Wednesday, January 6, 2010

ROGOL & ZINA – KENYATAAN RETORIK TIDAK KE MANA-MANA...

kerajaan Islam dalm menangani kes zina dan rogol?

Apakah sebagai sebuah kerajaan tadbiran PAS, Kelantan mahu dibiarkan berada dalam keadaan ‘terbiar’ dan mengharapkan bantuan Allah semata-mata mengatasi masalah ini?

Apakah kerajaan PAS Kelantan mempunyai program khusus menangani masalah ini?

Yang jelas peningkatan jumlah kes rogol di Kelantan tahun ini menunjukkan berlakunya kes perzinaan melibatkan remaja.

Kelmarin, Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi menyebut jenayah rogol di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus pada tahun lalu berbanding tempoh yang sama pada tahun 2008.

Lebih mengejutkan kes berkenaan melibatkan 60 peratus remaja di bawah umur dan mengikut statistik polis, 23 mangsa yang terlibat berusia di bawah 12 tahun, 165 mangsa berusia di antara 13 sehingga 16 tahun dan selebihnya berusia 16 tahun ke atas.

Rekod menunjukkan sepanjang tempoh Januari sehingga Disember tahun lalu sebanyak 313 kes dilaporkan berbanding 250 kes pada tahun sebelumnya dan peningkatan sebanyak 63 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar pula berkata, berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pihak kesihatan sebanyak 99 peratus adalah kes rogol.

Menurutnya, biarpun ia dilakukan suka sama suka atau sebaliknya ia tetap dianggap sebagai rogol.

“Kes rogol ini menunjukkan berlakunya perzinaan dalam kalangan remaja dan ibu bapa perlu memberi penekanan lebih tegas kepada anak-anak mereka.

“Berilah mereka didikan agama supaya mereka merasa takut untuk melakukan perbuatan yang terkutuk, ajar mereka melihat rancangan agama,” katanya ketika diminta mengulas berhubung peningkatan kes rogol di negeri ini.

Wan Ubaidah berkata, perzinaan berkenaan diketahui oleh ahli keluarga setelah ada dalam kalangan anak-anak yang mengandung.

“Ibu bapa perlu jaga anak-anak mereka, kawal pergaulan dan dedahkan mereka dengan keagamaan.

“Jangan terlalu sibuk dengan tugasan sehingga anak-anak lalai dengan dunia mereka dan berlakunya perzinaan sehingga melahirkan anak,” katanya.

Menurutnya, perhatian oleh ibu bapa perlu menyeluruh dan tidak hanya diberikan semasa mereka kecil sahaja.

“Ketika usia anak-anak meningkat dewasa ibu bapa perlu lebih mendekati anak-anak, cuba periksa telefon bimbit mereka kerana pelbagai faktor boleh mendorong berlakunya perzinaan.

“Sekarang ini pelbagai rakaman yang terdapat di dalam telefon bimbit anak-anak sehingga membawa kepada kemungkaran dan ibu bapa kena bertindak lebih bijak daripada mereka,” katanya.

Apakah nasihat sahaja mampu menyedarkan remaja dan ibu bapa?

Kerajaan PAS Kelantan sewajarnya menunjukkan contoh cara menggendali masalah ini kerana jika pendekatannya sama dengan pendekatan biasa atau sekadar memberikan kenyataan bersifat retorik, ia tiada bezanya dengan pendekatan UMNO dan Barisan Nasional.

Apakah umphhnya pendekatan PAS sehingga ini? Rasanya belum ada dan tidak akan ada.

Yang ada ceramah politik bagi menarik belia menyertai PAS untuk mengundi tanpa melihat apakah pengundi mereka atau yang memilih kerajaan itu benar-benar bersih daripada maksiat apalagi bukan perogol atau penzina!

Tuesday, January 5, 2010

LAPORAN PANEL PERUBATAN SULTAN KELANTAN DISANGGAH

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra mempersoalkan laporan panel kesihatan yang merumuskan tahap kesihatan ayahandanya tanpa melawat dan memeriksa baginda.

Beliau yang menyangkal laporan panel yang dibentuk oleh kerajaan negeri itu, percaya ada motif tertentu di sebalik laporan itu yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Sejak ayahanda dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura, mereka tidak pernah melawat dan menjalankan pemeriksaan.

"Bagaimana mereka boleh mengeluarkan laporan yang merumuskan tahap kesihatan terkini ayahanda," katanya kepada di kediamannya di Kota Bharu semalam.

Menurutnya, tahap kesihatan baginda lebih baik berbanding apa yang digambarkan oleh panel berkenaan.

Hari ini, Nik Abdul Aziz mengadakan sidang akhbar di pejabatnya mengenai laporan kesihatan baginda yang dikeluarkan oleh panel berkenaan yang merumuskan bahawa keadaan Sultan Kelantan itu stabil dan boleh dibawa pulang untuk rawatan susulan di tanah air.

Menurut laporan panel itu, baginda masih tidak dapat menggerakkan tangan dan kedua kaki manakala daya penglihatan dan pertuturan baginda masih lemah.

Tambah Nik Abdul Aziz, laporan itu menyebut baginda kini diberi makan melalui tiub yang dimasukkan ke dalam perutnya.

Menurut Tengku Muhammad Fakhry, penubuhan panel perubatan itu tidak pernah dimaklumkan kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Al-Marhum Tengku Abdul Hamid.

"Saya tidak tahu bagaimana panel ini boleh memantau dan menyediakan laporan perubatan. Lebih-lebih lagi memandangkan baginda tidak pernah memperkenankan apa-apa maklumat perubatannya kerana kesemua ini adalah hak peribadi tuanku," katanya.

Pada sidang akhbar berkenaan, Tengku Muhammad Fakhry yang merupakan anakanda ketiga Sultan Kelantan turut membacakan laporan mengenai keadaan kesihatan baginda yang dikeluarkan oleh hospital berkenaan.

Antara isi kandungan yang dibacakan beliau menunjukkan bahawa keadaan baginda adalah lebih baik berbanding laporan perubatan yang dikeluarkan oleh panel yang dilantik kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya dalam tempoh terdekat ini untuk mengambil tindakan.

"Saya akan berjumpa dengan barisan peguam saya untuk mengambil tindakan sekiranya kerajaan negeri masih terus mengeluarkan kenyataan seperti ini," tegasnya.

Beliau mendakwa, Nik Abdul Aziz sendiri tidak pernah mematuhi titah baginda yang dibuat melalui panggilan telefon sebanyak dua kali pada penghujung Disember lalu meminta Menteri Besar itu menghadapnya.

"Saya percaya sekiranya Menteri Besar berbuat demikian, maka beliau boleh melihat sendiri perkembangan kesihatan baginda atau mendengar sendiri titah baginda," jelasnya.

Tengku Muhammad Fakhry ketika melawat ayahnda-nya Ogos lalu.

Sunday, January 3, 2010

GANTIRUGI RM800 JUTA ‘SAMPAH BN’?

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat asyik nak salahkan Barisan Nasional (BN) sahaja. Dalam kepalanya tiada lain, semua kerja BN adalah untuk ‘merosakkan PAS’.

Nik Aziz lupa bahawa apabila sesebuah parti mengambil alih sesebuah kerajaan lama, segala hutang dan liabiliti terpaksa ditanggung oleh mereka. Kalau bentuk kerajaan kemudian mahu menyalahkan kerajaan lama, itu bukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Semalam Nik Aziz berkata BN yang memerintah negeri ini pada 1975 sebagai penyebab kerajaan negeri perlu membayar ganti rugi RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn. Bhd.

Beliau menyifatkan kes tersebut sebagai 'sampah' yang dilakukan oleh kerajaan BN ketika itu dan kerajaan PAS hari ini yang perlu membersihkannya.

"Benda ini orang lain yang buat, sampah orang lain yang buang, kita kena sapu. Ini penyakit bagi jaga negeri kepada orang yang tidak pandai.

"Benda ini bila kita bagi jaga negeri atau Malaysia kepada orang tidak pandai akhirnya imej politik lebih jadi buruk, setengah tok guru tidak mahu ceburi politik kerana disangka buruk, politik itu yang buruk, tetapi politik saya comel, politik Nabi Muhammad, politik Nabi Muhammad yang pertama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Ibu Pejabat PAS Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad, berkata Kerajaan PAS Kelantan tidak boleh menuding jari kepada BN apabila terpaksa membayar ganti rugi RM800 juta kepada syarikat pembalakan, Timbermine Sdn. Bhd. ekoran pelanggaran kontrak.

Beliau berkata, segala keputusan yang dibuat termasuk penamatan kontrak pada 1975 dilakukan oleh kerajaan PAS yang ketika itu berada di bawah komponen BN.
Katanya, PAS jangan hendak berselindung di sebalik lalang sehelai dengan tidak mengambil tanggungjawab ini apabila tewas di mahkamah.

"Kita pun mewarisi daripada dia juga dulu... apa yang BN buat adalah membetulkan keputusan yang salah pada 1964 yang memberikan kontrak kepada syarikat pembalakan ini.

