Tuesday, October 22, 2013

PRK Sungai Limau – Dr Ahmad Shohaimi Tidak Mahu Penduduk Terus Ketinggalan...



"Jika PAS masih terus menguasai DUN ini, banyak program pembangunan tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri dan Parlimen Jerai dikuasai oleh BN...Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Anggota Parlimen Jerai yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri) banyak perancangan tetapi usaha beliau untuk DUN Sungai Limau susah untuk dilaksanakan jika kita tak menang..."
- Calon BN, DR Ahmad Shohaimi Lazim

Daripada teganuku

Sebanyak 27,222 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau sudah tahu calon yang akan bertanding. PRK ini menarik kerana ia pertembungan antara pensyarah dan guru.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Razak kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi.

PAS malam semalam Ketua Pemuda PAS Jerai, Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 10 malam ini pada  majlis pengumuman calon di Yan.
Azam...calon PAS

Azam, 37, yang juga guru dan pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah berdepan calon Barisan Nasional iaitu Dr. Ahmad Sohaimi Lazim.

Di Ahmad Shohaimi, 52, berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak adalah bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan PRK BN di Sungai Lentang, Yan, Kedah pada petang semalam.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia, Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya dan Doktor Falsafah Sejarah Politik, Universiti Sains Malaysia.

Bagi jawatan politik, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Titi Batu (1982-1990), Ketua Penerangan Pemuda Umno Yan/Jerai (1992-1995), Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerai (1995-1997) dan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai (1992-2016). Beliau yang berkahwin dengan Siti Bunga Ismail mempunyai enam orang anak.

Pemilihan Dr Ahmad Sohaimi, adalah berdasarkan kelebihan beliau yang mempunyai kelulusan tinggi selain pernah terlibat dalam parti termasuk kini sebagai Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai dan aktiviti kemasyarakatan. Pemilihan dibuat berdasarkan oleh penilaian oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau sendiri dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.


"Mohon kerjasama pengundi untuk memberi peluang kepadanya. Jika terpilih segala perkara yang perlukan perhatian akan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman itu.

Dr Ahmad Sohaimi bertekad untuk membangunkan modal insan dan pendidikan sebagai antara keutamaan yang perlu diberi perhatian untuk penduduk dalam DUN berkenaan.

Kedua- dua aspek itu akan diberikan perhatian utama sekiranya beliau diberi peluang mewakili kawasan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 4 November ini.

"Saya ada pengalaman dalam bidang akademik kerana itu saya mahu tumpu kepada pendidikan. Saya lihat anak-anak sekolah rendah agak ketinggalan kerana tiada pusat pembelajaran yang terancang…jika PAS masih terus menguasai DUN berkenaan, banyak program pembangunan tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri dan Parlimen Jerai dikuasai oleh BN.

"Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Anggota Parlimen Jerai yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri) banyak perancangan tetapi usaha beliau untuk DUN Sungai Limau susah untuk dilaksanakan jika kita tak menang," katanya.

Tanpa mahu menafikan kepentingan pembangunan fizikal, beliau juga melihat pesisir pantai di Sungai Limau berpotensi dibangunkan untuk agro pelancongan.

Dr Ahmad Sohaimi berkata beliau mahu membantu Jamil Khir mengendalikan kawasan itu dan menyifatkan idea anggota Parlimen Jerai itu untuk menubuhkan institusi latihan imam sebagai satu usaha yang baik.

Azam pula ketika memberikan ucapan sulung malam ini berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.

Azamnya untuk meneruskan agenda bekas Menteri Besar Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebelum ini. Beliau juga berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut sambil menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 November ini sebagai hari pengundian PRK Dun Sungai Limau manakala 23 Okt sebagai hari penamaan calon di mana jumlah pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kurang 142 orang sejak pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) pada Mei lepas.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata 142 nama itu dibersihkan daripada Daftar Pemilih untuk pilihan raya kecil (PRK)DUN berkenaan pada 4 November ini selepas mereka disahkan telah meninggal dunia.

Sehubungan itu, jumlah pengundi bagi PRK berkenaan ialah orang berbanding 27,364 pada PRU-13, katanya dalam sidang media, di sini, Isnin. Beliau berkata 93 peratus atau 25,323 orang ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain. Ada dua orang yang undi pos.

Abdul Ghani berkata sebanyak 58 saluran dan 17 pusat mengundi akan dibuka untuk PRK itu. SPR akan menubuhkan tiga pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti berkempen.

Thursday, October 10, 2013

Ketua Pembangkang Selangor Dapat Elaun RM8,620

Datuk Shamsuddin Lias....elaun RM8,620.
Pertama kali dalam sejarah, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bakal menikmati elaun dan keistimewaan tambahan berjumlah RM8,620 sebulan.

Menerusi keistimewaan tersebut, Ketua Pembangkang Selangor bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja serta kereta rasmi kerajaan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan untuk memberikan keistimewaan tambahan itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat semalam (9Oktober 2013) mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan peranan semak dan imbang kepada kerajaan pemerintah sedia ada.

"Pemberian elaun dan keistimewaan ini sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi," katanya hari ini.

Menurut Abdul Khalid kelulusan tersebut akan dikuatkuasakan selepas usul mengenainya dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke-13 yang dijangka mula bersidang pada 19 November depan.

Selepas PRU-13, Barisan Nasional (BN) yang menjadi parti pembangkang di Selangor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baharu, menggantikan Datuk Mohd Satim Diman. MStar

Thursday, September 19, 2013

Perkasa Desak Khalid Ibrahim Jelas Mesyuarat Exco, Pemukiman Di Bangkok


Dua NGO di Selangor mendesak Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim memberi penjelasan berhubung tindakan kerajaan negeri mengadakan mesyuarat exco dan permukiman di Bangkok, Thailand bermula semalam.

Yang Dipertua PERKASA Selangor Abu Bakar Yahya berkata Khalid perlu memberi penjelasan berhubung maksud tersirat program 'retreat' yang bermula semalam dan hari ini, lapor Berita Harian hari ini.

"Penjelasan itu penting bagi menafikan dakwaan mereka pergi ke sana juga bertujuan menziarahi mendiang Chin Peng, yang mati Isnin lalu.

"PERKASA Selangor berharap pemergian mereka ini tiada helah lain. Apapun biar rakyat menilai sama ada benar-benar untuk rakyat negeri ini atau sebaliknya," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Dalam laporan yang sama, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor Datuk Sohaimi Shahadan mempersoal keperluan tindakan kerajaan negeri itu dan menganggap tindakan tersebut langsung tiada keperluan.

"Abdul Khalid perlu perjelas kerana sebelum ini beliau mendabik dada kononnya menguruskan belanjawan berhemat.

Lawatan seperti itu pasti membabitkan implikasi kewangan kerana pegawai kerajaan negeri juga turut dibawa.

"Dimana punca kewangan untuk lawatan itu kerana jika tidak, ia pasti dianggap membazirkan wang rakyat," katanya. Sementara itu, akhbar itu juga memetik sumber di Pejabat Menteri Besar Selangor sebagai berkata permukiman itu telah diatur lebih dua minggu lalu dan menafikan lawatan berkenaan mempunyai kaitan dengan kematian Chin Peng.

"Ia sudah dirancang pejabat Dewan Undangan Negeri. Selain menteri besar dan exco, setiausaha kerajaan negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Penasihat Undang-undang Negeri Datin Paduka Zauyah T Loth Khan, dan Pegawai Kewangan Datuk Noordin Sulaiman turut menyertai program itu di sana.

"Mesyuarat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) serta mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) juga diadakan di sana hari ini (semalam) dan esok (hari ini). Abdul Khalid dijangka pulang ke tanah air esok," kata sumber dalam laporan itu.

Monday, September 16, 2013

Khalid Tidak Perakui Saifuddin Sebagai Ketua Staf Pejabatnya...


Rupa-rupanya masalah sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu belum berakhir. Bukan sahaja tidak berakhir tetapi semakin serius.

Pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang melewati penggal kedua dilaporkan kian berantakan.

Sebuah portal mesra BN melaporkan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang dilantik sebagai Ketua Staf Pejabat Menteri Besar Selangor baru-baru ini bertindak memperli atau cuba mengaburi mata rakyat kerana tidak memasuki pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Saifuddin memberitahu media beliau sudah memulakan tugas di pejabatnya, yang menurut beliau serba lengkap dari segi kemudahan dan kakitangan.

"Saya dah masuk, pejabat saya cantik, berhawa dingin dan mempunyai kakitangan yang berdedikasi, saya puas hati dengan keberadaan pejabat saya yang baru.

"Antara tugasan lain saya sebagai ketua staf pejabat kepada Tan Sri Khalid (Ibrahim), adalah berkenaan pembangunan desa, dari segi strukturnya saya akan berada dalam sekretariat dan unit perancangan ekonomi negeri,” katanya.

Bagaimanapun, sumber Bahagian Pengurusan dan Penyelenggaraan bangunan SUK mempertikaikan dakwaan bahawa Saifuddin diberikan pejabat "cantik dan kakitangan berdedikasi", menurut portal berkenaan.

Sebaliknya menurut sumber itu, Saifuddin hanya diberikan sebuah bilik tanpa kemudahan asas mahukan pasukan kakitangannya sendiri di tingkat 5, berhampiran Seksyen Sektoral Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor.

“Bilik berkenaan hanya dilengkapkan dengan sebuah meja dan kerusi. Sehingga hari ini tidak ada sebarang permintaan daripada pejabat Menteri Besar atau Datuk Saifuddin sendiri untuk mendapatkan sambungan telefon, komputer serta peralatan pejabat yang lain," kata sumber itu.

“Kami difahamkan, pejabat itu akan digunakan secara sementara, tetapi belum ada sebarang arahan untuk menyediakan bilik tetap seperti di tingkat 21,” kata sumber itu lagi.

Tingkat 20 dan 21 Bangunan SUK menempatkan pegawai-pegawai kanan Khalid termasuk Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin dan Setiausaha Akhbarnya Arfa Aziz untuk menyenangkan mereka berurusan terus dengan Khalid.

Saifuddin nampaknya tidak mempunyai kemudahan seperti itu.

Malah menurut portal itu lagi, cubaan menghubungi Saifuddin di SUK mengesahkan kenyataan itu apabila telefonis SUK memaklumkan pemimpin kanan PKR itu tidak mempunyai talian langsung.

Khalid sebelum ini berkata, Saifuddin tidak perlu masuk ke pejabat kerana urusan kerja boleh dibereskan dengan komputer riba, justeru tidak perlu datang ke pejabat.

Kemelut mengenai kedudukan Saifuddin di pejabat Menteri Besar Selangor mendedahkan politik dalaman PKR yang masih panas, membabitkan Faekah, Khalid dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Saifuddin "dihantar" bekerja di pejabat Khalid atas arahan Anwar, namun keputusan itu tidak disenangi oleh Faekah dan Khalid.

Justeru, Saifuddin dipinggirkan oleh kedua-dua mereka sehingga dinafikan kemudahan asas pejabat yang setera dengan kedudukannya di Pejabat Menteri Besar.

SH Online

Saturday, May 4, 2013

Menanti Kerajaan Baharu Barisan Nasional Di Selangor


``5 Mei saya hendak tuan-tuan memberikan sokongan kepada BN, bukan kerana saya minta tetapi kerana kita mempunyai agenda yang jauh lebih baik daripada parti pembangkang. Ini tidak termasuk janji yang tidak ditunaikan oleh mereka sehingga Menteri Besar (Abdul Khalid) melarikan diri dan bertanding di tempat lain.''
 - Datuk Seri Mohd Najib Razak

Dalam tempoh kurang daripada 24 jam menjelang 5 Mei, hari yang sudah sekian lama ditunggu oleh rakyat Selangor untuk membuat perhitungan.

Selama tempoh lima tahun berada di bawah pemerintahan pakatan pembangkang, pelbagai kemelut terjadi sama ada membabitkan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan juga isu panas melibatkan rakyat negeri ini.

Jadi esok, merupakan peluang terbaik rakyat negeri ini untuk menamatkan segala kemelut yang meletihkan itu.

Berdasarkan kempen sepanjang 15 hari sejak 20 April lalu yang disaduri beberapa insiden kecil seperti cubaan membakar bilik gerakan Barisan Nasional (BN), rakyat negeri ini menunjukkan satu keinginan agar BN kembali memerintah.


Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN diyakini dapat menawankan paling kurang 30 kerusi bagi membolehkan parti itu kembali menubuhkan kerajaan negeri yang baharu pada 6 Mei ini. BN hanya perlu menambah 10 lagi kerusi DUN yang pernah dimenangi dalam pilihan raya umum lalu.

Setakat ini tidak ada masalah besar yang dihadapi oleh jentera parti untuk mengekalkan kubu kuat BN di kawasan persisiran pantai sebelah utara iaitu dari Sabak Bernam hingga ke Tanjong Karang.

Dari situ kita yakin BN dapat merampas kembali kerusi DUN Sekinchan yang dahulunya BN hanya kalah tipis sebagai 190 undi.
 
Tindakan Abdul Khalid seperti yang digambarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau, ``lari terjun tingkap di tengah malam' meninggal DUN Ijok untuk bertanding di DUN Pelabuhan Klang sudah menunjukkan isyarat awal bahawa kawasan Parlimen Kuala Selangor melibatkan DUN Ijok dan Bukit Melawati mempunyai peluang cerah untuk dimenangi semula oleh BN manakala DUN Jeram terus kekal menjadi kubu BN seperti 2008.

 Semalam, Perdana Menteri turun ke Bandar Bukit Raja yang terletak di bawah Parlimen Kapar.


Di situ mempunyai DUN Meru yang ditandingi oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Abdul Rani Osman. Di situ, Najib melahirkan rasa gembira dengan sambutan kira-kira 10,000 orang ke majlis tersebut dan menganggap perkembangan itu sebagai petanda BN mampu kembali mentadbir negeri ini.

``Kita mesti memberikan keyakinan kepada pihak yang mempunyai visi berkredibiliti untuk negara malah mampu menjadikan visi tersebut dengan pelaksanaan projek dan program sangat bermakna kepada rakyat.

``5 Mei saya hendak tuan-tuan memberikan sokongan kepada BN, bukan kerana saya minta tetapi kerana kita mempunyai agenda yang jauh lebih baik daripada parti pembangkang. ``Ini tidak termasuk janji yang tidak ditunaikan oleh mereka sehingga Menteri Besar (Abdul Khalid) melarikan diri dan bertanding di tempat lain,'' katanya.

Di Kapar juga Najib telah mengumumkan tiga aku janji tambahan iaitu menaik taraf pasar besar Jalan Meru dan pasar pekan Kapar yang selama ini gagal dilaksanakan oleh wakil rakyat parti pembangkang termasuk Abdul Rani meskipun masalah di pasar berkenaan banyak kali dibangkitkan oleh rakyat.

Keyakinan sama turut ditunjukkan oleh Najib ketika melawat kawasan DUN Dengkil, Sepang semalam. Kawasan tersebut diyakini akan terus dikuasai oleh BN meskipun timbul masalah pertembungan dengan calon Bebas yang dahulunya adalah bekas wakil rakyat dan anggota BN.


Di Parlimen Kota Raja yang walaupun kelihatan sukar untuk dimenangi memandangkan majoriti pembangkang melebih 20,000 pada pilihan raya lalu mungkin dapat dipecahkan ekoran kembalinya sokongan masyarakat India kepada BN.

