Thursday, April 6, 2017

RUU355 - Speaker Benarkah Hadi Bentang Di Sebalik Bantahan???

 

Apakah PAS boleh bentangkan pindaan kontroversi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) hari ini?

Juga apakah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan usul asli yang dirangka oleh PAS, bukan dengan beberapa pembaikan oleh pihak kerajaan?

Sebelum ini Hadi menegaskan, pihaknya mahu melihat pindaan usul berkenaan jika kerajaan mahu membentangkannya.

Pada Ahad (2 April 2017), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, usul RUU 355 akan dibentangkan sebagai usul persendirian pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, (6 April hari ini).

Katanya, usul itu akan dibentangkan oleh Hadi selepas semua urusan kerajaan diselesaikan.

Bermakna bahawa cadangan kerajaan membentangkannya sudah menjadi sejarah dan Hadi boleh melakukan apa yang beliau impikan sebelum ini bagi mencipta sejarah!


Namun semudah itukah  Hadi akan diberikan laluan untuk melakukannya di Dewan Rakyat serta apakah usul itu kekal sebagai ‘versi PAS’?

Ternyata kini kerajaan BN bukan sahaja memberikan laluan sepenuhnya kepada Hadi dan kandungan usulnya oleh PAS juga ‘diluluskan sepenuhnya’?

Namun perkembangan terbaru semalam -  usaha untuk menggagalkan pembentangan RUU355  itu dturut berlaku apabila bekas Ahli Parlimen Benut, Mohamed Tawfik Ismail menghantar dokumen perisytiharan kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menghalang usul meminda RUU 355 dibentangkan di Dewan Rakyat.

Mohamad Tawfik yang memfailkan saman pemula kepada Speaker Dewan Rakyat itu diramalkan boleh  menyebabkan usul pindaan itu akan menjadi subjudis jika dibentangkan dan menimbulkan banyak persoalan.

Mohamed Tawfik Ismail, anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abd Rahman, berkata semalam, beliau menjangka PAS tidak jadi membentangkan pindaan di Dewan Rakyat hari ini.

Tawfik memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur Jumaat lalu, bagi memohon pengisytiharan bahawa cadangan pindaan Akta 355 adalah tidak berperlembagaan.

"Kami tidak menjangkakan pindaan Akta 355 akan berada dalam Peraturan Mesyuarat esok," kata Tawfik kepada pemberita selepas saman pemula yang diperolehi daripada Mahkamah Tinggi, diserahkan sendiri kepada Pandikar.

Peguamnya, Mansoor Saat, yang turut hadir menjelaskan speaker telah menetapkan keutaman pada masa lalu bahawa isu subjudis akan timbul di dalam dewan sebelum perkara itu dibawa ke mahkamah.

"Berikutan keutamaan dalam beberapa kes lain, sama dengan isu ini, pindaan itu tidak seharusnya dibentangkan di Dewan Rakyat," tambah Mansoor.

Bagaimanapun, difahamkan, keputusan untuk membenarkan RUU 355 dibentangkan esok masih tetap bergantung kepada kuasa dan budi bicara Speaker Dewan Rakyat.

Pada 3 April lalu pula sebuah kumpulan -BEBAS - menentang rancangan PAS untuk mengenakan hukuman syariah lebih keras di Malaysia SAMBIL merayu kepada ahli Parlimen supaya hadir di persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (pindaan) 2016 dijangka dibentangkan.

BEBAS berkata berkata semua ahli Parlimen perlu hadir untuk bercakap bagi pihak sebahagian rakyat Malaysia.

Jurucakap Bebas Azrul Mohd Khalib meminta Ahli Dewan Rakyat supaya jangan biarkan kedatangan sedikit di Dewan Rakyat kerana ia boleh menyebabkan RUU itu dibawa ke peringkat seterusnya.


Sebelum ini RUU persendirian itu dibentangkan dua kali oleh Presiden PAS itu yang memohon supaya kuasa menjatuhkan hukuman di mahkamah syariah diperkasakan, daripada 3 tahun penjara pada masa ini dan denda RM5,000 serta 6 sekatan dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebat 100 kali.

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini menyuarakan sokongan kepada RUU itu walaupun dibantah parti komponen bukan Islam dalam BN.

Azrul mengulangi bantahan BEBAS terhadap RUU itu, berkata pindaan berkenaan akan mengubah cara keadilan ditadbir dengan bergantung pada ketakutan dan hukuman.

“Ia akan menyebabkan ketidaksaksamaan. Ia akan menyebabkan ketidakadilan. Inikah yang Malaysia mahu? Mari kita bersatu dalam mempertahankan identiti pelbagai bangsa dan kesederhanaan Malaysia,” tegasnya.

