Saturday, March 20, 2010

Lebih 100,000 Pelajar Miskin Kelantan Dapat Wang Ihsan

Lebih 100,000 pelajar miskin di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Kelantan akan menerima pengagihan wang Ihsan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta daripada RM25 juta mulai 3 April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata bakinya RM5 juta itu pula akan diperuntukkan kepada mereka yang mengalami bencana alam seperti kebakaran, banjir dan membantu mangsa ribut.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata keutamaan akan diberikan kepada para pelajar yang tidak menerima bantuan di bawah dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

"Jumlah yang akan diterima oleh setiap murid sedang dinilai oleh jawatankuasa itu," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat khas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parlimen Bachok di Perupuk semalam.

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan lebih RM25 juta tahun ini kepada Kelantan dalam bentuk wang ihsan hasil penggerudian telaga minyak oleh Petronas di luar perairan Kelantan

Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin akan melancarkan penyampaian kepada kumpulan pertama dalam rangka lawatan sehari ke Kelantan pada 3 April depan.

Beliau berkata kesemua pelajar tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa akan menerimanya bagi meringankan beban ibu bapa masing-masing untuk membiayai persekolahan anak-anak.

"Walaupun pemilihan itu dibuat oleh guru-guru di sekolah mereka perlu mendapat sokongan dari Penyelia-penyelia Pembangunan Mukim (PPM) di kawasan masing-masing," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Pejabat Sultan Kelantan pertikai kesahihan kenyataan

Pejabat Sultan Kelantan semalam mempertikai kesahihan kenyataan yang dikeluarkan semalam berhubung titah Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra mengenai sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-60 pada 30 dan 31 Mac nanti.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad Abdul Halim berkata, kesahihan kenyataan itu dipertikaikan kerana pihak istana tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Datuk Wan Hashim Wan Daud sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dan tiada pelantikan jawatan itu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

"Sepanjang pengetahuan Pejabat Sultan jawatan Setiausaha Sulit kepada Sultan itu masih kosong,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) Kelantan, Datuk Ismail Mohd Noor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan), Shafie Ismail.

Dalam kenyataan pengisytiharan yang dibaca oleh Wan Hashim semalam, beliau berkata, Sultan Kelantan menitahkan bahawa semua acara sempena Perayaan Hari Keputeraan baginda ke-60 pada tahun ini tidak diadakan kecuali majlis solat hajat dan doa selamat sahaja yang melibatkan seluruh rakyat jelata setiap masjid di negeri ini.

Kenyataan itu juga menyebut, Sultan Kelantan sama sekali tidak memperkenankan pengurniaan gelaran kebesaran serta pingat-pingat kemuliaan di bawah perkara 43, Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan.

Abdul Halim berkata, kenyataan yang dikeluarkan Wan Hashim dalam media hari ini adalah mengelirukan dan tidak benar kerana Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra yang dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan oleh Majlis Perajaan Negeri pada 24 Mei tahun lalu mempunyai kuasa untuk menentukan pelantikan jawatan itu.

"Untuk makluman, segala urusan diraja diuruskan oleh Pejabat Sultan Kelantan yang sentiasa patuh dan taat setia kepada Sultan dan Pemangku Raja. Pejabat ini juga tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang telah digariskan pihak kerajaan,” katanya.

Ambil Peluang Guna Internet Untuk Jadi Usahawan

Rakyat Kelantan perlu mengambil peluang untuk menjadi usahawan dengan menggunakan internet dan dunia maya tanpa sempadan sebagai platform pemasaran produk dan saluran untuk menguatkan perniagaan sedia ada.

Penyelaras acara Autocard Privilege syarikat Autocard Privilege Sdn Bhd Nik Nubli Nik Mahmood berkata Internet merupakan gerbang peluang perniagaan rakyat Kelantan untuk dikenali masyarakat dunia.

Sehubungan itu, usahawan dan bakal usahawan di negeri ini yang berminat menceburi perniagaan di Internet dipelawa menyertai bengkel usahawan Internet di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) di Jeli pada 27 Mac ini.

"Bengkel sehari itu akan dikendalikan oleh usahawan Internet terkemuka yang menjadi jutawan, Dr Irfan Khairi," katanya.

Nik Nubli berkata peserta bengkel itu akan diberi panduan memulakan perniagaan termasuk mencari produk dan perkhidmatan di Internet selain didedahkan cara mempromosikan perniagaan dengan berkesan selepas menceburi perniagaan tersebut.

Katanya Irfan akan turut mengajar peserta yang tidak mempunyai pengetahuan asas Internet untuk membina laman web mudah untuk mereka yang tidak mempunyai latar belakang teknologi maklumat (IT).

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bengkel tersebut boleh menghubungi Autocard Privilege di talian 03-42562577 dan Nik Nubli (010-5011886) atau layari www.autoprivilege.com.my.

