Saturday, June 18, 2016

Ilham Centre - BN Boleh diKalahkan Oleh Undi Protes Di 2 PRK


"Kemuncak gegaran kempen di pihak Pakatan Harapan yang diwakili Amanah apabila Tun Mahathir bersedia untuk turun berkempen. Kehadiran beliau di Sungai Besar dan Kuala Kangsar merubah trend politik tradisi pengundi tegar BN."

Calon Barisan Nasional (BN) boleh dikalahkan dalam dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar jika pengundi tidak membazirkan undi mereka dengan mengundi Pas yang sudah pasti kalah atau undi protes di kalangan ahli Umno mengundi Amanah dalam pilihan raya kecil hari ini.

Demikian kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan kajian yang dilakukan oleh penyelidik bebas Ilham Centre, kata Pengerusi Eksekutifnya, Hisomuddin Bakar.

Bagi beliau, ketika keputusan hampir menjadi milik BN, keputusan upset boleh berlaku saat-saat akhir sekiranya jentera BN gagal menangani elemen protes senyap dalaman parti Umno.

"Malapetaka kepada BN ini boleh disumbangkan oleh undi protes dalaman Umno tinggi, undi bukan Melayu solid kepada Amanah, undi kelompok anti BN dan undi 'fence sitter' beralih mengundi pembangkang," kata Hisomuddin dalam analisisnya terhadap kajian mereka.

Kajian Ilham Centre berbeza dengan kajian oleh Amanah sebagaimana yang dumumkan oleh presidennya Mohamad Sabu yang mendapati sokongan sudah memihak kepada mereka.

Menurut Ilham Centre, peratusan besar respondan yang menjawab 'Tidak Tahu' menyebabkan BN berada di depan berbanding dengan Amanah. 


Hisomudin mengaku, perubahan pola kesan daripada kempen agresif oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sedikit sebanyak menggoncang titik kekuatan Umno di kawasan pedalaman yang mempunyai nilai sentimental dengan negarawan itu mengheret mereka membuat analisa sehingga saat akhir tempoh pengundian.


"Ketika fasa awal kajian sebelum penamaan calon, kami mendapati BN selesa di hadapan manakala PAS mengekori rapat di dua-dua kawasan ini dan Amanah hampir tidak dikenali oleh majoriti pengundi.

Keputusan kajian Sungai Besar oleh Ilham Centre"Ketika kami meninjau pergerakan kempen selepas penamaan calon, prestasi Amanah dilihat berkembang dengan mendadak.
"Kehadiran Menteri Besar Selangor memberikan sokongan kepada calon Amanah telah melenyapkan teka-teki pendirian beliau yang dilihat seolah-olah tidak mahu memihak kepada Amanah mahupun PAS," katanya.

Menurut Hisom, kemuncak gegaran kempen di pihak Pakatan Harapan yang diwakili Amanah apabila Tun Mahathir bersedia untuk turun berkempen.

"Kehadiran beliau di Sungai Besar dan Kuala Kangsar merubah trend politik tradisi pengundi tegar BN.


"Bagaimanapun kajian kami menunjukkan Amanah masih bergelut untuk mengatasi kubu tradisi Barisan Nasional di Sungai Besar dan Kuala Kangsar terutamanya di kawasan majoriti Melayu," katanya.

Kajian ini dilakukan serentak di dua kawasan pilihanraya melibatkan 420 responden di Sungai Besar dan 402 responden di Kuala Kangsar. Kajian akhir dilakukan bermula 11 hingga 16 Jun 2016. Laporan kajian disiapkan pada 17 Jun 2016.

Menurut Hisomuddin, dapatan kajian mendapati sebanyak 73 peratus di Sungai Besar dan 81 peratus di Kuala Kangsar bersetuju bahawa gerakan Tun Mahathir mampu mengubah sokongan pengundi kepada BN.

Kuala Kangsar mencatatkan penerimaan positif pengundi Umno terhadap kempen Tun Mahathir kerana digerakkan secara intensif oleh Datuk Hamidah Osman dan Datuk' Kamilia Ibrahim untuk meningkatkan undi protes kepada BN.

Ini ditambah lagi dengan protes senyap di kalangan pemimpin Umno Bahagian Kuala Kangsar yang kecewa dengan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon, katanya.

Manakala di Kuala Kangsar, penerimaan kempen Tun Mahathir agak sederhana ekoran kesukaran untuk menembusi kubu kuat BN di DUN Sungai Panjang.

