Wednesday, August 24, 2016

Kes Cabul, Seks Luar Tabii Di Maahad Milik Penceramah Popular???


Dakwaan ini berat. Ia boleh memalukan pemilik dan pihak terlibat di sebuah maahad tahfiz.

Kemungkinan sengaja diada-adakan untuk sesuatu sebab yang tidak diketahui juga ada kemungkinannya.

Diharapkan ia tidak benar kerana akan menjatuhkan maruah sebuah institusi pendidikan Islam yang dihormati.

Polis Perak hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka.

Apabila disebut penceramah bebas terkemuka, lagilah timbul berbagai persoalan apakah ia benar-benar berlaku dan siapa pula melakukannya?

Ketua Polis Perak,  Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata setakat ini pihaknya mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan pihak sekolah terbabit.


“Memang ada laporan dibuat. Polis sedang menjalankan siasatan dan akan melengkapkannya secepat mungkin.

“Dalam hal ini kita kena berhati-hati dan teliti serta menjaga semua aspek,” katanya kepada pemberita pada majlis Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia Negeri Perak.

Eloklah tindakan sedemikian. Siasatan biarlah menyeluruh dan jika benar-benar berlaku, dedahkan sebagai pengajaran.

Rahim mengatakan diminta mengulas mengenai viral menerusi WhatsApp baru-baru ini mengenai beberapa pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain berlaku seks luar tabii.

Rahim berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau.

Ia boleh  membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun dan sebatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata pihaknya membuat lawatan ke mahaad tahfiz berkenaan beberapa hari lalu.

“Dalam lawatan itu, pegawai JAIPk menemu ramah beberapa pelajar,” katanya.

Yusop berkata walaupun berdaftar dengan JAIPk, segala urusan pentadbiran termasuk pengambilan pelajar dikendalikan sepenuhnya oleh maahad tahfiz berkenaan kerana ia merupakan institusi swasta.

Sunday, August 21, 2016

Nama Najib DiSebut 15 Kali Dalam Saman Husam, Matthias Di Amerika

Husam, Matthias bersama Zainur Zakaria, peguam utama mereka di Malaysia dalam sidang media Selasa lalu.
Walaupun tidak dinamakan sebagai defendan dalam saman Matthias Chang dan Datuk Husam Musa, nama perdana menteri Datuk Seri Najib Razak disebut sebanyak 15 kali dalam aduan asal plaintif dalam saman mereka.

Najib dikaitkan dengan pihak yang berkuasa dalam 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), sebagai menteri kewangan, perdana menteri dan juga bapa tiri kepada defendan utama dalam kes ini, Riza Shahriz bin Abdul Aziz atau Riza Aziz.

Nama Najib disebutkan dengan jelas dalam tuntutan yang difailkan oleh Louis F. Burke dan rakan-rakannya melalui firma guamannya PC LOUIS F. BURKE di Mahkamah Daerah Selatan New York, Amerika Syarikat 11 Ogos lalu itu.

Kertas tuntutan asal plaintif dalam saman Husam dan Matthias yang difailkan di Amerika.


Aduan asal plaintif 33 muka surat itu kini diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dan dijangka akan beredar kepada orang ramai tidak lama lagi.

"Defendan Riza Shahriz Bin Abdul Aziz ('Riza Aziz') adalah anak tiri Perdana Menteri semasa Malaysia, Najib Razak.

Defendan Low Taek Jho ('Jho Low') adalah dikatakan merupakan ahli perniagaan Malaysia dan rakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Riza Aziz," adalah bahagian pertama Najib diperkenalkan dalam saman itu.

Husam dan Matthias mewakili rakyat Malaysia menamakan lapan defendan dalam tuntutan saman secara berkumpulannya di mahkamah Amerika bagi mendapat ganti rugi terhadap penglibatan mereka dalam 'merompak' wang 1MDB.

Kalangan defendan adalah Riza Shariz bin Abdul Aziz; Low Taek Jho; Goldman Sachs Group, INC.; Timothy Leissner; Christopher Joey McFarland; Red Granite Pictures, INC.; Debra Whelan Johnson; Metropolis IX Capital Advisors, LLC.

Dalam sidang medianya Selasa lepas, Husam berkata, mereka mengambil tindakan ini dengan memberikan fokus kepada harta yang dirompak bukan perompaknya.


Beliau menjadikan filem arahan P Ramlee "Nujum Pak Belalang" sebagai inspirasi untuk tuntutan saman itu dengan mencontohi tindakan anak Pak Belalang dalam filem klasik tersebut.

"Fokus kita ambil semula (harta), selamatkan harta orang ramai untuk dipulangkan kepada pemiliknya," tegasnya lagi.

Dalam cerita Nujum Pak Belalang itu, watak budak kecil anak Pak Belalang iaitu Belalang hanya menakutkan pencuri lembu dan kambing orang kampung.

"Selepas pencuri itu lari, dua ekor lembu dan kambing yang dicuri itu diambil oleh Belalang bukan mengejar pencurinya.

"Itulah yang kita fokuskan, harta yang dicuri bukan pencurinya. Itu (menangkap pencuri) tugas pihak lain," kata Husam dalam sidang media itu.

Pada 15 Ogos lalu, Husam menjelaskan tindakan ini mula dibincangkan sejak pilihan raya Sarawak sedang berjalan lagi dimana beliau dan Matthias telah bertemu dengan peguam dari Amerika dan membuat keputusan untuk membuat saman itu.

."Kami telah memulakan tindakan ini ketika pilihan raya Sarawak sedang berjalan lagi iaitu lebih awal dari pengumuman tindakan yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat," kata Husam tanpa memberikan maklumat lanjut.

Ketika itu, katanya, pihaknya telah membuat keputusan untuk menyaman dan bertemu dengan peguam dari Amerika bagi menjalan proses itu.

Pilihan raya Sarawak telah berlangsung pada 7 Mei 2016 manakala Peguam Negara Amerika, Loretta E. Lynch mengumumkan tindakan DoJ membekukan aset yang dicuri dari 1MDB di Amerika pada 20 Julai (21 Julai waktu Malaysia).

Khamis lepas (Jumaat waktu Malaysia), Husam dan Matthias telah memfailkan 'putative class action' terhadap lapan defendan di Mahkamah Daerah New York dengan menggunakan juga segala dokumen yang dikemukan oleh DoJ ketika mengumumkan pembekuan aset yang dicuri dari 1MDB di Amerika.

Ekoran itu, Hollywood Reporter, sebuah portal berita dari Amerika telah melaporkan tindakan Husam dan Matthias itu pada Jumaatnya (Sabtu waktu Malaysia).

Lapan defendan yang dinamakan Husam adalah Riza Shahriz bin Abdul Aziz, Low Taek Jho, Golman Sachs Group Inc, Timothy Leissner, Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson, Metropolis 1X Capital Advisors.

Red Granite Pictures adalah penerbit filem Wolf of Wall Street; syarikat yang diasaskan bersama Christopher Joey McFarland; Riza Aziz dan Jho Low, ahli perniagaan dari Pulau Pinang yang dikatakan kawan kepada Riza.

Bank pelaburan Goldman Sachs turut dinamakan bersama bekas pengurus banknya Timothy Leissner, yang mengatur bon dengan nilai berbilion dolar daripada 1MDB. Timothy didakwa mengambil sogokan dalam bentuk komisen.


Menurut dokumen mahkamah, Matthias dan Husam mendakwa semua defendan sedar menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi masing-masing, termasuk menganjurkan parti untuk bintang Hollywood Leonardo DiCaprio.