Monday, May 16, 2016

Kerajaan Pulau Pinang Dipersoal Kenapa Tidak Ambil Tindakan Terhadap KLIDC


Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dijangka terus hangat apabila disambung semula hari ini.

Beberapa isu dijangka akan diperkatakan sama ada dalam sesi soal jawab atau juga perbahasan sehingga 19 Mei nanti.

Seperti dijangka, Jumaat lalu (13 Mei 2016), isu tanah Taman Manggis yang disentuh pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Jumaat lalu menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Pertikaian mengenai perkara itu bermula apabila Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo mendakwa demonstrasi bantahan penjualan tanah Taman Manggis pada 25 Mac lepas berpunca daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

"Mereka ini (BN) telah menghasut dan menyebabkan rakyat di Pulau Pinang berpandangan serong terhadap kerajaan negeri," katanya.

Dakwaan Jagdeep itu menimbulkan kemarahan Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid yang meminta wakil rakyat Datuk Keramat dari DAP itu mengemukakan bukti tuduhan itu.

"Saya mahu Yang Berhormat (YB) Datuk Keramat (Jagdeep) kemukakan bukti terhadap tuduhan tidak berasas ini. Semua kenyataan saya berhubung isu ini hanya bersifat komentar dan bukannya menghasut," katanya.

Jagdeep kemudian berkata beliau mempunyai bukti bahawa Jahara menipu rakyat berhubung Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Manggis yang telah ditolak dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 28 Mac 2007 yang turut dihadiri wakil rakyat Teluk Air Tawar itu.

Jahara bagaimanapun menegaskan beliau mengingati keputusan-keputusan yang dibuat dalam mesyuarat berhubung projek itu semasa Pulau Pinang di bawah pentadbiran BN.

Sementara itu, RSN Rayer (DAP-Seri Delima) menayangkan video berkenaan kenyataan Jahara yang disiar stesen televisyen TV3 pada persidangan dewan bagi menunjukkan bukti berhubung apa yang dipinta Jahara.

Perbuatan Rayer itu mencetuskan kejutan dalam dewan dan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) meminta penjelasan daripada Speaker Datuk Law Choo Kiang sama ada rakaman video dibenar ditunjukkan dalam dewan.

"Ia (tindakan menayangkan video itu) perlu diminta izin terlebih dahulu," jelas Law.

Pada 25 Mac lepas, sekumpulan badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mengadakan demonstrasi berhampiran Jalan Burmah menuntut tanah di Taman Manggis dibangunkan untuk perumahan awam bagi golongan miskin.

Jahara turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC) kerana tidak melaksanakan pembangunan di tanah Taman Manggis selepas memenangi tender pada 2010.

"Syarat-syarat di dalam surat tawaran itu menyatakan bahawa KLIDC kena buat permohonan merancang dalam masa setahun, siapkan projek dalam masa tiga tahun dan kena mohon kebenaran daripada Jabatan Kesihatan dalam masa satu tahun.

"Kalau syarat-syarat ini tidak dipatuhi, tawaran ini akan ditarik balik. Dimaklumkan juga pada 22 Julai 2010 perjanjian tawaran dikeluarkan tetapi KLIDC telah memajak tanah ini kepada bank dengan harga yang sama iatu lebih 11 juta. Perkara ini perlu dijawab oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan DUN berkenaan.

Jahara yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar turut mempersoalkan sama ada tanah berkenaan masih lagi milik KLIDC kerana didakwa tanah itu telah dipajak kepada pihak bank.

"Tawaran kepada pajakan bermula dari tarikh perjanjian tawaran diterima, di sini pajakan 99 tahun bermula pada tahun 2015, setelah lima tahun tawaran itu diberi. Apabila digadai kepada bank adakah pindah milik telahpun dibuat. Kalau begitu siapa tanda tangan gadaian," katanya.

Menjawab pertanyaan itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng menegaskan tanah berkenaan masih kepunyaan KLIDC dan menafikan tanah itu telah dipajak kepada pihak bank.

"Tanpa geran tak boleh pajak tanah, semua peguam harus tahu. Mana boleh PA (kuasa peguam) dikeluarkan kalau tak ada geran. Kami bersedia untuk berdepan dan jawab apa-apa soalan, janganlah buat kenyataan tak masuk akal.

"Saya ingin memaklumkan bahawa selepas surat tawaran dikeluarkan pada 2010 pembayaran penuh dibuat pada 2011 dan geran hanya dikeluarkan pada 2015. Jadi, tidak ada sebarang gadaian, cagaran, sehingga sekarang (tanah Taman Manggis) masih milik KLIDC," katanya.

KLIDC membeli tanah seluas 0.4 hektar itu dari kerajaan negeri bagi projek pembinaan hotel 19 tingkat, enam tingkat hospital persendirian dan lima tingkat tempat letak kereta.

Penjualan tanah Taman Manggis itu dibangkitkan selepas dikaitkan dengan pembelian banglo oleh Lim pada harga di bawah nilai pasaran.


Sunday, May 15, 2016

Siapa Bakal ‘Kacau Daun’ Di Sungai Besar, Kuala Kangsar?



Seolah-olah wujud dilema di pihak pembangkang untuk fokus mengalahkan BN ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang menyaksikan BN menang besar pada 7 Mei lalu.