Tiga Dikhuatiri Lemas Dalam Dua Kejadian Di Besut

Tiga remaja lelaki Jumaat dikhuatiri lemas dalam kejadian berasingan di Besut.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata polis menerima laporan mengenai dua kejadian tersebut masing-masing pada pukul 4.30 dan 5.15 petang.

Beliau berkata dalam kejadian pertama di pantai Beting Lintang, dekat sini, seorang remaja lelaki, Muhammad Ilyas Razali, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dipercayai lemas selepas dilaporkan dipukul ombak ketika sedang mencari remis bersama ibu dan sepupunya di pesisiran pantai itu.

"Akibat dipukul oleh ombak yang kuat, mangsa (Muhammad Ilyas) kemudiannya terjatuh dan seterusnya diheret ke tengah laut ekoran arus yang deras dan kemudiannya hilang," katanya ketika dihubungi di sini.

Kamaruddin berkata ibu dan sepupu mangsa bagaimanapun sempat menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, operasi mencari mangsa yang turut disertai oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Rela gagal menemui mangsa.

"Operasi terpaksa dihentikan pada pukul 7 malam tadi ekoran cuaca gelap dan operasi mencari akan disambung esok," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kedua di pantai Bukit Keluang, kegembiraan tujuh sekawan dari Kelantan untuk menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermandi manda di pantai bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas.

Kamaruddin berkata salah seorang daripada mangsa yang lemas telah ditemui iaitu Norhisham Mohd Yaakub, 15, dari Pasir Puteh manakala seorang lagi mangsa yang masih belum diketahui identitinya masih belum dijumpai sehingga operasi mencari berakhir kira-kira 7 malam tadi berikutan cuaca gelap.

"Mereka datang dengan menaiki dua buah van untuk bermandi manda di pantai itu. Namun kesemua mereka telah dihanyutkan oleh ombak kuat ketika sedang mandi di pantai itu," katanya.

Beliau berkata, lima rakan mangsa bagaimanapun terselamat selepas diselamatkan oleh sepasukan anggota Polis Marin yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan tersebut.

Kamaruddin berkata operasi mencari seorang lagi mangsa akan disambung hari ini.

Friday, March 19, 2010

APA KESUDAHANNYA PEMIMPIN NEGERI & ISTANA KELANTAN

Oleh Hambali Abdul Latiff (www.hambali1.blogspot.com, 17 Mac 2009)

Harap-harap ‘pertelingkahan ‘ pemimpin PAS Kelantan dan istana boleh selesai.

Namun tunggu reaksi dan jawapan daripada PAS terhadap kenyataan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid kelmarin yang dukacita dengan kerajaan Kelantan- habuk pun tarak.

Mungkin juga sudah diperjelaskan apabila rombongan Menteri Besar menghadap Sultan Kelantan kelmarin. Tetapi kalau selesai, sudah pasti dicanangkan. Hingga kini tiada apa-apa berita pun.

Tengku Anis secara terbuka menyatakan dukacita dengan sikap kerajaan negeri sepanjang Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menerima rawatan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Singapura.

Dengan suara sedikit tersekat, baginda yang menahan sebak bertitah, sikap kerajaan negeri ternyata berlainan dengan Kerajaan Pusat sejak baginda berada di sana mulai 24 Mei tahun lalu.
Tidak berani? Nafilah kalau tidak benar!

Kenapa diam saja? Mana orang yang selalu ‘kerah keng’ dalam setiap perkara terutamanya isu royalti, kenapa tidak jawab?

Titah baginda, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan menteri Kabinet malah mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew juga kerap datang.

‘‘Saya ambil kesempatan ini untuk ucap banyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri serta anggota Kabinet yang selalu bertanya khabar,’’ ujar baginda semasa bertitah di Majlis Kesyukuran dan Sambutan Maulidur Rasul 1431H di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji semalam.

Pemimpin PAS Kelantan mana?

Kenapa dalam soal ini tidak ada yang mempertahankan Menteri Besar atau sesiapa juga ketua pentadbiran Kelantan?

Play safe? Sungguh menyedihkan apabila semua terkena ‘pukulan’ daripada Menteri Besar Kelantan, Exconya hinggalah kepada anggota pentadbiran seolah-olah semuanya layu dan mengiakan semuanya.

Atau ada pihak sengaja berdiam dengan harapan jika berlaku apa-apa, dialah yang akan muncul ke hadapan menjadi juara. Menjadi Menteri Besar baru?

Kotroversi antara kerajaan PAS Kelantan dan istana bermula pada 2 Disember tahun lalu apabila kerajaan negeri memohon Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra supaya memindahkan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra mendapatkan rawatan dalam negara.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, cadangan itu mendapat kelulusan exco dalam mesyuaratnya hari berkenaan. Ketika itu Sultan Kelantan sudah dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Tuanku dirawat sejak 24 Mei 2009 oleh doktor pakar.

Kata Nik Aziz: "Memandangkan keadaan kesihatan Sultan Kelantan sekarang ini dan di atas hasrat dan kepentingan rakyat, kita mencadangkan supaya Pemangku Raja membawa Sultan Ismail Petra yang sedang gering mendapatkan rawatan di mana-mana hospital dalam negara,” katanya namun enggan menjelaskan kenapa kerajaan negeri membuat cadangan itu.

Empat hari kemudian, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Husin berkata, kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz boleh memberi gambaran yang tidak baik dan mungkin 'mengguris' pihak istana. Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan percaya permohonan dibuat mungkin kerana kos perubatan baginda yang dianggap besar.

"Disebabkan oleh kedudukan kewangan yang meruncing, beliau (Nik Abdul Aziz) sanggup berbuat demikian tanpa berfikir panjang," katanya.

Ekoran daripada itu pada 18 Disember, Ketua Penerangan UMNO negeri, Dali Hussin meminta Kerajaan negeri diminta memberi penjelasan berhubung desas-desus yang bayaran kos rawatan Sultan Kelantan di Singapura tertunggak lebih RM1 juta. Kata Dali, sekiranya benar masalah itu berbangkit adalah wajar kepimpinan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikannya.

Isu kesihatan Sultan Kelantan tidak terhenti di situ kerana pada 4 Januari lalu, Menteri Besar Kelantan berkata panel perubatan yang dilantik kerajaan negeri mengesahkan tahap kesihatan Sultan Kelantan yang dirawat di Singapura kini stabil dan boleh dibawa pulang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Panel yang dianggotai enam pakar itu mengesyorkan agar Tuanku Ismail Petra dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, panel yang dilantik pada 18 November tahun lalu dibarisi pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian; Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ); Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dan HKL. Panel itu dalam surat bertarikh 24 Disember lalu merumuskan baginda telah menunjukkan kemajuan hasil rawatan intensif yang diterima.

Mengejutkan, pada hari yang sama Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra mempersoalkan laporan panel kesihatan yang merumuskan tahap kesihatan ayahandanya tanpa melawat dan memeriksa baginda. Beliau yang menyangkal laporan panel yang dibentuk oleh kerajaan negeri itu, percaya ada motif tertentu di sebalik laporan itu yang diumumkan Nik Aziz itu.

Lebih menggemparkan pada 7 Januari, laporan perubatan yang dikemukakan oleh Menteri Besar Kelantan lu mencetuskan tanda tanya berhubung kesahihannya apabila Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Zaininah Mohd. Zain menjelaskan pihaknya tidak pernah menerima permohonan daripada kerajaan Kelantan untuk menggunakan kepakaran mereka bagi membarisi panel yang mengeluarkan laporan itu.

Jika panel perubatan itu ditubuhkan secara rasmi, ia perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu sebelum diluluskan penubuhannya.

Selain isu panel, isu lain ialah Menteri Besar tidak menghadap Sultan Kelantan walaupun dititahkan dua kali seperti yang dinyatakan Tengku Muhammad Fakhry yang dikatakan amat dikesali dan mengecewakan rakyat negeri ini. Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata pada 5 Januari lalu , sebagai seorang Menteri Besar, Nik Abdul Aziz sewajarnya mentaati perintah tersebut dan perlu sentiasa berada di sisi sultan yang sedang dirawat.

Dalam kedudukan kontroversi mengenai tiga perkara di Kelantan yang belum selesai – perbalahan mengenai takhta, isu kos rawatan Sultan dan pembesar negeri yang tidak datang menghadap walaupun dititahkan – pada 4 Mac lalu, kira-kira 10,000 rakyat negeri itu membanjiri perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi menyambut keberangkatan pulang Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra.

Kebanyakan rakyat jelata mula hadir seawal pukul lapan pagi ini dengan berpakaian kuning dan membawa sepanduk sebagai tanda sokongan kepada banginda.

Dan petang kelmarin khabarnya Menteri Besar, bersama rombongan Exco kerajaan negeri menghadap Sultan Kelantan di Istana Mahkota dan inilah kali pertama pimpinan negeri menghadap sejak Tuanku Ismail Petra yang menerima rawatan di Singapura pada 24 Mei tahun lalu berangkat pulang ke tanah air pada 4 Mac.

Setakat ini tiada kenyataan lanjut mengenai perbincangan keadua-dua pihak dan kerajaan PAS Kelantan terus membisu.

Apapun, pada kemunculan pertama Tengku Anis di khalayak umum selepas mengiringi kepulangan Tuanku Ismail Petra pada 4 Mac lalu Tengku Anis menyampaikan pesanan Sultan yang berterima kasih kepada rakyat kerana bersusah payah membuat solat hajat dan membaca surah Yasin untuk kesejahteraan baginda.

Menurut Tengku Anis, semasa di Singapura, baginda bersama ustaz sentiasa bersolat hajat dan membacakan ayat-ayat al-Quran termasuk surah Yasin di sisi.

Baginda yakin berkat daripada amalan tersebut, ia telah berjaya membuat sultan walaupun koma kembali sedar dan menafikan ramalan doktor yang tidak meletakkan harapan.

Bagaimanapun, Tengku Anis hanya sempat bertitah kira-kira tiga minit apabila sebak dan kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra yang turut nhadir menyambung ucapan.

Tengku Merjan menyatakan kehairanan dengan sikap pimpinan negeri masa kini berbanding semasa Almarhum Sultan Yahya Petra gering dan dirawat di Kuala Lumpur.

Beliau turut kesal dengan penubuhan panel perubatan oleh kerajaan negeri kerana Tuanku Ismail Petra bukannya pegawai kerajaan yang memerlukan pengesahan pakar untuk menentukan kemampuan baginda.

‘‘Sampai hati sekali ada orang buat Tuanku macam itu. Marilah kita berdoa agar Tuanku cepat sembuh, pulih dan dapat memerintah seperti dulu,’’ katanya.

Amat jelas walaupun di Kelantan, kerajaan Persekutuan dan pemimpinnya sering diburukkan tetapi ternyata istana tahu siapa yang ‘diperlukan’ dalam keadaan-keadaan tertentu.

Ternyata Perdana Menteri dan menteri Kabinet tidak pernah melupakan istana – bukan seperti pemimpin PAS yang sanggup ‘membelakangkan istana’ apabila setelah berkuasa

TENGKU RAZALEIGH KECEWA JASANYA TIDAK DIKENANG

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan "dimarahi" disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan PAS Kelantan menuntut isu royalti minyak.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ihsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat.
Bagi Tengku Razaleigh ia seolah-olah mengambarkan sebagai "peminta sedekah".

"Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang Kelantan patut mendapat royalti minyak," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di Pasir Puteh semalam.

Tengku Razaleigh berkata beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.

Katanya Abdul Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai.

Menurutnya hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara.

TIADA ACARA SEMPENA HARI KEPUTERAAN SULTAN KELANTAN KE-60

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra menitahkan semua acara sempena perayaan hari Keputeraan Sultan Kelantan yang ke-60 tidak dilangsungkan.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Kelantan Datuk Wan Hashim Wan Daud berkata tiada acara diadakan sempena hari keputeraan kecuali majlis solat hajat dan doa selamat yang mana melibatkan penyertaan seluruh rakyat jelata di setiap masjid dalam negeri Kelantan.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al Sultan tidak memperkenankan pengurniaan gelaran dan kebesaran serta mengadakan pangkat kemuliaan, pingat kebesaran dan kehormatan di bawah Perkara 43, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan," katanya kepada pemberita dengan membacakan teks kenyataan media mengenai Pengisytiharan Istana Kelantan.

Katanya baginda telahpun menghantar surat memaklumkan keputusan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Feb lalu.

Baginda juga telah menitahkan perkara itu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri," kata Wan Hashim.

TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP THE SUN

Pesiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar The Sun yang disifatkannya mempunyai niat jahat untuk memburuk-burukkan nama beliau.

Katanya, laporan akhbar itu semalam yang menyatakan kononnya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menasihati beliau supaya mengurangkan sikap ultra Melayunya adalah tidak benar.

"Dakwaan ini ternyata menjejaskan maruah dan nama baik saya kerana saya tidak bersifat sedemikian. Pemandu saya sejak 16 tahun lalu adalah seorang India," katanya di lobi Parlimen semalam.

Kelmarin, akhbar itu turut melaporkan bahawa Perkasa mengedar kad jemputan untuk menghadiri mesyuarat agung pertubuhan itu yang menyatakan akan dirasmikan oleh Sultan Selangor tanpa perkenan dan jawapan rasmi daripada baginda.

Sambil menyangkal dakwaan kononnya beliau bersifat perkauman, Ibrahim berkata, beliau adalah seorang nasionalis patriotik yang berpaksikan kepada amalan sebagai seorang Islam yang baik.

"Kalau saya bercakap pasal Melayu dan Bumiputera sekalipun ia adalah dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi yang harus diperjuang oleh semua pihak tanpa mengira kaum," katanya.

Ibrahim berkata, mesyuarat agung pertama Perkasa akan diadakan seperti dijadualkan pada 27 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, Sultan Selangor tidak dapat berangkat untuk merasmikan mesyuarat itu atas sebab tertentu.

Beliau menjangka lebih 10,000 orang akan menghadiri mesyuarat itu yang akan membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan Melayu.

