Thursday, August 31, 2017

Bayar IPIC Wang Dari Mana, Yang Hilang Bagaimana?


Baguslah jika International Petroleum Investment Co (IPIC) sudah sahkan kepada Bursa Saham London bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melunaskan bayaran tertangguh.

Rakyat Malaysia tentunya ‘gembira dalam duka’ jika bayaran ansuran pertama sudah dibuat kepada syarikat IPIC. Ia sebahagian daripada perjanjian penyelesaian yang dicapai kedua-dua pihak.

Apakah pembayaran itu mengurangkan kerisauan rakyat?

Apakah malu yang ditanggung rakyat dan negara ini walaupun penyelesaian akhirnya dibayar oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan 1Malayisa Development Berhad (1MDB) sebelum 31 Ogos?

Bayaran itu  asalnya perlu diselesaikan pada 31 Julai lalu mengikut penyelesaian dan persetujuan bagi membayar faedah ingkar ke atas pembayaran yang tertangguh.

Walaupun IPIC tidak menyatakan jumlah dana yang diterima itu, tetapi berdasarkan pengumuman pada 1 Ogos lalu, dijangkakan ia bernilai AS$602,725,000 bagi pembayaran faedah lain bernilai AS$26,024,509.59.

Dalam kenyataanya semalam,  1MDB mengesahkan mereka menyelesaikan bayaran yang sepatutnya dilunaskan pada 31 Julai sebelum ia dilanjutkan kepada 31 Ogos.

"Semua dana dibayar daripada hasil program rasionalisasi yang berterusan," katanya.

Kenapa dikatakan ‘gembira dalam duka’?

Pertama, dari sumber mana wang untuk pembayaran itu diperolehi oleh 1MDB; dan

Bagaimana nasib wang yang dikatakan hilang akibat tersalah bayar kepada syarikat yang tidak dapat dikesan sehingga kini?

Sebagai rekod wang yang dikatakan tersalah bayar dan hilang itu ialah sebanyak AS$3.5 bilion yang dibuat oleh 1MDB kepada Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI), yang diperbadankan di Kepulauan British Virgin.

Laporan PAC mengenai 1MDB yang diterbitkan tahun lepas, AS$3.5 bilion tersebut adalah daripada empat transaksi berasingan kepada Aabar BVI - atau Aabar Ltd seperti yang dinamakan dalam laporan itu.

Dalam konteks bayaran terbaru yang dibuat oleh 1MDB,   Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia mengambil tanggungjawab.

Namun siapa pula bertanggungjawab untuk wang yang hilang itu?

Boleh kerajaan atau 1MDB beritahu rakyat Malaysia mengenai sumber wang untuk bayaran terbaru ini dan  siapa bertanggungjawab dana pa nasib dengan AS$3.5 bilion wang yang hilang itu?

Melalui pengumumannya pada 8 Ogos, IPIC memaklumkan mereka memberikan tempoh lanjutan kepada 1MDB tertakluk kepada bayaran AS$310 juta menjelang 12 Ogos dan bakinya sebelum 31 Ogos.
1MDB juga dikehendaki membayar faedah tambahan atas kelewatan itu.

Syarikat itu membuat ansuran bayaran pertama pada 11 Ogos dan selebihnya hari ini.

Selepas ini 1MDB masih perlu melunaskan ansuran lanjut kepada IPIC bernilai AS$602,725,000 selain faedah dalam jumlah berasingan yang tidak didedahkan menjelang 31 Disember. Ia persetujuan dicapai mereka sebelum ini.

Selain pembayaran itu, sebagai sebahagian daripada penyelesaian dicapai 1MDB juga bersetuju untuk menanggung pembayaran faedah dan pokok bagi dua bon berjumlah AS$ 3.5 bilion dijamin kepada IPIC.

Sekali lagi dari mana nak dicekaunya wang itu?

Apakah rakyat akan terus dibebankan dengan berbagai tekanan  untuk mengumpul wang bagi bayaran seterusnya?


Juga apakah rakyat akan terbeban dengan kekurangan wang daripada kantung kerajaan kerana digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB kepada IPIC ini?