Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Monday, October 19, 2015

Apalah Azalina Ni...Usul Undi Tidak Percaya Memang Politik....


Apalah Azalina ni…perkara politik jangan dijadikan politik.

Apakah usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan isu politik?

Juga bukankah usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sebagai isu yang sedang diperkatakan dan menjadi sesuatu yang menjadi kepentingan rakyat?

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk AzalinaOthman meminta agar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian  tidak perlu dipolitikkan.

Beliau menganggap jika dipolitikkan khususnya oleh pihak-pihak berkepentingan, hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Ilmu atau amalan mana Azalina pakai?

Benar mungkin usul ini tidak akan ke mana-mana tetapi ia memang isu politik dan berkepentingan.

Pada  persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini, terdapat lima Rang Undang-Undang Kerajaan yang akan melalui bacaan pertama dan harus didahulukan.

"Nombor 1 dan 2 adalah Usul Kerajaan, nombor 3 hingga 6 adalah Rang Undang-Undang Kerajaan (bacaan kali yang kedua), nombor 7 hingga 28 adalah Usul Persendirian seperti yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat. Di samping itu, lima Rang Undang-Undang Kerajaan akan dibuat bacaan pertama pada hari tersebut.

"Justeru itu, pertimbangan mana-mana usul adalah tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Loy Sian dilaporkan sudah mengemukakan notis kepada Parlimen untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Najib.

Menurut Azalina,  meskipun usul berkenaan sudah ada dalam kertas aturan mesyuarat namun ia diletakkan pada susunan ke-25 daripada keseluruhan 28 usul dan keadaan itu memungkinkan usul berkenaan tidak sempat dikemukakan dalam sidang kali ini.

Dalam pada itu, Azalina berharap agar mana-mana Ahli Parlimen sentiasa bertindak dengan mendukung prinsip kebertanggungjawaban khususnya dalam mengemukakan mana-mana Usul Persendirian.

"Ia supaya  tidak berdasarkan kepada andaian atau spekulasi semata-mata serta tidak melanggar apa-apa syarat Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

"Maka, saya berharap isu berkaitan dengan usul yang dikemukakan oleh YB PJS tidak perlu dipolitikkan khususnya oleh pihak-pihak berkepentingan untuk mengelirukan rakyat.

"Parlimen Malaysia sememangnya sentiasa mendukung prinsip demokrasi yang tinggi maka semua Ahli Parlimen mempunyai hak mereka seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat," katanya.

Sunday, May 2, 2010

TOK PA, TOLONG BREK SIKIT…

Oleh Hambali Abdul Latiff (www.hambali1.blogspot.com)

Jangan marah kepada PAS kerana membelanjakan RM4 juta bagi memburuk-burukkan pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS kekal memerintah Kelantan.

Tapi UMNO Kelantan sepatutnya bertanya kepada diri sendiri berapa banyak pula dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan perang saraf bagi memenangkan UMNO Kelantan dan pertahankan kepimpinan Perdana Menteri.


Antara poster Nik Aziz yang dipasang di perhentian bas sekitar Kota Bharu pada 2007

Saya berharap pada musim ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd najib Razak tidak diberikan ‘kepercayaan palsu’ lagi mengenai politik Kelantan.

Najib perlu diberikan gambaran jelas apakah boleh menang atau kalah di kerusi negeri dan Parlimen.

Benar, kekalahan Barisan Nasional dan UMNO Kelantan tidak boleh disalahkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri ketika itu, Tan Sri Annuar Musa semata-mata tetapi kerja-kerja seperti yang dilakukan PAS Kelantan sepatutnya dilakukan oleh UMNO, malah lebih daripada itu.

Lagi-lagilah pada masa ini ketika tidak lama lagi pilihan raya umum ke 13 akan diadakan, apakah persiapan UMNO Kelantan bagi tujuan publisiti dan perang saraf ini?

Apakah UMNO Kelantan memperuntukan lebih banyak daripada PAS kerana UMNO Kelantan mendapat sokongan UMNO Pusat. Siapa bertanggungjawab terhadapnya?

