Tuesday, July 19, 2016

Lagi Suspek Serangan Bom Di Puchong Ditahan, KPN Terus Terima Ancaman


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan beberapa lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden serangan bom tangan di sebuah premis hiburan di Puchong.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata kesemua suspek merupakan tangkapan terbaru selepas tertangkapnya 15 individu lain pada 28 Jun dan 1 Julai lepas.

"Kesemuanya dipercayai terlibat dalam kegiatan Daesh. Bagaimanapun, dua lagi suspek utama yang terlibat dalam kejadian itu masih belum ditangkap dan PDRM masih mengesan mereka," katanya tanpa mendedahkan bilangan suspek yang ditahan.

Khalid ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Cawangan Khas Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan di Kuala Lumpur,  semalam  yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Kejadian letupan di premis hiburan di IOI Boulevard, Puchong pada 28 Jun lepas menyebabkan lapan orang cedera, seorang daripadanya parah.

Polis kini memburu dua warga tempatan yang dikenali sebagai Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33, masing-masing dari Johor kerana dipercayai menerima arahan daripada anggota kumpulan pengganas Daesh Malaysia di Syria untuk melakukan serangan terbabit.

Khalid turut mengakui masih menerima ancaman keselamatan daripada beberapa pihak berikutan ketegasan pihaknya dalam membanteras ancaman militan Daesh di negara ini.

Beliau berkata ancaman terbaharu diterimanya lima hari lepas susulan beberapa ancaman diterima beliau dan beberapa pegawai kanan polis baru-baru ini.

"Saya masih menerima ancaman ini (Daesh) namun itulah lumrah sebagai seorang ketua yang menjaga keselamatan negara.

"Saya juga menjangkakan perkara ini dan ia bukanlah perkara yang baharu. Tiada apa yang perlu dirisaukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam.

Menyentuh penemuan objek dipercayai bom buatan sendiri di dalam kawasan semak berhampiran rel kereta api di Jalan Kolam Air 9, Sentul, di sini pada 13 Julai lalu, Khalid berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan Daesh.

"Setakat ini, penemuan objek terbabit sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas dan ia hanyalah merupakan masalah dalaman.

"Bagaimanapun, polis telah menemui beberapa petunjuk yang boleh membantu siasatan," katanya.


Khalid berkata pihaknya akan sentiasa mengambil langkah membuat kawalan di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai yang mungkin menjadi sasaran ancaman kumpulan pengganas.