Thursday, August 18, 2016

‘TAK TAHU’ Jawapan Mudah MB, MSNT Elak DiPertanggungjawabkan?


Musim sekarang ialah musim TIDAK TAHU.

Sama ada dalam isu rasuah di kementerian-kementerian, penyelewengan serta salah guna kuasa di agensi kerajaan, kes kecurian wang berbilion dalam kes 1Malaysia Development Bank, semua jawapannya TIDAK TAHU.

Tidak terkecuali dalam bidang sukan.

Jawapan mudah untuk mengelakkan diri daripada dipertanggunjawabkan  ialah mengatakan TIDAK TAHU.

Amat malang jika cara TIDAK TAHU ini terus digunakan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengelak daripada memberi jawapan menmgambil tanggungjawab dan akan siasat sesuatu perbuatan buruk.

Begitulah juga apa yang terjadi dalam kes keluhan Mohd Azizulhasni Awang mengenai permohonnya untuk mendapatkan basikal daripada kerajaan negeri Terengganu.

Semalam Azizul mendakwa Menteri Besar Terenggan tidak membantu membelikan basikal 'roadbike' untuk beliau dan seorang lagi atlet berbasikal, Fatihah Mustafa sebagai persediaan ke Olimpik Rio menerusi laman Facebook 'Jojo Knoxville' sejurus beliau berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara Keirin, kelmarin.

Ahmad Razif...tiada dalam pengetahuan
Jaguh luma basikal bertaraf dunia itu mendakwa proposal dihantar lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Rio, malah pihaknya tidak mendapat feedback dan tindakan membisu apabila pengurusnya menghubungi Menteri Besar.

“Untuk pengetahuan Datuk MB, Saya dan Fatehah atlet bertaraf Dunia dan Olimpik ini sentiasa terlepas pandang oleh Datuk MB. Diharap Datuk MB dapat mengambil semua ini sebagai suatu yang Positif dan diharap semua ini akan membuka mata Datuk MB dan orang-orang yang sepatutnya memainkan peranan, “tegas Azizulhasni.

Selepas Menteri Besar, Pejabat Menteri Besar dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengatakan TIDAK TAHU mengenai permohonan Azizulhasni, kini hanya satu pihak yang belum ditanya atau buka mulut.

Beliau ialah EXCO Belia dan Sukan Negeri Terengganu.

Sejauh ini EXCO berkenaan masih membisu walaupun namanya turut disebut oleh Menteri Besar dalam isu ini secara jelas semalam.

Ahmad Razif Abdul Rahman semalam menjelaskan: "Tiada dalam pengetahuan saya..terlepas pandang atau apa, wallahuallam. Setakat hari ini saya tidak tahu menahu mengenai hal ini, yang kedua saya tak kenal siapa pengurus Azizulhasni ini...kita kena dapatkan pengesahan dulu apa sebenarnya cerita ini. Kalau betul perkara ini berlaku, saya rasa amat terkilan.”

"Saya pun tidak tahu cerita ini...saya tidak dapat pengesahan lagi mengenai cerita ini. Saya minta Majlis Sukan Negeri di bawah Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Datuk Rozi Mamat Rozi untuk buat siasatan dan melihat semula perkara ini,” katanya.

Seperti Menteri Besar dan pejabatnya yang ‘TIDAK TAHU’, MSNT menafikan menerima permohonan bantuan basikal daripada jaguh berbasikal negara itu sebagai persediaan untuk beliau menghadapi Sukan Olimpik di Rio, Brazil.


Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu berkata sepanjang pengetahuannya, beliau tidak pernah menerima surat permohonan daripada Azizulhasni malah langsung tidak mengetahui mengenai permohonan itu.

"Saya tidak pasti dan setakat ini saya tidak tengok lagi surat permohonan itu. Nantilah saya dapatkan maklumat dahulu mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada atlet Sukma Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar malam semalam.

Ahmad Razif semalam meluahkan rasa terkilan, sambil  mengarahkan MSNT membuat siasatan lanjut berhubung perkara tersebut dan akan menghubungi jaguh berbasikal trek negara itu bagi mendapatkan penjelasan.


Ahmad Razif mengambil pendekatan positif dengan memohon maaf kepada Azizulhasni sekiranya luahan kekecewaannya di laman sosial Facebook itu benar-benar berlaku.

"Jadi saya tidak boleh komen apa-apa sehingga kita betul-betul mendapat pengesahan dan kita akan buat tindakan apa yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama bakal haji Dewan Undangan Negeri  Kuala Nerus, semalam.