Kerana itu saya minta Datuk Seri Mustapa Mohamed jangan cepat melatah dan tolonglah brek sikit dalam mengulas hal ehwal orang lain.

Biarlah penulis blog Kickdefella nak tulis apa pun. Syed Azidi mendakwa beliau membelanjakan wang itu bagi membiayai pelbagai aktiviti termasuk membeli aset, peralatan, pembayaran upah operatif dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu Operasi Gerak Saraf bgi mewujudkan persepsi buruk ke atas Abdullah dan memudahkan PAS kekal memerintah Kelantan.

Penulis blog itu turut mencabar pihak-pihak terbabit supaya menjalankan siasatan berhubung pendedahan itu dan dari mana sumber peruntukan yang disalurkan kepadanya diperoleh.

Malah semalam penulis blog berkenaan menyahut cabaran Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari untuk mendedahkan individu yang memberikan wang lebih RM 4juta itu.

Bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) turut menempelak Ahmad Fadhli yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan kerana membuat kenyataan mendahului kepimpinan parti tersebut.

Tok Pa atau pemimpin UMNO Kelantan lain jangan terjerat dengan isu dalaman PAS ini kerana jelas Kickdefella mengatakan "Isu pokok di sini ialah golongan ini mempertikaikan sumbangan saya selepas tiga tahun berkhidmat dengan kerajaan Kelantan dan saya akan dedahkan siapa yang memberi dan bagaimana wang ini digunakan apabila tiba masanya nanti."

Kenyataan yang jelas dan bersuluh itu tidak wajar disahut oleh UMNO kerana silap haribulan ia terpalit ke muka sendiri.

Bagi yang yang penting ialah bukan kenyataan ‘menangguk di air keruh’ seperti kenyataan Mustapa bahawa pihaknya juga kesal dengan sikap kerajaan negeri yang sanggup menggunakan RM4 juta semata-mata untuk menaburkan fitnah tanpa bukti kepada BN sedangkan wang sebanyak itu dapat disalurkan kepada rakyat yang lebih memerlukan.

Walau apa juga pendapat Mustapa, sepatutnya, kita tanya berapa duit diperuntukkan untuk tujuan perang saraf daripada UMNO Kelantan antara misalnya 2005 – Mac 2008 dan ketika ini?
Kalau saya katakan kosong atau zero, nanti kata melampau. Lihatlah bagaimana UMNO Kelantan menyediakan peralatan untuk tujuan ‘perang saraf’ berkenaan dan apa kesannya?

Rasanya malu untuk mengatakan di sini. Menurut maklumat, UMNO Kelantan tidak meletakkan sebarang bajet untuk tujuan publisiti dan perang saraf pada pilihan raya umum lalu.

Sehingga beberapa hari dekat pilihan raya umum pun, peruntukan itu tetap zero.

Peruntukan diberikan kepada Penyelaras dan calon untuk mereka ‘pandai-pandailah buat kerja’, bukannya satu koordinasi UMNO Kelantan menyusun dan menggerakan usaha itu.

Yang banyak dibelanjakan ialah untuk tujuan ‘gegak gumpita’ atau ‘perang banner’ dan sebagainya yang kurang mendatangkan kesan besar.

Kebanyakan peruntukan lalu diberikan keutamaan kepada menyediakan poster, backdrop, banner besar dan bunting yang dipasang di tiang-tiang elektrik dan lampu.

Ia lebih kepada bersaing dengan PAS. Kemudian kita tanya pula siapa dapat kontrak untuk tujuan itu?

Ada antara pemimpin UMNO Kelantan termasuk Penyeleras DUN yang jelas hidup atas kerja-kerja seperti ini dan tidak kisah kalau kalah bertanding pilihan raya pun.

Apakah pemimpin seperti ini boleh membawa kesan besar kepada UMNO Kelantan?

Tidak payahlah ikut rentak Kickdefella agar mendesak kerajaan negeri mendedahkan sumber peruntukan RM4 juta selama tiga tahun yang didedahkan blog berkenaan.

Tok Pa boleh menyifatkan tindakan itu sebagai keji, dan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan beliau boleh mengatakan Umno Kelantan kesal.