JP KELANTAN SETIA KEPADA SULTAN DAN PEMANGKU RAJA KELANTAN

Semua anggota Majlis Jaksa Pendamai (JP) Kelantan Khamis melahirkan sokongan dan menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

Naib Presiden 1 majlis itu, Dr Mohd Kaisan Ab Rahman, berkata kenyataan itu dikeluarkan bagi menyatakan kesetiaan agar suara rakyat Kelantan didengari.

Sebelum ini, Persatuan Pegawai Tadbir Negeri (PTN) Kelantan mengeluarkan kenyataan hampir sama melahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Al-Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

"Kami ingin memohon ampuni perkenan Pemangku Raja Kelantan yang mempunyai kuasa ataupun hak sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Perlembagaan Kelantan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di Pengkalan Chepa.

Menurutnya, majlis itu mahu Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra menerusi bidang kuasanya mengambil tindakan tegas untuk menegakkan Perlembagaan selepas diberi mandat di bawah artikel 22A 1 (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian Ke 2 bagi menghentikan kemelut yang berlaku supaya perlembagaan itu terus dihormati.

Selain itu, tindakan tegas juga patut diambil terhadap mana-mana pihak dan individu yang mengambil kesempatan di atas situasi semasa sehingga menjejaskan nama baik institusi kesultanan Kelantan.

"Kami juga mahu (Pemangku Raja Kelantan) mengambil tindakan sewajarnya agar kesihatan Tuanku Al-Sultan terjaga dan diberi rawatan oleh doktor-doktor pakar yang bersesuaian dengan penyakit dan mendapatkan rawatan lanjut di mana-mana hospital kerajaan dalam negara.

"Dan jika perlu, memberi kuasa dan mandat kepada panel perubatan bagi menilai dan membuat pemeriksaan lanjut dan tepat ke atas baginda dan membuat laporan tepat mengenai status keadaan kesihatan Sultan," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Kaisan menggesa seluruh rakyat negeri ini turut memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja agar baginda dapat melaksanakan tugas dengan tanggungjawab yang diamanahkan sebagaimana perlembagaan bagi memastikan seluruh rakyat Kelantan dapat hidup dengan aman dan damai.

Sunday, March 14, 2010

MUHYIDDIN LANCAR JUARA RAKYAT KELANTAN

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan program Umno Juara Rakyat peringkat negeri pada 3 April depan yang dijangka dihadiri lebih 30,000 rakyat, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Awang Adek berkata majlis pelancaran program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah (1) di Machang akan dilakukan pada pukul 10 pagi.

"Sebelum itu ,Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan anggota dan pemimpin Barisan Nasional Kelantan sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada pukul 8.30 pagi," katanya.
Beliau menyatakannya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa sambutan di pejabat Umno Negeri semalam.

Beliau berkata pada sebelah petangnya, Timbalan Perdana Menteri akan ke Bachok bagi menghadiri majlis yang dianjurkan Jabatan Pelajaran Kelantan namun program serta lokasi akan ditentukan kemudian.

FAIL CERAI TALAK TIGA OLEH PIHAK KETIGA TIDAK DIBENARKAN

Daripada www.hambali1.blogspot.com

Makin kusut!

Cik Puan Elia Suhana Ahmad boleh bantah permohonan kes lafaz cerai talak tiga terhadapnya.

Peguam yang mewakili Elia – isteri kedua Sultan Kelantan - boleh membuat bantahan di mahkamah terhadap lafaz cerai yang dikatakan difailkan oleh seorang wanita mewakili Sultan Kelantan.

Seperti yang telah dinyatakan dalam akhbar hari sejak beberapa hari lalu, permohonan tersebut memang sah dari segi prosedur, namun peguam yang mewakili Elia boleh membuat bantahan terhadap permohonan itu di mahkamah.

Pandangan ini diberikan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohd Isa Abdul Ralip.

Biarpun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes yang melibatkan Sultan Kelantan itu tetapi nyata Elia mempunyai ruang untuk membuat bantahan.

Akhbar semalam melaporkan permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga oleh Sultan Kelantan difailkan oleh Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty ketika mengulas mengenai permohonan lafaz cerai itu.

Kata Mohd Isa, dalam kes pihak ketiga menfailkan permohonan, adalah menjadi masalah apabila pihak tersebut perlu membuat pengakuan sumpah terhadap permohonan yang dibuat.

"Bagaimana pihak ketiga ini nak bersumpah jika individu tersebut tidak ada kena mengenai dengan pasangan tersebut.

"Apa bukti yang boleh dikemukan oleh pihak ketiga untuk mengesahkan telah mendengar lafaz cerai tersebut?," ujarnya.

Kelmarin peguam syarie, Zainul Rijal mengeluarkan kenyataan media kepada Bernama mengesahkan pihaknya telah menfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Elia di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan.

Dalam laporan tersebut, Zainul Rijal berkata, beliau telah dititahkan oleh Tuanku Ismail Petra supaya menfailkan permohonan pengesahan cerai tersebut.

Berdasarkan apa yang dinyatakan Mohd Isa, biarpun prosedur, pendaftaran dan permohonan pengesahan cerai adalah sah jika difailkan oleh pihak namun mereka tidak dibenarkan untuk menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai mengikut berdasarkan hukum syarak dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Mohd Isa menjelaskan, hukum syarak telah menetapkan hanya suami atau isteri sahaja yang boleh menfaikan tuntutan tersebut bagi memudahkan proses seterusnya.

"Walaupun dari segi prosedur ia sah, tetapi akan menimbulkan masalah semasa prosiding mahkamah.

"Ini kerana pihak yang menfailkan tuntutan tersebut perlu bersumpah kepada hakim mengenai tuntutan yang dibuat," katanya kepada mStar online semalam.

Kita tunggu perkembangan terbaru kes ini.

Tengku Razaleigh Kekal Dalam Umno Sampai Mati

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau akan kekal dalam Umno sepanjang hayatnya dan menafikan beliau akan melompat ke parti lain.

Sambil menafikan dakwaan pihak tertentu yang kononnya beliau akan melompat parti lain selepas isu penjelasan royalti minyak di Kota Baharu pada 28 Feb lalu, Razaleigh berkata pendiriannya mengenai isu itu telah disalahtafsir bagi mengkhianati kedudukannya.

Malahan, katanya, beliau tidak akan melepaskan jawatan Ketua Umno bahagian itu dan tetap setia dengan perjuangan parti sampai bila-bila walaupun ada pelbagai pihak mendesak dan mempertikai tindakannya dalam menjelaskan kepada umum mengenai isu royalti minyak serta pendiriannya berhubung isu itu.

"Saya tetap dengan pendirian untuk kekal dalam Umno sampai mati dan jika ada yang inginkan jawatan itu tunggulah saya mati dulu," katanya ketika berucap pada majis perjumpaan Kepimpinan Barisan Nasional (BN) di Bukit Chekati, Gua Musang.
Tengku Razaleigh berkata, beliau rasa tersinggung dengan sikap sesetengah pemimpin yang membuat pelbagai andaian mengenai kedudukannya kerana beliau berpendapat tindakannya tidak salah dalam menjelaskan isu royalti minyak kepada rakyat Kelantan sendiri.

"Malah, penjelasan saya itu bukan di pentas PAS, sebaliknya 52 badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjur ceramah itu untuk memberi ruang kepada saya bercakap dan menjelaskan perkara sebenar apa yang terkandung di dalam Akta Petroleum 1975.

"Apa pula kaitan saya dengan parti hingga ada yang mendesak supaya saya berundur sedangkan saya sanggup bubar Parti Melayu Semangat 46, yang pernah saya terajui sebelum ini, semata-mata untuk menyertai semula Umno," katanya.

Katanya, perkara itu perlu difahami dengan betul dan ekoran pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya menyebabkan rakyat juga turut keliru memandangkan niatnya untuk memberikan penjelasan itu adalah baik dan tidak lebih daripada itu.

"Saya juga tahu rakyat Kelantan menyokong pendirian yang saya buat itu dan bukan untuk menentang sesiapa dalam kepimpinan Umno," katanya.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai segala isu yang dibangkitkan itu kerana hanya rakyat boleh menentukan kemenangan pada pilihan raya.

Katanya, beliau juga yakin kerajaan PAS Kelantan boleh tumbang pada pilihan raya umum akan datang jika penjelasan tepat berhubung royalti minyak diterima dengan baik berdasarkan undang-undang yang terkandung dalam Akta Petroleum.

KANAK-KANAK DIPAKSA KAHWIN DENGAN LELAKI TABLIGH DITEMUI DI BATU CAVES

Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun dan dilarikan lelaki terbabit telah ditemui di sebuah masjid berhampiran Batu Caves, Selangor, semalam.

Siti Sarnan Mat Ail, 42, ibu kanak-kanak itu berkata, beliau dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.

"Kira-kira pukul 6.30 petang semalam saya terima satu panggilan dari seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di sebuah masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves.

"Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya," katanya kepada Bernama di sini, pada Sabtu.

Katanya, sebaik mengetahui anaknya ditinggalkan di surau terbabit, beliau segera menghubungi salah seorang saudaranya yang menetap berhampiran Batu Caves supaya pergi menemui Siti Nur Zubaidah.

"Saudara kakak kemudian menemui Siti Nur Zubaidah dalam keadaan lemah tidak bermaya dan membawanya ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan penemuan sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Ketua Polis Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera Batu Caves oleh bapa saudara kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 7.15 malam.

Siti Sarnan berkata, sehingga kini anaknya itu masih dirawat di hospital terbabit dan beliau dimaklumkan saudaranya, Siti Nur Zubaidah berada dalam keadaan stabil tetapi enggan bercakap kerana masih dalam keadaan trauma.

"Mungkin dia lemah kerana tidak makan dan trauma apabila dilarikan lelaki itu sehingga ke Selangor. Saya tidak sabar untuk berjumpa anak saya itu setelah 20 hari dia hilang," katanya.

Siti Sarnan berkata, beliau dan suaminya meneruskan perjalanan ke Selangor pagi ini untuk menemui Siti Nur Zubaidah.

Sebelum ini, Siti Nur Zubaidah, dikahwinkan bapanya Hussin Mat Salleh, 54, kepada Shamsuddin Che Derahman, lelaki tabligh berusia 41 tahun selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad.
Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat umur berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.

Siti Sarnan kemudian membuat laporan polis pada 25 Februari lalu.

Sementara itu, isteri pertama lelaki terbabit, Rohana, 33, berkata, sehingga kini suaminya yang dikenali sebagai "Sudin Ajaib" itu tidak menghantar sebarang berita atau menghubunginya.

"Saya tidak tahu ke mana suami saya menghilang dan turut berusaha mengesannya sebelum ini, syukurlah Siti Nur Zubaidah ditemui," katanya.

Sementara itu, Siti Sarnan berkata, beliau masih mengharapkan orang ramai yang melihat lelaki terbabit yang menaiki kereta Proton Iswara berwarna putih milik suaminya dengan nombor pendaftaran BEF 7599 supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Menurutnya, beliau bersyukur anaknya ditemui dalam keadaan selamat dan mengharapkan lelaki itu ditahan polis bagi mengelakkan kanak-kanak lain menjadi mangsa.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perkahwinan kanak-kanak perempuan 11 tahun dengan lelaki berusia 40-an yang berlaku di Kelantan adalah tidak mengikut sunnah sebaliknya berdasarkan nafsu semata-mata
Beliau berkata enakman Majlis Agama Islam di Malaysia jelas menunjukkan lelaki boleh berkahwin apabila berumur 18 tahun ke atas manakala perempuan pula berusia 16 tahun ke atas.

"Bayangkan bagaimana budak perempuan berusia 11 tahun dikahwinkan dengan seorang lelaki yang berusia 40 tahun lebih, dia menggunakan kalimah iaitu sunnah tetapi kita tengok sunnah itu pun tidak dilaksanakan...hanya mengikut nafsu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program mencari Imam Muda Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kuala Lumpur.

SULTAN KELANTAN TIDAK FAIL PERMOHONAN SAH CERAI ISTERI KEDUA?


Daripada www.hambali1.blogspot com

Tuanku Sultan Kelantan TIDAK failkan kes perceraian talak tiga baginda terhadap isteri keduanya, Che Puan Elia Suhana Ahmad?

Jika kes berkenaan bukan difailkan oleh baginda, siapa pula yang melakukannya?

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Elia Suhana, 31, musykil dengan kesahihan lafaz cerai yang difailkan oleh peguam suaminya kelmarin kerana beliau mendakwa pada ketika itu Tuanku Ismail Petra sedang gering.

Utusan memetik peguam Elia Suhana - Fakhrul Azman Abu Hasan - sebagai berkata, perkara tersebut disampaikan oleh anak guamnya itu selepas permohonan pengesahan lafaz cerai Sultan dilaporkan secara meluas oleh media semalam.

Katanya, beliau telah memberitahu anak guamnya mengenai permohonan itu selepas membaca laporan akhbar.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty berkata kes itu difailkan oleh seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, yang bertindak sebagai plaintif.

Siapakah Nik Rorhana dan apa pertalian hubungan beliau dengan Sultan Kelantan bagi membolehkan beliau bertindak memfailkan permohonan cerai itu?

Abu Bakar enggan mengulas status kes tuntutan perceraian talak tiga yang didakwa difailkan oleh Sultan Kelantan di Mahkamah Tinggi Syariah, Selasa lalu.

Peguam Sultan Kelantan, Zainul Rijal Abu Bakar, ketika dihubungi Bernama, pada hari berkenaan berkata beliau dan rakannya Abdul Halim Bahari telah memfailkan permohonan itu pada jam 3.30 petang.

Zainul Rijal dalam kenyataan itu berkata baginda tuanku telah melafazkan sendiri cerai talak tiga tersebut terhadap Elia Suhana pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa saksi dan mahkamah menetapkan 21 Mac ini bagi mendengar permohonan berkenaan.

"Kami telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara Tuanku dan Elia Suhana binti Ahmad yang dilafazkan sendiri oleh baginda Tuanku terhadap Elia Suhana pada 12 Feb 2010 di hadapan beberapa orang saksi," katanya.

Beberapa hari lalu, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu terhadap arahan tunjuk sebab kerana ingkar perintah mahkamah membenarkan hak melawat baginda yang dikeluarkan kepada Elia Suhana.

Bantahan itu dikemukakan oleh peguam yang mewakili Raja Perempuan Kelantan, Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari.

Bagaimanapun Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawal peribadinya Muhammad Shahrizan Zainal dan Zaiton Husin Merican, yang ketiga-tiga mereka telah diperintahkan untuk tunjuk sebab itu, tidak hadir di mahkamah.

Zainul Rijal kemukakan bantahan itu setelah membangkitkan dua isu berhubung penyerahan saman kes induk hak lawatan bertarikh 4 Februari lepas, yang dipohon oleh Che Puan Elia Suhana dan perintah tunjuk sebab ex-parte perintah hak lawatan pada 21 Februari lepas.

Peguam yang mewakili Che Puan Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan pula mempersoalkan ketidakhadiran ketiga-tiga defendan di mahkamah hari ini kerana menurutnya mana-mana pihak perlu hadir jika diperintah oleh mahkamah.

Hakim Syarie Mohd Yusof Awan menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu membenarkan Elia Suhana, 31, melawat Sultan Kelantan yang ketika itu menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi setiap Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu.

Bagaimanapun Elia Suhana mendakwa dihalang daripada bertemu suaminya dan pada 21 Februari lalu mahkamah telah mengarahkan Raja Perempuan Kelantan bersama dua pengawal peribadinya hadir untuk tunjuk sebab.

Mahkamah menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pada 4 Mac lalu, Sultan Kelantan telah berangkat pulang ke Kelantan setelah hampir 10 bulan dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Menggemparkan sebelum ini kerana pada 29 Disember 2009, Utusan Malaysia dengan tajuk “JHEAIK sahkan perkahwinan kedua Sultan Kelantan” turut memaparkan gambar hari persandingan mereka berdua.

Malah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) pada hari itu, mengesahkan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra telah berkahwin dengan isteri keduanya, Elia Suhana Ahmad, 30, pada 31 Disember 2007.

Pernikahan itu disahkan oleh Ketua Pendaftar, Nikah, Cerai, Rujuk JHEAIK, Hasnan Ramli ketika dihubungi Utusan Malaysia .

“Saya hanya boleh mengesahkan perkahwinan Sultan Kelantan dengan isteri kedua baginda itu,’’ katanya.

Sebelum itu akhbar The Malay Mail dalam versi online melaporkan misteri identiti salah seorang daripada dua wanita yang dibawa melawat Sultan Ismail Petra yang gering di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada pukul 4.20 pagi 8 Oktober lalu.

Laman web tersebut semalam melaporkan pengakuan Elia Suhana sebagai isteri kedua Sultan Kelantan.

Elia Suhana dalam laman web tersebut mendakwa terpaksa mendedahkan kedudukan sebenar dirinya bagi memperbetulkan laporan akhbar Malay Mail pada 21 Disember lalu yang menyiarkan berita dua wanita dibawa secara senyap-senyap ke hospital itu bagi melawat Sultan Kelantan.

Penyiaran berita yang bertajuk Police Ruckus In Royal Ward dalam akhbar itu didakwa Elia Suhana telah menimbulkan pandangan negatif terhadap baginda, institusi kesultanan dan polis istana.

Utusan Malaysia hari ini turut menerima kenyataan akhbar setebal lima muka surat melalui faks yang ditandatangani Elia Suhana dan dikatakan turut dihantar kepada semua media untuk membuat penjelasan itu.

Turut dilampirkan salinan sijil perkahwinan serta kad perakuan nikahnya.

Mengenai Nik Rorhana ini, Abu Bakar berkata wanita itu dari Taman Petranis, Jalan Sultanah Zainab II, Kota Baharu, bertindak selaku plaintif manakala Elia Suhana dinamakan defendan.

Abu Bakar berkata, dari segi prosedur, pendaftaran itu sah dan pihak pendaftar mahkamah boleh menerima permohonan memfailkan kes perceraian itu tanpa mengira siapakah individu berkenaan.

"Soal keputusan sama ada perceraian itu sah atau tidak mengikut undang-undang Islam, bergantung kepada keputusan Mahkamah yang akan mendengar kes berkenaan.

"Saya hanya boleh mengesahkan menerima permohonan untuk mendaftar kes penceraian antara Sultan Kelantan dengan isteri keduanya, Che Puan Elia... berdasarkan dokumen dan fail yang ada pada saya... itu saja," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu, semalam.

"Tuanku bukan sebagai pihak yang mendakwa, tidak sebagaimana yang laporkan dalam media sebelum ini.

"Dari prosedur, kita boleh terima pendaftaran ini, sekiranya ada dalam peruntukan dan tidak dihalang oleh Perlembagaan," katanya.