Di samping itu faktor calon PKR di DUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei sebelum ini mencetuskan isu `derhaka' manakala prestasi calon PKR DUN Sri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar yang kurang memberangsangkan semasa menjadi Exco selain berdepan dengan tiga calon Bebas dengan dua daripadanya memang bertanding atas tujuan untuk menyasarkan serangan ke atas beliau.

Parlimen Kuala Langat menyaksikan calon muka baharu, Kapten (B) Sharuddin Omar dilihat mampu menumpaskan calon PKR, Abdullah Sani yang hanya merupakan proksi Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan bukannya calon yang dikehendaki di peringkat akar umbi sendiri.

Bagi kawasan DUN pula, Hasiman Sidom diyakini dapat terus mengekalkan kerusi DUN Morib selain mengharapkan DUN Sijangkang akan jatuh kepada BN kali ini.

Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir turun ke Shah Alam malam baru-baru ini yang mendapat sambutan puluhan ribu penduduk turut menggambarkan gelombang dan lonjakan sokongan kepada BN. Sebelum itu beliau juga menggempurkan kawasan Parlimen Kapar.

Parlimen Shah Alam cukup signifikan untuk dimenangi oleh BN yang menampilkan Datuk Zulkifli Noordin untuk berdepan dengan warlord Pas di bandar raya ini, Abdul Khalid Samad. Kehadiranya tepat pada waktu bagi berdepan dengan isu paling mendasar umat Islam iaitu kalimah Allah.

Kemenangan di Shah Alam boleh menjadi kayu ukur kepada kemampuan BN untuk memenangi kawasan-kawasan elit yang lain di Selangor.

Parti yang ingin menguasai Selangor perlu menang di kerusi ini kerana Shah Alam adalah ibu negeri. Kedudukan BN yang kukuh di Parlimen Hulu Selangor melalui penguasaan di DUN Hulu Bernam, Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali memberikan jaminan untuk parti itu mengekalkan jumlah kerusi yang sedia dimenangi sebelum ini selain terus berusaha menguasai Parlimen Selayang dengan mengekalkan kerusi DUN Taman Templer dan Kuang.

Sementara itu, rakyat Selangor sewajarnya tidak membiarkan kerusi DUN Bukit Antarabangsa terus kekal di bawah Azmin yang turut bertanding di Parlimen Gombak.

Malah difahamkan kem Abdul Khalid juga dikatakan tidak mahu Azmin menang di kerusi DUN kerana sekiranya beliau menang sudah pasti kerusi Menteri Besar akan terlepas daripada tangan Abdul Khalid. Ini kerana Azmin dikatakan sudah lama mengidam kerusi Menteri Besar.

Soalnya adakah rakyat Selangor sanggup memilih sebagai Menteri Besar yang dipersoalkan dari segi moralnya?

Keputusan menempatkan Azmin di kerusi Parlimen Gombak juga dipersoalkan. Istimewa sangatkah Azmin sehingga diberikan dua kerusi sebagaimana Abdul Khalid turut diberikan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak tetapi dalam masa yang sama seorang presiden parti tidak diberikan laluan untuk bertanding di mana-mana kerusi.

Permainan dalaman PKR sendiri juga dikatakan menghampakan niat Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding di Selangor.

Siapa yang menghalang hasrat Wan Azizah itu semua orang tahu.

Krisis dalaman itu juga menyebabkan berlaku perebutan kerusi DUN Kota Damansara apabila Pas tidak setuju dengan calon berideologi sosialis manakala DUN Semenyih menyaksikan pertembungan antara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang pro pakatan pembangkang dengan PKR.

Dalam pada itu, istilah atau jenama `Ubah' atau Ini Kalilah' serta `Bersihkan Malaysia' yang dipasarkan oleh pakatan pembangkang sebenarnya menimbulkan rasa sangsi dalam kalangan rakyat. Ini kerana rakyat negeri Selangor sudah benar-benar merasai bagaimana selama ini kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya cuba menggunakan kuasa sebagai kerajaan negeri untuk `berperang' dengan Kerajaan Pusat.

Banyak tindakan dilakukan oleh kerajaan negeri seolah-olah cuba menunjukkan kuasa untuk menjerut Kerajaan Pusat dengan tujuan akhirnya mereka boleh menuding jari bahawa pentadbiran Najib sengaja menganiaya kerajaan negeri.

Sedangkan apa yang berlaku ialah kerajaan negeri sengaja menggunakan kuasanya untuk menyekat program dan projek yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat seperti pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah dan keengganan memberikan kelulusan kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Kegagalan usaha mengambil alih syarikat konsesi air merupakan tamparan paling hebat ke atas pentadbiran Abdul Khalid selain beberapa isu sebelum ini yang banyak menjejaskan kedudukan Menteri Besar antara lainnya berkaitan pengurusan kutipan sampah, pengambialihan hutang Talam Corporation, masalah perlombongan haram pasir dan prestasi Yayasan Selangor serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kemuncaknya ialah kesilapan Abdul Khalid terlepas cakap bahawa `manifesto bukan perjanjian' menyebabkan banyak pihak berasa marah dengan kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji manifesto.

Air percuma yang boleh dikatakan menjadi produk kebanggaan pentadbiran Abdul Khalid akhirnya menjadi senjata makan tuan apabila ribuan rakyat miskin dan layak dinafikan hak semata-mata kerana tidak memiliki meter air individu bangkit menunjukkan penentangan.

