Sunday, June 20, 2010

HABUAN UNTUK 13 ADUN DILANTIK TIMBALAN EXCO

Berat sangatkah tugas Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan?

Apakah kesemua mereka merancang untuk pembangunan Kelantan? Bukankah pembangunan Kelantan banyak dirancang oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan pemimpin Barisan Nasional (BN)?

Kenapa sekarang baru terfikir melantik Timbalan Exco? Tidakkah ia menggambarkan sebagai ‘habuan’ ketika pilihan raya semakin hampir?
Dalam keadaan Kelantan berada pada belanjawan defisit bukankah habuan sebegini akan membebankan lagi kerajaan negeri dengan tambahan untuk gaji dan elaun Timbalan EXCO berkenaan?

Kerajaan PAS Kelantan hari ini mengumumkankan melantik 13 Timbalan EXCO dengan tujuan meringankan beban tugas anggota Exco biarpun ia akan menambahkan defisit kewangan kerajaan negeri berikutan pertambahan jawatan itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata jawatan timbalan exco baru itu yang diwujudkan berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Pelantikan timbalan exco itu juga kerana Exco yang ada bukan sahaja bertanggungjawab mentadbir kerajaan negeri tetapi perlu juga menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing, kata beliau.

"Menyedari hakikat inilah kerajaan negeri terpaksa mewujudkan jawatan Timbalan Exco terdiri daripada wakil rakyat bagi membantu tugas Exco yang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan Timbalan-timbalan EXCO itu di Kota Bharu.

Pada 25 Oktober tahun lalu, ketika pembentangan bajet negeri, Kerajaan Negeri Kelantan dianggar mengalami bajet defisit sebanyak RM29.50 juta pada tahun ini dengan perbelanjaan mengurusnya dianggarkan berjumlah RM416.88 juta berbanding hasil yang dianggar berjumlah RM387.38 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata defisit bagi tahun 2010 dijangka berjumlah RM29.50 juta berbanding defisit bajet 2009 berjumlah RM20.20 juta.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata Kelantan akan terus mengalami defisit belanjawan selagi negeri itu gagal mencari punca hasil baru bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat.

Nik Abdul Aziz berkata tiga Exco mempunyai dua timbalan memandangkan skop portfolio yang disandangnnya besar dan luas iaitu Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, yang dipergerusikan Exco Kanan, Datuk Husam Musa; Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, yang dipengerusikan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan.

Exco lain yang mempunyai seorang timbalan ialah Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri dipengerusikan Dr Mohd Fadzli Hassan; Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Datuk Anuar Tan Abdullah.

Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Desa dan Bioteknologi Che Abdullah Mat Nawi; Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Wan Ubaidah Wan Omar, Jawatankuasa Perumahan, Kerja raya, Utiliti dan Alam Sekitar Mohd Anizam Abdul Rahman serta Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Sukan Negeri Abdul Fatah Mahmood.

Nik Abdul Aziz berharap dengan pelantikan jawatan timbalan itu akan melincinkan lagi pentadbiran negeri di samping dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih cekap.