Tetapi apa yang dibuat oleh UMNO Kelantan untuk menentang usaha itu?

PAS bijak untuk memburuk-burukkan BN melalui pelbagai kaedah termasuk laman blog semata-mata untuk kekal berkuasa di Kelantan.

Isunya, berapa banyak UMNO Kelantan berbelanja untuk mewujudkan blog-blog menentang PAS?
Secara ikhlas, untuk mewujudkan blog ‘Guanodemo’ pun, difahamkan penggendalinya bagai ‘minta sedekah’ dengan UMNO Kelantan.

Ada sahaja halangan dan ada beberapa pemimpin UMNO Kelantan yang mengatakan blog sebagai tidak berkesan. “Siapa nak baca?’ tanya mereka.

Malah lebih teruk, beberapa pemimpin berkenaan lebih berminat dan kadang kala memaksa Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sebelum Tok Pa supaya bersetuju dengan cadangan mereka menaikkan beberapa banner besar untuk tujuan ‘poket sendiri’.

Tok Pa yang juga Menteri Perdagangan Antabangsa dan Industri tidak usah mempersoalkan moral kepimpinan PAS dalam usaha menjatuhkan BN itu kerana itu memang strategi politik.

Yang penting, apa moral pemimpin UMNO Kelantan yang merasakan ‘lebih baik kalah’ daripada menang kerana kalau kalah pun ‘duit mencurah-curah juga’ ke Kelantan untuk UMNO Kelantan.
Dengan kata lain – kalah demi kalah dan kalah seterusnya – UMNO Kelantan tetap mendapat perhatian UMNO Pusat. Wang tetap mencurah turun.

Persoalan, apakah semua duit yang ‘mencurah turun’ itu diaudit kerana ada cakap-cakap mengatakan lepas pilihan raya umum Mac 2008 ada kalangan pemimpin Kelantan yang boleh beli Mercedes, langsai hutang dan sebagainya.

Tidak payah cerita siapa, pemimpin UMNO Kelantan yang makan cili akan rasa pedas dan di kalangan pemimpin UMNO Kelantan sendiri mereka tahu antara satu sama lain siapa yang mendapat untung daripada peruntukan parti.

Tok Pa juga meminta kerajaan negeri supaya mendedahkan dari mana sumber kewangan RM4 juta itu kerana rakyat Kelantan berhak untuk mengetahuinya.

"Ini satu perbuatan yang keji. PAS perlu dedahkan dari mana sumber kewangan mereka sama ada mereka daripada hasil balak, atau hasil lain mahupun daripada sumbangan individu tertentu. Rakyat berhak tahu," katanya.

Tanya diri kita kembali – apakah ahli UMNO Kelantan yang juga rakyat Kelantan tidak wajar diberitahu bagaimana duit parti dibelanjakan?

Duit parti tidak sama dengan peruntukan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang antara 2004-2009 ditadbirkan oleh Datuk Shukri Salleh yang kini menjadi Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Juga jangan cepat meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap dakwaan laporan blog Kickdefella itu.

Silap haribulan kalau UMNO Kelantan disiasat, mungkin ada pemimpin yang tidak boleh tidur malam!

Wednesday, February 17, 2010

Kenyataan Nik Aziz kompromi politik

UMNO Kelantan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini adalah kompromi demi politik.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini kerana tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama.

"UMNO Kelantan dukacita dengan kenyataan Nik Aziz kerana Maulidur Rasul telah menjadi amalan di negara ini.

"Beliau sanggup mengatakan tiada fadilat dalam sambutan itu semata-mata atas kehendak politik DAP dan membelakangkan amalan yang dibuat di negara kita, sambutan itu bukan sahaja diamalkan di negara kita malah ianya juga diamalkan dinegara-negara Islam lain," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pemimpin UMNO Bahagian Kubang Kerian, di Kota Bharu semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang antara lain dilaporkan sebagai berkata bulan 'Maulud' tidak mempunyai fadilat atau sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan.