Akhirnya rakyat membuat kesimpulan, sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran pakatan pembangkang, rakyat menghadapi pelbagai masalah. Jika diberikan peluang sekali lagi pun rakyat pasti akan berhadapan dengan pelbagai kemelut yang berpanjangan.


Pertama; Abdul Khalid belum tentu akan dipilih sekali lagi menjadi Menteri Besar dan Azmin yang menguasai politik PKR Selangor sudah pasti akan berdepan dengan persaingan perebutan kuasa dengan kem lawannya.

Kedua: Pas yang semakin tertekan dengan isu-isu berkaitan Islam seperti kalimah Allah dan pelaksanaaan Islam yang banyak diganggu dalam pakatan pembangkang turut dikatakan mahu memilih Menteri Besar daripada kalangan ahli parti itu.

Ketiga: DAP yang menyasarkan menang di banyak kerusi majoriti masyarakat Cina dilihat akan terus berdepan dengan pertembungan ideologi dengan Pas termasuk dalam soal pentadbiran kerajaan negeri. Memandangkan semua keputusan dalam pakatan adalah berdasarkan konsensus, maka jangan harap sebarang pelaksanaan Islam di Selangor akan mendapat persetujuan konsensus.

Jadi kenapa rakyat Selangor perlu pening kepala dengan segala masalah dalaman parti pembangkang tersebut dengan memberikan undi kepada mereka sekali lagi.

Sewajarnya esok kita tamatkan sahaja persoalan yang memeningkan itu dengan memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN). Di hadapan ada sudah tersedia tujuh teras aku janji yang mengandungi 56 perkara asas untuk dilaksanakan selepas ini demi masa depan rakyat Selangor

. Jadi kita 'TUKAR!' kali ini!

Oleh HELMI MOHD. FOAD - UTUSAN ONLINE (Penulis adalah Ketua Biro Utusan di Selangor)..

Monday, April 22, 2013

'Mat Tyson' - Yakin Hanya PAS Mampu Bimbing Malaysia Ke Arah Islam


Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akhirnya secara rasmi menyertai PAS hari ini.

Muhammad berkata beliau akan berkempen di Lembang Klang dan kawasan bandar di negara ini dengan menerapkan nilai-nilai murni yang diajarkan dalam Islam.





Muhammad, 65, yang juga bekas Naib Presiden Umno berkata beliau mahu menyertai PAS tahun lalu namun terpaksa menangguhkan keputusannya untuk menunggu masa yang lebih sesuai


 "Saya bersetuju untuk menyertai PAS dua hari selepas penamaan calon supaya dapat dapat menghilangkan tuduhan yang saya melakukannya untuk mendapatkan kuasa dan mahu menjadi calon dalam pilihan raya kali ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur  hari ini.

Beliau berkata dia mahu menyertai PAS selepas menyedari pembangunan di Selangor kosong tanpa pembangunan jiwa dan rohani.

Muhammad menambah beliau akan memperjuangkan idea PAS dalam mengetengahkan nilai-nilai Islam dipraktikkan dalam setiap aspek kehidupan, terutamanya di Lembah Klang dan beliau berharap ia dapat menjadi contoh kepada kawasan lain untuk mengikutinya

Bagaimanapun, Muhammad tidak menjawab sebarang pertanyaaan daripada pihak wartawan apabila beliau bergegas untuk memberi ruang kepada mesyuarat pimpinan PAS pusat.

Bekas naib presiden Umno,  berkata beliau percaya PAS merupakan satu-satunya parti yang boleh membimbing Malaysia ke arah Islam.

"Hanya PAS boleh bawa kesedaran," katanya dalam satu sidang media selepas menyerahkan borang keahliannya kepada presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

"Saya mesti menyokong parti yang boleh membawa kepada panduan (Islam)," tambahnya.

Bekas menteri besar Selangor itu mengakui bahawa BN telah membawa pembangunan di Malaysia, namun pembangunan itu, menurutnya, dijalankan "tanpa roh."

"Islam mesti berkembang dari bandar-bandar, seperti Mekah dan Medinah menjadi pusat penyebaran Islam ketika zaman Nabi Muhammad.

"Sepatutnya bandar-bandar menjadi pemancar kepada agama Islam" "Lembah Kelang adalah Metropolis, sepatutnya menjadi panduan kepada (penduduk luar bandar)," katanya lagi.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, timbalan mursyidul am Datuk Haron Din serta dua naib presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Laporan hari ini menyebut, Muhammad yang berkempen untuk calon PKR di Hulu Selangor semalam juga dijangka akan tampil sekali lagi bersama ketua umum parti berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pilihan raya umum 5 Mei.

Menurut laporan Sinar Harian, Muhammad hadir ke majlis itu untuk menyatakan sokongan ke atas calon PKR bagi kerusi parlimen Hulu Selangor Khalid Jaafar dan juga Datuk K Ramachandran, calon parti berkenaan untuk kerusi DUN Batang Kali.

"Beliau turut menjulang tangan saya bersama Datuk Ramachandran sebagai sokongan terhadap pencalonan kami di kawasan ini.

"Mat Taib turut dijangka menghadiri program bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mei ini, insya-Allah," kata Khalid seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.

Laporan itu menyebut, Muhammad hadir bersama hampir 2,000 orang di majlis anjuran Persatuan Bengkulu Malaysia di Sungai Choh, di Batang Kali itu.

