Sunday, April 4, 2010

RAKYAT KELANTAN PERLU SEDIA HADAPI PERUBAHAN

Rakyat Kelantan perlu bersedia menghadapi perubahan baru dengan menerima Barisan Nasional (BN) bagi mempastikan kebajikan dan pembangunan untuk Kelantan sentiasa terjamin.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebagai pemimpin daripada parti politik Melayu iaitu UMNO beliau cukup sedih dengan tahap pembangunan yang diusahakan kerajaan negeri pimpinan PAS.

Katanya, selama ini kerajaan negeri hanya bergantung harap kepada peruntukan Kerajaan Pusat yang mana dalam tempoh lima tahun sebanyak RM7.5 bilion disalurkan kepada Kelantan dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Beliau berkata, rakyat Kelantan sememangnya terkenal dengan sifat kerajinan mereka dan mempunyai potensi untuk maju.

"Tetapi ia tidak mencukupi kerana kurangnya usaha kerajaan negeri. Kelantan ini ramai Melayu. Saya juga Melayu Islam. Kita tidak mahu rakyat Melayu terasing.

"Tanggungjawab kerajaan negeri (melaksanakan pembangunan) tetapi semuanya diserahkan kepada Kerajaan Pusat," katanya semasa merasmikan program Juara Rakyat dan pemberian pertama wang ihsan yang dihadiri 5,000 pengunjung, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Kerajaan Pusat berhasrat untuk membasmi golongan miskin tegar sehingga penghujung tahun ini dengan memberikan bantuan kepada golongan itu.
Namun, katanya, apa yang lebih dikesali, kerajaan negeri dilihat tidak mempunyai inisiatif untuk menjayakan hasrat Kerajaan Pusat dengan membantu 3,500 miskin tegar sebaliknya berharap kepada agensi pusat untuk menguruskan perkara itu.

"Ini komitmen pemimpin BN dan bukannya PAS. Dia tidak boleh abaikan kerana ini tanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Muhyiddin turut mempersoalkan jumlah dana yang telah diperuntukkan kerajaan negeri untuk menjaga soal kebajikan dan pembangunan untuk rakyat sedangkan dalam tempoh sama sudah berbilion ringgit diperuntukkan Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar bahawa pembangunan kepada negeri adalah perkara yang dituntut oleh agama kerana ianya menjamin kekuatan rakyat itu dari aspek ekonomi yang sekaligus membolehkan rakyat berdikari, menunaikan ibadat dan menjaga keluarga.

Muhyiddin juga kesal tindakan PAS memprbesar-besarkan isu tuntutan royalti minyak Kelantan sedangkan kebajikan dan pembangunan untuk rakyat negeri itu terabai.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah merujuk isu royalti minyak itu dengan pakar undang-undang dalam Perlembagaan dan sememangnya Kelantan tidak mempunyai hak untuk mendapatkan royalti minyak itu kerana kawasan carigali berada lebih daripada tiga batu nautika daripada persisiran pantai Kelantan.

Namun, katanya, Kerajaan Pusat tetap memberikan wang ihsan sebagai ganti kepada bayaran royalti minyak kerana kerajaan mementingkan hal kebajikan rakyat negeri itu.

"Tidak kira apa nama sekalipun, wang ihsan atau royalti, ia adalah pitih (wang) rakyat perlukan bantuan dan kita hendak tolong. Jadi apa yang tok guru (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) cakap tidak mahu wang ihsan. Semua hendak wang ihsan. Ini soal nasib rakyat miskin, kita mesti tolong," katanya.

Katanya, pasti banyak lagi yang boleh diberikan kepada rakyat Kelantan jika mereka memilih untuk mendokong BN pada pilihan raya akan datang.

KELANTAN DAPAT SEKOLAH VOKASIONAL


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama sebahagian daripada pelajar miskin yang menerima bantuan wang ihsan selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah I, Machang semalam. Ia merupakan antara rangka lawatan kerja seharinya ke negeri itu.

Kelantan bakal mendapat sebuah Sekolah Menengah Vokasional (SMV) baru yang bakal dibina di Pasir Puteh di bawah RMK-10.

Seramai 800 pelajar akan dapat mengikuti pengajian di SMV di tapak seluas 98 hektar ini nanti yang diharap mampu melahirkan pelajar berwawasan untuk generasi muda masa depan.
Demikian ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan Gala Ko-Kurikulum Peringkat Kebangsaan 2010 di Pusat Ko-Kurikulum Kem Tangok, Bachok semalam.
Mengenai pengurangan peruntukan buat Kementerian Pelajaran ekoran kesan kegawatan ekonomi global, beliau berkata ia sama sekali tidak menjejaskan aktiviti ko-kurikulum pelajar di seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata kementerian itu sama sekali tidak akan meminggir keperluan pelajar, agar perkembangan mereka selari dengan aspirasi meningkatkan mutu pendidikan seterusnya merealisasikan hasrat pemupukan ke arah perpaduan kaum.

"Aktiviti ko-kurikulum adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat, bermula di peringkat sekolah apabila semua pelajar berbilang bangsa dan agama dapat bersama-sama dengan satu semangat perpaduan.

"Walaupun dengan perlaksanaan langkah penjimatan, kerajaan yakin ia tidak akan menjejaskan hasrat untuk mewujudkan negara yang harmoni," katanya pada majlis berkenaan.
Lebih 5,000 pelajar, guru dan pemimpin masyarakat hadir pada majlis itu yang turut dihadiri isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran akan terus menambah bilangan pusat ko-kurikulum di setiap daerah dalam negara secara berperingkat, dan sehingga kini 34 pusat itu sudah mula beroperasi.

"Saya lihat minat pelajar terhadap aktiviti ko-kurikulum semakin bertambah dan ini menggambarkan minat dan kecenderungan pelajar menyertai aktiviti seperti ini," katanya.

Menurutnya Kementerian Pelajaran akan turut memperkenalkan pelbagai kaedah baru, terutama di sekolah-sekolah vokasional bermula awal Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu menjadi seorang usahawan.

"Sebagai contoh mereka akan terbabit dalam bidang pertanian, aktiviti yang dikira sebagai aktiviti ko-kurikulum, mereka kemudiannya akan memasarkan hasil itu sendiri sebagai hasil tabungan kepada sekolah bagi meningkatkan aktiviti ko-kurikulum," katanya.