Saturday, October 18, 2008

HINDRAF TIMBULKAN KEBENCIAN

Benarkah Menteri Dalam Negeri mengharamkan (Hindu Rights Action Force) Hindraf ekoran insiden lawatan Hindraf ke majlis rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri di PWTC baru-baru ini ?

Setidakj-tidaknya itulah dakwaan Pakatan Rakyat dan menurut pakatan itu, tindakan kerajaan jelas melanggari prinsip hak asasi dan demokrasi, malah menjejaskan hubungan harmoni antara kaum.

Sebaliknya Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tindakan pengharaman yang diambil itu bukan berasaskan kepada satu atau dua kegiatan Hindraf yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan serta aktiviti semenjak Hindraf ditubuhkan.

Katanya, kesan kegiatan Hindraf itu, ia mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.

Menteri itu berkata, kerajaan mewartakan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan haram, satu tindakan yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.

Perintah itu dibuat hasil daripada pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semenjak pertubuhan berkenaan ditubuhkan.

“Pengisytiharan itu diwartakan berkuat kuasa hari ini (15 Oktober 2008) setelah (KDN) berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak,” katanya.
Selain Hindraf, antara pertubuhan lain yang pernah diwartakan sebagai haram ialah Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.

Menurut Syed Hamid, kegiatan Hindraf bertentangan dengan Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 dan ia boleh memudaratkan keselamatan awam, keamanan, ketertiban dan nilai-nilai moral di negara ini.

Beliau berkata, jika kegiatan Hindraf tidak dibendung, ketenteraman awam dan kedaulatan negara bakal terancam di samping keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum akan turut terjejas.

Hindraf juga, kata beliau, berusaha mendapatkan sokongan dari negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka sehingga memberi kesan buruk kepada imej negara.

Menteri Dalam Negeri itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan pertubuhan Hindraf yang diharamkan dalam apa cara sekali pun pada masa akan datang.

Ikuti apa kata Pakatan Rakyat mengenai perkara ini:

Kenyataan Media Pakatan Rakyat Dewan Rakyat,

Malaysia
Pakatan Rakyat mengecam keras keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar mengharamkan Hindraf atas alasan kononnya pertubuhan ini “memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak”.

Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak badan-badan gabungan, NGO, kumpulan prihatin muncul untuk menjuarai pelbagai isu.

Kami hairan kenapa Hindraf satu sahaja disasar?
Keputusan Menteri mengharamkan Hindraf ekoran insiden lawatan Hindraf ke majlis rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri di PWTC baru-baru ini jelas melanggari prinsip hak asasi dan demokrasi, malah menjejaskan hubungan harmoni antara kaum.

Lawatan Hindraf ke rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri baru-baru ini merupakan kunjungan biasa masyarakat Malaysia berbilang kaum ke majlis rumah terbuka setiap tahun. Di samping kunjungan hormat, aktivis Hindraf juga menyerah memorandum kepada Perdana Menteri agar membebaskan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) sejak tahun lepas.


Seperti orang awam yang juga hadir dalam majlis terbuka hari raya tersebut, aktivis Hindraf telah berbaris dan masuk ke dalam dewan secara baik untuk bertemu dengan Perdana Menteri. Malah, mereka yang menuntut untuk membebaskan tahanan ISA termasuk juga penyokong Raja Petra Kamaruddin (RPK) telah berada di majlis rumah terbuka yang sama, dan bukan aktivis Hindraf sahaja.

Dalam semangat Ramadhan dan Aidilfitri, kami sentiasa harus mengingatkan nasib kaum-kaum yang dipinggir atau tertindas. Walaupun kami tidak semestinya bersetuju sepenuhnya segala tuntutan Hindraf, namun kami menegaskan bahawa masalah dan isu penting yang dihadapi masyarakat India harus ditangani dengan cara musyawarah.

Kami khuatir tindakan yang merupakan penindasan hak asasi masyarakat sivil ini akan menimbulkan kemarahan masyarakat India dan seterusnya akan menambahkan lagi ketegangan antara kaum.


Kami mendesak:

1) Kerajaan menghentikan penindasan ke atas mana-mana pergerakan sivil

2) Kerajaan membebaskan semua tahanan ISA serta merta dan mansuhkan ISA
Dikeluarkan

oleh
PAKATAN RAKYAT 16 Oktober 2008

No comments: