Sunday, June 27, 2010

UMNO KELANTAN DEKATKAN DIRI DENGAN ULAMA MUDA

Umno Kelantan kini berusaha mendekatkan diri dengan golongan ulama muda di negeri itu bagi menarik mereka menyertai Umno, kata Pengerusi Badan Perhubungannya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata ini kerana ulama muda tidak lagi melihat PAS sebagai wadah perjuangan kelangsungan politik mereka dalam membawa Islam ke tempat sewajarnya.

"Kita akan dekatkan diri dengan ulama ini dan pelajar yang baru pulang dari Timur Tengah.

"Kemasukan mereka ke dalam Umno adalah sangat penting kerana ulama muda ini ada pengaruhnya yang tersendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kota Baharu semalam.


Kelmarin, kira-kira 40 ulama muda telah menyertai Umno dan menyerahkan borang keanggotaan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, penyertaan 40 ulama ke dalam UMNO tidak akan menjadikan parti itu sebagai kumpulan yang ekstrem terhadap perjuangan Islam.


Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kemasukan golongan tersebut dalam UMNO membuktikan dasar perjuangan parti itu menegakkan Islam di negara ini selama ini diiktiraf oleh golongan cendekiawan agama.


Mengulas perkara itu, Mustapa yakin lebih ramai golongan itu akan menyertai Umno tidak lama lagi.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini mula mengatur strategi khusus memperkukuh kekuatan parti bagi mencapai matlamat kembali menguasai Kelantan dan merampasnya daripada PAS.

Katanya apa yang paling membanggakan ialah semangat dan kejituan di kalangan anggota Umno kini berada di tahap terbaik dan mereka begitu bersemangat untuk merealisasikan hasrat tersebut.

"Walaupun untuk mencapai matlamat itu adalah sukar, tetapi dengan semangat dan perpaduan yang ada, kita yakin sasaran kita untuk menang adalah tidak mustahil," katanya.

Selain itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pengagihan wang ihsan kepada kira-kira 15,000 pelajar Tingkatan Enam dijangka selesai menjelang akhir bulan ini.