Limitasi kadar penetrasi kawasan Daerah Mengundi Melayu terutama kawasan tegar Umno membezakan penerimaan kempen Tun Mahathir berbanding Kuala Kangsar.

Namun begitu, persamaan juga wujud dari aspek suara-suara ketidakpuasan hati beberapa kumpulan di dalam Umno Bahagian Sungai Besar yang mempertikaikan pemilihan ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon BN.

"Kesemua elemen ini kami kategorikan elemen luar kawal dan ramal dan untuk dibuat tafsiran sejauhmana memberikan kesan kepada undi Barian Nasional," kata Hisomuddin.

Kesan tiga hari kempen Tun Mahahir diterima baik khususnya di semua lokaliti Daerah Mengundi Melayu yang menjadi kubu kuat Umno masih belum dapat dibaca sama ada akan berlaku protes senyap terhadap BN dalam bentuk mengundi calon pembangkang, merosakkan undi ataupun tidak keluar mengundi. Kesemua senario itu berpotensi merugikan BN.

Tambahan lagi, semua pihak yang anti Barisan Nasional kelihatan berdiri di belakang Amanah menjadikan Amanah menerima sokongan mendadak di saat-saat akhir kempen.

Friday, June 17, 2016

Tidak Kurang RM7 Juta 'Dedak' DiTabur Barisan Nasional Di Sungai Besar


Tempoh dua minggu kempen PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan Barisan Nasional (BN) menabur pelbagai bentuk janji dan pemberian daripada bantuan berupa wang ringgit sehingga rumah kepada penduduk setempat sebelum hari mengundi esok.

Popular dipanggil "dedak" termasuk kerap disebut oleh Tun Mahathir, pemantauan Malaysia Dateline sepanjang kempen BN mendapati wujudnya penglibatan secara langsung menteri dan agensi kerajaan selain penggunaan bangunan dan kenderaan milik kerajaan untuk tujuan kempen parti.

Bahkan walaupun belum terpilih, calon BN, Budiman Zohdi merasmikan pembukaan Pusat Komuniti Pendidikan Budiman di Bagan Sungai Besar, Rabu lalu.


Program berkenaan yang dilihat disasarkan kepada pengundi Cina turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Chong Sin Woon.

Lebih mengejutkan, Sin Woon dilapor bahawa pihaknya mengalu-alukan pembabitan "wakil rakyat" dalam kononnya membantu meningkatkan taraf pendidikan penduduk.

Sementara itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.56 juta subsidi bagi program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) kepada 78 pemohon yang layak di seluruh kawasan Parlimen Sungai Besar.

Pengerusinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja Kepada Kontraktor Program RMR1M di Sungai Leman, Sekinchan.

Turut dihadiri pemimpin BN, Latiff dalam ucapannya di hadapan penerima RMR1M menganggap Najib Razak sebagai "satu-satunya Perdana Menteri yang kuat iltizamnya hingga kami (SPNB) diminta untuk membina sekurang-kurangnya 10,000 unit RMR1M dalam tempoh setahun."

Walaupun sudah wujud Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin melancarkan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC), 11 Jun lalu.

Sekali lagi pemilihan Sungai Besar sebagai lokasi pertama di Selangor dilihat bagi mengisi tentatif kempen BN memandangkan Program Mobile CTC dilancarkan sejak tiga tahun lalu.

Pengumuman Hamzah pada majlis perasmian program himpunan pengguna bersama KPDNKK dan Mobile CTC itu turut dihadiri calon BN, Budiman dan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar selain "orang kuat" Putrajaya iaitu Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah.

"Dedak" berupa janji pembinaan prasarana pula ditabur oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan meluluskan peruntukan kira-kira RM5 juta bagi kegunaan pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Mendakwa dana tersebut diluluskan sebelum pengumuman PRK Sungai Besar, Abdul Rahman yakin peruntukan itu mampu menyelesaikan masalah parit tersumbat, jalan berlubang, pokok tumbang dan lampu jalan tidak menyala.

Selain itu, kempen BN juga tidak melepaskan segmen kritikal pengundi muda yang mewakili kira-kira 40 peratus pemilih di Sungai Besar.

Lebih 1,000 peluang pekerjaan dijanjikan kepada golongan muda di parlimen itu pada Karnival Kerja Belia Negara, 11 Jun lalu.

Program anjuran Pemuda Umno dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia itu dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Sesuai dengan pertanian padi yang sinonim dengan latar sosio-ekonomi Sungai Besar, ribuan pesawah juga dijanjikan durian runtuh pada minggu kempen PRK.

Pada 10 Jun lalu, dilaporkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan seramai 7,669 pesawah di Sungai Besar yang berdaftar dengan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) bakal menikmati Insentif Input Pengeluar Padi (IIPP) melebihi RM1 juta.

Sasaran kempen BN juga dilihat meliputi semua kelompok usia pengundi termasuk warga emas dengan peranan aktif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dilaporkan berkata, pihaknya telah mengunjungi enam rumah didiami warga emas menerusi program Homehelp.

Mereka terbabit diberikan sumbangan berupa makanan, barangan keperluan dan penjagaan diri serta pemeriksaan kesihatan.

Tidak cukup pengundi Melayu dan Cina, BN juga menyasarkan kempen kepada pengundi India yang merangkumi hanya 1.92 peratus daripada jumlah keseluruhan 42,655 pengundi.

Kali ini, melibatkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam slot kempen dipanggil Program Keusahawanan Sahabat India oleh AIM di Sekin Resort, Sekinchan, 13 Jun lalu.


Sekurang-kurangnya RM7 juta jumlah keseluruhan pojek diumumkan oleh menteri dan agensi kerajaan sepanjang kempen BN di Sungai Besar tidak termasuk angka peruntukan yang tidak dilaporkan media.

Thursday, June 16, 2016

Dakwaan Raja Petra Mengenai Skandal Cukup Jijik, Kata Muhyiddin


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap dakwaan dibuat penulis blog Raja Petra Kamaruddin dalam beberapa siri entrinya sejak beberapa hari lalu sebagai berniat jahat dan tidak berasas.

Kata Muhyiddin, tuduhan berkenaan sengaja dilemparkan kepadanya semata-mata untuk merosakkan integriti dan berbaur politik yang "cukup menjijikkan".

Dalam kenyataan terbukanya hari ini anggota parlimen Pagoh itu berkata tuduhan itu lebih tidak wajar kerana dibuat pada bulan Ramadan.

"Segala tohmahan tersebut adalah fitnah jahat dan sangka buruk yang disebarkan semata-mata untuk merosakkan integriti saya serta berbaur politik yang cukup menjijikkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Sempena bulan Ramadan yang juga bulan keampunan dan kerahmatan, seharusnya orang yang membuat fitnah ini beristighfar dan berdoa semoga dihapuskan segala dosa-dosanya," kata Muhyiddin.

Sebelum ini beberapa artikel disiarkan blog Raja Petra mengaitkan Muhyiddin dengan skandal terlarang.

Bagaimanapun Muhyiddin tidak memberi sebarang reaksi sehinggalah hari ini.
Kata Muhyiddin, jika Raja Petra sedar terhadap kesalahannnya penulis blog itu seharusnya memohon maaf.

Timbalan presiden Umno yang digantung tugas sejak 26 Februari lalu itu berkata, beliau percaya semua tohmahan tersebut bertujuan untuk menjejaskan reputasinya.

"Tohmahan ini bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya setelah saya tidak lagi berada di dalam kabinet dan terus lantang bersuara untuk mencari kebenaran.

"Dugaan Allah kepada saya amat besar di bulan Ramadan ini. Saya harus bertenang, bersabar dan berdoa mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan kita," katanya.


Wednesday, June 15, 2016

Azmin Sokong AMANAH, Perang Psikologi Khairy Kantoi?


"...turun berkempen hari-hari adalah cara UMNO. Apabila ada pilihan raya kecil baru nak turun (padang), baru nak tengok orang kampung...kerajaan Selangor membantu rakyat negeri itu secara berkesan sejak 2008."

"Media tanya saya, Khairy Jamaluddin tanya saya mana pergi Azmin Ali dia tak datang maknanya dia tak sokong Amanah dan Pakatan Harapan.

""Itulah mentaliti Umno. Saya tak payah pulun kerja di Sungai Besar semata-mata kerana PRK. Kita dalam kerajaan negeri sebelum ini dari 2008, atas semangat Pakatan Rakyat dan sekarang Pakatan Harapan, kita kerja sepanjang masa sama ada pilihan raya, tak ada pilihan raya kita turun kerja beri khidmat kepada rakyat.”

