diselubungi oleh suasana sedih dan pilu. Sedih kerana kehilangan seorang menteri yang telah banyak berjasa kepada UMNO dan negara. Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung Kupang, Johor yang telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan mengharukan kita semua. Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah ini, marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad serta lain-lain roh orang yang telah terkorban dalam kemalangan itu.

Sebelum saya menyebut perkara penting dalam perjumpaan ini, marilah kita menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula dengan secara ringkas perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan yang diadakan pada petang ini.

Saya tidaklah berhajat hendak menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Perikatan sejak ia ditubuhkan. Kesemuanya ini ada dalam pengetahuan tiap-tiap ahli UMNO. Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan menubuhkan Barisan Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini sebelas buah parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada masa sebelumnya.

Sesungguhnya UMNO telah membuat membuat banyak pengorbanan politik bagi memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional. Walaupun perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan Nasional telah dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan, membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum.

Barisan Nasional berazam akan terus dengan penuh keberanian dan dengan usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud dan mengeratkan perpaduan. Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional akan mencapai kejayaan.

Barisan Nasional merupakan satu federasi yang longgar kerana tiap-tiap parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti partinya masing-masing. Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan semangat ingin bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling penting sekali ialah mematuhi disiplin parti. Semangat kerjasama dan persefahaman adalah penting bagi menyelesaikan masalah negara. Ia lebih berharga dengan membuktikan dalam amalan daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan sahaja tetapi tidak dipraktikkan.

Inilah caranya Barisan Nasional bergerak selama ini dari semenjak ia ditubuhkan. Hasil kejayaan penubuhan Barisan Nasional telah dapat dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan yang paling gemilang dalam pilihan raya tahun 1974. UMNO yang paling mempelopori gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin, sempurna dan jayanya.

Parti-parti politik yang bercorak gabungan seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sekali-sekala menghadapi masalah. Pertentangan pendapat dan perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan sesuatu masalah merupakan satu perkara biasa yang memang diramalkan dari mula-mula lagi. Peristiwa perpecahan parti komponen Barisan Nasional di Sabah merupakan kejadian pertama yang telah berlaku. Walaupun perkara ini belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya Allah penyelesaian terakhir akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur. Pergolakan yang sedang kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa kedua. Perkara ini besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang serius kerana ia melibatkan soal pokok.

Sebagaimana kita maklum, Dato’ Haji Mohamad Nasir telah dipilih menjadi Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan semangat tolak ansur di antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Ketua Barisan Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Semangat tolak ansur seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan. Ia merupakan faktor utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan Nasional.

UMNO tidak berhajat dan tidak mahu mencampuri langkah-langkah pimpinan PAS melucutkan jawatan Dato’ Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak pucuk pimpinan PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS. UMNO menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional. Langkah itu juga telah diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun perundingan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.

UMNO tidak dapat menyokong langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15 Oktober itu bukan kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana UMNO tidak tahu sebab atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad Nasir dilucutkan daripada jawatannya. Oleh itu sikap berkecuali yang telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah. Tambahan pula UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan dengan PAS.

Malangnya peristiwa melucutkan jawatan Menteri Besar itu dengan tidak disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang buruk. Peristiwa yang telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan. Jika keadaan ini tidak dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya. Sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, saya terpaksa mengambil langkah yang tegas. Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri Kelantan.

Satu undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah ini diambil pada masa menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam jemaah Menteri. Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen.

Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di Kelantan dengan tidak mengira siapakah yang menjadi parti pemerintahnya. Sama ada ia dari parti lawan ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang pentingnya ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri. Saya memanglah sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.

Memang benar demokrasi telah mati di Kelantan. Tetapi rakyat Kelantan telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan di atas keselamatan dan masa depan mereka. Demokrasi di Kelantan tetap akan dipulihkan sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan. Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati sekarang dimana pemerintahan NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan kita telah kembali kepada pemerintahan demokrasi. Tempoh dan lama masa berjalannya kerajaan darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang wajib sahaja.

Lebih pendek adalah lebih baik. Kerajaan Pusat berikrar akan memulihkan kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera yang boleh. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai anggota di Dewan Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju pemerintahan negeri itu semula dan bukanlah UMNO.

Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat dan rang Undang-undang yang telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu telah sengaja disalah faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS. Semua wakil rakyat PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat di Kelantan itu. Biarlah saya bersalah dalam tindakan saya mengadakan undang-undang itu. Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang lebih besar dengan membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa, kecederaan dan kemusnahan harta benda. Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh memandang ringan perkara ini. Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa rakyat.