Kelmarin, PAS menegaskan presidennya tidak akan memohon penangguhan sekali lagi bagi meminda Akta 355 jika diberi ruang membentangkannya kali ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tidak ada sebab untuk mereka menangguhkan usul rang undang-undang itu sekali lagi, seperti yang pernah dilakukan Ahli Parlimen Marang itu sebelum ini.

"Tidak, mengapa kita nak tangguhkan? Kami sedang menunggu peluang untuk mengemukakannya," kata Takiyuddin kepada Malaysiakini.

RUU355 dibawa Abdul Hadi melalui peruntukan rang undang-undang persendirian Dewan Rakyat dalam usaha PAS memperkasa mahkamah syariah di negara ini, namun dibantah sesetengah pihak.

Sebahagian mendakwa pindaan itu membuka jalan kepada pelaksanaan hukum hudud, manakala pengkritik lain melihatnya sebagai tergesa-gesar serta mempunyai maksud politik tersirat.

Ada kalangan yang membantah mengatakan usul sepatutnya dibawa ke pengetahuan Majlis Raja-Raja Melayu untuk dinilai terlebih dahulu.

Kita menunggu apakah Speaker akan memberikan laluan atau usul Hadi akan tergantung kali ini tanpa diberikan ruang untuk bentangkannya.

Jika demikian, polimik mengenai isu ini akan menjadi 'perbicaraan politik' yang akan mengakibat banyak pihak dan pastinya menjadi antara isu penting sebelum dan pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.



Tuesday, April 4, 2017

Razali Sertai PAS Terengganu, Gurauan Politik Apa Ini?


Permainan atau gurauan politik apa sedang dilakukan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu apabila mengatakan ketuanya, Datuk Razali Idris akan menyertai PAS.

Jangan kalutkan keadaan apabila PAS dan PKR sedang ‘berselisih’ sekarang sedangkan PPBM tidak ada kena mengena.

Hal perbalahan PAS dengan AMANAH dan permintaan pemimpin PAS agar digugurkan kerjasama dengan PKR tiada kena mengena dengan PPBM ‘baik yang hidup atau yang mati’.

Itu hal mereka.

Jangan pula kemarahan oleh pihak tertentu dalam dua parti berkenaan kepada PAS menyulitkan PPBM yang masih mahu bekerjasama dengan PAS, apa lagi di Terengganu tidak wajar dilakukan.

PPBM tidak kacau parti lain dalam hubungannya dengan PAS dan jika PAS mahu bekerjasama dengan PPBM, itu adalah sebaik-baiknya.

Lagipun kepimpinan tinggi PPBM belum buat keputusan mengenai kemungkinan kerjasama dengan PAS dan itulah sebaliknya.

Muktamar PAS di Kedah nanti akan membincangkan hubungannya dengan PKR dan tidak PPBM. Jadi janganlah dikalutkan dengan kerjasama PPBM dan PAS.

Semalam ditularkan bahawa Ketua Badan Pimpinan PPBM Negeri Terengganu – Datuk Razali Idris – akan menyertai PAS pada 7 April ini, gara-gara beliau akan berceramah sepentas dengan pemimpin PAS.

Apa salahnya, pemimpin PPBM, termasuk Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin  pun melakukan perkara sama. Juga Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz juga melakukan perkara yang sama, mengikut keperluan.

Tular tersebut berbunyi:


Jelas sekali perbuatan ini menentang kehadiran Razali ke Paka dan amatlah tidak adil sekiranya tanggapan dibuat sedemikian.

Juga mana ada berlaku PPBM Terengganu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Razali dan satu lagi dipimpin oleh Ketua Pendaftar (ahli) PPBM Terengganu?

Mereka elok sahaja pada mesyuarat pertama Badan Pimpinan PPBM Negeri Terengganu semalam dan sedang merancang program PPBM di Dungun dan bahagian-bahagian lain.
Kenapa ada fitnah sedemikian?

Jangan kerana ada ‘kemarahan’ dan ‘dendam lama’ terhadap seseorang di kalangan pihak tertentu, Razali mahu dijadikan.’kambing hitam’?

Razali dipilih oleh pucuk pimpinan PPBM bagi mengetuai Terengganu dan beliau mendapat sokongan semua bahagian.

Sewajarnya semua pihak – di kalangan penyokong pembangkang – memberikan sokongan kepada Razali demi menggerakkan PPBM untuk sama-sama menolak dan menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Mesyuarat pertama Badan Pimpinan PPBM Terengganu, semalam.
Tidak ada yang goyah atau rapuh dalam PPBM Terengganu dan sejak program BERANI BERUBAH di Ajil 16 Februari lalu, momentum PPBM semakin melonjak.

Alasan Razali yang mempunyai latarbelakang agama, dan turut menyertai Himpunan RUU355 di Kuala Lumpur dikatakan lebih yakin sekiranya PPBM bersama PAS di Terengganu dan tidak diterima pandangan itu tidak timbul sama sekali.