Ibni Amin bagaimanapun maklum bahawa kerajaan negeri telah menyampaikan insentif sebanyak RM5,000 kepada Azizul Hasni yang diambil oleh wakilnya (ibu beliau) kerana berjaya mewakili negara dalam acara sukan berbasikal di temasya Olimpik Rio.

Apa yang jelas daripada isu ini ialah, kakitangan bertanggungjawab sama ada di Pejabat Menteri Besar, di pejabat EXCO atau mana-mana jabatan dan agensi kerajaan hendaklah peka dengan cadangan pihak-pihak yang berpotensi, apalagi yang bertaraf dunia, tidak kiralah dalam bidang apa pun.

Jika ia dilihat membawa sumbangan kepada rakyat, negeri dan negara, jangan memperlekehkan cadangan dan jangan cuba memandai-mandai ‘menyorokkan cadangan tersebut’.

Kini, Menteri Besar dan MSNT mendapat tekanan tidak pasal-pasal kerana kesilapan seseorang atau sekumpulan.

Jawapan TIDAK TAHU mungkin boleh meredakan suasana seketika tetapi orang ramai dan Azizulhasni sendiri pastinya mahu tahu keadaan sebenar.

Jika bersua muka dengan Azizulhasni sekalipun, jika jawapan yang diberikan tidak munasabah, ia tidak akan menjernihkan keadaan.

Cumanya, jangan sampai ada pihak yang dijadikan KAMBING HITAM demi ‘menegaskkan bebang yang basah’ selepas isu ini selepas keluhan Azizulhasni mendapat perhatian dan liputan meluas di Terengganu, negara dan di beberapa negara dunia.

Tuesday, August 16, 2016

Kalau Dibenarkan Bolehlah ‘Tunjuk Kekuatan’ Di Kompleks Mahkamah


Selepas ini, pada setiap kes mahkamah membabitkan pemimpin terkenal negara, bolehkan diadakan perhimpunan ‘Tunjuk Kekuatan’.

Banyak kes sedang dibicarakan termasuk membabitkan Perdana Menteri, bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Besar Kedah dan sebagainya.

Jika kejadian pagi ini dijadikan sebagai amalan yang boleh dicontohi dan dibenarkan pihak berkuasa, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat boleh melakukannya.

Cuma apakah polis akan membenarkannya aatau sebaliknya bergantung kepada pihak berkenaan.


Pagi tadi kira-kira  25 orang ahli NGO, Jaringan Melayu Malaysia(JMM) berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di ibu negara bagi membidas bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat.

Pada mulanya mereka berkumpul di luar kompleks mahkamah, tetapi kemudiannya dibenarkan masuk oleh pihak keselamatan atas alasan untuk menghadiri prosiding perceraian yang membabitkan seorang peguam dan bekas DPP kanan Datuk Stanley Clement Augustin dengan isterinya Datuk Nika Gee Siew Yee,

Berbekalkan pembesar suara, penunjuk perasaan itu menjerit ‘Muhyiddin Petualang’.

Antara penunjuk perasaan itu, termasuk bekas presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju.


Kumpulan itu kemudiannya menduduki tangga di lobi mahkamah di lobi sambil melaungan kata-kata provokasi yang membidas Muhyiddin.


Mereka mendakwa timbalan perdana menteri yang dipecat itu adalah seorang penipu dan menuduhnya tidak bersedia untuk menjelaskan dakwaan hubungan sulitnya dengan seorang wanita yang sudah berkahwin.

Pada kira-kira jam 11 pagi, polis berpakaian biasa dan beruniform mengarahkan semua penunjuk perasaan supaya bersurai tetapi mereka mengingkari arahan berkenaan.

Akibatnya, polis mula menahan mereka dan membawa mereka dengan sebuah trak polis hitam dan van putih polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy, berkata semua ahli pertubuhan tersebut akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut.

Beliau juga mengesahkan penahanan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ali bukan antara kira-kira 10 orang yang ditahan itu kerana telah meninggalkan premis mahkamah.

Sementara itu kes perceraian peguam Augustin dengan isterinya Nika ditetapkan bagi pengurusan kes pada 6 September kerana Nika baru melantik peguamnya.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam M. Kumar dan S. Periasamy mewakili Augustin manakala peguam Choo Dee Wei dan Bryan Ng Yin Miin bertindak bagi pihak Nika.

Choo yang ditemui pemberita berkata mereka dilantik semalam oleh Nika bagi mewakilinya selepas peguamnya sebelum ini menarik diri dan pihaknya baru memasukkan kehadiran sebagai peguam responden hari ini.

Katanya, setakat ini tiada sebarang arahan mahkamah supaya anak guamnya hadir untuk prosiding seterusnya.
http://avn.innity.com/rt/?cb=1469174815&a=2379&e=8760
Dalam petisyen perceraian yang difailkan pada Disember 2014, Augustin yang merupakan pempetisyen menamakan Nika sebagai responden.

Augustin, yang juga bekas timbalan pendakwa raya, dalam petisyen perceraian terpinda berkata beliau berkahwin dengan Nika  secara sah di sisi undang-undang pada 24 April 2007, dua hari sebelum tarikh persaraannya daripada perkhidmatan kerajaan.

Augustin, 65, berkata beliau merupakan seorang duda dengan tiga anak semasa berkahwin dengan Nika, 54, yang merupakan seorang ahli perniagaan.


Nika ketika itu seorang janda beranak dua.

Monday, August 15, 2016

Isu 1MDB, Kos Sara Hidup Ibarat 'Bom Atom' Bagi UMNO...


Ada mengatakan persidangan Perwakilan UMNO Bahagian serta sayap - Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri - seharusnya menjadi platform bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih mendapat sokongan padu dalam kalangan anggota.

Kesempatan ini dilihat sebagai cara terbaik untuk buktikan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa  bahawa UMNO masih tetap kukuh dan bersatu padu meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran masa ini.

Sudah-sudahlah dengan soal menyokong ketua. Tidak cukupkah lagi dengan pernyataan sokongan yang dibuat sejauh ini sehingga persidangan Bahagian UMNO juga perlu membuat pendirian demikian.

Apakah melalui persidangan itu boleh menghapuskan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa bahawa UMNO kini sedang berdepan cabaran getir dan menguji ketabahan dan integriti pemimpinnya?

Tahniah kepada Ketua UMNO bahagian Shah Alam, Datuk Zahari Shaari kerana berani memperkatakan apa yang pemimpin Bahagian UMNO lain takut untuk menyatakannya secara terbuka.

Semalam Zahari mengeluh setelah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diibaratkan menimpa UMNO ibarat 'bom atom'.

Datuk Zahari Shaari sedang berucap...
Bagi Zahari, amat nyata Isu 1MDB ini berada dalam antara senarai teratas yang perlu diberikan perhatian oleh UMNO.

"Ini 'mengena' kami seperti bom atom...Tolong selesaikannya dengan segera," ujar beliau di Dewan Seri Budiman, Universiti Institut Teknologi Mara di Shah Alam.

Beliau berkata demikian dalam rayuan kepada pimpinan UMNO untuk selesaikan isu berkenaan seberapa segera semasa majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian Shah Alam yang dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bukan mudah untuk mendapatkan seorang pemimpin seperti Zahari yang berani berterus-terang, apa lagi di hadapan pemimpin besar UMNO.

Jika yang lain, mungkin mereka akan mengelakkan daripada menyebut isu 1MDB yang kini sebagai sesuatu yang amat menakutkan pemimpin tertinggi UMNO, tetapi bukan kepada Zahri.

Isu 1MDB kini bukan sekadar isu derma RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri tetapi 1MDB  juga disabitkan dengan hutang yang begitu besar, integriti, tadbir urus selain dibimbangi akan menyebabkan UMNO, kerajaan dan rakyat menanggung musibahnya.

Banyak laporan, termasuk Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam diedarkan pada bulan April lepas, menyebut bahawa  hutang 1MDB setakat Januari 2016 berjumlah RM50 bilion.

Sebuah badan kajian ekonomi berpusat di United Kingdom meramalkan Malaysia menghadapi risiko diturunkan taraf unjuran kredit disebabkan hutang syarikat milik kerajaan termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Nikkei Asian Review 7 Jun lalu.

Menurut Oxford Economics, pelabur asing semakin kurang minat terhadap pasaran saham tempatan walaupun dengan aliran masuk tunai ke dalam pasaran serantau.

Selain itu 1MDB turut berdepan dengan saman firma pelaburan Abu Dhabi berhubung pertikaian lebih AS$6.5 bilion yang ditetapkan bermula untuk proses timbang tara antarabangsa bulan depan.

Dr Ahmad Zahid....beri kerjasama sepenuhnya.
Pertikaian 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi melalui pengurusan kes di Mahkamah Timbang Tara London (LCA) turut merisaukan rakyat.

Apa yang diharapkan ialah  kerajaan (ramai pemimpin penting UMNO di dalamnya) membuat keputusan mengenai tindakan undang-undang terhadap pengurusan 1MDB yang terbabit, termasuk yang sebelum ini  dan lembaga pengarahnya, jika terbukti mereka punca kelemahan dan penyelewengan.