Isu pertindihan kerusi pada PRN Sarawak ke-11 lalu dijangka akan berulang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang serentak akan berlangsung 18 Jun iaitu 13 Ramadan depan.

Hanya kali ini kebarangkalian tinggi melibatkan pertembungan antara Pas dengan parti musuh nombor wahidnya tetapi komponen Pakatan Harapan – Amanah.

Apa lagi, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim awal-awal lagi memberi amaran supaya parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di kedua-dua kerusi itu. Terdahulu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali juga menegaskan pendirian sama.

Tidak hairanlah, Amanah membidas sikap Pas tersebut sebagai mementingkan diri sendiri memandangkan Amanah sebelum ini ibarat sudah menghulurkan tangan sudi berbincang dengan Pas bagi mengelakkan pertembungan.

Melihatkan Pas hanya mahu berunding dengan PKR, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir menyelar parti ketandusan pemimpin rakyat itu sepatutnya sudah lama meninggalkan kerusi mereka di Selangor apabila bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Sementara itu, PKR pula dilihat cuba tidak mahu ‘berperang’ dengan Pas tetapi pada masa sama perlu menjaga hati Amanah. Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah pada 11 Mei memberitahu, pihaknya bersedia dan tidak bermasalah untuk berbincang dengan Pas tetapi pada masa sama tetap mengambil kira pertimbangan bersama parti komponen Pakatan Harapan.

Bahkan, sehari selepas itu, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mengajak Pakatan Harapan dan Pas mengetepikan kepentingan individu serta kepartian sebaliknya bersatu untuk menewaskan BN.

Lain pula pendirian DAP yang terang lagi tegas menolak sama sekali calon Pas pada PRK serentak yang dianggarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencecah kos RM2.7 juta itu.

Sebaliknya, DAP hanya akan menyokong calon daripada Pakatan Harapan yang umum dilihat Amanah seperti ditegaskan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, 13 Mei lalu.

Sebahagian penganalisis politik memihak kepada Pas atas alasan calon BN bagi P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 2013 lalu menang dengan majoriti undi tipis iaitu masing-masing 1,082 dan 399 undi.

Tanpa mungkin mengambil senario kepimpinan dan pendekatan Pas yang berbeza selepas tiga tahun keputusan itu yang kemudiannya menyaksikan penghijrahan ramai golongan profesional, agamawan dan aktivis memasuki Amanah, Pas masih dianggap mungkin berpeluang merampas kerusi daripada BN.

Antaranya pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Madya Dr Jeniri Amir. Menurutnya, laluan perlu diberi kepada Pas dengan mendakwa Pakatan Harapan tidak harus ‘kacau daun’.

Beliau dilapor berkata, Pakatan Harapan dan Pas perlu bekerjasama kerana lawan yang hendak ditumbangkan adalah BN bukannya sesama pembangkang.

Menganggap Pas mempunyai peluang cerah untuk menang, Jeniri berpendapat, pertembungan tiga penjuru hanya akan memberi peluang mudah kepada kemenangan BN.

Walau bagaimanapun, tanggapan kononnya Pakatan Harapan atau lebih khusus sebenarnya dituju kepada Amanah sebagai ‘kacau daun’ adalah tidak tepat.

Hal ini memandangkan Amanah terang-terang berada di blok pembangkang dan sama sekali tidak ‘cakap berlapik’ dalam berdepan penyelewengan dan salah guna kuasa BN.

Amanah yang diterajui Presidennya, Mohamad Sabu turut diterima baik masyarakat Cina kerana tidak bermusuh dengan DAP seperti tergambar dalam pendirian Guan Eng yang menyebelahi Amanah.

Bahkan, faktor peratusan pengundi Cina di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang signifikan masing-masing hampir 31 dan 25 peratus juga dijangka memberi kelebihan kepada Amanah.

Selain itu, rekod undi popular diraih Amanah sebanyak 1.24 peratus pada PRN Sarawak lalu juga menyaksikan pencapaian yang positif dan tidak jauh beza dengan 1.70 peratus undi popular Pas yang telah wujud sejak 1951 itu.

Rekod Amanah sebagai parti yang belum berusia setahun penubuhannya di negeri dengan lanskap politik berbeza berbanding Semenanjung itu dijangka jauh lebih baik jika bertanding dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Tambahan pula, isu-isu nasional kemungkinan besar turut memberi tempias yang bukan sedikit kepada sentimen pengundi di Semenanjung.

BN pada masa sama tentunya tidak senang duduk selepas terpalit dengan kontroversi di sebalik isu ‘derma’ RM2.6 bilion dan syarikat pelaburan sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justeru, soal siapa ‘kacau daun’ dilihat lebih tepat ditujukan kepada Pas memandangkan parti diterajui Hadi Awang itu sebelum ini mendabik dada hanya mahu menjadi penasihat kerajaan.

Memenangi pilihan raya juga bukan matlamat Pas pasca muktamar pemilihan tahun lalu. Bahkan, ketika kencangnya krisis BN di Terengganu, Pas enggan memanfaatkan ruang luas tersebut untuk menawan negeri itu walaupun tiada parti pembangkang lain mempunyai alasan kukuh untuk ‘kacau daun’.