Tindakan saya ini telah disambut baik dan disokong oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat Kelantan sendiri. Saya tidak faham kenapa pucuk pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya. Saya tahu tidak semua ahli PAS bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya. Sebenarnya UMNO juga memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan PAS tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.

Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang arahan parti anggota Barisan Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan ini dimasa akan datang. Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur dan disiplin parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur. Kita semua tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan Nasional selama ini.

Disiplin adalah paling mustahak dalam penghidupan manusia dan hendaklah diutamakan. Mengenakan disiplin di atas diri sendiri pun merupakan perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan seperti parti-parti politik. Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO selama selama ini ialah kerana ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta menghormati dan menjunjung tinggi peraturan yang ditetapkan. Parti-parti yang ahlinya tidak patuh kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu sendiri.

Soal mengenai siapa yang bersalah sehingga mengakibatkan tercetusnya kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah berfaedah dibangkitkan. Tetapi perkara yang paling penting dan yang patut diutamakan ialah melindungi nyawa rakyat terlebih dahulu. Sebagai Perdana Menteri, saya mengetahui dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam negeri. Saya mesti bertindak sewajarnya mengikut keadaan.

Saya telah pun menerangkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu. Saya jalankan segala tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan keadaan di atas sifat saya sebagai Perdana Menteri. Yang bertanggungjawab di atas kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh tanah air kita. Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh rakyat kepada saya. Saya tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak memahami hakikat ini. Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan tawar menawar.

Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah Kerajaan negeri Kelantan adalah bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana Menteri. Saya pula bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dimana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS boleh membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya. Sebaliknya mereka telah mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai kerajaan.

Dalam masa kita sedang mencari-cari jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di Kelantan itu, tiba-tiba pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah lain dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar yang terdiri draipada ahli-ahli UMNO. Di antara yang yang paling baru ialah di negeri Kedah. Menteri-menteri Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang meragukan ialah tentang sejauh mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan perbuatan-perbuatan ini dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan kita.

Dimanakah letaknya semangat kerjasama pucuk pimpinan PAS dalam Barisan Nasional? Apakah salahnya jika perkara ini dirundingkan dengan kita terlebih dahulu? Jika kita sanggup merundingkan terlebih dahulu mengenai hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS, mengapakah pucuk pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di negeri-negeri yang lain? Sungguh sukar sekali bagi kita hendak memahami tindak-tanduk pucuk pimpinan PAS ini. Setelah menimbulkan gejala-gejala ini, pucuk pimpinan PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal dalam Barisan Nasional. Kita sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan datang pada 17 Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan yang hebat. Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini? Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat demikian? Bukankah ini semuanya merupakan gejala-gejala yang sengaja ditimbulkan dengan niat hendak memecah-belahkan Barisan Nasional? Di negeri Johor pula, pucuk pimpinan PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata dua bahawa calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya menentang Barisan Nasional.

Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang. Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada Barisan Nasional. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri.

Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional, Perkara ini telah dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini. Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan Barisan Nasional. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Walaupun Barisan Nasional terpaksa berpecah, tetapi ini tidak bererti pembangunan akan terjejas dan terhenti. Pembangunan tetap akan berjalan terus. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan dengan sepenuh-penuhnya. Inilah janji saya kepada rakyat sekalian.

Berikutan dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan sidang tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Disember 1977, Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional membolehkan dengan suara majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang didapati melanggar disiplin. Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat hendak menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS. Barisan Nasional masih lagi, jika boleh, berkehendakkan PAS tinggal kekal dalam Barisan Nasional. Sungguhpun demikian, disiplin parti mesti dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan Nasional hidup berpanjangan. Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak ansur sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.

Tolak ansur ini merupakan usul yang berkehendakkan supaya parti-parti anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang arahan parti whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan rakyat, dewan negara atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin terhadapnya dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.

Apabila semangat kerjasama yang tulus ikhlas itu luput dan disiplin parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah tentu akan pecah dan musnah. Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi. Eloklah kekusutan yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika dibiarkan berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.

Daripada sebelas parti anggota dalam Barisan Nasional, sembilan telah menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang usul itu. Keputusan suara terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi kepada pucuk pimpinan PAS.

Memandangkan betapa pentingnya masalah yang kita hadapi, saya telah mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO malam tadi. Majlis tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala akibatnya terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang, yang terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan perpaduan orang Melayu amnya. Kami berpendapat bahawa haruslah diwujudkan kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan Nasional.

Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pertelingkahan ini berpanjangan, yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada Barisan Nasional, Majlis Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita mengambil pendirian, jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya pada 5 Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS daripada Barisan Nasional.

Pagi ini saya telah menyampaikan pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional. Ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju supaya mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember yang akan datang ini.

Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

UMNO sudah membuat keputusan dan menentukan pendiriannya. Keputusan dan pendirian itu adalah dibuat dengan hati yang suci, demi kepentingan Barisan Nasional dan negara. Saya yakin dengan kesucian hati kita itu, Allah akan memberkati perjuangan kita.

Saya merayu kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih berhati-hati lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi. Masa hadapan Barisan Nasional penuh dengan cabaran. Kita akan menghadapinya dengan meminta petunjuk dan keredhaan Allah.

Dengan ini maka kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah.

MEDIA MAYA MAMPU BANTU UMNO KELANTAN

Saya tujukan komen ini untuk seluruh jentera penerangan UMNO Kelantan yang rasanya perlu menjuruskan strategi menyerang dan bertahan.

Saya juga mengalu-alukan usaha UMNO Kelantan yang mahu menggunakan pendekatan media maya dalam memperjelaskan isu-isu semasa yang dibangkitkan oleh pembangkang serta menangkis segala dakyah parti lawan terhadap Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Dali Hussin berkata pendekatan itu penting bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu daripada genggaman PAS pada pilihan raya umum akang datang.

"Bagi tujuan itu, UMNO Kelantan sedang mencari tenaga pakar yang mampu menjadi jentera penggerak untuk memberi penerangan melalui media maya kepada rakyat," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Pengkalan Chepa baru-baru ini.

Yang perlu Dali faham ialah, ia bukan untuk menyerang sahaja tetapi untuk menjelaskan dasar-dasar yang UMNO laksanakan selain aktiviti serta kempen UMNO secara keseluruhannya.

Malah ceramah-ceramah hendaklah disebarkan melalui media maya dan tisak lagi bergantung cara tradisi – CD, teks dan sebagainya.

Generasi muda tidak gemar pemimpin membebel satu jam atau dua jam. Mereka mahukan intipati dan secara ringkas apa sebenarnya yang mahu dilaksana oleh parti bagi kepentingan mereka.

Saya bersetuju dengan pendapat Dali bahawa pendekatan melalui media maya ternyata berkesan apabila BN berjaya meraih majoriti undi besar di kalangan pengundi muda pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, 14 Julai lepas.

"Kita dapati ketika kempen pilihan raya kecil DUN itu, antara 1,000 hingga 12,000 orang melayari laman web Umno Kelantan setiap hari," katanya.

"UMNO Kelantan juga mendapati kekalahan BN di Kelantan pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas juga disebabkan kegagalan kita menangkis segala dakyah PAS melalui laman blog yang ditulis oleh penulis blog yang menyokong mereka," katanya.

Melalui laman blog itu, pelayar internet hanya mampu menerima penerangan secara sebelah pihak sahaja.

"Justeru itu, kita cuba mencari pendekatan dengan menggunakan tenaga pakar dalam bidang media maya untuk menangani masalah itu," katanya.

Sudah tiba masanya Dali menggembleng tenaga bloggers serta yang mampu menggunakan IT untuk menyebarkan maklumat kerana melaluinya UMNO Kelantan akan bertambah mantap dari segi penyebaran maklumatnya.

Sunday, September 27, 2009

RM1.5 JUTA UNTUK BAIKI 500 RUMAH DAIF DI MANIK URAI

Kerajaan pusat melalui kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memperuntukkan RM1.5 juta bantuan kepada penduduk miskin tegar di kawasan Manik Urai bagi membaiki kediaman daif mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata peruntukan itu adalah untuk 500 buah rumah daif yang telah dikenal pasti di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata daripada jumlah itu sebanyak RM3,000 bagi setiap rumah daif yang dikenal pasti diperuntukkan untuk dibaiki.

"Kita akan bagi bantuan kepada mereka sama ada untuk baiki atap rumah atau lantai dan kesemua bantuan ini dijangka akan siap menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahkan kunci rumah kepada Salleh Mohamed, 51, di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Manik Urai hari ini.

Mengenai program PPRT, beliau berkata program itu diharap akan dapat mengurangkan beban penduduk di kawasan tersebut terutamanya bagi penduduk miskin tegar.

Mustapa berkata sebanyak 45 buah rumah telah siap dibina di bawah program PPRT kepada penduduk kawasan tersebut sehingga kini.

"Kita lihat kebanyakan rumah penduduk di kawasan Manik Urai ini daif dan tumpuan lebih akan diberikan untuk membantu mereka," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Salleh berkata beliau bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan pusat kerana keluarganya kini dapat memiliki dan mendiami kediaman yang selesa.

"Sejak mendirikan rumah tangga 21 tahun lalu, baru kali ini kami dapat memiliki rumah sendiri dan ini juga dianggap sebagai hadiah Aidilfitri kepada kami sekeluarga," katanya.

Beliau yang merupakan seorang penoreh getah dengan empat anak telah menunggu selama 15 tahun untuk bantuan kediaman daripada kerajaan negeri tetapi gagal dan impiannya menjadi kenyataan kini setelah beliau memohon kepada kerajaan pusat pada 2004.

Terdahulu, Mustapa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya bersama rakyat di SK Manik Urai Baru.

Lebih 2,000 penduduk Manik Urai memeriahkan majlis tersebut dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kesedar Datuk Ramzi Abdul Rahman serta bekas calon BN bagi pilihan raya kecil Manik Urai, Tuan Aziz Tuan Mat.

SOLAT IBRAHIM ALLAH TAK TERIMA?

Hari ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cabaran anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya beliau meletakkan jawatan sebagai isu lama yang tidak perlu dilayan.

Mursyidul Am PAS itu berkata, rakyat boleh menilai sendiri apa yang telah dilakukannya sepanjang mentadbir Kelantan selepas memenangi pilihan raya umum 1990.

Banyak perubahan daripada segi pembangunan telah dilaksanakan di Kelantan, termasuk di daerah-daerah terpencil seperti Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli, katanya kepada pemberita pada majlis Aidilfitri PAS di perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke-1V, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ibrahim semalam yang mencabarnya meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar dan juga atas alasan beliau sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin muda.

Cabaran Ibrahim itu adalah sebagai susulan kepada desakan Menteri Besar itu supaya anggota Parlimen Pasir Mas itu melepaskan jawatan ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu. Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Bebas atas tiket PAS.

Rakan Lawi Ayam, Zabidi Saidi dalam entri pada blognya mengulas “NIK AZIZ JADI TUHAN? “ menganggap Nik Aziz sekali lagi ‘menjadi Tuhan’ kerana menghukum solat ahli parlimen Pasir Ma situ sebagai tidak diterima oleh Allah.

Dia yang dahulunya yang menentukan orang masuk syurga kerana katanya orang UMNO tidak boleh masuk syurga kini mengeluarkan kenyataan bahawa amal soleh Ibrahim tidak diterima Tuhan jika dia tidak meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengulangi gesaan agar Ibrahim Ali melepaskan jawatan ekoran tindak-tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu.

Nik Aziz sendiri tidak faham konsep ahli parlimen bebas. Apa yang dibuat oleh Ibrahim adalah betul kerana sebagai ahli parlimen bebas ,dia bebas menegur sesiapa sahaja sama ada orang PAS atau orang UMNO atau orang PKR atau orang DAP. Cuma dia menggunakan platform PAS untuk bertanding pada pilihan raya umum 2008 membuktikan betapa cerdiknya Ibrahim Ali sebagai ahli politik.

Jika beliau bertanding tiga penjuru di antara calon BN, PAS dan beliau, sudah tentu beliau kalah. Tetapi apabila beliau berunding dengan PAS supaya beri laluan kepadanya tanding atas tiket PAS walaupun beliau adalah calon Bebas, ini menunjukkan politik Ibrahim adalah seorang yang licik. Ibrahim sudah tiga kali menang di Pasir Mas bertanding di atas parti yang berbeza pada tahun 1986 menang atas tiket BN, 1990 menang atas tiket Semangat 46 dan 2008 menang atas tiket PAS.

Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu perlu jika mahu amal solehnya diterima Tuhan kerana rezeki yang diperoleh melalui hasil jawatan tersebut adalah ‘tidak betul.’
Katanya, rakyat Pasir Mas tidak lagi merestui Ibrahim sebagai wakil rakyat mereka yang diberi kemenangan selepas bertanding sebagai calon bebas atas tiket Pas dalam pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu katanya, langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh Ibrahim adalah dengan melepaskan jawatan itu dan memberi laluan pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Kalau orang Pasir Mas kata dia kena berundur, berundurlah. Duit yang dia makan tu tak betul, dia sembahyang Tuhan tak terima, dia buat apa pun Tuhan tidak terima.