Kenyataan Mursyidul Am PAS itu menimbulkan kontroversi memandangkan kerajaan Pulau Pinang yang diteraju DAP iaitu sekutu PAS dalam pakatan pembangkang sebelum ini dikecam kerana didakwa membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasuldi negeri tersebut. DAP bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu juga
memperkecil-kecilkan sambutan Maulidur Rasul yang telah sekian lama diamalkan di negara ini.

"Saya yakin umat Islam tidak setuju dengan pandangan (Nik Aziz) ini," katanya.

Friday, September 11, 2009

KELANTAN SERAMBI MEKAH?: Indah Khabar Dari Rupa

Gambar: Mekah dan Kelantan jauh bezanya. Kelantan mahu menjadi serambinya pun belum tentu.

Di Kelantan ketika Ramadhan, Pastinya diingatan semua orang...

Suasananya syahdu dan dipenuhi dengan aktiviti ibadah. Siangnya, masjid akan dipenuhi dengan warga serambi mekah, beriktikaf di masjid serta bertadarus AlQuran.

Hakikatnya...

Warga serambi Mekah tidak begitu. Masjid lengang selepas solat jemaah Zohor dan Asar. Alasannya mereka mahu membuat persiapan berbuka. Tiada siapa yang bertadarus. Tiada siapa yang beriktikaf. Yang ada, jemaah tua duduk bersembang kosong di serambi masjid, silap-silap mengumpul dosa. Yang ada musafir tidur berdengkur-dengkur bergelimpangan berehat. Tiada bacaan AlQuran..Tiada zikir.

Di Kelantan ketika Ramadhan, Pastinya diingatan semua orang...

Disetiap masjid akan berlumba-lumba warga serambi mekah bersedekah menyediakan juadah berbuka puasa. Pasti tiap-tiap hari Ramadhan akan penuh tempahan orang dan mereka yang terlambat akan berputih mata tidak berpeluang bersedekah. Masjid akan meriah dengan semangat gotong-royong memasak juadah berbuka.

Hakikatnya...

Suasana itu tidak pernah berlaku di Kelantan. Semua warga serambi mekah makan di rumah bersama anak-beranak. Tidak dipedulipun jiran sebelah dan hadapannya ada yang kelaparan. Mereka mementingkan diri. Masjid di waktu Maghrib sunyi sepi. Meriahnya ketika di bazar Ramadhan membeli berbungkus-bungkus makanan bagi mengisi tembolok sendiri.

Di Kelantan ketika Ramadhan, Pastinya diingatan semua orang...

Pastinya Solat Terawikhnya dipenuhi warga serambi Mekah yang berpusu-pusu mahu melakukan ibadah. Masjidnya pasti mengamalkan solat Terawikh sebanyak 20 rakaat dan selepas Terawikh maka berbondong-bondong mereka membentuk kumpulan bertadarus. Malamnya pasti dianjurkan Qiamulail dan pasti warga Serambi Mekah akan berdoyong-doyong turun mengikutinya.

Hakikatnya...

Jauh panggang dari api. Hampir keseluruhan masjid di Kelantan tidak mengamalkan Solat Terawikh 20 rakaat. Selepas solat Isyak tiada pun usaha untuk melaksanakan sedikit tahalil mendoakan roh. Mereka berkejar-kejar mahu menyelesaikan segera solat Terawikh dan dapat pulang segera ke rumah. Walaupun begitu lagi ramai yang turun ke pekan membeli belah dan lupa kepada tuntutan beribadah di bulan Ramadhan.

Anak-anak mudanya sibuk merempit dan jenayah kerap berlaku di Kelantan. Pasukan Polis terpaksa membina banyak pondok pengawasan bagi mengawasi pergerakan warga serambi Mekah.

Bulan bersedekah dijadikan bulan meminta sedekah oleh fakir dan pengemis bukannya dijadikan bulan memberi sedekah. Terlalu sedikit yang memberi, terlalu ramai yang meminta.

Kesimpulannya, tiada yang istimewa mahu mengelarkan Kelantan sebagai serambi Mekah kerana budaya di sini terlalu sekular dan lebih teruk berbanding di negeri-negeri lain.

Mungkin mereka jadi begini selepas Nik Aziz sudah menjamin mereka memasuki Syurga tanpa perlu sibuk beribadah.

Ramadhan tidak perlu dihidupkan. Undi PAS sudah cukup untuk mencium bau Syurga.

Mungkin itu jawapannya.

Wallahhualam.

Idea Asal,

Friday, October 17, 2008

RAJA-RAJA MELAYU TEGUR ‘POLITIK SEMPIT’

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu semalam (16 Oktober 2008) mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah dalam kenyataannya berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.



“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini. “Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain.

Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.


Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga.

Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.
“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.
“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.” Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan"

Thursday, October 9, 2008

ANNUAR MULAKAN PERANG SEMULA!

Nampaknya perang politik antara UMNO dan Pas Kerajaan sudah bermula apabila isu tender menjadi pembuka langkah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Annuar Musa mengecam Pas Kelantan yang dififatkannya sebagai pengamal pemberian tender projek, tender balak, kontrak atau jawatan kepada anak-beranak dan kroni politik.

Annuar berkata, kontroversi pelantikan menantu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Perbadanan Menteri Besar Kelantan merupakan satu isu yang masih belum selesai sehingga kini.

Katanya: “Sebagai bukti isu kontroversi yang melibatkan pelantikan menantu beliau, Ir Abdul Ariffahmi Abul Rahman masih lagi belum terjawab. Anak beliau juga ditempatkan di Perbadanan Kemajuan Iktisad negeri Kelantan (PKINK) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu.

“Besan di DUN dan banyak lagi. Tanah-tanah kerajaan dan rezab haiwan telah diberikan kepada orang parti tanpa tender. Tanah dan kawasan balak diberikan kepada proksi sehingga tercetus perbalahan dan dikatakan berlaku jenayah termasuk kes pembunuhan yang kononnya berpunca daripada kroni Pas.”

Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu pemberian tender bagi projek-projek Kerajaan Pusat hendaklah dibuat berdasarkan kelayakan dan keupayaan kontraktor, bukan kerana fahaman politik.

Beliau berkata, kerajaan Pas pimpinan Menteri Besar Kelantan itu juga telah menggunakan akta pengambilan tanah untuk mengambil tanah rakyat bukan untuk kepentingan awam tetapi untuk kepentingan perniagaan orang Pas.

“Oleh itu Nik Aziz elok melihat sekelilingnya terlebih dahulu sebelum mengkritik orang lain,” ujar beliau lagi.

Nik Aziz sebelum ini mendakwa banyak projek-projek besar Persekutuan di negeri-negeri diberi kepada kroni dan mereka yang kurang kemampuan.

“Ini adalah salah satu punca mengapa projek-projek tersebut gagal atau tidak sempurna, sebab semua diberi kepada mereka yang sama parti,” katanya.,

Menurut Nik Aziz, kegagalan pelbagai projek Kerajaan Pusat di Kelantan dan negeri lain adalah berpunca daripada pemberian tender projek secara tidak telus.

Nik Aziz mendakwa pentadbiran negeri Kelantan di bawah pimpinan Pas, kita bersifat menyeluruh dengan pelbagai jawatan dalam pentadbiran diberikan sama rata secara adil tanpa mengira warna kulit dan fahaman politik.

Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani menyokong Nik Aziz dengan mengatakan kerajaan sebenarnya tidak mengamalkan sistem tender terbuka, menyebabkan kontraktor kurang berkelayakan mendapat tender yang ditawarkan dengan mengambil kira sokongan mereka kepada parti pemerintah.


“Pembahagian kontrak kerajaan sepatutnya diputuskan secara telus oleh Jawatankuasa Tender dan setiap kontraktor yang menyertai tender perlu dinilai dari segi kelayakan dan kemampuan melaksanakan projek, bukannya kepentingan politik,” katanya.
Berikutan itu, Annuar mengatakan Nik Aziz tidak mempunyai hak atau kewibawaan untuk menegur kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam hal pembahagian tender.

Katanya, Nik Aziz tidak mempunyai hak untuk berkata demikian kerana kerajaan Pas pimpinan beliau mengamalkan konsep tersebut.

“Nik Aziz tidak ada wibawa untuk menegur kerajaan BN dalam hal tender,” katanya seperti dilaporan Sinar Harian.