Wednesday, November 25, 2015

ADUN DAP Sokong Usul UMNO Letak Jawatan Dalam Parti…

Kontroversi dalam politik Pulau Pinang belum berkesudahan.
Hari ini parti pemerintah negeri itu, DAP dikejutkan dengan perletakan jawatan sebagai setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Pulau Pinang Teh Yee Cheu.

Letak jawatan secara sukarela atau dipaksa?

DAP Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng, dikritik kerana tidak membenarkan ADUN mereka membuat undi berdasarkan pandangan peribadi dan kepentingan rakyat.
Dia berbuat demikian  selepas menyokong usul yang dibawa Barisan Nasional (BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Teh sebelum ini memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media selepas persidangan DUN.

Dalam surat peletakan jawatannya, Teh  memaklumkan dia memutuskan untuk meletak jawatan ekoran sokongan beliau kepada usul UMNO tentang penambakan laut dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 20 November lalu.

Teh juga berkata beliau bersedia menerima tindakan disiplin partinya.

Usul yang disokong Teh asalnya dibawa Adun BN, Muhamad Farid Saad yang meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut.

Farid juga menuntut projek baharu penambakan laut digantung sehingga kajian lanjut dijalankan bagi memastikan tiada kesan buruk ke atas alam sekitar disebabkan projek tersebut, serta membatalkan projek yang membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Usul ini ditolak selepas gagal mendapat sokongan majoriti. Hanya 10 Adun menyokongnya – 9 daripada BN dan seorang daripada DAP, manakala 23 dari Pakatan Harapan menentangnya.

Namun 5 ADUN daripada PKR tidak mengundi, tindakan yang menyebabkan kontroversi dalam kerajaan negeri dan menjejaskan hubungan DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan.

Lima Adun PKR yang tidak mengundi adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti).

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil semalam menjelaskan, partinya berpuas hati dengan penjelasan 5 ADUN  tersebut.

Fahmi berkata, undi berdasarkan pandangan peribadi adalah biasa dalam dunia demokrasi dan sepatutnya digalakkan.

Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow juga mempertikaikan kenapa mereka tidak membahaskan usul itu jika mereka mahu menyampaikan pandangan mereka.

Semalam Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menuntut Teh memohon maaf dan mengatakan ia boleh dijadikan faktor rayuan dalam hukuman terhadapnya.

Beliau bagaimanapun berkata, Pulau Pinang membenarkan ADUN memberikan pandangan mereka dan tidak akan menghalang mereka daripada memberikan pendapat, namun berbeza apabila mengundi dalam hal pentadbiran.

"Apabila datang pengundian dalam isu pentadbiran, mereka patut bersama kerajaan negeri," katanya.

Peletakan jawatan Teh daripada jawatan itu berkuatkuasa 23 November.

Semalam, Lim berkata lima ADUN PKR yang berkecuali sewaktu undian terhadap usul wakil rakyat BN dalam isu tebus guna tanah pada persidangan DUN Jumaat lepas tetap kekal sebagai ADUN kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata walaupun tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan terjejasnya keyakinan kerajaan negeri terhadap lima ADUN berkenaan dan seorang wakil rakyat DAP Teh Yee Cheu yang menyokong usul itu, namun tugas mereka sebagai ADUN Pakatan Harapan berjalan seperti biasa bersama dengan peruntukan kerajaan di kawasan masing-masing.

"Kerajaan negeri akan menilai peranan dan prestasi mereka dalam tugas-tugas yang melibatkan tugasan pentadbiran kerajaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Lim semalam ketika mengulas usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, semasa persidangan itu, menegaskan  perkara itu memang sudah menjadi kewajipan undang-undang yang tercatat dalam undang-undang kerajaan persekutuan.

"Jika gagal melaksanakannya, ia bererti tebus guna tanah tidak boleh dilakukan. Kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah lari daripada tanggungjawab untuk mengadakan rundingan awam atau pertemuan dewan orang ramai. Jadi memang tidak ada isu berbangkit dalam hal ini," katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata tindakan menyokong atau mengambil sikap berkecuali terhadap usul yang dibentangkan itu akan menyebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan terhadap penangguhan tebus guna tanah yang boleh membawa kepada bankrap.

"Walaupun BN telah meluluskan 3,241 ekar (1311.59 hektar) tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar (301.895 hektar) telah ditebus guna. Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang oleh E&O, boleh menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion. Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap.

"Dengan itu, mengapa perlu kerajaan negeri sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya?," katanya.

PAS Bakal Hilang Jawatan JKKK Di Selangor?


PAS dijangka bakal kehilangan beberapa jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Selangor apabila Parti Amanah Negara (Amanah) mahu jawatan itu turut dibahagikan kepada mereka pada lantikan akan datang.

Ini susulan kenyataan Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim bahawa pihaknya sedang mengadakan beberapa perjumpaan bersama pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin daripada DAP bagi membincangkan kuota yang akan diberikan kepada parti itu dalam pembahagian jawatan JKKK dan jawatan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan.