“Baik dia letak jawatan lagi senang. Perut kenyang pun tapi kalau masyarakat perlekeh buat apa? Dulu orang Pas yang undi dia, orang UMNO ada sedikit sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz ini adalah susulan desakan pemimpin Pas Kelantan sebelum ini yang mahukan Ibrahim melepaskan jawatan kerana beliau dilihat sudah berpaling tadah.

Sementara itu Ibrahim mempersoalkan tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi desakan supaya beliau mengosongkan kerusi Parlimen tersebut.

Beliau sebaliknya mendesak Nik Abdul Aziz supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka kerana gagal melaksanakan tugas walaupun telah diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun menerajui negeri ini.

Katanya, Mursyidul Am Pas itu tidak berhak untuk mendesaknya melepaskan jawatan kerana kemenangannya pada pilihan raya umum lalu diberikan oleh penduduk Pasir Mas dan parti hanya menjadi landasan untuk berbakti.

“Kenapa saya perlu meletak jawatan, dia yang sepatutnya meletakkan jawatan, apa yang dia buat sejak memerintah Kelantan pada 1990? Tidak ada perubahan langsung.
“Nik Abdul Aziz gagal untuk mentadbir dan ia jelas terbukti, jadi dia yang harus meletakkan jawatan kerana sudah lama memerintah tetapi tidak ada apa yang dibuat untuk rakyat di negeri ini.

“Saya tidak makan duit haram, semua elaun saya sebagai Ahli Parlimen saya kembalikan kepada rakyat bagi memastikan mereka tidak hidup dalam keadaan susah kerana kerajaan negeri tidak membantu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Pasir Mas di Kota Bharu semalam.

Kesedar urus penempatan penduduk

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dengan kerjasama kerajaan negeri telah membentuk satu jawatankuasa bagi menguruskan penempatan penduduk di kawasan seluas 960 hektar di Rantau Manis, Gua Musang.

Pengerusinya, Datuk Ramzi Abdul Rahman berkata, jawatankuasa itu bertujuan menempatkan 1,000 penduduk miskin tegar di bawah program Pelan Pembangunan Koridor Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

Bagaimanapun, katanya, perbincangan lanjut masih lagi diadakan dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kewujudan pertindihan hak di tanah berkenaan.

“Insya-Allah kita akan umumkan apabila perkara ini selesai, sekarang ini kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa antara pihak Kesedar dan kerajaan negeri untuk membincangkan perkara ini.

“Saya tidak mahu menjelaskan dengan lanjut kerana ia masih dalam perbincangan. Nanti kita akan umumkan hasilnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Pembentukan jawatankuasa tersebut merupakan perkembangan positif kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit kerana sebelum ini Kesedar telah pun menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri.

Melalui ECER, wilayah pantai Timur dijangka menerima pelaburan bernilai RM112 bilion selama tempoh 12 tahun pelaksanaannya bermula tahun 2008 sehingga 2020.

Selain itu, ECER juga komited dalam usaha pembangunan sosialnya bagi membasmi kemiskinan dan ia sejajar dengan objektif kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.

Kerajaan Tidak Galak Tanam Tembakau Selepas AFTA Berkuat Kuasa

Penanam tembakau terutama di jajahan Bachok dan Pasir Puteh tidak seharusnya terus bergantung terhadap hasil tanaman tembakau selepas Perjanjian Perdagagan Bebas Asean (AFTA) dikuat kuasa mulai 1 Januari, tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata kerajaan tidak akan menggalakkan mereka mengusahakannya selepas itu sebaliknya sedang berusaha untuk memperkenalkan tanaman alternatif lain.

"Ini disebabkan kos pengeluaran untuk menghasilkannya terlalu tinggi berbanding negara-negara jiran," katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan Hari Raya Aidilfitri peringkat Parlimen Pasir Puteh, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan penanam berhubung keputusan kerajaan yang tidak akan menurunkan cukai tembakau, arak dan beras.

Mereka berkata tindakan itu akan memalapkan industri itu yang menjadi tempat mereka bergantung hidup sejak 50 tahun lepas.

Mustapa berkata kos yang lebih tinggi menyebabkan mereka tidak akan mampu bersaing dengan pengeluaran yang dihasilkan oleh penanam dari negara jiran yang kosnya lebih rendah.

"Lagi pun tembakau merbahaya kepada kesihatan dan ditegah oleh agama," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah banyak membantu mereka termasuk meluluskan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada setiap penanam sejak dua tahun lepas supaya mereka keluar dari industri itu.

Katanya dengan bantuan itu kerajaan berharap mereka akan menyertai bidang lain seperti ternakan dan mengusahakan tanaman saperti kenaf dan ubi keledek.