Tahniah Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan kerana memahami isu semasa Kelatan, bukan seperti sesetengah pemimpin yang mahukan jawatan tetapi tidak mahu bersuara.
Pergerakan itu mendesak supaya Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Jawatan-kuasa Majlis Mesyuarat Negeri mengisytiharkan harta mereka bagi memastikan pendapatan yang diperoleh adalah setimpal dengan cara hidup mereka.
Ketuanya, Anuar Saffian berkata, desakan itu dibuat merujuk kepada apa yang berlaku pada kes mahkamah yang membabitkan seorang ADUN dengan isteri keduanya yang melibatkan aset nilai RM3 juta.
“Desakan ini dibuat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Kita merujuk kepada kes mahkamah yang berlaku yang melibatkan seorang ADUN yang didakwa memiliki aset RM3 juta.
“Kita rasa sudah tiba masanya ADUN dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri mengisytiharkan harta. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai isteri lebih daripada satu. Ia memalukan institusi Kerajaan Negeri apabila cara hidup tidak setara dengan pendapatan yang diperoleh,” katanya.
Laporan akhbar menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh dipercayai memiliki aset berjumlah RM3 juta.
Perkara tersebut didedahkan oleh bekas isteri kedua ADUN berkenaan, Siti Aishah Chou Abdullah, 24, ketika perbicaraan kes tuntutan mutaahnya di Mahkamah Tinggi Syariah 19 November lalu.
Menurut wanita berketurunan Cina Kemboja itu, Wan Ismail merupakan seorang usahawan yang berjaya dan mempunyai beberapa ladang getah di Gua Musang.
''Saya percaya dia mampu membayar tuntutan itu kerana dia pernah memberitahu saya mempunyai banyak projek tanah malah akaun Public Mutual Bhd. dimilikinya bernilai RM1 juta.
''Selain itu, dia mempunyai banyak syarikat perniagaan termasuk di China yang menggambarkan kekayaannya,'' jelasnya ketika menjawab soalan peguam syarie, Mohd. Sibri Ismail yang mewakilinya.
Siti Aishah bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran terperinci mengenai sumber kekayaan bekas suaminya itu namun berjanji untuk membuktikannya jika diminta mahkamah.
Ibu kepada dua anak itu juga mendedahkan bahawa Wan Ismail pernah berjanji untuk membelikan sebuah kereta dan rumah serta menyediakan modal untuknya memulakan perniagaan jika bersetuju berkahwin dengannya.
Bagaimanapun katanya, janji tersebut tidak pernah ditunaikan sehingga mereka bercerai dan disebabkan rasa terkilan serta sedih yang teramat sangat maka, dia terpaksa membuat tuntutan mutaah berkenaan.
Wan Ismail, 54, tidak hadir pada perbicaraan yang berlangsung selama kira-kira 45 minit itu. Dia diwakili peguam syarie, Mohd. Raziman Yaakub.
Berdasarkan tuntutan yang difailkan pada 4 Januari lalu, Siti Aishah menuntut bekas suaminya itu membayar RM3 juta sebagai pampasan perceraian mereka mengikut peruntukan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.
Terdahulu, ketika prosiding bermula, Siti Aishah dilihat berada dalam keadaan sebak dan teresak-esak sewaktu membaca pernyataan tuntutannya di kandang saksi.
Ini menyebabkan Hakim Syarie, Abdullah Man beberapa kali menegurnya untuk bercakap dengan lebih kuat dan jelas agar mudah didengari.
Semasa diberi peluang menyatakan sebarang permohonan jika ada, Siti Aishah meminta agar mahkamah mengeluarkan perintah agar Wan Ismail menghadiri perbicaraan.
''Saya pohon mahkamah suruh dia hadir supaya kes ini dapat diselesaikan dengan cepat dan membayar nafkah anak yang tidak pernah ditunaikannya,'' ujarnya.
Perbicaraan bersambung 3 Disember ini.
Siti Aishah yang berasal dari Kemboja berkahwin dengan Wan Ismail pada 2003 selepas setahun mengenali wakil rakyat itu.
Pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata, Wan Ahmad Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, disahkan bercerai pada 18 November tahun lalu oleh mahkamah yang sama.