Malah ada pertanyaan dariada pembangkang dari mana duit bakal dikorek Kementerian Kewangan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya International Petroleum Investment Company (IPIC) berjaya tuntut RM26.5 bilion?

Di sebalik isu berkenaan, yang paling mengejutkan ialah apabila Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat pada Julai lalu, memfailkan tindakan undang-undang, bertujuan merampas berpuluh-puluh hartanah yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB).

Menurut dokumen difailkan itu ia bernilai lebih AS$3.5 bilion (RM14,00 Juta) dikatakan disalahguna daripada institusi berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan pada 21 Julai lalu, tindakan undang-undang tersebut yang difailkan di Los Angeles bertujuan membuat rampasan aset yang 'terlibat dalam dan boleh dikesan berhubung konspirasi antarabangsa untuk menggubal wang haram disalah gunakan dari 1MDB'.

Timbalan Perdana Menteri berkata 24 Julai lalu, Malaysia menyambut baik usaha DOJ Amerika Syarikat dalam memerangi rasuah antarabangsa dan menggesa semua pihak terlibat supaya memberi kerjasama sepenuhnya supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan.

DR Ahmad Zahid yang kini memangku Timbalan Presiden UMNO berkata  sebagai anggota bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat global, menghormati proses perundangan bagi bidang kuasa yang berbeza dan kekal komited sepenuhnya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan laporan DOJ mengenai 1MDB adalah tindakan sivil semata-mata, tetapi ada pihak mengatakan ia berkait dengan perbuatan jenayah.

Pemimpin pembangkang menyatakan walaupun istilah ‘sivil’ digunakan, sejumlah 17 aset yang disebut di dalam dokumen itu disita kerana melibatkan penyelewengan dan salah laku melibatkan 1MDB dan wang rakyat Malaysia.

Secara lebih jelas, ia bermaksud jenayah telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga DOJ bertindak demikian.

Tidak cukup dengan itu, pada Khamis lepas, bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang bergandingan dengan ADUN Salor, Datuk Husam Musa (kiri) memfailkan saman secara berkumpulan di Amerika Syarikat terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB.

Saman itu bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana firma pelaburan negara dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

Tindakan tersebut dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Selatan New York, menurut The Hollywood Reporter.

Ini sebahagian sahaja permasalahan yang wujud berkaitan 1MDB. Belum pasti apa lagi yang muncul selepas ini.

Zahari pada mesyuarat semalam turut menekankan kebimbangan masyarakat bandar termasuk kenaikan kos sara hidup akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan proses rasionalisasi subsidi.

Umno Shah Alam menuntut kerajaan memansuhkan tol Batu Tiga dan tol Sungai Rasau yang dilihat membebankan pengguna sejak dulu lagi.

Amat wajar jika Ketua UMNO Bahagian Shah Alam itu menyatakan kebimbangannya terhadap tekanan masyarakat bandar dan seharusnya ketua UMNO Bahagian lain turut memperkatakan isu yang melanda di kawasan mereka sendiri.

Mesyuarat UMNO Bahagian bukan medan untuk memuji atau mengagungkan pemimpin tertentu, juga bukan untuk memperkatakan sesuatu yang tidak berpijak di alam nyata.

Sewajarnya Ketua Bahagian UMNO bertindak seperti Zahari menyatakan pendirian mereka dala isu rkayat dan sumbangan besar ini pastiya akan menyumbang kepada kekuatan UMNO, bukan melemahkan.

Tidak bermakna apabila mengatakan sesuatu isu yang menghimpit rakyat bermakna ia kritikan terhadap pemimpin.

Juga tidak bermakna apabila menyatakan sokongan terhadap seseorang dalam mesyuarat Bahagian, ia akan meyakinkan rakyat ramai. Yang mungkin yakin, mungkin yang hadir pada mesyuarat itu sahaja. Itupun belum pasti.

Lagipun, UMNO perti terbuka dan setiap permasalahan perlu diselesaikan melalui cara dalaman.

 Jadi, apa yang dilakukan Zahari adalah bertepatan dengan semangat ‘penyelesaian masalah masyarakat melalui UMNO’.

Malah, Zahari ‘bercakap  di alam nyata’ apabila mengatakan wujudnya  kebimbangan di kalangan masyarakat bandar termasuk kenaikan kos sara hidup akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan proses rasionalisasi subsidi.

Ternyata sebagai pemimpin sebuah parti pemerintah yang kesekian lama MEMBELA RAKYAT, Zahari berani memperkatakan yang benar tanpa berselindung mengenai  hakikat kehidupan dan kebimbangan rakyat ketika ini.