Saturday, October 18, 2008

UMNO KAKI BULI?

Tak payah nak jawablah Pak Lah. Juga tidak payah nak jelaskan!

Memang kalau dah mereka nak buat cerita, biarkan.

Yang penting, apabila kita berbuat baik, rakyat akan menilainya. Lagipun, UMNO bukanlah parti yang ditubuhkan untuk membangkang dan memburuk-burukkan orang lain.

UMNO adalah parti perjuangkan kemerdekaan dan pengisiannya.

Apapun seperti kata Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, UMNO, tunjang belakang Barisan Nasional (BN), tidak pernah “membuli” parti-parti komponen BN dan tuduhan itu adalah rekaan parti-parti pembangkang untuk memesong sokongan rakyat terhadap parti pemerintah.

“Orang kata UMNO parti yang suka buli. Tidak pernah berlaku perbuatan membuli. Kalau itu cara UMNO, sudah lama parti-parti komponen tinggalkan BN. Itu tidak berlaku. Ini adalah strategi yang dibawa oleh parti pembangkang. Isu ini tidak bermula dari parti komponen (BN),” katanya.

Kalau UMNO buli, masakan komponen lain boleh bertahan dengan UMNO dan ‘ribut secawan kopi’ adalah perkara biasa. Yang sering tidak berpuashati pun hanya satu dua sahaja – itupun kerana sebab-sebab survival parti berkenaan yang asalnya ia pecahan daripada parti komponen BN juga.

Umpamanya kata-kata Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe mengajak ahli parti itu keluar daripada bayangan Umno.
Berucap ketika berucap sempena Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan Ke-21 yang disempurnakan Pemangku Presiden parti itu, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, baru-baru ini Timbalan Menteri itu mendakwa selama ini mereka hanya mengikut telunjuk Umno, diherdik serta dipijak pucuk pimpinan parti tunjang pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu.

Bagaimanapun, bukan semua pemimpin dalam komponen BN beranggapan sedemikian.
Apa yang pasti ialah parti komponen berkenaan akan membuat bising apabila prestasi mereka menurun atau kerana didesak penyokong.

Dan jika pemimpin parti gagal menyekat atau membendung kemarahan dan tuntutan ahli mereka, itu bukan salah UMNO.

UMNO sendiri sanggup bertindak terhadap ahlinya kalau melampau dalam kes bersifat perkauman, umpamanya terhadap Datuk Ahmad Ismail, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera.
UMNO mengenakan penggantungan tiga tahun tetapi apa tindakan parti-parti komponen yang memperjuangkan kepentingan orang Cina dalam BN apabila ada yang mengkritik UMNO?

Namun yang nyata, yang membuka langkah mengatakan UMNO membuli parti koponen bermula daripada parti pembangkang, seperti DAP untuk memburukkan MCA supaya orang terutamanya kaum Cina tidak suka MCA dan pemimpin BN.

“Seperti juga kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Hindraf (Hindu Rights Action Force) untuk memperlekeh (Datuk Seri S.) Samy (Vellu). Untuk membenci pemimpin. Adakah anda fikir Samy, (Datuk Seri) Ong (Ka Ting), (Tan Sri) Koh (Tsu Koon) rela dibuli.
Isu ini dibawa oleh pembangkang supaya rakyat membenci BN,” kata Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri.

Beliau menyatakannya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA yang ke-55 di ibu pejabat parti itu di Wisma MCA di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, parti-parti komponen BN boleh diibaratkan sebagai kawan karib dan persahabatan itu tidak boleh dipisahkan walaupun apa yang berlaku.

No comments: