Monday, October 13, 2008

ANNUAR KE NAIB MEWAKILI NEGERI KALAH PILIHAN RAYA?


Sehingga artikel ini ditulis, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa baru mendapat satu pencalonan bagi bertanding Naib Presiden UMNO.

Ia datang daripada UMNO Bahagian Machang yang mengadakan persidangan perwakilannya 10 Oktober lalu.

Annuar memerlukan 19 pencalonan dan sehingga lewat petang semalam, persaingan bagi tiga jawatan Naib Presiden Umno meningkat kepada 10 calon dengan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendahului dengan 18 pencalonan diikuti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan 11 pencalonan.

Yang lain ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (9), Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (8), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (4), Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim (4), bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim (2), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan (2), bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (2) dan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (1).

Bahagian Machang turut mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jawatan presiden dan dalam proses pengundian yang diadakan secara terbuka walaupun terdapat gesaan di kalangan perwakilan agar dilakukan secara tertutup, jumlah undian yang diterima jauh mengatasi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dua hari sebelum itu iaitu pada 8 Oktober, Annuar dilaporkan sedang menimbangkan kemungkinan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan.
Apapun beliau menegaskan, lebih banyak masa diperlukan sebelum membuat sebarang pendirian mengenainya dengan turut mengambil kira beberapa perkembangan politik semasa.

Menurutnya, beliau harus menilai keupayaan dirinya, selain persepsi dan tahap sokongan di samping pandangan rakan-rakan di negeri-negeri kerana ia melibatkan tuntutan tugas serta tanggungjawab begitu berat dalam menempuh era yang cukup mencabar.

''Saya menghargai pandangan Pemuda UMNO Kelantan, namun berilah saya masa beberapa hari untuk memikirkannya.

''Untuk menawarkan diri tidak susah, namun kita perlu menimbangkan dengan jujur kerana dalam situasi sekarang, tugas sebagai Naib Presiden tidak mudah," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian mengulas kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan yang mahukan beliau bertanding bagi jawatan itu berdasarkan pengalamannya yang lama dalam barisan kepimpinan.

Pergerakan Pemuda Umno Kelantan pada 7 oktober mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu bertanding bagi jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti.

Ketuanya Dali Husin berkata ini berdasarkan kepada pengalaman luas Annuar dalam politik tanah air yang mampu membantu Presiden dan Timbalan Presiden untuk memperkasakan parti terbesar bangsa Melayu itu.

"Cadangan ini berdasarkan kepada pengalaman Tan Sri Annuar Musa yang begitu lama dalam parti dan kerajaan serta memegang pelbagai jawatan seperti Pengerusi Umno Negeri, Ahli Majlis Tertinggi dan bekas Menteri Kabinet.

"Ia sudah tentu boleh membantu Umno dan pucuk pimpinan untuk memperkukuhkan parti," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dali berkata peranan Annuar amat diperlukan terutama untuk merampas kembali negeri-negeri yang diperintah pembangkang selain tiada calon dari negeri terbabit yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan itu.

Sehubungan itu, Dali menyarankan semua bahagian Umno di seluruh negara memberikan sokongan dan mencalonkan Annuar bagi jawatan itu.

Menurut beliau, zaman 'memanaskan' kerusi sudah berlalu dan dengan peralihan kepimpinan, UMNO akan memasuki satu fasa baru era Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Ia era yang saya jangka sangat mencabar kerana ia menjadi penentu kepada survival UMNO sama ada untuk kekal sebagai pemerintah atau berubah menjadi pembangkang," katanya.

Katanya lagi, barisan kepimpinan baru UMNO perlu mempunyai segala kekuatan, pengalaman, kebijaksanaan, keberanian dan ketahanan dalam menghadapi permainan politik parti-parti lawan.

''UMNO juga bukan sahaja memerlukan keupayaan personaliti, tetapi juga kebijaksanaan merangka dasar, kesepaduan organisasi dan kekuatan daya saing yang tinggi," ujar beliau.
Justeru, katanya, beliau perlu menilai persepsi dan sokongan akar umbi serta keupayaannya menyumbang dalam senario baru itu.

''Sebenarnya, pada awalnya semasa mendukung pelan peralihan 2010, saya sudah membuat ketetapan untuk tidak bertanding sebarang jawatan untuk membolehkan saya berperanan dengan bebas dalam membantu parti.

''Tetapi dengan peralihan yang telah dipercepatkan, senario telah berubah dan saya terpaksa mengkaji pendirian itu kerana ia melibatkan penyusunan saf kepimpinan yang akan memikul tanggung yang menuntut sokongan padu dan keupayaan tertentu," jelasnya.

Pada pertemuan dengan beberapa pemimpin UMNO Bahagian, difahamkan Annuar menyatakan beliau memohon pencalonan sebagai mewakili pantai timur serta negeri-negeri yang kalah atau dikawal pembangkang selepas pilihan raya umum lalu.

Namun yang nyata bagi negeri pantai timur dan negeri yang kalah pilihan raya lalu ada dua calon lain itu masing-masing, Dr Jamaluddin dari Pahang serta Dr Zahid dari Perak.

No comments: