Tuesday, April 16, 2013
Muhd Taib Masuk PAS, Penyokong Bantah Pencalonan Tengku Riduan
Apa jadi di Selangor?
Negeri yang Datuk Seri Mohd Najib sendiri jaga sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO sedikit kecoh.
Bekas naib presiden Umno Muhammad Muhammad Taib memutuskan menyertai PAS.
Bagaimanapun, beliau hanya akan diperkenalkan secara rasmi oleh parti Islam itu pada Isnin depan, dua hari selepas penamaan calon.
Ia bagi mengelakkan dakwaan beliau mengambil langkah itu demi dicalonkan dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini.
Difahamkan Muhammad menyerahkan borang permohonannya kepada Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.
Anggota jawatankuasa Pusat PAS Kamaruddin Jaffar ketika dihubungi hari ini mengesahkan keanggotaann Muhammad tetapi enggan memberitahu di mana pengumuman itu akan dibuat.
Kamaruddin, bekas setiausaha agung PAS mengesahkan perkara itu ketika ditanya berhubung spekulasi bekas menteri besar itu akan bertukar parti.
Selain itu, ketika Najib serah watikah calon, sekumpulan penyokong BN semalam berhimpun di perkarangan bangunan ibu pejabat Umno dan "mengugut" tidak akan memberi sokongan kepada parti itu sekiranya calon pilihan mereka tidak terpilih bertanding dalam pilihan raya umum 5 Mei.
Kira-kira 30 penyokong BN dari DUN Kelana Jaya itu membantah pencalonan ahli jawatankuasa bahagian Tengku Riduan Tengku Mansor – adik kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai calon.
Kumpulan berkenaan mengambil kesempatan untuk mengadakan perhimpunan tersebut ketika presiden parti Datuk Seri Najib Razak menyertai majlis menyerahkan watikah calon BN kepada pemimpin BN negeri di tingkat 8 bangunan tersebut.
Penyerahan watikah tersebut bermakna BN telahpun memuktamadkan senarai calon masing-masing dan kini perlu mempersiap jentera mereka.
Kumpulan berkenaan bagaimanapun berpandangan sebaliknya dan mahu DUN Seri Setia ditandingi pemimpin pilihan mereka – Datuk Halim Abdul Samad atau pembantunya Datuk Yahya Bujang.
Menurut mereka, dua individu berkenaan "sering turun padang dan mempunyai jasa" kepada penduduk di situ.
"Selama lima tahun kita kecewa, nak pakai baju Umno dan BN pun malu. Tapi Datuk Halim dan Datuk Yahya buat rasa kami nak pakai. Kami sama-sama mengumpul kekuatan, tiba-tiba orang lain ambil alih.
"Kami tak kenal dia. Penduduk tak kenal. Dia tak pernah datang, tak pernah turun padang... Tak ada jasa," dakwa wakil kumpulan tersebut Norhaizal Ismail.
Mereka yang berhimpun di luar bangunan ini, juga membawa poster mendesak supaya calon pilihan mereka dilantik bertanding, dan menolak calon bukan pilihan mereka.
"Kami tak mahu keluar mengundi. Kami juga tak mahu masuk PKR," kata mereka pada perhimpunan tersebut.
Salah seorang peserta perhimpunan tersebut turut memberitahu Malaysiakini bahawa Tengku Riduan telah mengadakan pertemuan dengan ketua pusat mengundi di DUN tersebut malam tadi dan mengisytiharkan dirinya sebagai calon di DUN tersebut.
Mereka mendakwa pertemuan itu, yang diadakan di Kelab Golf Subang itu, telah mendahului keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang akan membuat pengisytiharan calon BN hari ini. "BN dan Umno boleh menang besar (di DUN itu) kalau betul calonnya," kata Abu Hanipah Zahari.
Mereka juga melaungkan bantahan bahawa mereka "bukan membantah BN tetapi membantah calon itu". "Kami sayang Umno, kami sayang BN," kata salah seorang peserta. DUN Seri Setia mempunyai 16 pusat daerah mengundi
Malaysiakini
Subscribe to:
Posts (Atom)