Apakah kononnya alasan sekecil ini akan merubah hati Razali untuk mengumumkan penyertaan beliau ke dalam PAS Jumaat ini?

Juga amatlah cetek kenyataan bahawa PAS juga tidak menolak untuk memberi ruang kepada bekas tokoh agama dari UMNO itu untuk bertanding diatas tiket PAS pada PRU yang akan datang.

Sumber dalaman PAS mana yang dipetik oleh mereka yang memulakan tular berkenaan sedangkan hakikatnya Razali bukan ‘syok sendiri’ ke majlis anjuran PAS berkenaan.

“Pesuruhjaya PAS Terengganu yang jemput saya beceramah dan saya sudah dapatkan kebenaran dari PPBM Pusat.

“Minggu lepas  saya jawab bersetuju tapi pagi tadi (semalam) saya dapat info yg gambar saya di letak sebagai bekas pimpinan UMNO. Saya minta mereka tukar kepada jawatan yangg saya diamanahkan sekarang oleh PPBM,” katanya.

Beliau tidak pasti pihak mana yang membuat tularan itu dan berharap ia tidak menjadi salah faham kepada penyokong PPBM dan PAS.

“Ia hanya jemputan untuk berceramah dan tidaklah sehingga masuk PAS,” tegas Razali.

Monday, April 3, 2017

Rakyat Sabah “Pragmatik” Untuk Halau Keluar UMNO,BN


Penduduk Sabah sudah membuat keputusan mereka dan bersedia untuk perubahan kerajaan.

Mengambil kira sejarah politik Sabah yang sanggup tukar kerajaan, diramalkan Barisan Nasional (BN) akan diundi keluar dari negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PR14).

UMNO  Sabah akan mengikuti jejak langkah Pertubuhan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan Berjaya iaitu dua parti pemerintah yang diundi keluar rakyat.

Datuk Seri Shafie Apdal, bekas naib presiden UMNO  berkata, rakyat Sabah, yang beliau gelarkan sebagai “pragmatik” tidak pernah mengelak daripada menggunakan undi mereka untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan pihak pemerintah.

“Penduduk Sabah sudah membuat keputusan dan bersedia untuk perubahan kerajaan,” katanya dalam temu bual bersama The Malaysian Insight.

Shafie, antara pemimpin yang membawa Umno ke Sabah lebih dua dekad yang lalu menegaskan, tidak seperti pengundi di Sarawak, BN menanamkan rasa takut pada mereka, rakyat Sabah berani mengambil risiko.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menegaskan, rakyat Sabah sudah menegaskan bahawa:”‘Jangan ambil mudah kami’.”

Ramalan beliau mengenai kekalahan BN di negeri itu berdasarkan sokongan menggalakkan terhadap parti barunya pada PRU14, sudah dinikmati di bandar sekitar pantai timur Sabah.

Pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  dan Datuk Seri Musa Aman (lima dari kanan) serta sebahagian ahli UMNO Kota Marudu melaungkan ‘Hidup BN’ selepas perasmian mesyuarat cawangan-cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian di Dewan Komuniti Kota Marudu, Sabah, semalam. 
“Jika anda melihat parti baru lahir seperti Warisan yang kurang dikenali ramai di Sabah, kami sudah melakukan dengan agak baik,” kata Shafie.

Shafie melancarkan Seri Jelajah Parti Warisan pada Oktober lepas, di mana beliau memulakan jelajah bertemu rakyat.

Katanya, jelajah yang berakhir hujung minggu lalu di Penampang, mendedahkan ketidakpuasan hati di kalangan rakyat Sabah.

“Saya sedar, saya terpaksa membuat rakyat menyedari mengapa kita perlukan perubahan kerana ia bukan semata-mata mengenai perubahan kepimpinan, daripada ketua menteri kepada yang lain, daripada satu perdana menteri yang berbeza dan seterusnya.

“Ia adalah satu keperluan untuk membuat perubahan struktur dalam sistem, perubahan untuk kebaikan rakyat.”

Sabah sentiasa diberitahu untuk menukar kerajaan, kata beliau yang digugurkan dari Kabinet Persekutuan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dua tahun yang lalu.

Usno yang ditubuhkan pada 1967 dikalahkan oleh Berjaya, parti yang diasaskan pembelot Usno, pada pilihan raya negeri 1976.
Berjaya kemudian dikalahkan Parti Bersatu Sabah (PBS), parti yang dibentuk pembelot Berjaya pada 1985.

Shafie juga bercakap secara terperinci mengenai isu dan cabaran dihadapi rakyat Sabah, mengapa beliau percaya akan terjadi gelombang pengundi berpaling daripada BN pada PRU14, dan pandangan mengenai sama ada Warisan akhirnya akan membentuk satu pakatan pembangkang di Sabah.