Tuesday, September 20, 2011

Pilihan Raya - Perlu Ada Kesepakatan Dalam UMNO Selangor

“Malang sekali di Selangor asas itu tiada kerana tidak wujud kerjasama dan perpaduan di kalangan pemimpin sama ada antara pemimpin UMNO atau antara pemimpin UMNO dengan rakan parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan GERAKAN. Selagi tidak wujud asas ‘common ground, common activity and common issue’ selagi itu harapan untuk BN merampas kembali Selangor daripada pembangkang amat tipis dan ini perlu diakui semua pihak,” - Dr Khir Toyo

Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk menawan kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 jika mampu memperoleh sokongan peringkat akar umbi sekurang-kurangnya 70 peratus daripada pengundi Melayu, manakala 60 peratus India dan 30 peratus Cina.

Bagaimanapun, kajian dan pemerhatian terhadap senario politik semasa di negeri diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada pakatan pembangkang itu mendapati hanya 55 peratus pengundi Melayu menyokong perjuangan BN, termasuk mereka yang kembali menyokong, manakala India 50 peratus dan Cina antara 10 hingga 15 peratus.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, berkata peratusan sokongan pengundi mampu ditingkatkan jika semua pemimpin parti komponen BN Selangor bergerak senada dan serius dalam menyertai gelombang kebangkitan yang mempunyai asas kepada titik persamaan, aktiviti dan isu yang dibangkitkan secara bersama (common ground, common activity and common issue).

Katanya, asas itu yang memberikan kejayaan kepada pembangkang untuk menawan beberapa negeri pada PRU 2008, malah ia juga memberi kejayaan kepada BN Terengganu untuk merampas kembali negeri daripada pucuk pimpinan PAS pada PRU 2004.

“Malang sekali di Selangor asas itu tiada kerana tidak wujud kerjasama dan perpaduan di kalangan pemimpin sama ada antara pemimpin UMNO atau antara pemimpin UMNO dengan rakan parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan GERAKAN.

“Selagi tidak wujud asas ‘common ground, common activity and common issue’ selagi itu harapan untuk BN merampas kembali Selangor daripada pembangkang amat tipis dan ini perlu diakui semua pihak,” katanya kepada Berita Harian, kelmarin.

Kelmarin dalam ucaptama pada Konvensyen BN Selangor, Datuk Seri Najib Razak menegur sesetengah pemimpin dalam parti yang menipu diri sendiri dengan menjalankan program ‘syok sendiri’ dan gagal memberi laporan tepat serta tidak insaf dengan pengalaman kekalahan di Selangor di tangan parti lawan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, walaupun tewas pada PRU 2008, golongan ini masih tidak mengambil iktibar dan asyik memikirkan kedudukan jawatan berbanding memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, antara punca utama kekalahan UMNO di Selangor ialah apabila pemimpin terlalu yakin dan enggan mengakui wujudnya masalah, termasuk persengketaan sesama pemimpin sama ada pada peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri.

Walaupun menyedari kenyataan ini akan mendatangkan kemarahan pemimpin BN, katanya, beliau perlu bersikap jujur dan berharap pemimpin lain turut berbuat demikian demi memastikan BN kembali berkuasa di Selangor dan beberapa negeri lain.

Malah, beliau menyifatkan keadaan pengaruh BN di Selangor sebagai kritikal kerana teguran Perdana Menteri itu bukan kali pertama, sebaliknya teguran berulang yang tidak diberi perhatian oleh pemimpin di semua peringkat.

“Sebagai bekas pemimpin yang berpengalaman, saya berharap mana-mana pemimpin yang diberi peluang memimpin rakyat sama-sama memikirkan apakah ‘common ground, common activity and common issue’ yang boleh dibangkitkan di Selangor, bukannya ikut kepala masing-masing atau syok sendiri.

“Tak guna jika hanya ada kesedaran dan keinsafan, tetapi tiada keinginan dan keupayaan untuk kembali berkuasa di Selangor,” katanya yang yakin dapat meraih sokongan di kawasannya pada PRU akan datang menerusi pendekatan memahami kehendak dan keperluan pengundi selain mendekati belia yang mewakili lebih 60 peratus pengundi.