"Lagi pun Menteri Besar Kelantan pada 1975 ialah Datuk Mohd. Nasir, kerajaan BN Kelantan yang diterajui oleh PAS, dia tak fahamkah kerana pada ketika itu kerajaan campuran terbentuk di Kelantan dengan PAS 22 kerusi, UMNO (13) dan MCA satu kerusi. Macam kerajaan BN di Pulau Pinang dulu diterajui oleh Gerakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan kerajaan PAS Kelantan bahawa mereka hanya mewarisi tinggalan kerajaan BN dahulu dan terpaksa menanggung beban atas warisan tersebut.

Ia disebabkan kerajaan BN pada 1975 telah membatalkan perjanjian dengan sebuah syarikat pembalakan Timbermine Sdn. Bhd. yang diberikan kuasa untuk mengeluarkan balak di kawasan seluas 204,095 hektar di Hulu Kelantan.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Bharu Rabu lalu, kerajaan negeri diarah membayar ganti rugi kira-kira RM800 juta kepada Timbermine kerana melanggar perjanjian.

Jumlah ganti rugi tersebut dikatakan yang tertinggi dalam kes saman sivil di negara ini.

Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, pembatalan kontrak itu dibuat disebabkan kerajaan BN pada ketika itu mahu membangunkan kawasan tersebut dan ia terbukti dengan penubuhan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

"Tanah itu diambil balik untuk Kesedar hari ini, semua kawasan Kesedar adalah kawasan Timbermine yang diselesaikan melalui rundingan sebab itu kena bayar pamPASan RM3.5 juta.

"Kawasan Hulu Kelantan hanya dibangunkan pada 1974 selepas Kesedar dibangunkan dengan Datuk Ariffin Said menjadi pengurus besar yang pertama dan mula mengambil orang miskin sebab itu pada zaman BN semuanya dah selesai dan mereka tidak saman ketika itu," katanya.

Katanya, perjanjian pada 1964 amat longgar dan ia tidak dapat membangunkan kawasan tersebut disebabkan kontrak itu hanya untuk mengeluarkan balak serta sebagai timbal balas, Timbermine perlu menyediakan jalan bagi penduduk.

Tambahnya, sewajarnya tidak timbul soal kerajaan BN dahulu kerana berdasarkan prinsip PAS perlu mewarisi semua pusaka yang ditinggalkan sebelum ini.

"Kenapa hendak perintah hendak ambil yang baik sahaja, bila kita ambil kena ambil semua aset dan liabiliti. Macam kita kahwin takkan hendak ambil yang elok saja daripada perempuan yang bakal menjadi isteri, kita harus menerima semuanya.

"Kalau begitu alasannya, keluar sajalah dari Kota Darulnaim, Balai Islam dan JKR 10 kerana semua itu dibuat oleh BN dan peninggalan kerajaan BN.

"Pada masa yang sama, kenapa mereka tidak berunding sebelum 2004 sebab pada masa BN dulu kerajaan boleh selesai di meja rundingan," katanya.

Pada sidang akhbar khas semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, pada 1975, kerajaan BN telah menamatkan perjanjian dengan Timbermine sehingga menyebabkan tindakan undang-undang diambil oleh syarikat itu.

Perjanjian di antara kerajaan negeri dengan Timbermine dibuat pada 1964 ketika pemerintahan PAS bagaimanapun pada 1975 ketika PAS menjadi parti komponen BN, kerajaan negeri ketika itu menamatkan perjanjian tersebut.

Sebagai balasan, kerajaan negeri perlu membayar sebanyak RM3.5 juta dan hasil rundingan itu juga, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan sebuah syarikat dengan memberi pemilikan saham sebanyak 30 peratus kepada syarikat terbabit untuk membangunkan tanah seluas 112,000 hektar di Hulu Kelantan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS turut mendakwa BN tidak menepati janji untuk menyelesaikan masalah yang timbul dengan Timbermine pada ketika itu selePAS berjaya memerintah negeri ini tanpa PAS pada 1978.

"Cerita ketika itu timbul PAS gadai tanah kepada tauke Singapura, tauke ini ialah Timbermine, hendak tebus balik, undi saya (BN), kalau tidak undi akan digadai selamanya.

"Benda ini masuk dalam kepala rakyat, mereka yang melakukannya, setengahnya sudah mati, ada seorang dua lagi mereka kata undilah saya (BN) kalau undi PAS kena gadai sokmo (selalu).

"Akhirnya undilah (menang) kita sangka tebus dah, tapi tidak lagi, buktinya kita kena bayar RM800 juta, mereka tipu saya," katanya.