Penyertaan Muhammad ke dalam Pakatan dijangka akan memberi peluang kepada Pakatan untuk mengukuhkan lagi serangan ke atas pentadbiran BN – khususnya berhubung skandal tanah yang berlaku semasa pentadbiran Muhammad sebagai menteri besar.

Muhammad dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai anggota PAS hari ini. Penampilan bekas ketua perhubungan Umno Selangor itu mencuri perhatian ramai pihak selepas beliau memencilkan diri dari publisiti media selepas tewas dalam pertandingan untuk merebut jawatan timbalan presiden Umno pada 2009.

Tuesday, April 16, 2013

Muhd Taib Masuk PAS, Penyokong Bantah Pencalonan Tengku Riduan

 

Apa jadi di Selangor?

Negeri yang Datuk Seri Mohd Najib sendiri jaga sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO sedikit kecoh.

Bekas naib presiden Umno Muhammad Muhammad Taib memutuskan menyertai PAS.

Bagaimanapun, beliau hanya akan diperkenalkan secara rasmi oleh parti Islam itu pada Isnin depan, dua hari selepas penamaan calon.

Ia bagi mengelakkan dakwaan beliau mengambil langkah itu demi dicalonkan dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini.

Difahamkan Muhammad menyerahkan borang permohonannya kepada Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.


Anggota jawatankuasa Pusat PAS Kamaruddin Jaffar ketika dihubungi hari ini mengesahkan keanggotaann Muhammad tetapi enggan memberitahu di mana pengumuman itu akan dibuat.

Kamaruddin, bekas setiausaha agung PAS mengesahkan perkara itu ketika ditanya berhubung spekulasi bekas menteri besar itu akan bertukar parti.

Selain itu, ketika Najib serah watikah calon, sekumpulan penyokong BN semalam berhimpun di perkarangan bangunan ibu pejabat Umno dan "mengugut" tidak akan memberi sokongan kepada parti itu sekiranya calon pilihan mereka tidak terpilih bertanding dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Kira-kira 30 penyokong BN dari DUN Kelana Jaya itu membantah pencalonan ahli jawatankuasa bahagian Tengku Riduan Tengku Mansor – adik kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai calon.

Kumpulan berkenaan mengambil kesempatan untuk mengadakan perhimpunan tersebut ketika presiden parti Datuk Seri Najib Razak menyertai majlis menyerahkan watikah calon BN kepada pemimpin BN negeri di tingkat 8 bangunan tersebut.


 Penyerahan watikah tersebut bermakna BN telahpun memuktamadkan senarai calon masing-masing dan kini perlu mempersiap jentera mereka.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun berpandangan sebaliknya dan mahu DUN Seri Setia ditandingi pemimpin pilihan mereka – Datuk Halim Abdul Samad atau pembantunya Datuk Yahya Bujang.

Menurut mereka, dua individu berkenaan "sering turun padang dan mempunyai jasa" kepada penduduk di situ.

"Selama lima tahun kita kecewa, nak pakai baju Umno dan BN pun malu. Tapi Datuk Halim dan Datuk Yahya buat rasa kami nak pakai. Kami sama-sama mengumpul kekuatan, tiba-tiba orang lain ambil alih.

"Kami tak kenal dia. Penduduk tak kenal. Dia tak pernah datang, tak pernah turun padang... Tak ada jasa," dakwa wakil kumpulan tersebut Norhaizal Ismail.

Mereka yang berhimpun di luar bangunan ini, juga membawa poster mendesak supaya calon pilihan mereka dilantik bertanding, dan menolak calon bukan pilihan mereka.

"Kami tak mahu keluar mengundi. Kami juga tak mahu masuk PKR," kata mereka pada perhimpunan tersebut.

Salah seorang peserta perhimpunan tersebut turut memberitahu Malaysiakini bahawa Tengku Riduan telah mengadakan pertemuan dengan ketua pusat mengundi di DUN tersebut malam tadi dan mengisytiharkan dirinya sebagai calon di DUN tersebut.

 Mereka mendakwa pertemuan itu, yang diadakan di Kelab Golf Subang itu, telah mendahului keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang akan membuat pengisytiharan calon BN hari ini. "BN dan Umno boleh menang besar (di DUN itu) kalau betul calonnya," kata Abu Hanipah Zahari.

 Mereka juga melaungkan bantahan bahawa mereka "bukan membantah BN tetapi membantah calon itu". "Kami sayang Umno, kami sayang BN," kata salah seorang peserta. DUN Seri Setia mempunyai 16 pusat daerah mengundi

Malaysiakini

Thursday, April 11, 2013

Khalid Tidak Kekal MB Selangor Akibat 'Lawan Azmin'


Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin boleh fikir untuk kemas fail dan dokumen rahsia yang dimilikinya ketika menjadi Menteri Besar. Atau memang dia dah kemas awal-awal!

Jangka hayat politiknya di Selangor kini tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Dia mungkin tidak bertanding di DUN Ijok gara-gara perbuatannya sendiri.

Apakah puncanya? Rasuah? Derhaka kepada Sultan Selangor? Pembangunan tidak seimbang? Krisis Air?

Bukan. Bukan. Bukan. Itu semua belum dibuktikan.