Itulah penegasan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab kritikan dan tuduhan mengenai ketidakhadirannya berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kata Azmin, turun berkempen hari-hari adalah cara UMNO. “Apabila ada pilihan raya kecil baru nak turun (padang), baru nak tengok orang kampung," katanya.

Sebaliknya menurut  Azmin kerajaan Selangor membantu rakyat negeri itu secara berkesan sejak 2008. Pada majlis itu juga Azmin menyerahkan peruntukan bernilai RM30,000 untuk Masjid Binjai Jaya. Permohonan mendapatkan peruntukan itu dibuat sebelum musim pilihan raya kecil akan diadakan.

Kemunculan Azmin petang semalam adalah yang pertama untuknya sejak hari penamaan calon pada 5 Jun lalu.


Ketiadaan Azmin berkempen di kawasan berkenaan sebelum ini menyebabkan sesetengah pihak termasuk PAS dan Umno mendakwa ADUN Bukit Antarabangsa itu tidak memberikan sokongan padu kepada AMANAH.

Pada 10 Jun lalu, Khairy mengemukakan tanggapanya pada satu majlis: "Menteri Besar tidak menunjukkan komitmen kepada kawasan Sungai Besar.”

Sebaliknya, Khairy berkata perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri lain datang ke Sungai Besar menunjukkan komitmen mereka terhadap pilihan raya kecil ini.

"Saya lihat tiap-tiap hari ada seorang menteri datang, saya rasa timbalan perdana menteri hampir setiap hari di Sungai Besar. Maka pilihan satu saja kalau kita nak pilih calon yang menunjukkan komitmen dengan kehadiran menteri, kalau kita menang akan terus menyokong rakyat Sungai Besar," katanya.

"Saya rasa selepas media melaporkan ucapan saya hari ini, esok menteri besar Selangor akan datang," kata Khairy lagi.


Berucap di Majlis Iftar Perdana Bersama Menteri Besar di Sungai Panjang di Sungai Besar semalam, Azmin berkata, beliau tidak turun berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar disebabkan perlu mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam program bersama rakyat hampir setiap malam pada bulan Ramadan.

"Sebagai menteri besar saya bertanggungjawab untuk mengiringi tuanku. Pada malam ini (semalam) tuanku di masjid Jeram. Saya bisik pada tuanku malam tadi izinkan patik turun ke Sungai Besar dan tuanku perkenankan saya turun. InsyaAllah Jumaat saya akan turun lagi, Khamis di Kuala Kangsar," katanya.

Lagipun, menurutnya, beliau sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat walaupun tanpa pilihan raya.

Bukan sekadar turun padang, Azmin turut menegaskan sokongannya terhadap calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Ab Shukur.

"Saya percaya dengan latar belakang agama, kredibiliti dan latar belakang keluarga, Ustaz Azhar akan dapat menjadi suara kita di Parlimen Sungai Besar," katanya.

Kepada calon Pas beliau turut berharap dapat terus menyembung persahabatan.

"Dr Rani, jangan sedih, kita masih rakan di Dewan Undangan Negeri, anda telah menyumbang banyak saya berdoa agar anda akan terus berjaya dan menyumbang," katanya

Selain Dr Rani, Azhar berdepan saingan daripada calon BN Budiman Mohd Zohdi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan arwah Datuk Noriah Kasnon.

Kini Azmin sudah menyatakan dengan jelas, beliau menyokong calon Pakatan Harapan dalam PRK itu selepas mengadakan perbincangan panjang lebar.

Bagaimanapun Azmin tidak mengetepikan terus lawan AMANAH dari PAS, Dr Rani Osman, yang dianggapnya seorang rakan di DUN Selangor.

"Saya doakan dia (Dr Rani) terus maju untuk sama-sama dalam satu tekad melawan kezaliman di Putrajaya," katanya. Di majlis anjuran Pakatan Harapan itu, Dr Rani turut hadir kerana beranggapan ia terbuka untuk semua.

Katanya, Dr Rani telah banyak membantu menyokong dasar-dasar kerajaan negeri sejak 2008.
Walaupun bersaing dalam pilihan raya kecil kali ini kehadiran Dr Rani disambut mesra oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.


Pilihan raya kecil Sungai Besar - dan Kuala Kangsar - akan diadakan serentak pada 18 Jun ini.