Katanya lantikan itu kelak adalah pengiktirafan kepada Amanah sebagai parti politik yang bersama-sama membentuk Pakatan Harapan dengan PKR dan DAP.

"Amanah mempunyai tiga Anggota Parlimen dan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor.

"Bagaimanapun berapa jumlah kerusi ahli majlis dan JKKK yang akan diberikan kepada Amanah hanya ditentukan selepas perbincangan mengenainya selesai dalam masa terdekat ini," katanya dalam sidang akhbar di Shah Alam, semalam.

Kesemua Ahli Majlis Kerajaan Tempatan akan tamat kontrak perkhidmatan mereka pada penghujung tahun ini.

Ditanya sama ada jumlah yang diperuntukkan kepada Amanah akan diambil daripada kuota PAS, Izham berkata perkara itu belum ditentukan.

Sekiranya berlaku, ia merupakan satu lagi tamparan buat PAS susulan pada minggu lalu, semua anggota JKKK daripada kalangan anggota PAS di Pulau Pinang telah dipecat oleh kerajaan negeri kerana tidak menyokong Pakatan Harapan.

Tindakan pemecatan itu menyebabkan PAS mengisytiharkan untuk menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Sementara itu mengulas mengenai jumlah anggota Amanah di negeri ini, Izham berkata setakat hari ini sebanyak 4,000 orang telah berdaftar sebagai anggota parti itu dengan 20 peratus daripadanya terdiri daripada bukan Islam.

Tuesday, November 24, 2015

Pengurusan Hartanah Wakaf Di Selangor Kurang Memuaskan, Dedah Laporan Audit



Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 mendapati pengurusan hartanah wakaf di negeri Selangor adalah kurang memuaskan dengan 87.6 peratus daripada hartanah wakaf yang didaftarkan sebagai hak milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak diwartakan.


Laporan itu menyebut pengauditan yang dijalankan antara April hingga Julai 2015 mendapati tanah wakaf di negeri ini tidak dimanfaatkan dengan sebarang aktiviti selain terdapat kes pencerobohan.

Ketua Audit Negara turut mendapati daftar hartanah wakaf di Selangor tidak lengkap dan tidak kemaskini di samping kelewatan dalam melaksana serta menyelesaikan istibdal.

"Sebanyak 27.5 peratus hartanah wakaf masih belum didaftarkan hak milik MAIS," kata laporan audit itu.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), badan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal wakaf di Selangor supaya melengkapkan data hartanah wakaf serta menyelesaikan peletakan hak sebagai hak milik MAIS dan seterusnya mewartakan hartanah wakaf setiap tahun.

PWS juga disyorkan mengadakan perancangan yang spesifik dan menyeluruh bagi memastikan hartanah wakaf dibangun serta dimanfaatkan sejajar dengan niat pewakaf selain memantapkan pemantauan terhadap keseluruhan hartanah wakaf.

Mengikut maklum balas yang diterima daripada PWS, hartanah wakaf lewat didaftarkan hak milik atas nama MAIS kerana kelulusan permohonan pindah hak milik di Pejabat Daerah Dan Tanah, pelepasan hak sekatan di Pihak Berkuasa Negeri dan pengecualian duti setem di Lembaga Hasil Dalam Negeri mengambil masa untuk diselesaikan.

Sementara itu, laporan audit yang dijalankan ke atas PNSB Development Sdn Bhd (PDSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mendapati secara keseluruhan prestasi kewangan PDSB bagi tahun 2012 hingga 2014 adalah tidak memuaskan dan perlu dimantapkan.

Ia menyebut hasil laporan audit yang dijalankan Mei hingga Julai 2015 mendapati kerugian sebelum cukai PDSB meningkat secara mendadak pada tahun 2014 iaitu sejumlah RM19.94 juta (621.2 peratus) berbanding tahun 2013 selain mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM10.74 juta pada tahun 2014.

"Mengikut penyata kewangan beraudit PDSB bagi tahun berakhir 2014, syarikat ini mencatatkan liabiliti semasa melebihi aset semasa dengan sejumlah RM62.64 juta dan juruaudit bertauliah telah menyuarakan kewujudan ketidakpastian yang ketara terhadap keupayaan syarikat ini untuk beroperasi secara berterusan," kata laporan itu.

Justeru, PDSB disyorkan menambah baik prestasi pelaksanaan aktiviti pembangunan hartanah dengan memastikan projek diuruskan dengan lebih cekap serta memberi pulangan dalam tempoh ditetapkan bagi menjamin keupayaan kewangannya.

PDSB juga diseru mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan tadbir urus korporat syarikat bagi memastikan kecemerlangan operasi syarikat selain dapat menambah baik prestasi kewangan dan memberi pulangan yang berterusan kepada PNSB serta Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Laporan audit bagaimanapun menyebut hasil audit yang dilaksanakan antara Mac hingga Julai 2015 mendapati pelaksanaan perolehan di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah memuaskan daripada segi proses pemilihan dan lantikan kontraktor serta pembekal.