Abdul Khalid tidak akan dikekalkan sebagai menteri besar Selangor kerana melawan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Itu dosa-dosanya. Pperselisihan pendapat yang dikatakan wujud antara beliau dan Azmin yang menjadi punca segala-gala.

Jangan sesiapa menentang Azmin, akan padah politik dan jawatan mereka.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini turut membayangkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin tidak akan dikekalkan sebagai menteri besar Selangor sekiranya pakatan PKR-DAP-PAS terus mentadbir negeri ini selepas pilihan raya umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata PKR mempunyai beberapa calon berpotensi untuk menyandang jawatan itu, selain Abdul Khalid.

"Tak kisahlah siapa yang akan menjadi MB di Selangor, asalkan dia mempunyai dasar yang baik," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Dr Wan Azizah berkata demikian apabila diminta mengulas kedudukan Abdul Khalid berikutan pengumuman Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa Abdul Khalid akan hanya mempertahan kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Ditanya tentang calon yang berpotensi untuk menyandang jawatan tertinggi di Selangor itu, beliau hanya berkata: "Mereka yang bertanding bagi kerusi negeri di Selangor."

Azizah turut mengakui punca Khalid akan ditamatkan riwayatnya sebagai Menteri Besar kerana 'melawan Azmin'. Fullstop!

Sunday, April 7, 2013

Sudahlah Zaid Ibrahim....Dah Tenggelam, Tak Payah Cuba Timbul Kembali...

Kenyataan Zaid dalam Sinar Harian Online.
Kesian, orang yang diberi peluang begitu tinggi oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, menjatuhkan dirinya sendiri.

Dia kononnya mahu bercakap dengan orang Melayu. Tapi dia cuba bohongi dan cuba selewengkan minda orang Melayu.

Kata Datuk Zaid Ibrahim, orang Melayu perlu buat untuk mereka sendiri iaitu untuk KESEJAHTERAAN - yang mereka tidak mempunyai dalam tempoh 50 tahun lepas. Orang Melayu tidak sejahtera? Zaid yang mengaku dia Melayu itu sejahtera atau tidak?

Dari mana dia kumpul kekayaan yang membolehkan dia berada di tempatnya? Memang rezeki datang daripada Allah tetapi siapa permudahkan untuknya? PAS, PKR, DAP? Sudah pasti UMNO dan BN… Apakah kita mahu dengar pendapat orang seperti ini?

Bekas Presiden KITA mengatakan perkata berikut:

1. Pemimpin Barisan Nasional Merasuah Untuk Undi – Katanya: “Wang / gaji bahawa pemimpin-pemimpin BN memberi dalam pertukaran untuk undi tidak tergolong kepada mereka, tetapi kepada orang-orang di negara ini. Ia adalah salah bagi pemimpin untuk merasuah anda untuk undi.”

2. Pemimpin BN Tidak Ikhlas – Katanya: “Mereka tidak pernah ikhlas kepada anda. Ia tidak salah untuk anda mengundi untuk pemimpin / parti pilihan anda dan masih menyimpan wang. Malah, jika anda mengundi untuk pembangkang, maka BN akan mempunyai alasan untuk memberi anda lebih banyak tahun depan.”

3. Pemimpin Pembangkang Lebih Melayu daripada BN - Katanya: “Anda perlu berani dan tidak membiarkan orang lain membuli anda dengan ketakutan dan ugutan. Pihak-pihak pembangkang mempunyai lebih Melayu daripada BN supaya mereka tidak akan memudaratkan anda. Mereka telah bekerja keras dan layak peluang. Untuk semua yang anda tahu, anda boleh mendapatkan lebih sekolah, guru-guru yang lebih baik untuk anak-anak anda (kerana mereka boleh menumpukan lebih banyak masa untuk pengajaran daripada politiking) dan keselamatan yang lebih baik daripada pihak polis dan tentera.”

4. UMNO Terdesak, Menakut-menakutkan Rakyat - Katanya: “Memberitahu anda bahawa Islam tidak lagi menjadi agama rasmi dan Raja-raja Melayu akan hilang jika pembangkang menang. Anda perlu bertanya kepada anak-anak dan cucu-cucu anda jika mana-mana ini boleh menjadi kenyataan. Malah, mereka akan memberitahu anda bahawa ini adalah tidak masuk akal, hanya takut mongering oleh mereka yang terdesak untuk berpaut kepada kuasa apabila segala-galanya telah gagal.”

5. Zaid yang ‘Tidak Berpendirian’ dan sering menukar haluan perjuangan. Mulanya berjuang melalui UMNO, kemudian PKR dan selepas kecewa pendapatnya ditolak pemimpin PKR, tubuh parti KITA yang tidak ke mana-mana, kini puji PAS - Katanya: “Orang Melayu perlu mengubah kesetiaan dan sokongan Pas sebagai pelindung mereka. Pas adalah parti Melayu seperti UMNO. Perbezaan adalah bahawa Pas tidak pernah diberi kepercayaan untuk memerintah negara ini. Jika orang Melayu boleh memberi UMNO 50 tahun memerintah, sudah tentu ia tidak terlalu banyak memberi Pas sekurang-kurangnya lima tahun. “

 6. Zaid Masih Ada Keyakinan Kepada UMNO - Katanya: “Peluang kepada Pas memerintah (dalam pakatan, sudah tentu, dengan PKR dan DAP) adalah detik bersejarah kepada orang Melayu untuk merampas. Jika Pas tidak dapat mentadbir dengan baik maka rakyat sentiasa boleh kembali kepada UMNO.”

