Tuesday, February 10, 2009

JANGAN TERPERANGKAP DENGAN JERANGKAP

Belum apa-apa, DAP dan PAS dah ada perbezaan pendapat!

Tapia was, ini mungkin sandiwara pembangkang sahaja.

Sementara Pergerakan Pemuda UMNO seperti biasa ‘melompat awal’ untuk menunjukkan mereka mampu melakukan semuanya.

Jangan cepat membuat kenyataan itu boleh menang dan ini boleh menang.

Sejarah dua pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan Pemuda UMNO tidak boleh menolak jika dikatakan antara punca kekalahan sama ada di Permatang Pauh mahupun Kuala Terengganu.

Tolonglah Pemuda UMNO -jadilah dewasa sedikit - jangan terperangkap dengan jerangkap pembangkang.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini tidak bersetuju dengan cadangan DAP supaya bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang nanti.

Menteri Besar Kelantan itu berpendapat selagi Mohd Nizar masih dianggap oleh Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak, adalah tidak sesuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu dicalonkan bertanding untuk kerusi Parlimen itu.

"Kalau tanya saya, saya tidak boleh terima seorang yang berjawatan MB (Menteri Besar) ambil (wakili kawasan) Parlimen...kecuali orang yang tidak berjawatan MB.

"Bagi saya tidak elok kalau MB Perak (Mohammad Nizar) turut bertanding di kawasan lain, sedangkan dia mempunyai kedudukan di kawasan lama. Ini seperti yang dilakukan bekas Presiden PAS dahulu, (Allahyarham) Datuk Asri Muda, yang bertanding di dua kerusi ketika memegang jawatan Menteri Besar Kelantan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bahru hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan PAS menimbang untuk meletakkan Mohd Nizar diletakkan sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Sambil menyatakan beliau membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, Ngeh berkata adalah elok jika Nizar dipilih sebagai calon kerana rakyat boleh menyatakan pandangan mereka mengenai perubahan kerajaan negeri itu.

"Ini hanya pandangan peribadi saya. Terpulang kepada Pas untuk membuat keputusan. Walau siapa pun calonnya, kami akan memberikan sokongan penuh kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Nizar diarah meletak jawatan sebagai Menteri Besar minggu lalu oleh Sultan Azlan Shah berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pakatan itu meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Nizar enggan meletak jawatan dan bertegas beliau masih Menteri Besar yang sah dan terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Kerusi Bukit Gantang kosong berikutan kematian Ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, 50, daripada Pas hari ini akibat sakit jantung.

Adalah terlalu awal untuk mendabik dada BN berupaya merampas kerusi Parlimen Bukit Gantang jika pilihan raya kecil diadakan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata politik Perak mula menampakkan angin perubahan berikutan penolakan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang gagal membela nasib mereka.

Ini berdasarkan keadaan politik semasa membabitkan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perubahan corak pemikiran rakyat Perak memberi gambaran awal terhadap keupayaan BN merampas kerusi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda Umno dan BN akan menggerakkan seluruh jentera bagi membantu kempen ke arah memastikan BN berjaya menawan kerusi berkenaan.

"Berdasarkan kematangan penduduk Perak berpolitik dengan menolak kerajaan Pakatan Rakyat, saya yakin BN mempunyai peluang cerah mendapatkan semula kerusi Parlimen Bukit Gantang,” kata Hishamuddin.

Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Roslan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan menewaskan calon BN yang juga Bendahari Umno, Datuk Abdul Azim Zabidi dan calon Bebas, Mohganan P Manikam dengan majoriti 1,566 undi.

Allahyarham meraih 20,015 undi berbanding Azim (18,449) manakala Mohganan hilang wang pertaruhan apabila cuma mendapat 872 undi.

PAKATAN RAKYAT DAH KUSUT MASAI!

Tulisan Haji Nasir Hassan melalui blognya Riuh Rendah semalam, Isnin (8 Februari 2009) bertajuk “SENJATA 16/9 ANWAR MAKAN TUAN” sangat menarik.
Diharap beliau tidak kerana memetik tulisan beliau.

Kata Nasir:

Ketika kemelut politik Perak belum selesai, parti ikatan Pakatan Rakyat (PR) nampaknya bertelagah sesama sendiri apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti daripada memimpin ikatan pembangkang itu.

Gesaan itu sekali gus dilihat sebagai momentum baru ke arah tanda-tanda keretakan parti gandingan yang bakal menerajui pemerintahan negara seperti yang diuar-uarkan oleh Anwar pada 16 September tahun lalu, yang mana sehingga ini belum menjadi kenyataan.

Impian Anwar itu yang disebut senjata “16/9” memakan dirinya, apabila Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih teraju pentadbiran salah satu dari lima negeri di bawah PR, iaitu Perak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu keluar parti dan berhasrat menyertai BN.

Ini merupakan isyarat jelas bahawa ikatan parti itu longgar dan menunggu masa akan terlerai atau setidak-tidaknya akan menjadi kusut masai.

Karpal dalam kenyataan pada sidang media di Pulau Pinang semalam, mendakwa Ketua Umum Pakatan itu yang mencetuskan budaya melompat parti selain menjejaskan 'keharmonian' dalam Pakatan Rakyat.

"Beliau (Anwar) telah menyebabkan cukup masalah dan sudah tiba masa bagi Anwar bertaubat.

"Kini masa untuk Pakatan Rakyat memerlukan seorang lagi pemimpin," kata Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Beliau menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.

Anwar dikecam kerana perbuatannya itu (mempromosikan budaya lompat parti).

"Anwar Ibrahim harus bertaubat kerana perbuatannya, Pakatan Rakyat (PR) sepatutnya memohon untuk mendapatkan seorang pemimpin yang baru bukannya pemimpin yang mengamalkan budaya ini," katanya.

Dilihat kepada kenyataan Karpal itu, Anwar didakwa harus bertanggungjawab banyak persoalan terhadap kekecohan yang berlaku dalam PR hari ini.

Selain itu beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pemimpin PKR dan DAP yang memberi sokongan terhadap tindakan lompat parti.

Dilahat kepada kenyataan-kenyataan Pengerusi DAP itu, ternyata kini Anwar dipersalahkan dan inilah mungkin yang mencetuskan idea penulis untuk menterjemahkan senjata 16/9 yang Anwar gunakan untuk mengguling kerajaan persekutuan pada 16 Ogos lalu sebagai “senjata makan tuan”.

Mahu tidak mahu Ketua Umum PKR itu harus menerima hakikat ini.

Justeru itu ada pihak berpendapat, tidak hairanlah jika BN atau Umno merampas kembali kerajaan Pakatan di negeri Perak, melalui cara itu, kerana sebelum ini Anwar juga akan menggunakan taktik yang sama untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan yang mendewa-dewakan slogan “Dari Permatang Pauh ke Putrajaya”.

Dalam soal ini siapa yang menjadi kenyataan dan siapa yang masih tinggal dalam impian yang tinggal dalam seribu satu macam imigenasi politik?

Yang pasti, parti yang tidak menguar-uarkan taktik itu merampas kembali senjata yang dipegang parti lawan, menyebabkannya terkebil-kebil, malah bertelagah sesama sendiri yang jika tidak dibendung segera ia akan membawa kepada apa yang dikata orang seperti “retak menunggu belah”.

Retak tunggu belah, betulkah Nasir?