7. Pembangkang Kuat Rakyat Lebih Banyak Wang - Katanya: “Wang dan projek-projek yang hanya diberikan kepada anda kerana pembangkang adalah kuat jika pembangkang telah lemah, anda tidak akan mendapat BR1M I dan BR1M 2. Ia tidak masuk akal untuk mengundi pembangkang jika anda mahu lebih daripada BN. Belajar untuk menghargai undian anda untuk meningkatkan kehidupan anda.”

Ada lagi perkara lain yang diperkatakan Zaid mengenai BN dan UMNO umpamanya mengajak rakyat untuk menolak UMNO dan BN dan mencuba pembangkang.

Katanya, mana kita boleh tahu jika Pakatan akan menjadi lebih teruk daripada UMNO jika kita tidak memberi mereka peluang?

Malah menurutnya, rakyat tidak kehilangan apa-apa jika mengundi pembangkang. Zaid bagai memperlekeh dan merendah-rendahkan orang Melayu dan rakyat bangs alain yang miskin dengan mengatakan: “Saya tahu adalah mudah untuk memujuk orang Melayu untuk menyokong pemimpin-pemimpin mereka dan tidak menentang mereka. MEREKA AKAN DIINGATKAN TUNAI DAN SEMUA BANTUAN YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA MEREKA.

Benarkah orang Melayu dan bangsa lain yang miskin mudah dibeli begitu sahaja? Orang Melayu dibeli UMNO dan BN dengan ‘TUNAI dan SEMUA BANTUAN’?

Sudah-sudahlah Zaid...kalau dah hanyut dan tenggelam, tak payahlah cuba untuk timbul kembali.

Mungkin kali ini Zaid mahu menagih simpati daripada PAS, setidak-tidaknya mengajaknya berkempen untuk PRU-13 ini.

Tetapi latar belakang beliau yang semua orang ketahui tidak akan mampu dan membuka jalan untuknya MENUMPANG PAS untuk timbul semula.

Sedarlah Zaid, kamu sudah tenggelam dan berkubur dalam politik untuk selama-lamanya!!!

Thursday, April 4, 2013

Nik Aziz Buat Hal Lagi...Dakwa Sembahyang Orang UMNO Tidak Dapat Pahala!


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat makin menyusahkan penyokong dan parti PAS.

Beliau terus-menerus mencetuskan kontroversi melalui fatwa-fatwa beliau terhadap keislaman orang UMNO termasuk sebelum ini mendakwa UMNO murtad kerana menolak Islam.

Malam tadi, Nik Aziz mendakwa sembahyang orang UMNO tidak memberi sebarang pahala kerana parti itu telah menolak dasar Islam.

Dalam masa sama, Nik Aziz turut mendakwa UMNO telah menolak Allah SWT kerana selama ini mengamalkan dasar kebangsaan dengan menolak dasar Islam dalam pemerintahan.

"UMNO tolak Islam, tolak Islam maknanya tolak Allah dan kalau sembahyang tokleh (tidak boleh) pahala, boleh pahala gapo (apa) kalau tolak Islam.

"Kalau orang Pas tolak Islam pun tokleh pahala, orang Pas kalau riak tokleh pahala dan kalau kedekut pun tidak boleh pahala.

"Kalau nak boleh pahala ikhlas ini bukan senang, hendak boleh pahala ikhlas lagu mano (bagaimana) kalau tolak Islam, Allah yang bawak turun Islam kepada Nabi Muhammad SAW tiba-tiba UMNO tolak ambil kebangsaan, nak boleh gena (macam mana) pahala kat orang tolak Islam," katanya ketika berceramah di Kampung Jambu di Kota Bharu, i malam tadi.

Kira-kira 500 orang yang rata-ratanya terdiri daripada penyokong tegar Pas menghadiri ceramah berkenaan.

Pada 17 November tahun lalu pada sidang akhbar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu Nik Aziz mendakwa UMNO merupakan sebuah parti yang murtad kerana menolak dan memperlekehkan Islam dalam dasar parti itu. Nik Aziz dalam nada tegas kemudian turut melontarkan persoalan sama ada parti itu kini menganut agama Kristian, Buddha atau pun sebuah parti politik yang tidak mempunyai agama.

Pas sebelum itu menerusi adik Nik Abdul Aziz, Nik Razi Nik Mat turut mendoakan supaya Allah SWT menjahanamkan UMNO dan BN dalam majlis solat hajat di Stadium Muhamad Ke-IV sempena Muktamar Tahunan Pas itu.

Dalam pada itu, Nik Aziz semasa ceramahnya itu kemudian menyeru agar rakyat di Kelantan supaya memberi undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

"Hambo (saya) pesan pada suma rakyat baik Pas lebih-lebih lagi UMNO, tolong undi Pas... demo (kamu) hendak UMNO, UMNO lah, tapi beri kertas undi, undi Pas.

"UMNO bagi duit ambil, bagi gula kacau, bagi kain pakai,bagi lembu sembelih tetapi apabila bagi kertas undi, pangkah Pas, kita nak ajar dia (UMNO)," katanya.

 - UTUSAN ONLINE